04 September 2010

Saleh Man teruskan khidmat untuk rakyat

24 Ramadhan 1431 H
Oleh: Mohd Sabri Said

PERMATANG PAUH, 2 Sept: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Ustaz Saleh Man menyambung semula tugasnya berkhidmat kepada rakyat setelah sebulan berehat kerana mengalami sakit di bahagian usus.

Beliau yang dimasukan ke Hospital Bukit Mertajam awal bulan lepas dan terbaru dimasukkan semula ke wad di Hospital Seberang Jaya untuk rawatan susulan kini kelihatan lebih sihat dan cergas terutamanya mengatur program bantuan sumbangan Aidilfitri kepada penduduk di Dun yang diwakilinya.

Terbaru beliau menyerahkan bantuan hasil kutipan beberapa individu kepada 30 keluarga miskin di Kampung Pengkalan Tambang.

Bantuan berupa beras dan bekalan makanan seharian itu turut dibahagikan kepada beberapa kampung sekitar iaitu Kampung Kota, Kampung Bukit Jelutong, Sungai Sintuk dan Tanjung Putus.

Selain beliau turut hadir dalam program ringkas itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Pengkalan Tambang, Shabudin Darus dan aktivis masyarakat, Mohd Rodzi Saad.

Semasa ucapanya, Saleh menegaskan, kerajaan negeri begitu prihatin membantu masyarakat yang daif dan memerlukan simpati.

Oleh itu, untuk menjamin pemberian sama rata yang diberikan itu rakyat tidak kira Melayu, Cina dan India wajar bersatu padu dan menjauhkan persengketaan yang dibangkitkan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.

"Kehidupan di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat lebih sempurna berbanding semasa di era pemerintahan Barisan Nasional (BN) kerana ada antara golongan yang susah tidak memperolehi bantuan sebaliknya orang tertentu yang kadang-kadang memiliki kesempurnaan diberikan," katanya.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: