04 September 2010

PAS buat laporan polis terhadap Zam

24 Ramadhan 1431 H
Oleh: Abdul Rahim Sabri

PAS membuat laporan polis hari ini berhubung kenyataan bekas menteri penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin yang didakwanya berniat jahat terhadap parti Islam itu.

Zainuddin sebelum ini dilaporkan mendakwa PAS meminta Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj ‘merampas’ harta orang Cina semasa Tragedi 13 Mei 1969, manakala ketika Konfrantasi Malaysia-Indonesia, PAS menyebelahi Indonesia supaya ‘mengambil’ Malaysia.

Beliau membuat kenyataan itu dalam temuramah bertajuk "Zam Dedah Hasutan Jahat PAS" dalam Umno-online dan kemudiannya disiar akhbar Utusan Malaysia pada 30 Ogos lalu dengan tajuk 'PAS parti ekstrem'.

Ketika dihubungi Malaysiakini, ketua penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad berkata beliau membuat laporan itu di Balai Polis Chow Kit, Lorong Haji Taib kira-kira jam 3.30 petang ini.

Sebelum ini, Idris memberi tempoh tiga hari kepada Zainuddin - mulai 30 Ogos lalu - untuk memohon maaf dan menarik balik kenyataannya.

Bagaimanapun, Zainuddin tidak berbuat demikian dan PAS sedang menimbang akan mengambil tindakan undang-undang.

Menurut Idris, beliau diiringi oleh lima exco Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekuatuan yang diketuai oleh naib ketuanya, Suhaimi Abdul Aziz.

Sehubungan itu, Idris menggesa pihak polis supaya menyiasat laporan terhadap Zainuddin itu.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: