04 September 2010

Kibar bendera tetapi ‘hati diselubungi tahi’

24 Ramadhan 1431 H
Oleh: Lanh

OGOS adalah bulan kemerdekaan sejumlah negara di rantau sebelah sini. Selain Malaysia yang menyambutnya pada 31 Ogos, Singapura pada 9 Ogos, India pada 15 Ogos manakala Indonesia meraikannya pada 17 Ogos.

Berdasarkan pengalaman lalu, pemimpin Malaysia kerap melaungkan agar rakyat mengibarkan bendera termasuk di kenderaan masing-masing (bendera kecil) bagi menunjukkan semangat cintakan kepada negara.

Rakyat yang mengibarkan bendera dianggap patriotik, mereka yang tidak mengibarkan bendera dianggap kurang patriotik. Suatu ketika dulu, ramai pemilik kenderaan mengibarkan bendera tetapi sejak kebelakangan ini tidak lagi menyebabkan sesetengah pemimpin berkata rakyat semakin kurang semangat patriotik mereka.

Demikianlah betapa mudahnya sesetengah pemimpin melaungkan semangat patriotik dan meminta rakyat berbuat demikian, tetapi benarkah pemimpin bersifat patriotik berdasarkan ‘kehebatan’ mereka mengibarkan bendera di tangan di atas pentas orang kenamaan ketika sambutan hari kebangsaan? Apakah benar mengibar bendera patriotik, tidak mengibarnya tidak patriotik?

Bagi penulis, rakyat patriotik adalah mereka yang menjunjung hukum-hakam agama dan negara. Jika mereka termasuk dalam golongan ini, negara akan selamat, demikian juga sekalian rakyat yang menghuni dalamnya.

Mereka yang melawan dan melanggar hukum-hakam agama dan negara serta pengacau ketenteraman awam adalah golongan pengkhianat, mereka tidak patriotik sama sekali.

Sehubungan itu, mereka yang seronok mengibar bendera termasuk di kalangan pemimpin (menteri) yang beriya-iya melakukannya di atas pentas atau ketika perarakan, tidak semestinya orang patriotik. Segelintir mereka mengibar bendera, tetapi ‘hati’ (kalau ayam, ekor) diselubungi tahi.

Kes terbaru membabitkan pendakwaan seorang bekas menteri kanan terhadap salah laku membabitkan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) bernilai berbilion-bilion ringgit membuktikan perkara ini.

Bayangkan bagaimana tokoh ini tergamak menipu mesyuarat Kabinet yang dia salah seorang anggotanya. Tidakkah itu namanya pengkhianat paling besar kepada agama, bangsa dan negara?
Ya, pada sambutan hari kebangsaan, pemimpin-pemimpin seperti inilah yang paling hebat mengibar-ngibar bendera. Mereka kelihatan begitu patriotik, begitu beriya-iya menyanjung Jalur Gemilang, sebaliknya merekalah musang berbulu ayam. Bukan saja ayam dicekupnya, baka (anak-anak) ayam pun disapunya sampai licin.

Demikian juga segelintir pemimpin yang lain. Cakap mereka kepada rakyat berdegar-degar, sayangi negaralah, bersedia untuk mati untuk negaralah, tetapi amat-amatilah bahawa sesetengahnya rakus kuasa dam menimbun harta seolah-olah kekayaan itu boleh dibawa masuk dalam lubang kubur.

Mereka berkata berkorbanlah untuk negara tetapi apabila jerebu melanda, mereka dan keluarga masing-masing yang pertama berangkat meninggalkan tanah air, bercuti di Los Angeles atau ke Australia dengan duit berguni-guni.

Tak tahulah apa tindakan mereka jika meletus huru-hara dan perang. Agaknya mereka yang pertama hantar keluarga masing-masing ke 'overseas', biarlah rakyat hadapi kemelut itu. Berjuanglah rakyat ke titisan darah terakhir, kata mereka.

Pada ketika kehidupan rakyat meruncing dan terpaksa mengikat perut disebabkan kenaikan harga petrol, gas dan gula baru-baru ini, ramai daripada anggota keluarga terhormat ini masih ber'shopping' di London, Paris dan Dubai.

Di tanah air, mereka sibuk mengelabui mata rakyat dengan ungkapan temberang mereka seperti ‘ubahlah gaya hidup’. Bayangkan, mereka tidak ubah gaya hidup masing-masing, tetapi meminta rakyat mengubahnya.

Masih ramai pemimpin dan orang berkuasa yang menunjukkan kemewahan dengan kenduri kahwin macam 'pesta puteri kayangan' atau macam anak Raja Donan - 40 hari 40 malam dan wang hantaran RM20,000 - RM30,000.

Tak percaya, selaklah halaman majalah malah rancangan televisyen sekalipun, mereka memaparkan perkahwinan ala Inggerislah, ala Arablah alah Baratlah yang membabitkan kos ratusan ribu ringgit.

Mereka terus boros berbelanja sedangkan rakyat disuruh 'jimat, jimat, jimat' dan pada masa yang sama surat khabar dan media massa lain diperkuda, dibuli, dipaksa menggantikan perkataan ‘kenaikan harga barangan’ dengan ‘penyelarasan subsidi’ dan penjimatan wang kerajaanlah.

Adakah perbelanjaan boros pemimpin ini boleh dicontohi rakyat biasa yang saban hari bersarapan cekodok, lempeng, ubi rebus, nasi sejuk dan lauk lebihan semalam dengan kopi O panas atau pun air suam saja disebabkan gula sudah naik harga?

Jika tak percaya kemiskinan rakyat, tengoklah rancangan TV3, Bersamamu, masih ada rakyat yang terpaksa membongkar tong sampah dan makan kangkung longkang dan ikan lombong untuk meneruskan hidup.

Pada saat negara akan menyambut ulang tahun kemerdekaan, sibuklah sesetengah daripada pemimpin melaungkan kata-kata keramat: "Kita lupakan perbezaan dan sengketa politik, marilah kita sama-sama sambut hari kemerdekaan."

Sedapnya mulut mereka bercakap, 'bersama-sama merayakan kemerdekaan' - kemerdekaan apa yang mereka maksudkan itu? Selepas mereka puas 'menjarah sana, menjarah sini' (senarai ini panjang, antaranya dalam isu bahasa,

pemberhentian permit akhbar alternatif, ISA, AP, hak asasi, penyelewengan tender, kenaikan harga minyak serta barang dan pencabulan demokrasi),

rakyat diminta untuk bersama-sama berada di pentas mereka, mengibarkan bendera dan melaungkan kata-kata keramat: "Merdeka! Merdeka! Merdeka!"

Kalau hanya untuk mengibar bendera dan melaungkan kata-kata itu, penyamun, perompak, lanun pun boleh melakukannya. Perompak bank yang memandu Perdana atau Wira (menggunakan kereta ini kerana bersikap patriotik) pun boleh memasang bendera kecil di sisi cermin kereta mereka.

Perogol bersiri pun boleh memasang bendera di depan motosikal masing-masing. Artis penjual diri pun boleh membalutkan Jalur Gemilang pada tubuh mereka.

Berlainan daripada orang yang telah jelas ‘jahat’ ini, apa yang dibimbangi orang yang penampilannya baik-baik, yang berlagak pemimpin warak, kononnya merekalah pejuang bangsa, pejuang negara yang bermati-matian bekerja keras untuk negara, sebenarnya pengkhianat paling dahsyat.

Mereka nampaknya begitu baik dan sopan, mengibar bendera di pentas kenamaan pada majlis-majlis tetapi sebenarnya adalah musang berbulu ayam. Pemimpin ini mengkhianati amanah negara, mereka merompak harta negara,

menipu Kabinet, mencabul kehormatan orang dan aneka kejahatan lain semata-mata untuk melempiaskan nafsu dunia dulu, kini dan buat selamanya!

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: