28 Disember 2010

Generasi Masa Depan Dan Perjuangan

Selamatkan Generasi Masa Depan,Pastikan perjuangan diteruskan

IPOH : Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain menegaskan agar seluruh ahli PAS memastikan kesinambungan perjuangan dapat dipelihara dengan baik dengan memastikan anak-anak dan anggota keluarga mereka menjadi ahli PAS dan mendaftarkan diri masing-masing dalam daftar pemilih bagi menjalankan tanggungjawab memastikan kemenangan dalam setiap kali pilihanraya diadakan.


Menurut beliau (foto-Ustaz Abu Bakar ditengah) anak-cucu kita adalah antara golongan penting yang perlu membuat perubahan politik secara besar-besaran dalam pilihanraya akan datang bagi menyelamat negera kita dari penyelewengan Umno BN.

Memetik kata-kata beliau “Kita sebagai ahli PAS perlu sedar tanggungjawab besar untuk membuat perubahan politik yang bermula dari diri kita dan memastikan generasi kita menjadi ahli dan pendukung parti bagi kesinambungan perjuangan

“ Kita tak mahu lihat ada ahli kita yang semangat berkobar-kobar menentang Umno tetapi tidak pula mahu mengikat anak-anak dalam jamaah yang akhirnya mereka menentang Islam yang kita perjuangkan”

Beliau juga menyatakan kini rakyat sangat memerlukan perubahan politik besar-besaran bagi menyelamatkan negara ini dari penyelewengan dan segala bencana termasuk masalah gejala sosial yang semakin dashyat.

Justeru Pakatan Rakyat adalah pilihan terbaik kepada rakyat Malaysia untuk menggantikan kepimpinan negara yang selama ini dikemudi oleh pemimpin Umno BN yang telah banyak menggadaikan hak negara dan kepentingan rakyat dan ia bertambah buruk apabila generasi muda di Malaysia kini semakin rosak akhlaknya disebabkan punyai pemimpin negara yang juga lebih teruk rosak akhlaknya, tegas beliau.

Susahnya 'melayu' menjelang tahun baru ?

Ahmad Baei Jaafar
Selepas menyambut Maal Hijrah baru-baru ini, kita bersiap-siap pula untuk menyambut tahun baharu Masihi, 2011. Kalau Maal Hijrah kita diingatkan tentang hijrah, tahun Masihi pula kita diingatkan dengan pakaian anak sekolah. Itulah realiti orang Melayu di negara ini.


Walaupun orang lain turut sebuk menguruskan hal itu, namun orang Melayu lebih nampak serius. Bukan serius kerana terlalu mengambil berat hal pendidikan anak-anak tetapi, baru gelabah mencari wang. Ada yang mengharapkan wang zakat, harapkan bonus kerajaan dan belas kasihan orang ramai.

Kenapa orang Melayu tidak membuat persiapan awal dari awal tahun lagi? Miskin sangatkah orang Melayu sehingga soal pendidikan anak terpaksa mengharapkan kerajaan dan bantuan zakat dan orang ramai? Bayangkan kalau sebulan seseorang bapa atau ibu boleh menyimpan RM10 sudah tentu pada akhir tahun sudah ada RM120. Rasanya jumlah itu cukup untuk membeli baju dan kasut serta peralatan sekolah anak-anak.

Sepatutnya orang Melayu tidak susah kerana Allah selalu memerintahkan mereka dengan solat dan mengeluarkan zakat. Dua ibadah itu adalah pakej yang wajib diutamakan oleh umat Islam. Orang Melayu yang beragama Islam pasti taat perintah Allah lalu mereka akan menunaikan solat dan berzakat. Soalnya bolehkah orang miskin mengeluarkan zakat?

Terfikirkah kita kalau Allah perintahkan orang Islam mendirikan solat, dan menunaikan zakat, maka wajiblah ditunaikan. Jadi, bagaimana orang Islam atau orang Melayu boleh mengeluarkan zakat kalau mereka miskin. Maknanya secara tidak langsung Allah perintah kita supaya menjadi orang kaya yang masing-masing boleh mengeluarkan zakat. Bayangkan kalau semua orang Islam kaya, semua orang Melayu banyak wang, akan berlakukan senario yang disebut di atas?

Kalaupun kita tidak jadi kaya, setidak-tidaknya kita pandai berjimat berbelanja dan pandai menabung. Menabung di mana? Bukankah kita ada Tabung Haji, kita ada bank, kita ada syarikat saham dan kita boleh sertai koperasi. Tetapi berapa ramai yang menabung dalam syarikat tersebut? Memang terlalu sedikit.

Hakikatnya ramai orang Islam tidak sedar atau terlepas pandang bahawa mereka seharusnya menabung dan tempat yang paling sesuai buat masa ini ialah di dalam syarikat takaful. Kenapa? Ya, dengan menyimpan di dalam syarikat takaful, mereka secara langsung mendapat tiga manfaat. Pertama menyimpan sekali gus melabur, kedua melakukan kebajikan dengan menyumbang khairat kepada peserta lain, dan yang akhir mendapat perlindungan harta dan pendapatan.

Bayangkan kalau semua orang Melayu berbuat begitu, bila anaknya ingin memasuki universiti, wang itu boleh digunakan sehingga tamat pengajian. Apatah lagi kalau bapa-bapa anak-anak tersebut telah menabung secara khusus untuk mereka dalam takaful. Selepas tamat ijazah pertama, boleh disambung lagi untuk membuat master.

Inilah yang tidak pernah difikirkan oleh ibu bapa semasa anak mereka masih kecil. Bila ditanya, kenapa tidak mahu menabung semasa anak itu masih kecil, katanya masih awal lagi. Nanti besar tahulah apa yang hendak dilakukan. Yalah, kena pinjam PTPTN. Jadi, kita telah mengajar anak kita supaya berhutang sejak bersekolah lagi.

Betapa zalimnya kita, ibu bapa termasuk saya. Semasa muda tidak sedar hal ini. Kita biarkan anak kita dalam keadaan terpaksa pinjam PTPTN. Atas kesedaran inilah saya pada hari ini mengajak anda kalian agar menabung dengan takaful dari sekarang. Sayangilah anak-anak sebelum anda tiada.

Sokong Toleransi antara Kaum

Kenyataan Media
Sokong Toleransi antara Kaum dalam mengekal perjuangan PR
Dewan Pemuda PAS Kaw Gopeng

28 Dis : Dewan Pemuda PAS Gopeng bersetuju penuh saranan Ketua penerangan KeADILAN Dr Mohd Nur Manuty (Harakah 24-26 Dis) agar Pakatan Rakyat menyelami falsafah perjuangan atas landasan toleransi kepelbagaian agama.


Tidak dapat dinafikan perjuangan melalui landasan dimensi baru seperti Pakatan Rakyat adalah suatu perjuangan yang realiti dan pastinya mewakili komposisi kaum, stratafikasi sosial serta pluralisasi budaya yang wujud di bumi Malaysia.

Namun begitu, para pendokong pakatan Rakyat dan ahli PAS terutamanya tidak seharusnya larut dengan kempen dan idea-idea perkauman sempit yang kian dikumandangkan oleh UMNO menjelang pilihanraya akan datang. Idea yang menghalang kelancaran persefahaman antara kaum dan agama dalam komponen Pakatan Rakyat perlu diketepikan.Malah menurut beliau juga, pegangan kaum Muslim (ahli PAS) berkenaan konsep Agama Islam yang hanya diiktiraf oleh Allah (In Addin Indallah Al Islam) adalah perkara ‘thabat’ yang menjadi tulang belakang aqidah tidak akan merosakkan saranan agama untuk berinteraksi dan memakmurkan bumi ini secara adil dan mengajak ke arah kebaikan. Perinsip aqidah adalah teras agama dan ia bukan alasan untuk umat Islam menolak toleransi antara agama dalam negara ini.

Malah kata-kata Setiausaha Dewan Ulama’ PAS P.Pinang juga mencerminkan hasrat yang sama dalam usaha PAS mengenepikan sikap perkauman dan ketuanan bangsa yang mengakibatkan keutamaan menolak kezaliman gagal.

Apakah kita tidak boleh bersatu? Persoalan ini mesti kita rungkaikan supaya tidak menjadi kusut dari unsur-unsur yang kita sendiri kadang-kadang tersasul kerana perbezaan Agama, Bangsa serta Adat Budaya yang berbeza. Mari kita bersama-sama memahami masaalah ini agar kita dapat bertaut di antara satu sama lain bagi mencapai maksud yang sama tanpa ada sebarang halangan serta tembok pemisah. ( Teks ucapan untuk Konvensyen Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang 21-November 2010 Dewan Tunku KOMTAR)

Berdasarkan gagasan ini, kami Pemuda PAS Gopeng menginsafi bahawa kerusi DUN Sungai Rapat yang sekian lamanya ditandingi oleh PAS disini terdiri daripada hanya 62.39 % kaum Melayu manakala lebihannya adalah kaum bukan islam ( Cina 28%, India 9%). Begitu juga bagi Parlimen gopeng yang hanya terdiri daripada 42% kaum melayu sahaja.

Jelas, pertautan kerja erat antara kaum di parlimen Gopeng dan DUN Sungai rapat adalah perlu untuk mengekalkan kemenangan PR. Dengan tertubuhnya Dewan Himpunan Penyokong PAS kawasan Gopeng juga sedikit sebanyak bakal menyemarakkan lagi agenda penerangan kepada kaum bukan islam dan menimbulkan kesedaran kepada kaum melayu betapa tegarnya sikap kaum bukan Melayu terhadap agenda perubahan kerajaan yang lebih baik.

Jentera PAS Perak dan Gopeng terutamanya perlu mulai bertindak atas kesepaduan kerja antara kaum serta mengeratkan hubungan dengan parti Pakatan Rakyat yang lain untuk menghadapi jentera BN PRU-13 akan datang serta mengambil resolusi Konvensyen PR di Pulau Pinang sebagai landasan kefahaman kerja.

Muhammad Nuruddin Bashah
Ketua Penerangan DPPK Gopeng

27 Disember 2010

Hebatnya jawapan Timbalan Pengerusi UMNO baru dalam sidang DUN Terengganu

21 Muharram 1432H.
loveperak.blogspot.com

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri Terengganu, Yahya Khatib Mohamad (gambar), berkata kejadian bangunan atau pembinaan runtuh yang berlaku di negeri ini adalah satu perkara biasa. Bahkan, katanya, beliau berasa bersyukur kerana katanya ia merupakan satu rahmat kepada rakyat negeri Terengganu

Yahya berkata demikian ketika menggulung perbahasan Bajet 2010 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang berlangsung di Wisma Darul Iman, kira-kira jam 1 tengahari tadi, 23 Disember, 2009.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Haji Mohd Abdul Wahid Endut. Wahid yang bangun untuk meminta penjelasan sebab-sebab berlakunya kejadian bumbung runtuh pada Terminal Pengangkutan Awam Kuala Berang kelmarin, 21 September, 2009.

Malangnya soalan Wahid tidak dijawab oleh Yahya yang hanya menjawab sambil lewa dan mengatakan apabila berlakunya bangunan atau pembinaan runtuh, ia merupakan rahmat kepada rakyat Terengganu kerana akan mendapat peluang yang baru dan bangunan yang baru.

Terengganu : UMNO ganti pimpinan, PAS Bagaimana ?

21 Muharram 1432H.
Drs. Khalil Idham Lim

Pelantikan pengerusi Perhubungan UMNO negeri yang baru melibatkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang tidak dilantik kembali ke jawatan itu di Terengganu. Tempatnya di ambil oleh menteri besarnya Datuk Seri Ahmad Said, dan timbalan pengerusi, Yahya Khatib Mohamad, iaitu Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri Terengganu . Pelantikan ini dilihat menyelesaikan kedudukan Ahmad said yang merupakan satu-satu MB yang tidak memegang jawatan sebagai Pengerusi UMNO di negeri yang masih dikuasai oleh BN.

Mengulas isu beliau tidak lagi dilantik kejawatan itu Hisammuddin berkata beliau akan terus bersama dalam perjuangan biarpun tidak lagi menyandang jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu yang kini dipegang oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

Banyak pihak melihat pertukaran di Terngganu adalah akibat kegagalan Hisamuddin menyelesaikan kemelut yang berpanjangan di negeri yang pernah di tadbir oleh Kerajaan PAS pada tahun 1999 hingga 2004 itu.

Sesuatu yang benar dilakukan oleh Najib untuk menaikkan momentum sokongan kepada UMNO untuk menghadapi gelombang PAS di Terengganu yang dilihat memuncak pada masa ini.

Benarlah desas desus yang mengatakan Najib akan melakukan rombakan untuk menghadapi PRU ke 13 yang akan diadakan tidak berapa lama lagi.

Mengulas rombakan kepimpinan Badan Perhubungan UMNO Negeri yang turut menyaksikan beliau tidak lagi memimpin UMNO di Terengganu hari ini, Hishammuddin berkata: "Terengganu pernah jatuh ke tangan pembangkang dan berkat daripada hasil usaha, kerja keras dan kerjasama sesama pemimpin negeri, rakyat Terengganu memberi semula mandat kepada UMNO." "Ia adalah amanah yang digalas dan perlu dipertahankan di mana pemimpin dan rakyat Terengganu perlu menerajui kepimpinan dan menentukan masa depan negeri," katanya dalam kenyataan.

Kerana itu saya juga melihat PAS Terengganu perlu melakukan sesutu untuk menghadapi suatu gelombang baru yang payah untuk dinafikan bila Ahmad Said memegang Pengerusi UMNO negeri.

Kalau Hishammuddin hanya berjaya mengurang 10 budak hitam dalam UMNO negeri kepada 4 orang selama ia memegang jawatan pengerusi UMNO Terengganu , mungkin Ahmad Said akan menyelesaikannya dengan kuasa yang ada ditangannya sekarang sebagai MB dan Pengerusi UMNO negeri.

Pecaturan yang diambil oleh Najib dengan mengorban saudaranya itu dilihat dengan beliau lebih mengutamakan kekuatan UMNO untuk terus kekal sebagai kerajaan di Terengganu.

Kerana itu terlebih lagi kepada PAS yang punya hasrat yang besar untuk kembali berkuasa, tentunya perlu punya pengorbanan yang lebih besar dari itu.

NUTP DINASIHAT JANGAN BERAT SEBELAH

20 Muharram 1432H.

PARIT BUNTAR, 27 Dis : Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) melalui Presidennya Hashim Adnan yang menyifatkan tawaran imbuhan khas pendidik RM500 setiap bulan oleh Pakatan Rakyat adalah sebagai tidak masuk akal dan ia sekadar gimik politik.

Menurut Presiden NUTP dipetik sebagai berkata bahawa jumlah dijanjikan itu luar biasa kerana Pakatan Rakyat andai memerintah Kerajaan Pusat, perlu RM215 juta setiap bulan dan RM2.58 bilion setahun untuk menyalurkan imbuhan kepada kira-kira 430,000 guru di seluruh negara.

“NUTP sepatut konsisten menjaga kabajikan para guru, bebanan guru yang banyak adalah isu yang tidak pernah selesai, tekanan terhadap guru lebih berbaloi dengan adanya imbuhan yang lebih oleh kerajaan,” kata Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs . Khalil Idham Lim ketika ditemui di sini.

Tambahnya, kerajaan dikatakan tidak memiliki wang sebanyak itu untuk menyalurkan imbuhan dengan amaun sebesar itu adalah satu kenyataan yang menimbul persoalan serta meragukan.

Sedangkan menara warisan yang menelan belanja 5 bilion juga wang kerajaan, persoalannya benarkah kerajaan tiada wang?soal Drs. Khalil.

Selain itu beliau yang juga merupakan Ketua Penerangan PAS Perak menjangkakan lebih banyak ketirisan dalam perbelanjaan negara akan menyelamatkan wang rakyat dan itu juga lebih dari mampu untuk dikembalikan kepada guru .

“Adalah tidak logik apabila Pakatan Rakyat menawarkan tambahan gaji RM 500 untuk setiap guru , Muhyiddin sebagai menteri pelajaran dan presiden NUTP, terus membela kerajaan dengan katanya kerajaan tiada wang ,” tegasnya.

Menurutnya lagi yang merupakan ADUN Titi Serong, NUTP sepatutnya menyokong sebarang langkah serta usaha oleh mana-mana pihak untuk menjaga kebajikan guru, bukannya hanya menidakkan usaha itu..

“Saya kira beliau (Presiden NUTP) tidak layak bercakap mengenai kemampuan kewangan negara kerana beliau tidak tahupun kapasiti serta kemampuan kewangan Negara ” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau menyarankan guru patut bersuara bagi mendesak beliau berundur dari jawatan tesebut, perlu ganti dengan individu yang benar-benar ikhlas mahu berjuang atas nama guru.

“NUTP jangan jadi kuda tunggangan Umno dan BN, NUTP wajib bertindak sebagai sebuah badan yang komited membela kebajikan guru di Malaysia dengan tanpa memperdulikan dari mana cadangan itu datang,” ujarnya.

Berita Ringkas.

20 Muharram 1432H.


1. Calon ketua angkatan muda PKR (AMK) Badrul Hisham Shaharin yang tewas dalam pemilihan lalu berkata beliau enggan menerima tawaran untuk dilantik ke jawatan timbalan setiausaha agung yang ditawarkan parti.

2. Naib presiden baru PKR N Surendran mengeluarkan amaran keras terhadap ahli parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan supaya berhenti mengkritik pemimpin parti tersebut.

Surendran juga berkata PKR tidak akan bertolak ansur terhadap tindakan seperti yang dilakukan Gobalakrishnan yang mengeluarkan kenyataan "tidak wajar, tidak produktif dan tidak berasas" terhadap pemimpin parti.

Pelantikan Khusrin tak muktamad, MB jumpa Sultan

20 Muharram 1432H.

Baru beberapa jam pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai setiausaha kerajaan negeri Selangor diumumkan, kerajaan negeri mengeluarkan kenyataan bahawa perkara itu belum muktamad.

Menurut kenyataan daripada Pejabat Menteri Besar Selangor, cadangan melantik ketua pengarah Jabatan Agama Islam Selangor ke jawatan itu tidak pernah dimaklumkan oleh ketua setiausaha negara kepada Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Justeru itu, menteri besar telah menghantar surat kepada DYMM Sultan Selangor memaklum bahawa beliau tidak dihubungi tentang cadangan tersebut," demikian menurut kenyataan itu.

Pagi tadi, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengumumkan pelantikan Khusrin ke jawatan itu berkuatkuasa 1 Januari.

Mohd Sidek dilaporkan berkata, pelantikan itu dikatakan mendapat perkenan Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menurut kenyataan pejabat Khalid awal petang ini pula, selepas sesi temuduga, panel yang ditubuhkan kerajaan negeri sebelum ini memilih tiga nama yang difikirkan sesuai untuk menjawat jawatan tersebut.

"Menteri besar kemudiannya telah menghantar tiga nama tersebut kepada DYMM Tuanku Sultan untuk mendapat perkenan.

"Sehubungan itu, menteri besar akan mengadap DYMM Tuanku Sultan pada 29 Disember 2010 (Rabu depan)," kata kenyataan itu.

Setakat ini, tidak pasti sama ada Khusrin antara tiga nama yang dicadangkan kerajaan negeri kepada Sultan Selangor.

Apa sudah jadi ? Mohd Isa dilantik Pengerusi FELDA

20 Muharram 1432

apa sudah jadi dan akan berlaku terhadap FELDA bila bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) berkuatkuasa, 1 Januari 2011. Itulah persoalan yang pertama berligar dikepala saya hari ini.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini, pelantikan itu dibuat berdasarkan keyakinan kerajaan terhadap kemampuan Mohd Isa untuk memberi perkhidmatan yang cemerlang dan efektif.

Perlah diingatkan pada 24 Jun 2005, Panel Lembaga Disiplin UMNO yang dipengerusikan oleh Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Ismail telah menjatuhkan hukuman penggantungan keahlian selama 6 tahun kepada Naib Presiden UMNO, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.

Mohd Isa telah disabitkan bersalah atas 5 pertuduhan daripada 9 pertuduhan asal rasuah (politik wang). Antara pertuduhan yang dikemukakan adalah berhubung amalan rasuah termasuk membabitkan penganjuran pertemuan, mengadakan majlis makan dan memberi wang untuk membeli undi.

Saya sebeutkan ini kerana untuk mengigatkan inilah orangnya yang telah dilantik kejawatan yang penting dalam FELDA dalam keadaan FELDA memerlukan orang yang boleh membersihkan kemelut yang berlaku dalam agensi kerajaan itu.

Mohd Isa menggantikan Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor yang dilantik sebagai Penasihat kepada Menteri yang bertanggungjawab ke atas FELDA. Menurut kenyataan itu, Perdana Menteri mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Mohd Yusof di atas perkhidmatan beliau menerajui FELDA bermula dari 1 Julai 2001 hingga 31 Disember 2010
Di bawah kepimpinan Mohd Yusof, FELDA sudah mengalami transformasi membanggakan serta menempa pelbagai kejayaan, sekali gus menjadi penyumbang ekonomi negara, menurut kenyataan itu.

Mohd Isa, yang menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun dari 1982 hingga 2004, adalah bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan bekas Naib Presiden UMNO.

Beliau adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang dalam kawasan Parlimen Teluk Kemang Negeri Sembilan.

Beliau menang besar dalam pilihan raya kecil kawasan itu pada 11 Oktober 2009 mengalahkan calon PAS, Zulkefly Mohamad Omar dengan majoriti 5,435 undi

Kelantan belanja RM80 juta bantu SAR

20 Muharram 1432H.
Ismail Hashim

SHAH ALAM, 27 Dis: Kerajaan Negeri Kelantan telah membelanjakan lebih RM80 juta untuk membantu Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri itu selama 20 tahun memerintah, tegas Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi Kerajaan Negeri Kelantan itu lberkata, semua sumbangan dan bantuan itu dapat dijayakan di dalam keadaan kerajaan negeri tidak banyak duit.

"Jika Kerajaan Kelantan mempunyai banyak wang seperti Kerajaan Selangor, sudah pasti banyak perkara dapat dilakukan," tegasnya semalam selepas berucap di atas tajuk Pembentukan Dasar dan Perlaksanaan Program Pendidikan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat: Ke Arah Membangun Masyarakat Adil dan Sejahtera.

Beliau berucap demikian ketika bersama membentangkan ucapan pleno dalam Konvensyen Pendidikan Islam Malaysia 2010 anjuran Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan pembangunan Modal Insan Selangor dengan kerjasama Lajnah Pendidikan PAS Pusat (LPPS).

Konvensyen bertema Membangun Gagasan Baru Pendidikan Islam Malaysia itu dirasmikan oleh Pengerusi LPPS, Datuk Abu Bakar Chik merangkap penasihat program selepas menyampaikan ucaptama.

Turut menyampaikan pandangan ketika membentangkan kertas kerja adalah Exco Kerajaan Negeri Selangor yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Hajah Halimah Ali dan Ketua Pengarah PASTI Malaysia yang juga pengarah program, Cikgu Azrin Abdul Majid.

Nik Amar turut menjawab soalan peserta yang ingin tahu mengenai pengiktirafan kerajaan negeri terhadap lulusan Sekolah Rendah Islam (SRI) yang dikatakan gagal diterima masuk ke sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) termasuk Maahad Muhammadi.

Menurutnya, kemasukan ke sekolah terkawal seperti Maahad Muhammadi terikat dengan keputusan peperiksaan UPSR dengan mendapat 4A 1B yang menjadi ukurannya dan mereka yang mempunyai kelulusan baik di dalam peperiksaan SRI mendapat bonus kemasukan.

"UPSR menjadi ukuran kerana ia bersistematik walaupun kita tidak suka kepada semua itu tetapi itulah sukatan yang terbaik setakat ini sedangkan peperiksaan SRI pula masih tidak mencapai tahap terbaik sebab tidak seragam antara semua SRI.

"Justeru, saya sarankan pihak SRI di seluruh negara dapat selaraskan semua silibus dan tahap peperiksaan mereka biar selaras agar senang mana-mana pihak untuk iktiraf lulusan dari SRI.

"Tidak timbul langsung masalah enggan memberikan pengiktirafan kepada lulusan SRI namun jika SRI dapat sistematikkan tahap pepeiksaan mereka, ia pasti akan menjadi penentu kemasukan ke mana-mana sekolah YIK termasuk Maahad Muhammadi," tegasnya.

Penanya soalan menyatakan anaknya yang kini dapat bersekolah di bawah YIK juga mendapat keputusan 3A dalam UPSR, Mohd Amar berkata, memang tidak cukup syarat dan ternyata kini dapat juga bersekolah di bawah YIK.

Sebelum ini, isu di atas menjadi rungutan agak meluas di dalam internet tentang rungutan ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan pendekatan pihak pendidikan Kerajaan Negeri Kelantan yang disifatkan tidak memberikan peluang lebih besar kepada lulusan SRI sedangkan sudah 20 tahun memerintah.

Harakahdaily/-

Siapakah menteri rogol amahnya?

20 Muharram 1432H.
Zulkifli Sulong

KUALA LUMPUR, 27 Dis: Soalan siapakah menteri yang terlibat merogol seorang pembantu rumah Indonesianya kini menjadi persoalan paling hangat diperkatakan ekoran pendedahan kembali isu ini oleh WikiLeaks.

Laporan awal Harakahdaily mengenai hal ini telah menjadi berita paling hangat dan paling ramai dibaca oleh pelayar Harakahdaily.

Dalam laporan itu, Harakahdaily melaporkan kembali tulisan pemimpin akhbar pro BN, Rocky Bru atau nama sebenarnya Ahirudin Atan dalam blognya mengenai peristiwa seorang menteri merogol pembantu rumahnya pada tahun 2007 lalu.

Namun menteri berkenaan selamat walaupun laporan mengenainya sampai ke Kedutaan Indonesia, Kedutaan Amerika bahkan juga ke pejabat Perdana Menteri waktu itu, Datuk Seri (kini Tun) Abdullah Badawi.

Semalam, NGO Tenaganita menyiarkan kembali satu kenyataan akhbar yang pernah dibuat oleh Migrant Care, sebuah badan kebajikan pekerja Indonesia yang mengesahkan kejadian yang berlaku pada tahun 2007 itu.






Kenyataan yang ditandatangani oleh Wahyu Susilo (Policy Analyst), Anis Hidayah (Executive Director) dan Alex Ong (Country Director) dibuat pada 1 Ogos 2007.

Dalam kenyataan akhbar itu, Migrant Care berkata, pembantu rumah Indionesia itu bernama Robengah dan ketika itu dia berada di bawah penyeliaan Migrant Care.

Dalam kenyataan itu juga, Migrant Care menamakan RELA sebagai salah satu badan yang sangat dimarahi oleh warga Indonesia walaupun Malaysia dan Indonesia mempunyai hubungan diplomatik yang sangat baik.

Satu blog popular, Tukartiup juga kini memainkan sentimen siapakah perogol bertaraf menteri itu?

Sebelum ini, Harakahdaily melaporkan, menteri berkenaan telah bersara namun menurut maklumat terbaru, dia masih berada dalam kebinet kerajaan Malaysia sekarang.

Sementara itu, Country Director Migrant Care, Alex Ong (gambar) ketika dihubungi Harakahdaily hari ini mengesahkan kejadian itu.

"Beliau dirogol pada 19 Februari 2007 di Kuala Lumpur. Kemudiannya dihantar balik ke Indonesia pada 20 Februari 2007," kata Alex kepada Harakahdaily.

Selepas mendapat maklumat dari orang ramai, kata Alex, Migrant Care telah menjejak mangsa ini ke kampungnya yang terletak di Banjar Negara, Jawa Tengah.

"Dua kakitangan kami telah menemui dan mewawancara beliau pada 23 Julai 2007 di Banjarnegara," kata Alex lagi. Migrant Care kemudiannya telah mengeluarkan kenyataan media pada 1 Ogos 2007.

Ketika ditanya, apa berlaku selepas itu, Alex memberitahu, tindakan susulan tidak boleh diambil kerana wanita berkenaan tidak mahu diganggu kerana tidak mahu malu dan juga akibat dari ketakutan.

"Dia telah diminta bersumpah untuk tidak memecahkan rahsia itu jika tidak akan disumpah tiga keturunan," cerita Alex kepada Harakahdaily.

(Gambar perpustakaan: Alex (tengah) bersama Che Ishak (kanan) dan Taufek ketika berbincang bagi membawa pulang Azreen dari Lombok, Indonesia)

Sebelum ini, Migrant Care pernah membantu Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa dan Adun Paroi, Taufek Abdul Ghani untuk membawa pulang Azreen Che Ishak dari Kampung Hulu Sawah, Rantau, Negeri Sembilan yang dibawa lari pemuda Indonesia ke Lombok, Indonesia.

Husam membantu keluarga Che Ishak yang berasal dari Kelantan itu melalui NGO yang dipimpinnya ketika itu, Kijang Care.

KENYATAAN MEDIA : Kekalkan SMK Sains di Bandar Miri

20 Muharram 1432H.

Pas Miri sangat khuatir tentang masalah pelajar SMK Sains Miri yang akan dipindahkan dari Miri ke SMK Tinjar, Lapok, Baram yang jarak perjalanan sejauh120 kilometres dari Miri. Para pelajar juga kena bersiap sedia untuk berpindah dan belajar pada awal bulan hadapan 2011. Ibubapa pelajar telah membantah keputusan berpindah sekolah yang ada sekarang ke tempat yang jauh dan tersisih dari kemudahan asas.

Persoalannya mengapa sekolah tersebut mesti ditutup? Alasan sebab keadaan sekolah sudah teruk dan merbahaya kepada pelajar dan guru tidak diterima oleh ibubapa pelajar sekolah tersebut.

Sekolah tersebut sudah lama berada di tempat tersebut mengapa setelah ada perumahan dan pembangunan dikawasan tersebut maka para pelajar jadi korban untuk dipindahkan ke pedalaman dimana tidak sesuai untuk pelajar untuk belajar.

Pas Miri berharap pihak yang berkenaan mengambil perhatian tentang masalah pelajar tersebut dimana tiada kemudahan asas serta perkhimatan yang baik untuk diterima oleh pelajar dimana mereka terpaksa menerima hakikat yang mereka sukar untuk mendapat kemudahan asas seperti pelajar di Bandar.

Kita tidak mahu moral serta kekuatan fikiran mereka merosot akibat terpaksa berjuang untuk belajar di tempat yang tidak mempunyai kemudahan asas. Kita harap pihak berkenaan memberi mereka terus belajar di tempat sekarang sehingga segala kemudahan asas serta perkhimatan yang baik diberi dalam kawasan tersebut oleh kerajaan.

Ambik perkara ini secara serious demi kebaikan para pelajar di masa hadapan. Kita mahu sekolah ini terus mengekalkan kecermelangan mereka dalam aktiviti co-curriculum.

‘PAS UNTUK SEMUA’

PAS Kawasan Miri
www.pas-miri.blogspot.com

Bas ekspres terbabas, enam cedera

20 Muharram 1432H.

Enam cedera, dua daripadanya patah tulang rusuk apabila sebuah bas ekspres dua tingkat terbabas di KM363, Jalan Raub-Bentong, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Raub Supt Wan Mohd Samsuddin Wan Osman berkata dalam kejadian kira-kira 5.30 pagi itu, bas ekspres Mahligai berkenaan sedang dalam perjalanan dari Kota Baharu, Kelantan ke Kuala Lumpur dengan membawa 39 penumpang.

Beliau berkata, setibanya di tempat kejadian, bas terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke tebing bukit berdekatan.

Katanya penumpang yang mengalami patah tulang rusuk dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh sementara empat lagi penumpang menerima rawatan di Hospital Raub.

"Penumpang selebihnya tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi di Temerolh hari ini.

Katanya hasil ujian air kencing yang dijalankan ke atas pemandu bas mendapatinya bebas dadah.

Feri karam di Mersing, tiga maut

20 Muharram 1432H.

Tiga maut, dua lagi masih hilang apabila feri yang membawa 29 penumpang karam ketika dalam perjalanan dari Pulau Sibu ke Terminal Feri Tanjung Leman di Mersing Johor.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff kejadian itu berlaku pada 1.30 tengahari tadi.

Menurut salah seorang penumpang yang terselamat, Lim Tai Wee, 35, bot kayu yang membawa 29 penumpang dari sebuah kelong di Sibu, Sarawak terumbang-ambing akibat dipukul ombak sejurus sebelum ia terbalik kira-kira 300 meter dari jeti Tanjung Leman.

Dalam kejadian hari ini tiga orang terkorban manakala dua lagi masih hilang.

Warga Singapura itu berkata beliau sempat berpaut pada serpihan kayu bot yang pecah, sebelum diselamatkan tidak lama kemudian.

"Cuaca ketika itu agak tidak berapa baik. Apa yang saya ingat, keadaan ketika itu amat kelam-kabut. Bot yang kami naiki terumbang-ambing sebelum ia tiba-tiba terbalik," katanya ketika ditemui di Mersing hari ini.

Seorang rakyat tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Yap, 19, pula berkata beliau bernasib baik apabila sempat berpaut pada tong ikan sejurus selepas bot itu terbalik.

Katanya, beliau sempat mendengar jeritan meminta tolong, namun tidak dapat berbuat apa-apa kerana keadaan laut yang bergelora.

Penumpang bot itu terdiri daripada sembilan rakyat tempatan, 19 warga Singapura dan seorang warga China.

Mereka ke kelong berkenaan pagi semalam dan dalam perjalanan pulang ke jeti Tanjung Leman hari ini ketika bot itu terbalik.

Berikutan kejadian itu, polis kini menahan seorang tekong bot berusia 67 tahun dan pengusaha kelong berumur 58 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana kecuaian sehingga menyebabkan kematian.

Piala Suzuki AFF: M'sia belasah Indonesia 3-0

20 Muharram 1432H.

Malaysia membawa bekalan selesa ke Jakarta selepas menumpaskan Indonesia 3-0 pada perlawanan akhir pertama Piala AFF-Suzuki 2010 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, di Kuala Lumpur malam ini.

Mohd Safee Mohd Sali menjadi wira negara apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-59 dan 71, sementara Mohamad Ashari Samsudin menyumbang gol pada minit ke-67.

Perlawanan timbal balik akhir akan berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia pada Rabu ini bagi menentukan siapa yang bakal menjulang kejuaraan edisi kali ini.

Beraksi di hadapan kira-kira 85,000 penonton, Malaysia bermula garang dengan melakukan asakan bertali arus ke arah gawang Indonesia pada babak separuh masa pertama dengan mempamerkan corak permainan yang selamat.

Skuad 'Harimau Malaya' dan skuad 'Garuda' masing-masing melakukan asakan demi asakan namun buntu dalam pencarian gol sehingga wisel rehat dibunyikan.

Selepas rehat, perlawanan yang baru bermula 10 minit dicemari dengan insiden pancaran laser oleh penyokong yang menyebabkan jurulatih Indonesia, Alfred Riedl memprotes kepada pengadil, Toma Masaaki dari Jepun, dan akibatnya permainan terhenti selama lima minit bagi meredakan keadaan yang tegang di kalangan penyokong kedua-dua negara.

Baling botol air

Sepanjang tempoh itu, keadaan dikeruhkan lagi apabila penyokong Indonesia mula membaling botol air mineral ke dalam padang dan diikuti oleh letupan bunga api yang dihalakan ke dalam padang oleh penyokong Malaysia.

Sejurus selepas itu, kedua-dua pasukan mula mempamer corak permainan yang lebih agresif namun anak didik bekas pemain kebangsaan, K Rajagobal nyata lebih unggul apabila Safee Sali menjaringkan gol pertama Malaysia pada minit ke-59 hasil daripada lorongan bola yang diterima daripada Norshahrul Idhlan Talaha dalam kotak penalti.

Lapan minit kemudian, gawang Indonesia yang dikawal Markus Harison Rihihina sekali lagi dibolosi apabila Mohamad Ashari Samsudin, yang menggantikan Amirulhadi Zainal, membuat rembatan jarak dekat kira-kira dua meter dalam kotak penalti hasil umpanan Norshahrul yang terdahulu melepasi tiga benteng lawan.

Asakan bertubi-tubi pemain Malaysia sekali lagi berhasil menembusi gol Indonesia apabila Mohd Safee menanduk masuk bola hasil hantaran daripada luar kotak penalti oleh Mahalli Jasuli pada minit ke-71.

Tersentak dengan jaringan tiga gol, Indonesia cuba bangkit untuk mencari gol tunggal namun tidak berjaya hingga tiupan wisel penamat.

Rajagobal dalam sidang akhbar selepas perlawanan berkata beliau amat berpuas hati dengan prestasi dan pencapaian anak buahnya malam ini.

"Pada separuh masa pertama pemain bermain dengan cara bertahan dan menukar taktik selepas rehat. Pada masa rehat saya beritahu pemain bahawa inilah sahaja peluang pemain untuk mendapat bekalan selesa ke Jakarta nanti.

Hilang fokus

"Saya berbangga dengan pencapaian malam ini walaupun perlawanan malam ini dicemari insiden yang kurang disenangi oleh para penyokong, namun pemain negara tidak hilang fokus," katanya.

Sementara itu Riedl berkata perlawanan timbal balik akhir merupakan tugas yang berat bagi pemainnya kerana mereka perlu mengatasi agregat gol yang besar untuk merangkul gelaran juara Piala AFF-Suzuki.

"Gol pertama Malaysia memulakan segalanya apabila pasukan Indonesia mulai hilang fokus terhadap permainan. Saya rasa peluang agak tipis untuk menang di Jakarta, tapi kami perlu ambil pelbagai risiko dalam perancangan nanti," katanya.

Bagi Mohd Safee yang menjadi penjaring terbanyak pada kejohanan ini dengan empat gol, katanya beliau tidak menyangka dapat menyumbang dua lagi gol pada malam ini.

"Saya sangat yakin dengan persembahan saya dan rakan-rakan yang lain dan kami akan membawa momentum ini Rabu nanti di Jakarta," kata Mohd Safee, sambil menambah beliau berhajat untuk bermain dalam liga yang kompetitif di Indonesia selepas ini jika diberikan peluang.

Senarai pemain:

MALAYSIA: Mohd Asraruddin Putra Omar, Safiq Rahim (ketua pasukan), Mohd Safee Mohd Sali (Mohd Amri Yahyah), Amar Rohidan, S Kunanlan, Mahalili Jasuli (Mohd Sabre Mat Abu), Mohd Amirulhadi Zainal (Mohamad Ashari Samsudin), Khairul Fahmi Che Mat (GK), Mohamad Muslim Ahmad, Mohamad Fadhli Mohd Shas.

INDONESIA: Markus Harison Rihihina (GK), Mohammad Nasuha, Zulkifli Syukur, Maman Abdurachman, Cristian Gerard Alfaro Gonzales (Bambang Pamungkas), Oktovianus Maniani (Arif Suyono), Firman Utina (ketua pasukan), Ahmad Bustomi, Yongky Ari Bowo (Irfan Haarys Bachdim), Muhammad Ridwan, Hamka Hamsah.

- Bernama