27 Disember 2010

Kelantan belanja RM80 juta bantu SAR

20 Muharram 1432H.
Ismail Hashim

SHAH ALAM, 27 Dis: Kerajaan Negeri Kelantan telah membelanjakan lebih RM80 juta untuk membantu Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri itu selama 20 tahun memerintah, tegas Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi Kerajaan Negeri Kelantan itu lberkata, semua sumbangan dan bantuan itu dapat dijayakan di dalam keadaan kerajaan negeri tidak banyak duit.

"Jika Kerajaan Kelantan mempunyai banyak wang seperti Kerajaan Selangor, sudah pasti banyak perkara dapat dilakukan," tegasnya semalam selepas berucap di atas tajuk Pembentukan Dasar dan Perlaksanaan Program Pendidikan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat: Ke Arah Membangun Masyarakat Adil dan Sejahtera.

Beliau berucap demikian ketika bersama membentangkan ucapan pleno dalam Konvensyen Pendidikan Islam Malaysia 2010 anjuran Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan pembangunan Modal Insan Selangor dengan kerjasama Lajnah Pendidikan PAS Pusat (LPPS).

Konvensyen bertema Membangun Gagasan Baru Pendidikan Islam Malaysia itu dirasmikan oleh Pengerusi LPPS, Datuk Abu Bakar Chik merangkap penasihat program selepas menyampaikan ucaptama.

Turut menyampaikan pandangan ketika membentangkan kertas kerja adalah Exco Kerajaan Negeri Selangor yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Hajah Halimah Ali dan Ketua Pengarah PASTI Malaysia yang juga pengarah program, Cikgu Azrin Abdul Majid.

Nik Amar turut menjawab soalan peserta yang ingin tahu mengenai pengiktirafan kerajaan negeri terhadap lulusan Sekolah Rendah Islam (SRI) yang dikatakan gagal diterima masuk ke sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) termasuk Maahad Muhammadi.

Menurutnya, kemasukan ke sekolah terkawal seperti Maahad Muhammadi terikat dengan keputusan peperiksaan UPSR dengan mendapat 4A 1B yang menjadi ukurannya dan mereka yang mempunyai kelulusan baik di dalam peperiksaan SRI mendapat bonus kemasukan.

"UPSR menjadi ukuran kerana ia bersistematik walaupun kita tidak suka kepada semua itu tetapi itulah sukatan yang terbaik setakat ini sedangkan peperiksaan SRI pula masih tidak mencapai tahap terbaik sebab tidak seragam antara semua SRI.

"Justeru, saya sarankan pihak SRI di seluruh negara dapat selaraskan semua silibus dan tahap peperiksaan mereka biar selaras agar senang mana-mana pihak untuk iktiraf lulusan dari SRI.

"Tidak timbul langsung masalah enggan memberikan pengiktirafan kepada lulusan SRI namun jika SRI dapat sistematikkan tahap pepeiksaan mereka, ia pasti akan menjadi penentu kemasukan ke mana-mana sekolah YIK termasuk Maahad Muhammadi," tegasnya.

Penanya soalan menyatakan anaknya yang kini dapat bersekolah di bawah YIK juga mendapat keputusan 3A dalam UPSR, Mohd Amar berkata, memang tidak cukup syarat dan ternyata kini dapat juga bersekolah di bawah YIK.

Sebelum ini, isu di atas menjadi rungutan agak meluas di dalam internet tentang rungutan ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan pendekatan pihak pendidikan Kerajaan Negeri Kelantan yang disifatkan tidak memberikan peluang lebih besar kepada lulusan SRI sedangkan sudah 20 tahun memerintah.

Harakahdaily/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kelantan adalah contoh terbaik dalam menyediakan modal insan yang islamic, berbelanja besar kearah itu bukan bererti kerugian tetapi ia lebih pelaburan jangka panjang yang menguntungkan, sebab itulah kelantan kekal memerintah sehingga ke hari ini, kerana ramai rakyatnya dari kalangan generasi pewaris telah terisi dengan bekalan ilmu agama, walaupun dikatakan hanya bersekolah tamat tingkatan 5 @ 6 tapi sudah cukup untuk mencorak kepimpinan negeri atau negara. Saya rasa itulah antara resipi kejayaan kelantan hari ini, bagi siapa yang sudah ada kuasa dan mampu berbuat begitu, maka cepat-cepatlah melakukannya sebelum hilang kuasa.