27 Januari 2011

Kebebasan media: Surat pada PM dari katil hospital

22 Safar 1432H.
Oleh : Jimadie Shah Othman.

Doktor masih cuba mengesan punca sakit dada yang dialami Presiden Kesatuan Wartawan kebangsaan (NUJ) Hata Wahari yang menyebabkannnya gagal hadir ke siasatan dalaman terhadapnya oleh Utusan Melayu (M) Bhd.

Wartawan kanan di Utusan Malaysia itu memberitahu, setakat ini, beliau telah menjalaniujian darah, ECG dan x-ray serta masih menunggu keputusannya.

"Beberapa ujian lagi, seperti ujian jantung akan dibuat selepas ini. Mungkin dua tiga harilah lagi di sini," katanya yang kini terlantar di Pusat Rawatan Islam, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur sejak semalam.

Semalam, Hata dimasukkan ke Pusat Rawatan Islam Kuala Lumpur selepas sakit dada ketika menghadiri siasatan dalaman Utusan di Cheras, menyebabkan prosiding terhadapnya terpaksa ditangguhkan untuk kali kedua.

Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, Hata juga masih tidak pasti sama ada masalahnya itu berpunca daripada penyakit kencing manis yang dihadapinya sejak tahun 2004.

"Tak tahulah kalau ada masalah lain (selain itu). Sebelum ini saya ada sesak nafas sikit-sikit," katanya.

Bagaimanapun, walaupun masih kurang sihat, semangat Hata masih berkobar-kobar untuk memperjuangkan agenda kebebasan media melalui NUJ, yang dianggap menyebabkan beliau disiasat majikannya sendiri.

"Saya sekarang ini sedang merangka surat terbuka kepada perdana menteri.

"Surat ini akan menyentuh soal kawalan media di Malaysia. Ia dijangka dihantar hari ini atau esok," katanya.

Hari ini, Hata sempat mengeluarkan kenyataan yang menyuarakan kebimbangan dengan tindakan kementerian Dalam Negeri (KDN) yang ingin meminda Akta Penerbitan dan Pencetakan 1984 (PPPA) untuk meliputi media dalam talian dan memperkenal garis panduan berkaitan kesalahan hasutan di internet.

Berhubung tarikh baru siasatan dalaman terhadapnya, Hata berkata setakat ini masih tiada perkembangan dimaklumkan kepadanya.

Malaysiakini/-

Kawal media Internet: Lebih ramai bantah

22 Safar 1432H.
Oleh : Salhan K Ahmad & Zaidatul Syreen Abdul Rashid.

Langkah terbaru Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memperluaskan penguatkuasaan merangkumi ruang maya Internet hari ini menerima bantahan keras daripada golongan pendukung kebebasan media.

Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) menyuarakan rasa bimbang dan kesal dengan tindakan KDN yang ingin meminda Akta Penerbitan dan Pencetakan 1984 (PPPA) untuk terus mengawal kebebasan media di negara ini.

Presidennya, Hata Wahari berkata ia satu "usaha ke kebelakang" yang akan menghalang aliran maklumat kepada masyarakat dan seterusnya memundurkan Malaysia.

Beliau mengulas tindakan KDN untuk meminda akta tersebut supaya meliputi media dalam talian dan juga pengenalan satu garis panduan baru berkaitan kesalahan hasutan di ruang maya Internet.

"Sehubungan itu NUJ Malaysia meminta KDN agar menghentikan segala usaha untuk meminda PPPA bagi tujuan mengawal kandungan Internet termasuk laman berita, blog dan Facebook.

"Sebaliknya NUJ Malaysia menuntut agar KDN melakukan pindaan bagi memberikan kebebasan kepada media cetak untuk beroperasi dengan lebih bebas," kata Hata lagi dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kerajaan juga perlu menghapuskan ketetapan kepada pengusaha media supaya memperbaharui permit akhbar setiap tahun dan memberikan kebenaran kepada mana-mana pihak untuk menerbitkan akhbar berkenaan tanpa permit KDN.

'Bantahan akan lebih meluas'

Sementara itu, seorang lagi pengamal media yang sering berdepan dengan undang-undang PPPA pula memberi peringatan kepada kerajaan bahawa beliau menjangkakan bantahan yang lebih meluas akan timbul, susulan daripada langkah penguatkuasaan baru itu.

Ketua pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman menjelaskan, peruntukan PPPA sedia ada sudahpun cukup mengekang pengusaha dan pengamal media tradisional.

Sebaliknya, penguatkuasaan ke atas laman sosial seperti Facebook akan bersifat lebih meluas kerana ia melibatkan rakyat biasa yang tidak berkepentingan politik.

Katanya, golongan yang telah mengusahakan laman web juga akan berasa marah apabila terpaksa mendapatkan permit penerbitan untuk mengendalikan laman web.

"Orang di dunia siber mudah untuk beroperasi sendiri, tiba-tiba mereka disekat, jadi saya rasa bantahan akan lebih meluas.

"Saya rasa kerajaan tidak akan dapat menduga sejauh mana bantahan ini. Saya optimis kalau kerajaan meneruskan tindakan ini, mereka akan terima bahana yang cukup teruk.
"Ini bukan lagi membabitkan sekelompok usahawan atau golongan yang ada kepentingan politik tertentu tapi membabitkan rakyat yang lebih luas," katanya lagi.
'Sikap bacul kerajaan'

Tambahnya, beliau juga akan bekerjasama dengan NGO yang mendukung kebebasan media, termasuk NUJ Malaysia untuk mendapatkan sokongan masyarakat bagi membantah tindakan kerajaan itu.

Beliau turut menyifatkan langkah kerajaan memperkenalkan peruntukan baru seperti itu sebagai "sikap bacul kerajaan" untuk berhadapan dengan realiti politik semasa.
Jelasnya, pada waktu ini laman web dan blog dikendalikan oleh golongan yang umumnya mempunyai asas penulisan.

"Tapi laman sosial seperti Facebook dan Twitter sudah jadi proses pendemokrasian yang terbuka dan merakyatkan.

"Adakah kerajaan takut kepada suara rakyat yang kebanyakannya tidak ada motif politik untuk naikkan orang-orang tertentu?," katanya lagi.

Ahmad Lutfi juga menyifatkan pengenalan undang-undang dan garis panduan baru itu sebagai "langkah tergesa-gesa" BN dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Tambahnya, beliau melihat langkah itu "sarat dengan motif politik BN untuk mengekang pengaruh dan momentum Pakatan Rakyat."

BN sepatutnya mengambil sikap yang lebih terbuka, sesuai dengan suasana dunia maya yang "cukup demokratik," katanya lagi.

"Siapa saja boleh hasilkan blog, jadi sepatutnya BN sendiri boleh menampilkan media (Internet) yang lebih berwibawa dan berpengaruh, bukan dengan menghalang (media pro-Pakatan Rakyat)," tambahnya.

Janji Dr M Sementara itu, seorang lagi pengamal media yang juga penulis blog popular Datuk Ahirudin Attan berkata, tindakan kerajaan itu bertentangan dengan janji oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak menapis media dalam talian.

Tambahnya, beliau memahami langkah kerajaan untuk memperketat kawalan ke atas media berkenaan disebabkan terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakannya.

Namun, langkah memperluas definisi 'penerbitan' untuk merangkumi kandungan dalam talian itu merupakan satu tindakan yang "bercita-cita terlalu tinggi," kata penasihat Redberry Media Group itu lagi.

Sebagai seorang wartawan dan juga seorang pengarang, beliau turut menasihati ketua setiausaha KDN supaya bertindak lebih berhati-hati dalam menangani media.

Sementara itu, pengarah komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad pula memerhatikan, kerajaan sebelum ini telah berkali-kali menyatakan hasrat untuk "menyekat Internet," terutama selepas kemenangan besar Pakatan pada pilihan raya umum 2008.

Cadangan 'Green Dam'

Katanya, tindakan itu juga bertentangan dengan jaminan kerajaan untuk tidak menyekat Internet melalui Rang Jaminan MSC Malaysia.

"Contohnya pada tahun 2009, Datuk Seri Rais Yatim mengumumkan rancangan untuk sebuah sistem tapisan Internet, seperti perisian 'Green Dam' di China, tetapi membatalkanya selepas tentangan daripada rakyat.

"Pengumuman terbaru ini membuktikan bahawa pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak tidak putus asa dalam usaha mereka untuk menyekat hak asasi dan kebebasan politik di Malaysia.

"Di sebalik manipulasi dan kempen kerajaan, pengumuman terbaru ini membuktikan BN masih lagi terperangkap di dalam politik lama untuk mengawal dan menekan rakyat," kata Nik Nazmi dalam satu kenyataan hari ini.

ADUN Seri Setia itu juga berkata, kerajaan sebelum ini juga telah bertindak mengenakan tekanan ke atas pengamal media Internet.

"(Ini) termasuk penangkapan blogger, serbuan polis ke atas Malaysiakini pada tahun 2003 dan penutupan Malaysia Today," katanya lagi.

Kerajaan Kelantan ambil alih Arked Uda

22 Safar 1432H.
Oleh : Salmah Mat Husain.

KOTA BHARU, 26 Jan: Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Masyrakat, Datuk Husam Musa, berkata kerajaan Kelantan akan mengambil alih semula tanah di lot Pt 57 Seksyen 11, milik Uda.

Langkah tersebut untuk menaik tarafkan pusat perniagaan yang terletak dikawasan tersebut supaya lebih berdaya saing untuk membantu peniaga kecil di situ

Kata Husam, pengambil alihan itu ekoran kegagalan Uda membela nasib peniaga kecil yang kini menyewa di kedai tapak berkenaan sejak 27 tahun lalu sebagaimana yang sepatutnya sehingga ia menjadi masalah kepada peniaga terbabit.

Menurut Husam, bagi membela nasib peniaga kecil yang dibiarkan oleh Uda, kerajaan negeri bersedia menunaikan tanggungjawab sosialnya demi untuk peniaga berkenaan walaupun terpaksa mengorbankan peruntukan yang agak besar.

Di atas tanah milik Uda seluas 1.5 ekar itu menempatkan lebih 200 lot peniagaan untuk peniaga kecil yang dikenali sebagai Arked uda.

Arked tersebut telah dibina oleh PKINK sekitar tahun 1987 untuk memindahkan sebahagian daripada para peniaga Pasar Lambak yang telah dirobohkan berhampiran dengan Pejabat Umno Kelantan.

Bagaimanapun, peniaga kecil di kawasan itu hari ini menghadapi masalah apabila Uda yang diwujudkan kerajaan bagi membantu peniaga-peniaga Bumiputera setelah dikorporatkan dan dikenali sebagai UDA Holdings Bhd, mahu menjadikan kawasan tersebut sebagai pusat komersial.

Para peniaga kecil di situ diarahkan berpindah tanpa disediakan tapak perniagaan baru kepada mereka sehingga kerajaan negeri perlu terlibat untuk menyelesaikan masalah mereka.

Ekoran daripada itu timbul pula masalah lain apabila Bazaar Tok Guru yang baru dibina tidak mampu menampung jumlah peniaga yang ramai termasuk yang akan berpindah daripada Arked uda ke situ.

Menurut Husam, ruang niaga asal di bazaar tersebut hanya dapat menampung 300 peniaga sahaja, bagaimanapun bertambah kepada 415 lot setelah dicampur dengan peniaga Arked Uda.

Katanya, keadaan menjadi bertambah sempit apabila keluasan asal 10’ x 12 ‘, namun akhirnya menjadi 7’x8’ akibat pertambahan 100 orang peniaga.

Jelas beliau, perkara itu berlaku berikutan peniaga Arked Uda tidak mahu berada di tingkat satu dan ingin berada di tingkat bawah bersekali dengan peniaga di Pasar MPKB.

Justeru, Husam berkata usaha itu (pengambilan balik tanah) akan disegerakan agar masalah peniaga dapat diselesaikan segera.

“Pertamanya kerajaan negeri akan mengambil semula tanah tersebut seluas 1.5 ekar yang telah diserahkan oleh kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN) pada tahun 1975 supaya peniaga daripada Arked Uda boleh kembali berniaga di tempat asal.

“Keduanya, kerajaan negeri akan membaiki semula lot kedai di Bazaar Tok Guru yang menimbulkan masalah kepada peniaga bazaar di situ sebaik sahaja peniaga di Arked Uda kembali berniaga di tempat asal apabila bangunannya siap kelak,”ujarnya menjawab soalan media selepas mesyuarat exco, di sini sebentar tadi.

Kata Husam, walaupun kerajaan negeri terpaksa membelanjakan sumber kewangan yang besar untuk mengambil alih semula tanah di Arked Uda dan merombak semula ruang niaga di Bazaar Tok Guru kepada asal, namun demi kepentingan dan keselesaan peniaga, kerajaan negeri sanggup berkorban.

Husam bagaimanapun mengakui, keptusan itu belum lagi dimaklumkan kepada Uda, memandangkan ia baru diputuskan pada mesyuarat exco sebentar tadi.

Beliau seterusnya memberitahu, sekarang ini pihaknya dalam proses untuk menyerahkan lot ruang niaga kepada peniaga Bazaar Tok Guru setelah Sijil Kelulusan Kediaman diluluskan.

Sehubungan itu juga, kerajaan negeri merancang untuk mengadakan perjumpaan dengan peniaga terbabit untuk mengetahui masalah yang dihadapi.

“Kita juga akan menerangkan hasrat kita kepada mereka agar mereka lebih memahami perkara sebenar yang berlaku,”ujarnya.

Harakahdaily/-

Mengapa Buku Jingga patut dilaksanakan

22 Safar 1432H.
Oleh :KPRU

Dalam konteks kecetekan pemahaman Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan terhadap konsep federalisme apabila beliau mencabar Kerajaan Pakatan Rakyat menurunkan harga barangan, dan usaha Pakatan Rakyat untuk mengurangkan subsidi korporat dan memindahkannya kepada subsidi rakyat terbanyak,

Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) ingin mengemukakan beberapa analisis terkini setelah meneliti Buku Jingga Pakatan Rakyat yang bermatlamat untuk meningkatkan pendapatan boleh guna (disposable income) dalam kalangan rakyat khususnya dalam mengharungi suasana ekonomi domestik dan antarabangsa yang tidak menentu.

Yang berikut adalah salah satu analisa KPRU mengapa program Buku Jingga wajar dilaksanakan untuk meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat terbanyak:

BEBAN INFLASI TIDAK TERKAWAL

Banyak pihak bersetuju bahawa Malaysia berdepan dengan masalah inflasi yang semakin menghimpit kehidupan harian rakyat. Jadual Indeks Harga Pengguna (IHP) dirujuk bagi membuat keputusan belian seseorang. Berikut ialah Jadual IHP yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Malaysia baru-baru ini;[1]

Jenis Barangan

Jan – Nov 2010 / 2009 (%)

Makanan dan Minuman Bukan Alkohol

2.4

Minuman Alkohol dan Tembakau

3.7

Pakaian dan kasut

-1.4

Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan api lain

1.1

Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan isi rumah

0.7

Kesihatan

1.6

Pengangkutan

1.4

Komunikasi

-0.2

Perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan

1.7

Pendidikan

1.7

Restoran dan hotel

1.9

Pelbagai barangan dan perkhidmatan

2.8

Berdasarkan jadual di atas, KPRU merumuskan bahawa berlaku peningkatan yang ketara dalam Makanan & Minuman Bukan Alkohol (2.4%) sejak setahun lalu. Bebanan rakyat khususnya yang berpendapatan rendah dan miskin tidak terkawal dek menampung perbelanjaan makanan harian yang semakin meningkat.

Buktinya, sub kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol mencatatkan peningkatan harga drastik seperti beras, roti dan bijirin lain (0.9%), daging (2.9%), sayur-sayuran (8.1%), gula, jem, madu, coklat dan manisan (10.2%)[2] merupakan antara makanan-makanan yang kerap dibeli oleh rakyat dan dihidang di atas meja makan rumah.

Di luar Jadual IHP, kadar kenaikan harga cukup menggerunkan dan sering diabaikan oleh kerajaan yang memerintah dalam proses pembuatan dasar. Umpamanya, harga bawang merah yang biasanya dijual pada harga RM6 sekilogram meningkat berkali-kali ganda kepada RM13 sekilogram di Sarawak.[3] Manakala, dilaporkan bahawa harga minuman teh tarik meningkat sebanyak 10 sen mulai awal tahun ini.[4]

KPRU berpendapat, kerajaan melaksanakan skim kawalan harga tanpa menyelesaikan masalah struktur ekonomi secara keseluruhannya. Timbul persoalan, apakah peruntukan Program Pengedaran Barang Perlu seperti minyak masak, gula, tepung, gas, petrol dan diesel sebanyak RM200 juta[5] sebagaimana yang disebut dalam Belanjawan Negara 2011 akan menjadi suatu lagi pembaziran wang rakyat?

Jelas, KPRU melihat kadar kenaikan harga yang berlaku di luar Jadual IHP adalah lebih pantas berbanding angka-angka purata yang dikumpulkan oleh Jabatan Statistik Malaysia dan mempersoalkan keberkesanan skim kawalan harga dalam menyelesaikan masalah.

NAIK HARGA BARANG, KEGAGALAN KERAJAAN MAKIN TERSERLAH

Kegagalan kerajaan dalam mengatasi kenaikan harga barang keperluan sentiasa terserlah setiapkali musim perayaan, lebih-lebih lagi apabila barangan dan perkhidmatan (e.g minyak masak) tersebut ‘dikawal’ harga dan bekalannya tanpa penyelesaian jangka panjang.[6] Tambahan pula, harga siling yang dikenakan tidak jauh bezanya dengan harga pasaran.

Pengamatan KPRU mendapati selari dengan penjualan Transaksi PPB Group Berhad, sebuah syarikat pemprosesan gula yang dimiliki oleh Robert Kuok kepada Felda Global Ventures Sdn Bhd dengan nilai RM1.5 bilion pada bulan Januari 2010 telah menyaksikan kerajaan menaikkan harga gula pada masa yang sama.[7]

Sementara itu, limau Mandarin yang berharga RM28 sekotak mengalami kenaikan sebanyak RM4 – RM5 semenjak setahun lalu.[8] Harga bawang kecil pula dilaporkan meningkat dua kali ganda berbanding harga asal iaitu RM4 –RM5 sekilogram kepada RM11 sekilogram.[9] Sempena perayaan Thaipusam, harga sebiji kelapa di Pulau Pinang telah naik kepada RM1.50 berbanding RM1.20.[10]

Kawalseliaan dan inflasi adalah produk kerajaan

Dalam hal ini, KPRU mempersoalkan pendekatan kerajaan dalam menangani isu berkenaan yang bersifat adhoc sahaja sambil memperuntukkan sejumlah peruntukan dan masa yang terbukti tidak berkesan. Contohnya seperti berikut dengan mengambil krisis kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi:

Belanjawan Negara 2011 memperuntukkan RM1 bilion untuk Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) di bawah tanggungjawab Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.[11] Jika benar, mengapakah wang tersebut tidak digunakan untuk ‘mengawal’ harga minyak masak yang kini berdepan krisis kekurangan bekalan barangan kawalan itu di pasaran?

Menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi menangani krisis bekalan dan harga barang.[12] Jika benar, di manakah peranan dan keberkesanan Majlis Harga Barang Negara dalam isu ini? Di manakah dasar stok penimbal? Di manakah keberkesanan Akta Kawalan Bekalan 1961?

Mengakui bahawa pembungkusan minyak masak bersubsidi adalah tidak menguntungkan. Ini adalah sebab mengapa Sime Darby menghentikan operasi pembungkusan minyak masak sekaligus didakwa pencetus krisis kekurangan bekalan minyak masak.[13] Jika benar ia merugikan, mengapa minyak masak itu terus diberi subsidi?

Inilah kesan kawalan harga yang dinafikan oleh kerajaan sejak sekian lama di mana kekurangan bekalan akan tetap berlaku kerana reaksi Sime Darby terhadap dasar kawalan harga dalam jangka masa panjang (tidak menguntungkan) memaksanya untuk mengalihkan segala sumber-sumbernya kepada bentuk pengeluaran lain (menguntungkan) yang tidak dikawal oleh kerajaan.

Menyarankan Lembaga Minyak Masak Sawit Malaysia (MPOB) agar memberikan lesen pembungkus dan pembekal minyak masak kepada koperasi kononnya ini dapat menyelesaikan masalah.[14]

Ataupun, punca masalah disebabkan oleh syarikat kroni pemimpin politik sebagai pembekal minyak masak mengabaikan kuota bekalan kepada peruncit-peruncit tempatan yang ditetapkan kerajaan dan mengeksport minyak masak ke luar negara dengan harga yang lebih tinggi? Meskipun Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan bekalan ditambah 14,000 tan metrik lagi kepada 84,000 tan metrik bulan Januari[15],

pihak peruncit menyatakan bekalan kepada mereka masih tidak berubah (baca sebagai: berkurangan) kerana pihak pembekal yang mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin politik terus mengabaikan kuota tersebut atau mendakwa kerajaan telah menurunkan kuota tempatan.

Dengan mengambilkira kos yang diperuntukkan untuk mengawalselia harga dan tingkahlaku pasaran sudah cukup tinggi berbanding dengan kadar kenaikan kos inflasi yang dicatatkan selama ini. KPRU berpandangan bahawa kawalseliaan adalah sama seperti inflasi. Kedua-duanya adalah ‘produk’ yang dihasilkan oleh kerajaan tanpa disedari oleh mana-mana pihak.

Dalam contoh di atas, kerajaan yang tidak berupaya “mengawal” tindakan pihak pembekal “terpaksa” menekan pihak peruncit dalam isu kekurangan minyak. Begitu juga, dalam isu kenaikan harga, kerajaan yang tidak berupaya “membetulkan” perjanjian dengan syarikat berkepentingan tertentu seperti IPP yang membebankan rakyat “terpaksa” memotong subsidi rakyat dengan naratif “rasionalisasi subsidi” yang cuba “mislead” rakyat berhubung keseluruhan isu ekonomi negara.

Oleh yang demikian, Pakatan Rakyat dinasihati agar tidak mengulangi kegagalan dasar kerajaan Barisan Nasional di masa akan datang.

NAIK CUKAI PERKHIDMATAN, KERAJAAN TETAP BELANJA BOROS

Sewaktu pembentangan Belanjawan Negara 2011, kerajaan telah meningkatkan kadar cukai perkhidmatan dari 5% kepada 6% ke atas:

Semua perkhidmatan bercukai kecuali kad kredit dan kad caj.

Mengenakan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan penyiaran televisyen berbayar.

Menurut Jabatan Kastam Malaysia, perkhidmatan bercukai yang ditakrifkan antaranya seperti berikut;

Kumpulan hotel termasuk rumah rehat, homestay, resort, motel, perkhidmatan rumah urut, apartment yang melebihi 25 buah bilik.

Kumpulan restoran di luar hotel yang mempunyai nilai jualan setahun melebihi RM3 juta.

Kelab malam, dewan tari menari, cabaret, pusat kesihatan, dan rumah urut.

Penyedia insurans yang berdaftar, misalnya semua jenis polisi insurans kepada semua pertubuhan perniagaan, dan perkhidmatan insurans yang dibayar oleh syarikat untuk kakitangan syarikat.

Perkhidmatan telekomunikasi dalam bentuk telefon, faksimili, telefon selular, postpaid, prepaid dan talian tetap dan jalur lebar.

Kajian kes McDonalds

Seseorang yang berbelanja di restoran Pizza Hut, McDonalds, OldTown Kopitiam terpaksa membayar cukai perkhidmatan 6% berbanding 5% sebelumnya. Sekiranya begitu, restoran-restoran berkenaan juga dikatakan mempunyai nilai jualan tahunan sebanyak RM3 juta dan ke atas. Contohnya, jumlah bayaran yang dibuat di restoran McDonalds untuk sebelum dan selepas kenaikan kadar cukai perkhidmatan;

6% X RM21.60 (Nilai belian di McDonalds) = RM1.30. Jumlah bayaran kepada restoran tersebut adalah RM22.90.

5% (Cukai perkhidmatan sebelum 2011) X RM21.60 (Nilai belian di McDonalds) = RM1.10. Jumlah bayaran kepada restoran tersebut adalah RM22.70.

Berdasarkan kepada pengiraaan di atas, jelas menunjukkan berlaku kenaikan 20% dalam pembelian di restoran McDonald! Naik 1% bermakna pengguna terpaksa membayar 20 sen untuk nilai belian RM21.60 dan semakin tinggi nilai beliannya, semakin tinggilah nilai cukai perkhidmatan yang dikenakan yang akhirnya akan menjadi sebahagian statistik semasa jadual IHP.

Cukai tersembunyi

Tidak ramai rakyat yang mengetahui bahawa kesan negatifnya sekiranya cukai perkhidmatan ini dikenakan walaupun ia tertera dalam resit pembelian, namun berapa ramaikah yang menyimpan resit setiap kali pembelian dan membuat penjumlahan di akhir tahun?

Berapakah jumlah cukai perkhidmatan yang dibayar oleh setiap individu kepada kerajaan setiap tahun? Dan berapa ramaikah yang mengetahui bahawa terdapat 37,028 premis perniagaan[16] seluruh negara yang berhak mengutip cukai perkhidmatan? Inilah perkara yang cuba disembunyikan oleh kerajaan dengan harapan rakyat terus bersikap pasif.

Ekonomi bawah tanah (underground economy)

Akibat daripada kelemahan kerajaan, tanpa mempunyai maklumat dan informasi cukai perkhidmatan yang sah, rakyat terus dibebani dengan para peniaga restoran yang mengambil kesempatan yang mengenakan cukai perkhidmatan pada kadar 5% hingga 10%.

Menurut Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), dari tahun 2008 sehingga Mac 2010, sejumlah 132 aduan pengguna telah diterima yang mendakwa telah dikenakan cukai perkhidmatan 5% - 10% tanpa kebenaran pihak berkuasa.[17] Ini sekaligus mengesahkan kewujudan aktiviti ekonomi bawah tanah (underground economy) yang berlaku kerana tiada penguatkuasaan undang-undang yang berkesan.

Hasil lumayan cukai perkhidmatan

Kenaikan mana-mana kadar cukai bukanlah suatu tindakan yang digemari rakyat apatah lagi pada kali ini, kerajaan turut memasukkan cukai perkhidmatan penyiaran televisyen berbayar dalam usaha menampung pendapatan negara. Pada Belanjawan 2010 lalu sahaja, kerajaan memperkenalkan cukai perkhidmatan kad kredit yang telah menjana pulangan hasil yang dianggarkan sebanyak RM331 juta setahun.

[18] Dan kenaikan 1% cukai perkhidmatan juga akan memberikan pulangan hasil sebanyak RM680 juta[19] tanpa mengambil kira prospek pertumbuhan ekonomi pada tahun 2010 dan 2011. Berdasarkan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2011, hasil cukai perkhidmatan adalah berjumlah RM4.1 bilion, berbanding RM3.9 bilion pada tahun 2010.[20]

Kepada 3 juta pelanggan Astro seluruh negara misalnya, yang membayar yuran dalam lingkungan RM100 sebulan atau RM1,200 setahun, mereka terpaksa membayar tambahan sebanyak RM6 atau RM72 setahun sekiranya cukai perkhidmatan 6% dilaksanakan. Malah, Ernst & Young pula menganggarkan tambahan RM148 juta lagi akan dimasukkan ke dalam tabung perolehan kerajaan berdasarkan audit kewangan tahunan Astro 2009.[21]

Lebih daripada itu, kerajaan pasti menikmati kutipan hasil cukai perkhidmatan yang lumayan dengan penyenaraian stesen penyiaran televisyen berbayar seperti Astro dan pengecualian duti import untuk barangan-barangan berjenama seperti mana yang dibentangkan oleh kerajaan dalam Belanjawan Negara 2011. Menyedari lumayannya hasil cukai perkhidmatan, adakah mustahil kerajaan akan meningkatkan kadar yang lebih tinggi di masa akan datang?

Kesimpulan

Apa yang lebih mengecewakan adalah sikap kerajaan yang boros berbelanja dan menguruskan wang rakyat dengan tidak bertanggungjawab adalah perkara yang harus ditangani terlebih dahulu sebelum bertindak menaikkan kadar cukai. Perkara ini samalah seperti menarik wang subsidi minyak berjumlah RM750 juta dan berbelanja RM900juta sebagai bonus untuk tujuan politik.[22]

KPRU sentiasa berharap dengan mengurangkan kos pengawalseliaan akibat masalah struktur ekonomi negara, dana tersebut dapat disalurkan dan dimanfaatkan secara langsung oleh rakyat terbanyak. Apabila peningkatan gaji tidak sejajar dengan peningkatan tekanan hidup,

rakyat memerlukan pendapatan boleh guna yang lebih banyak. Kenaikan harga dan inflasi merupakan salah satu masalah yang membebankan rakyat terbanyak dalam hal ini. Identifikasi masalah dan punca-punca masalah oleh KPRU dalam laporan ini menyokong pelaksanaan program Buku Jingga agar pendapatan boleh guna rakyat terbanyak dapat ditingkatkan.

Harakahdaily/-

Tolak debat: Ahmad Maslan takut berdepan peneroka

22 Safar 1432H.
Oleh : Nazri Abdullah.

KUALA LUMPUR, 26 Jan: Mazlan Aliman menyifatkan penolakan debat oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan sebagai tidak berani bertanggungjawab kepada peneroka.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) berkata, Ahmad sepatutnya berani jika yakin kerajaan dan Felda tidak membuat sesuatu yang mengainaya peneroka.

"Jika selama ini dia kata dia bantu peneroka, dia menuduh Anak dan Pakatan Rakyat pemecah belah. Habis tu kenapa dia tolak," katanya kepada Harakahdaily sambil menyelar Ahmad sebagai penakut.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penolakan Ahmad untuk berdebat dengan beliau.

Ahmad hari ini menolak cabaran Mazlan untuk berdebat mengenai masalah yang dihadapi oleh peneroka Felda.

Sebaliknya, beliau mengemukakan cabaran kepada Mazlan untuk berdialog secara tertutup bersama beliau dan pegawai Felda dengan harapan dapat menyelesaikan 20 perkara yang dibangkitkan oleh Presiden Anak itu.

Mengulas lanjut, Mazlan yang juga Timbalan Pengarah Jentera Operasi Pilihan Raya PAS bagi PRK Tenang tetap dengan keputusan mengajak Ahmad berdebat dan memberi masa sampai esok kepada Ahmad.

"Kalau dia nak ajak dialog tertutup, tak payah la saya susah-susah cabar debat. Saya ada nombor telefon dia, sembang kedai kopi pun boleh," katanya.

Namun jelasnya, tujuan lebih besar cabaran debat terbuka tersebut adalah mahu rakyat khususnya peneroka mendengar sendiri penjelasan Ahmad, dan boleh bertanya terus tentang masalah yang dihadapi peneroka.

"Saya tunggu sampai esok, kalau dia tak terima juga, maknanya dia pengecut dan perlu letak jawatan.

"Rakyat tak perlu timbalan menteri yang takut berdepan dengan rakyat sendiri," katanya.

Anak sebelum ini menyerahkan 20 perkara itu kepada Ahmad Maslan pada November tahun lalu yang mana antara lainnya melibatkan isu peneroka yang disingkir, isu hutang dengan Felda sehingga mencecah RM80,000 dalam masa tujuh tahun, dan masalah pembahagian pusaka oleh generasi kedua Felda.

NGO tersebut kemudiannya menghantar surat tawaran kedua kepada Ahmad Maslan semalam untuk berdebat mengenai isu tersebut.

Harakahdaily/-

Azahar ada kes mahkamah, Cikgu Mala cemerlang

22 Safar 1432H.

LABIS, 27 Jan: Para pengundi dalam pilihan raya kecil (PRK) Dun Tenang perlu membuat pilihan bijak untuk memilih wakil mereka yang cemerlang dan berintegriti ke Dun Johor pada 30 Januari ini.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, ini kerana calon BN, Mohd Azahar Ibrahim mempunyai kes di mahkamah akibat kecuaiannya melelong tanah seorang lelaki semasa menjawat Penolong Pendaftar Tanah Daerah Segamat.

Ini, katanya berbeza dengan calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat, Cikgu Mala yang diiktiraf guru cemerlang oleh Kementerian Pelajaran dan pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.

Cikgu Mala pernah menerima Anugerah Guru Aktif sempena Sambutan Hari Guru Daerah Segamat.

Cikgu Mala turut menerima Anugerah Khas sempena Perbahasan Ala Parlimen pada Perayaan Hari Guru.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan seorang lagi Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berhubung kenyataan Azahar bahawa kes melelong tanah berkenaan telah selesai.

Pada siang media semalam, Salahuddin mempersoalkan bagaimanakah calon Umno itu dengan mudah menyatakan isu tersebut telah selesai sedangkan disebabkan kecuaian, kelalaian dan penyalahgunaan kuasanya mengendalikan isu pelelongan hartanah Mansor Mohamad tersebut telah mengakibatkan Puan Norhana Mohd Ali iaitu pembeli yang membeli hartanah yang dilelong secara tidak sah menyaman (i) calon Umno (Azahar), (ii) Pentadbir Tanah Daerah Segamat, (iii) Pejabat Tanah Daerah Segamat dan (iv) Kerajaan Johor sebagai Defendan-Defendan bagi menuntut gantirugi berjumlah lebih kurang RM1.5 juta.

Soalnya lagi, bagaimanakah calon Umno dengan mudah menyatakan isu tersebut telah selesai sedangkan dalam tuntutan Puan Norhana Mohd Ali ke atas keempat-empat defendan tersebut, Azahar telah dijadikan sebagai defendan pertama dan kes tersebut telah pun didaftarkan di Mahkamah Tinggi Muar iaitu Guaman Sivil No: 23-14-2009.

Bagaimanakah calon Umno menyatakan kes tersebut telah selesai sedangkan Mahkamah Tinggi Muar telah pun menetapkan tarikh pendengaran kes tuntutan Puan Norhana binti Mohd Ali ke atas calon Umno dan tiga yang lain pada 7 Februari nanti.

Hakikatnya, kata Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, fakta-fakta di atas menunjukkan bahawa bukan sahaja kes kecuaian, kelalaian dan penyalahgunaan kuasa calon Umno BN sebagai Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat belum selesai, sebaliknya kes penyalahgunaan kuasa itu masih berterusan di mahkamah.

Bagi Mahfuz, saman itu membuktikan bahawa mahkamah sebelum ini memutuskan perbuatan Azahar bersalah melelong tanah berkenaan dan tindakannya itu adalah tidak sah.

Sehubungan itu, beliau menyeru para pengundi supaya mencontohi apa yang dilakukan oleh para pengundi pada PRK Permatang Pasir pada 25 Ogos 2009 lalu yang menolak calon BN kerana terlibat dengan pecah amanah dan menyokong calon PAS, Ustaz Saleh Man.

Mengulas kenyataan Azahar yang disifatkan sebagai suatu pembohongan kerana menyatakan kes melelong tanah telah selesai, AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, berbohong atau tidak, rakyat dan pengundi akan menentukan sendiri oleh keputusan mahkamah itu.

Katanya, tanah itu telah dikembalikan kepada Mansor dan sememangnya dia berhutang dengan bank kerana jika tidak berbuat demikian, tiada isu atas gadaian.

“Persoalannya ialah Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat ini telah menganiaya beliau dengan kerja yang cuai dan tidak kompeten,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor.

Beliau menambah, kini bagi menyelamatkan diri, Azhar terpaksa menipu sehingga memburukkan reputasi rakyat yang tenang, Mansor dan PAS.

Baginya, tidak pelik sekiranya calon BN itu akan terus berbohong berhubung isu melelong tanah berkenaan.

Justeru, katanya bagaimana calon BN itu yang dikatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhtiddin Yassin untuk menyelesaikan masalah tanah rakyat di Dun Tenang jika dipilih sebagai wakil rakyat sedangkan Azahar pernah bertindak cuai dalam kes tanah semasa menjadi Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat sehingga dibawa ke mahkamah.

Harakahdaily/-

Kawal internet: Balas dendam kepada rakyat

22 Safar 1432H.

KUALA LUMPUR, 27 Jan: PAS berpendapat cadangan pindaan memperluaskan skop Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kepada internet sebagai cubaan membalas dendam kerajaan Umno BN kepada rakyat.

Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad berkata tindakan itu dibuat ekoran rakyat telah menolak media konvensional berat sebelah Umno yang telah membawa kepada tsunami politik pada Pilihan Raya Umum 2008.

"Ini adalah tindakan membalas dendam kepada rakyat yang menolak media umno yang sarat dengan fitnah dan propaganda umno semata," katanya.

Menurutnya, laporan oleh Audit Bureau of Circulations (ABC) antara tahun 2005 hingga 2009 melaporkan penurunan pengeluaran akhbar The Star daripada 310,000 kepada 287,000, New Straits Times daripada 139,000 kepada 111,000, Utusan Malaysia daripada 213,000 kepada 169,000 dan Berita Harian daripada 204,000 kepada 155,000.

"Syarikat ini hanya boleh bertahan kerana mendapat sokongan dan tajaan Umno sahaja. Jikalau BN tidak berkuasa di negara ini, maka syarikat ini akan berkubur," tambahnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mahu membuat pindaan terhadap Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 supaya menjadi lebih komprehensif dan tidak terhad kepada bahan cetak semata-mata.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Mahmood Adam berkata pihaknya telah meminta Jabatan Peguam Negara mengkaji definisi penerbitan dalam akta itu sama ada ia boleh meliputi terbitan dalam bentuk multimedia termasuk kandungan internet, Facebook dan perisian.

Pindaan tersebut katanya akan dibentangkan pada persidangan dewan rakyat Mac depan.

Ujar Idris lagi, PAS berpendapat tindakan tersebut adalah untuk memaksa rakyat supaya menerima berita yang datang daripada satu saluran sahaja.

Tindakan itu katanya suatu tindakan terkebelakang, bertentangan dengan slogan Perdana Menteri yang bercakap mengenai taransformasi dan perubahan.

"Tindakan untuk menyekat maklumat daripada sampai kepada rakyat ibarat menyekat air yang laju.

"Kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib jangan paksa rakyat untuk menerima satu maklumat sahaja. Pepatah Arab ada menyebut 'kamu boleh paksa unta pergi minum air, tetapi tidak boleh paksa minum air'," katanya.

Harakahdaily/-

26 Januari 2011

DEWAN ULAMA PAS PERAK SANGGAH KENYATAAN ZAMBRY

21 Safar 1432H.
Oleh : dewanulama pasperak.

IPOH, 25 Jan - Ketua Penerangan Dewan Ulama’ PAS Perak, Ustaz Ibrahim Zakaria hari ini membidas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir di atas kenyataan beliau yang menuduh para ulama’ sebagai penyebar fitnah.

“Ulama’ berperanan menyampaikan kebenaran dan keadilan agama Islam, bukan penyebar fitnah”, beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Zambry yang menuduh pihak tertentu yang mendakwa sebagai para ulama’ telah menyebarkan fitnah.

“Para ulama’ mempunyai ilmu dan bercakap berdasarkan ilmu, sebagai contoh sekiranya ada perbuatan pemimpin yang boleh membawa kepada amalan syirik dan khurafat tentulah para ulama’ menegur dan menyatakan kebenaran. Kalau ulama’ mendiamkan kemungkaran bererti ulama’ menjadi seperti syaitan bisu”, jelas beliau

Beliau juga menyatakan bahawa PAS selama ini telah berjaya melahirkan ulama’ yang dapat memimpin masyarakat dengan segala pendekatan tarbiyyah dan mampu melahirkan individu yang bertaqwa kepada Allah SWT.

"Inilah perbezaan yang jelas antara PAS dan Umno. Umno jelas-jelas mengenepikan peranan ulama’ dalam parti mereka, orang yang ada ilmu agama dalam Umno terpaksa bersetuju walaupun tindakan kerajaan menyalahi hukum agama seperti cadangan hub hiburan malam melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP)”, tegas beliau.

Menurut beliau, ulama’ di dalam PAS memimpin parti dan mendidik masyarakat dengan tarbiyyah Islamiyyah dan menerangkan perihal hukum halal haram supaya masyarakat bertaqwa kepada Allah SWT.

“Golongan ulama’ mampu memberi tunjuk ajar dan nasihat, perkara ini tidak berlaku dalam Umno dimana ulama’-ulama’nya hanya mengikut telunjuk pemimpin dan kepentingan politik mereka," ujar beliau.

Memetik ucapan beliau, “ Masalah antara Umno dan PAS ialah dasar dan matlamat pejuangan yang jauh berbeza. PAS memperjuangkan agar Islam menjadi aqidah negara Malaysia, sama ada dari sudut pentadbirannya, kehakimannya dan lain-lain. Pendek kata, apa yang terkandung didalam dua kalimah syahadah iaitu Tiada Tuhan yang disembah melainkan ALLAH, Nabi Muhammad S.A.W Pesuruh ALLAH itu hendaklah terlaksana dalam kehidupan individu, masyarakat dan negara.

Beliau menyatakan bahawa, PAS mempunyai agenda besar dalam perjuangannya dan tidak sesekali terpengaruh dengan perjuangan nasionalis-sekular Umno, justeru Umno akan terus ditentang selagi parti itu mempertahankan dasar kebangsaan atau assobiyyah.

“Perjuangan PAS bukan menentang peribadi, tetapi menentang dasar Umno. Siapa sahaja yang memimpin Umno, PAS akan tentang selagi ia mempertahankan dasar Umno yang membawa perkara mungkar dan mengkhianat amanah negara dan rakyat. PAS tidak pernah berundur walau setapak untuk menyatakan Umno parti yang tidak betul,” katanya.

KESIHAN UMI HAFILDA, LAKONANNYA MUDAH DIKESAN

21 Safar 1432H.
Oleh : WFAUZDIN NS.

Kenapa Ummi tak saman Azmin ?

SHAH ALAM 14 JAN: Kemunculan Ummi Hafilda Ali (adik Azmin Ali) yang mahu menyaman Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bebarapa lagi tokoh politik dilihat hanya untuk mencari publisiti.

Ketua PKR Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin atau yang lebih dikenali sebagai che'GuBard berkata tindakan Ummi yang menyaman pelbagai pihak tetapi tidak menyaman Azmin membuktikan Ummi sendiri tidak konsisten dalam dakwaannya.
"Dia saman Annwar, dia saman Kak Wan, dia saman Pas, dia saman Karpal Singh tapi saya tengok benda ini tak konsisten.

Dalam isu Pas dia saman Pas, dia kata dia jumpa Mat Sabu, dalam perkara lain dia saman Anwar, saman Wan Azizah sebab mengetahui perkara sebenar tetapi dia tak saman Azmin jadi saya tengok Ummi sediri tidak konsisten," tegas beliau.

Beliau yang juga pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berkata persoalannya bukan berkisar kepada dakwaan Ummi tetapi mengapa perlu muncul pada masa di mana pilihanraya dijangkakan akan diadakan. "Persoalannya macam ini, dia melibatkan banyak pihak, isu saman in sebenarnya semua orang boleh saman sesiapa sahaja tetapi hakikatnya, kenapa sekarang? 'Timing' dan macam mana cara itu dibuat, disensasikan itu lebih penting," jelas beliau lagi.

Katanya, tindakan Ummi adalah sebahagian daripada permainan politik dengan Ummi sebagai salah satu daripada alat politik mereka yang berkepentingan dalan kejatuhan Anwar dari medan politik negara. "Kali itu pilihanraya Galas, muncul Rahimi, kali ini Tenang ini pula muncul Ummi Hafilda, ini semua benda biasa dan permainan biasa. Cuma harapan kita ialah rakyat jadi cerdik dan melihat perkara ini yang diulang-ulang merupakan satu pembohongan," kata che'GuBard.

Beliau menjelaskan keadaan ini sama seperti semasa kes Fitnah 1 Anwar pada tahun 1998 dan beliau mengesyki 'skrip lama' akan digunakan kembali kerana Perdana Menteri yang juga Presiden Umno dilihat semakin takut dengan pembangunan Anwar.

"Skrip lama akan digunakan balik dan keputusan lama akan terjadi semula. Najib dalam keadaan terkapai-kapai untuk menyudahkan apa yang dia mulakan dalam kes fitnah 2 kali ini. Oleh itu saya cukup berkeyakinan ini semua berlaku kerana dalam keadaan pilihanraya yang terlalu hampir, ketakutan Najib kepada Anwar Ibrahim dan Najib nak menyudahkan skripnya terhadap Annwar Ibrahim," katanya lagi.

Chegubard seterusnya berkata Ummi hanya menyampaikan skrip yang diberi kepadanya dan jika dilihat kembali kes Fitnah 1, Ummi merupakan saksi utama tetapi tiada apapun pembuktian dibuat oleh Umi kecuali menarik publisiti dan memanipulasikan pelbagai isu.

"Ummi Hafilda boleh muncul kembali dan pemain-pemain lain pun mungkin boleh muncul lagi, dan terus mengukuhkan lagi 'political conspiracy' tapi mereka, mereka boleh kembali, datang, muncul buat sidang media dan sebagainya tetapi seperti yang saya sebut tadi saya rakyat telahpun membuat keputusan," kata beliau.

Katanya lagi, rakyat telahpun memberi penghakiman terhadap Anwar dengan memberikan kemenangan besar kepada Pakatan rakyat pimpinan Anwar, yang mana membuktikan bahawa rakyat menolak sebarang pertuduhan yang berniat jahat dan berunsur politik terhadap Anwar.

"Ummi Hafilda boleh ulang tayang, lagi kali ketiga dia nak datang ulang tayang pun tak ada masalah, sebab saya yakin rakyat telahpun membuat penghakiman terhadap Anwar," kata beliau lagi.

Cuma kali ini selain berdepan mereka kita perlu membuktikan dengan mandat sedikit yang diberikan oleh rakyat kita benar mampu melakukan apa yang kita sering cakapkan.

CERAMAH PAKATAN RAKYAT

21 Safar 1432H.
Oleh : mohd hafez sabri.



“ BERSAMA PAKATAN RAKYAT MEMBANGUN GENERASI MASA DEPAN”

TARIKH: 26/1/2011 ( RABU )

MASA: 9 MALAM

TEMPAT: PERUMAHAN AWAM SALAK SUNGAI SIPUT

Bersama: Dr D Jeyakumar ( Ahli Parlimen Sungai Siput )

Dr Khairuddin Dato’ Abd Malek ( Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak )

Ustaz Hafez Sabri ( Exco Dewan Pemuda PAS Perak )

MOH DATANG BERAMAI2 , UBAH SEKARANG SELAMATKAN MALAYSIA

Permata Negara campur urusan kementerian lain

21 Safar 1432H
Oleh : Dr Rajiee Hadi.

DALAM bajet 2011 yang diumumkan Oktober lalu, PM Datuk Seri Mohd Najib Razak baru-baru ini memberi peruntukan sebanyak RM111 juta daripada Perbendaharaan kepada projek Permata Negara (PN) 2011 yang dipromosikan oleh isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor.

Bayangkan seandainya RM111 juta itu diberikan bantuan kepada pelajar-pelajar bumiputera dan pelajar-pelajar miskin di Institusi Pengajian Tinggi (IPT), alangkah bagusnya mententeramkan jiwa generasi muda agar boleh menumpukan pengajian sepenuhnya tanpa memikirkan masalah kewangan yang boleh menjejaskan prestasi akademik mereka.

Projek PN disasarkan untuk melatih kanak-kanak yang dikatakan pintar di peringkat prasekolah. Projek ini seolah-olah mempertikaikan atau memperlekehkan program prasekolah yang kini telah sedia diwujudkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia(KPM). Bahkan program prasekolah juga telah sedia diwujudkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita,Keluarga & Masyarakat (KPWKM) di bawah Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Kemas.

Program PN seolah-olah kelangsungan kelas lompat kanak-kanak pintar yang terpaksa dibatalkan pelaksanaannya setelah projek printisnya menemui kegagalan semasa Najib Razak selaku Menteri Pendidikan ketika itu. Apakah ini adalah manifestasi kelangsungannya semula?

Projek PN juga memberi impak pada jangka masa panjang. Apa tidaknya, ini melebarkan kelas sosial dalam struktur masyarakat. Walhal Falsafah Pendidikan Negara itu mahu merapatkan segala jurang perbezaan yang mana menuju ke arah perpaduan. Kita tidak mahu projek ini memisahkan dunia kanak-kanak dengan dunia realti sebenarnya.

Bahkan harus diingat; pendidikan itu proses sepanjang hayat. Pintar di tahap permulaan bukanlah bermakna penentu di penghujungnya. Jangan kerana nafsu besar golongan dewasa, anak-anak kecil diajar dengan taraf kelas sosial antara yang kaya dengan miskin, yang di bandar dengan luar bandar, anak-anak menteri dengan anak pembantu am rendah,yang pintar dengan yang lembam dan sebagainya.

Projek PN juga bagaikan mencampuri urusan pendidikan yang sepatutnya di bawah seliaan KPM. Kita tidak mahu kerana campur tangan banyak pihak, anak-anak kecil akan menjadi mangsa perlumbaan, pergelutan dan pergeseran dek politiking pihak atau individu yang berkepentingan.

Harakahdaily/-

Tuah salam Cikgu Mala

21 Safar 1432H.
Oleh : Ahmad Lutfi Othman.

Memang sudah dijangka. Ia bukan sesuatu yang mengejutkan. Presidennya, Dr Chua Soi Lek sudah memulakannya, lama sebelum diisytiharkan pilihan raya kecil di Tenang. Dalam suasana pemimpin Umno lain dilihat tidak senang duduk dengan Anwar Ibrahim dan asyik menyerang hebat KeADILan, Soi Lek memilih PAS sebagai sasaran utamanya.

Dengan nada "berlapek", ahli politik yang pernah popular dengan penyebaran meluas video seksnya itu, seperti "mengangkat dan memuji" PAS, tetapi semuanya berhelah dan sarat dengan motif politik. Berulang kali Soi Lek menegaskan PAS akan menjadi peneraju utama Pakatan Rakyat (dan bukannya KeADILan) serta mempunyai ahli yang berdisiplin serta struktur organisasi lebih kemas.

Tidak dinafikan kebenaran "sanjungan" Soi Lek, namun segalanya bertujuan bagi menjarakkan pengundi Cina dengan Pakatan, atas jangkaan masyarakat Tionghua mudah digertak dengan imej palsu PAS yang akan direka-reka nanti. Dan tanpa menunggu lama, rakyat dapat melihat, bukan sahaja Soi Lek, malah anak beliau, yang menggantikannya sebagai Ahli Parlimen Labis, Chua Tee Yong, turut memperalatkan taktik kotor yang "mudah dibaca" itu, dengan melakukan fitnah dan pembohongan mengenai isu penjualan arak terhadap calon PAS di Tenang.

Begitulah, MCA -- rakan karib Umno, yang mula membentuk Perikatan dan kini terus menjadi tunjang dalam Barisan Nasional -- berfikiran dangkal dan cetek jangkauan politiknya. Mereka terus bermimpi bahawa pengundi Cina masih senang dikelirukan dengan tohmahan tidak berasas terhadap PAS. Sedangkan zaman pengundi dapat diadu-domba dengan "DAP yang pekat rasis Cina" dan "PAS yang fanatik dan ekstrim Islam" sudah pun berlalu.

Seolah-olah apabila dikaitkan PAS dengan agenda politik Islam, maka masyarakat Cina, tanpa berfikir panjang, secara automatik akan lari menjauhkan diri daripada parti Islam itu. "Politik label" yang ketinggalan zaman cuba dipakejkan dalam bentuk baru di Tenang tetapi majoriti rakyat Malaysia -- bukan sahaja pengundi Tinghua -- yang lebih bermaklumat terdedah dengan elemen politik baru, hanya mentertawakan golongan desparado itu.

Isu perkauman dan memperalatkan sentimen sempit agama, meskipun nampak masih berkesan untuk melakukan provokasi dan meraihkan sokongan, tetapi sebenarnya sedang perlahan-lahan meninggalkan pentas sejarah. Rakyat semakin terbuka dan bijak menilai. Generasi baru khususnya tidak lagi terikat dan terkongkong dengan bebanan masa lampau yang memetak-metakkan mereka atas nama kaum.

Pimpinan MCA yang cukup kecewa dengan prestasi terburuk parti itu dalam pilihan raya umum 2008, melihat Tenang sebagai peluang untuk bangkit semula, sekali gus dapat menyekat momentum luar biasa Pakatan bagi membentuk kerajaan baru di peringkat persekutuan dalam PRU13. Kesempatan itu dirasakan lebih signifikan apabila yang yang bertanding adalah calon PAS.

Walhal PAS telah melalui pelbagai fasa yang melonjakkannya sebagai parti yang paling terdedah dengan kepelbagaian dan keunikan pengalaman politik. PAS bukan lagi parti yang mudah disisihkan dengan dakwaan kosong yang "dikitar semula", malah merupakan "pemain utama" yang semakin disegani kawan dan lawan. Kehadiran PAS dalam kompleksiti masyarakat majmuk dirasai keberkesanannya. Saya tidak fikir Soi Lek gagal untuk mengikuti perkembangan PAS itu.

Bermula "isu salam" calon PAS, Cikgu Normala Sudirman, ternyata MCA terjebak dengan perangkap sendiri. Umno pun turut terpalit apabila cuba untuk mengintai keuntungan politik jangka pendek daripadanya. Lagak Umno (baca kemunafikan) -- tentu bersama Utusan Malaysia -- yang seolah-olah mahu menjadi wira agama dalam beberapa kes di negeri-negeri Pakatan, terutama Selangor (Adun wanita DAP masuk surau dan kawasan masjid) dan Pulau Pinang (berdoa untuk bukan Islam dan perarakan Maulid), terserlah kejanggalannya.

Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin Yassin seperti sudah menerima tempias dan bahananya. Eksploitasi ketertiban Cikgu Mala menjaga adab Islam ketika bersalam diakui bakal menikam balik Umno-BN.

Muhyiddin cepat-cepat mahu mengurangkan risiko politik apabila Umno diserang kerana gagal memberi kefahaman tentang hal-hal asas Islam kepada sekutunya, MCA. Beliau tidak mahu isu ini dipanjangkan kerana "ada perkara yang lebih pokok yang patut BN lakukan". Tambahnya, "BN tidak mahu eksploitasi soal-soal begitu." Sedangkan peringatan yang sama disuarakan lebih lebih awal oleh pemimpin PAS sendiri. Pilihan raya adalah medan menguji isu-isu lebih serius, kritikal dan mendasar.

Ternyata PAS tidak keseorangan. Bukan sahaja tokoh-tokoh Islam seperti mufti dan NGO Muslim mempertahankan Cikgu Mala, malah rakan-rakan PAS dalam Pakatan turut memahami isu yang sengaja diputar-belitkan itu. Ahli Parlimen DAP Puchong, Gobind Singh Deo menempelak tindakan Soi Lek yang membangkitkan isu bersalam, sekali gus mempertahankan tindakan Cikgu Mala yang bertindak menurut ajaran Islam. Lebih buruk, gelagat isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor pula yang terheret dalam pidato pemimpin Pakatan. Ia masih berlegar sekitar isu wanita, 'kan?

Tinjauan Malaysiakini di bandar Labis Tengah dan Tenang Station mendapati hampir semua yang ditemui berpendapat MCA tidak seharusnya memainkan isu berjabat tangan itu kerana ia melibatkan agama calon. Mereka lebih mementing prestasi kedua-dua calon. Malah ada yang berpendapat, mereka menyokong MCA di peringkat parlimen (Labis), tetapi menyokong pembangkang di peringkat Dun (Bekok dan Tenang), bagi mewujudkan "semak dan imbang".

Apa pun, bagi saya, pengalaman PAS berdepan serangan MCA ini cukup bermanfaat untuk ditekuninya menjelang PRU13 nanti. Kecenderungan pengundi Melayu di kawasan Felda dan negeri Johor umumnya juga menarik untuk diteliti.

Harakahdaily/-

Tolak usul bukti BN makhluk dua alam

21 Safar 1432H.

KUANTAN, 26 Jan: Keengganan Adun Barisan Nasional Selangor untuk menyokong pindaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor, khususnya pada Perkara 52(1) untuk memartabatkan institusi raja dengan mengembalikan kuasa Sultan telah mendedahkan sikap hipokrit mereka dalam laungan mempertahankan institusi raja di negara ini.

Dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kiasannya berkata apa yang berlaku di sidang tergempar DUN Selangor Isnin lalu menunjukkan bahawa para pemimpin Barisan Nasional adalah makhluk dua alam yang tidak boleh dijadikan pemimpin.

Pakatan Rakyat sedar implikasi sebelum pindaan dibuat, namun dengan andaian bahawa Umno yang war-warkan isu penderhakaan pada raja akan kekal dengan prinsip tersebut; namun dengan apa yang berlaku jelas mereka adalah makhluk ‘dua alam’ yang tidak boleh dijadikan pimpinan, selar Tuan Ibrahim.

Usul pindaan Perkara 52 (1) Undang-undang tubuh Kerajaan Selangor 1959 berhubung soal perlantikan Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri yang dibentangkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim ditolak kerana gagal mendapat restu dua pertiga majoriti Dewan Undangan Negeri.

Walaupun mendapat sokongan kesemua 34 Adunnya, Pakatan Rakyat kekurangan 4 undi untuk menjayakan usul tersebut apabila tiada seorang pun daripada 20 Adun Barisan Nasional yang berani menyokong usul tersebut.

Sementara itu, Tuan Ibrahim juga membayangkan apakah nasib yang bakal melanda kepada Adun Pakatan Rakyat sekiranya peranan mereka bertukar tempat dengan Adun Barisan Nasional.

“Saya boleh bayangkan seandainya PR yang menolak usul tersebut, media akan menyerang habis-habisan dan pasti akan berlaku demonstrasi mendesak Adun kita untuk letak jawatan, dan keluar dari Selangor,” ujar Tuan Ibrahim.

Secara positifnya pula, Tuan Ibrahim berkata disebabkan BN yang menolak usul tersebar, ianya bakal mempunyai implikasi yang lebih besar kerana ianya adalah gambaran sebenar sikap kerajaan pusat terhadap kedudukan raja berperlembagaan.

“Sepatutnya mereka rasa malu dan sebagai wakil yang bermaruah, mereka sepatutnya meletakkan jawatan sebagai Adun. Bagaimana mereka nak jadi pemimpin seandainya isu kedaulatan raja tidak lagi dihormati?” tambah Tuan Ibrahim.

Harakahdaily/-

Baru Bian: Kekayaan S'wak tidak dinikmati rakyat

21 Safar 1432H.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Sarawak, Baru Bian mempersoalkan kenyataan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud bahawa gagasan Pakatan Rakyat iri hati dengan kekayaan negeri itu, lapor TV Selangor.

Sebelum ini ketua menteri Sarawak itu menyifatkan kekayaan dan kemajuan yang dicapai negeri berkenaan mengakibatkan banyak pihak dengki sehingga ada yang bertindak cuba merampas kuasa daripada kerajaan sekarang.

"Kalau kita memperkatakan kekayaan, ketua menteri dan kroni-kroninya yang terkaya di Malaysia, mereka yang kaya di Sarawak tetapi rakyat biasa tidak," kata Baru Bian.

Pada tahun 2009, pendapatan Sarawak mencecah hampir RM3.726 bilion. Namun sekitar 70 peratus penduduk rumah panjang masih tidak menikmati bekalan air bersih, jalan raya dan tenaga elektrik dan dibelenggu kemiskinan yang parah.

Lebih daripada 300,000 orang muda Sarawak bekerja di Semenanjung dan Singapura kerana tiada pekerjaan untuk mereka di bumi kenyalang itu.

Baru Bian menjelaskan kekayaan Sarawak yang melimpah tidak dapat dinikmati oleh rakyat disebabkan kekayaan negeri itu hanya berlegar sekitar Abdul Taib dan kroninya sahaja.

Katanya, Laporan Ketua Audit menunjukkan bahawa sebanyak 60 peratus pembangunan negeri itu berlaku ketirisan disebabkan rasuah dan penyelewengan.

"Walaupun Sarawak adalah sebenarnya terkaya di Malaysia dari segi sumber asli, mengapa kita dalam golongan ke empat negeri yang termiskin, ini adalah soalan yang kita hendak tanya kepada rakyat Sarawak, dan jawapannya jelas bahawa BN yang diketuai oleh Taib Mahmud dalam 30 tahun sebagai ketua menteri tidak jujur dan tidak ikhlas dan tidak tepat tentang pentadbiran, kerana banyak rasuah dan terbukti dalam laporan ketua audit bahawa 60 peratus projek pembangunan Sarawak bocor," katanya.

Justeru, Pakatan Rakyat Sarawak berharap rakyat negeri itu dapat memberikan mereka peluang membuat perubahan dalam pilihanraya negeri Sarawak yang dijangka diadakan bila-bila masa sahaja.

"Tawaran kita kepada rakyat Sarawak ialah berikan kita peluang memerintah lima tahun di Sarawak akan membukti kepada rakyat bahawa cara kita memimpin berlainan berbeza dengan BN ," katanya.

Malaysiakini/-

Muhyiddin diminta perjelas soal calon BN cuai

21 Safar 1432H.

KUALA LUMPUR, 26 Jan: Dewan Pemuda PAS Pusat mahu satu penjelasan dari Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan kecuaian calon BN bagi PRK Tenang Mohd Azahar Ibrahim sebagai Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat yang mengakibat tanah seorang penduduk dilelong tanpa pengetahuannya.

Ketua Penerangannya, Suhaizan Kaiat berkata, ianya penting kerana rakyat Tenang harus diberi kepastian berhubung dakwaan tersebut apatah lagi Azahar adalah calon BN bertanding pada PRK itu.

Antara lain beliau mahu Muhyiddin menjelaskan kenapa calon mereka gagal memberi notis pendengaran kes lelongan kepada pemilik tanah dan juga kenapa ianya dilelong dengan nilai di bawah harga pasaran.

Beliau juga turut mempersoal kenapa rayuan pemilik tanah untuk mengelakkan lelongan tanah dengan membuat bayaran RM10,000 kepada bank tidak dilayan oleh Azahar.

"Mengapa hanya seorang pembida lelongan tanah sahaja yang hadir pada masa lelongan tersebut berlaku. Apakah terdapat perundingan jahat antara En. Mohd Azahar, jurulelong dan pembida semasa mahu melelong tanah En Mansor?" soalnya.

PAS semalam membuat pendedahan mendakwa Azahar cuai ketika menjadi penolong pegawai daerah Segamat, kerana telah mengakibat tanah seorang penduduk, Mansor Mohamad dilelong tanpa pengetahuannya.

Kes yang didakwa berlaku pada tahun 2003 itu bermula ekoran kegagalan Mansor membayar balik ansuran bank, dan kemudian Azahar dikatakan mengadakan satu inkuiri yang membawa kepada tanah Mansor dilelong tanpa pengetahuannya.

Bagaimanapun, pada tahun 2008, Mahkamah Tinggi Muar membuat keputusan yang memihak kepada Mansor di mana beliau menamakan pejabat tanah daerah Segamat sebagai defenden.

Kecuaian Azhar itu juga didakwa telah mengakibat nama baik pejabat pentadbir tanah Segamat terjejas dengan teruk.

Berikut adalah fakta kes tersebut mengikut versi PAS:

Tanah En. Mansor Bin Mohamad HS(M) 535, Lot 2091, Mukim Jabi, Daerah Segamat telah di lelong pada 1/12/2003. Beliau mempunyai tunggakan bayaran hutang dengan pihak bank sekitar RM20,000.

Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat En. Mohd Azahar Bin Ibrahim yang juga calon Barisan Nasional (BN) pilihanraya kecil Tenang telah gagal menyerahkan notis pendengaran kes lelong ini kepada beliau.

Secara rasminya Mansor tidak dimaklumkan tanahnya akan dilelong. Pada 19/9/2003 perintah jualan hartanah telah di keluarkan.

Menurut En. Mansor, sehari sebelum lelongan beliau telah membuat bayaran kepada pihak bank sebanyak RM10,000 bagi bayaran tunggakan bayaran hutang.

Beliau merayu kepada En Mohd Azahar agar tanahnya tidak di lelong. Pada hari tanahnya di lelong beliau membawa tunai sebanyak RM12,000 untuk menyelesaikan tunggakan hutangnya. Semua rayuan En Mansor tidak di layan.

Tanah seluas 8 ekar telah dilelong dengan harga RM70,000 sedangkan nilai tanah tersebut pada tahun 1996 bernilai RM116,000. Nilai semasa tanah tersebut dijangka RM120,000.
Ini bermakna tanah En Mansor telah dijual dengan harga dibawah harga pasaran. Hanya seorang sahaja pembida yang hadir pada masa lelongan tersebut. Akhirnya tanah tersebut telah di beli oleh pembida tersebut.

En Mansor telah membuat saman pemula No 24(L) -674-2004 berkaitan tanah tersebut ke Mahkamah Tinggi Muar. Beliau telah dapat membuktikan kepada mahkamah bahawa tiada sebarang notis pendengaran kes lelongan hartanah diberikan kepada beliau.

Pada 29/1/2008 Yang Arif Hakim Datuk Asmadi Bin Haji Asnawi, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Muar telah memutuskan membenarkan tuntutan En Mansor ke atas Pentadbir Tanah Daerah Segamat dengan kos akibat dari kecuaian pegawainya Mohd Azahar mengendalikan kes tersebut.

Tanah tersebut telah dikembalikan kepadanya. Akhirnya Mohd Azahar telah dipindahkan ke Pejabat Daerah Kecil Renggit. Pangkatnya dikatakan telah diturunkan.

Malaysiakini/-