26 Januari 2011

Tuah salam Cikgu Mala

21 Safar 1432H.
Oleh : Ahmad Lutfi Othman.

Memang sudah dijangka. Ia bukan sesuatu yang mengejutkan. Presidennya, Dr Chua Soi Lek sudah memulakannya, lama sebelum diisytiharkan pilihan raya kecil di Tenang. Dalam suasana pemimpin Umno lain dilihat tidak senang duduk dengan Anwar Ibrahim dan asyik menyerang hebat KeADILan, Soi Lek memilih PAS sebagai sasaran utamanya.

Dengan nada "berlapek", ahli politik yang pernah popular dengan penyebaran meluas video seksnya itu, seperti "mengangkat dan memuji" PAS, tetapi semuanya berhelah dan sarat dengan motif politik. Berulang kali Soi Lek menegaskan PAS akan menjadi peneraju utama Pakatan Rakyat (dan bukannya KeADILan) serta mempunyai ahli yang berdisiplin serta struktur organisasi lebih kemas.

Tidak dinafikan kebenaran "sanjungan" Soi Lek, namun segalanya bertujuan bagi menjarakkan pengundi Cina dengan Pakatan, atas jangkaan masyarakat Tionghua mudah digertak dengan imej palsu PAS yang akan direka-reka nanti. Dan tanpa menunggu lama, rakyat dapat melihat, bukan sahaja Soi Lek, malah anak beliau, yang menggantikannya sebagai Ahli Parlimen Labis, Chua Tee Yong, turut memperalatkan taktik kotor yang "mudah dibaca" itu, dengan melakukan fitnah dan pembohongan mengenai isu penjualan arak terhadap calon PAS di Tenang.

Begitulah, MCA -- rakan karib Umno, yang mula membentuk Perikatan dan kini terus menjadi tunjang dalam Barisan Nasional -- berfikiran dangkal dan cetek jangkauan politiknya. Mereka terus bermimpi bahawa pengundi Cina masih senang dikelirukan dengan tohmahan tidak berasas terhadap PAS. Sedangkan zaman pengundi dapat diadu-domba dengan "DAP yang pekat rasis Cina" dan "PAS yang fanatik dan ekstrim Islam" sudah pun berlalu.

Seolah-olah apabila dikaitkan PAS dengan agenda politik Islam, maka masyarakat Cina, tanpa berfikir panjang, secara automatik akan lari menjauhkan diri daripada parti Islam itu. "Politik label" yang ketinggalan zaman cuba dipakejkan dalam bentuk baru di Tenang tetapi majoriti rakyat Malaysia -- bukan sahaja pengundi Tinghua -- yang lebih bermaklumat terdedah dengan elemen politik baru, hanya mentertawakan golongan desparado itu.

Isu perkauman dan memperalatkan sentimen sempit agama, meskipun nampak masih berkesan untuk melakukan provokasi dan meraihkan sokongan, tetapi sebenarnya sedang perlahan-lahan meninggalkan pentas sejarah. Rakyat semakin terbuka dan bijak menilai. Generasi baru khususnya tidak lagi terikat dan terkongkong dengan bebanan masa lampau yang memetak-metakkan mereka atas nama kaum.

Pimpinan MCA yang cukup kecewa dengan prestasi terburuk parti itu dalam pilihan raya umum 2008, melihat Tenang sebagai peluang untuk bangkit semula, sekali gus dapat menyekat momentum luar biasa Pakatan bagi membentuk kerajaan baru di peringkat persekutuan dalam PRU13. Kesempatan itu dirasakan lebih signifikan apabila yang yang bertanding adalah calon PAS.

Walhal PAS telah melalui pelbagai fasa yang melonjakkannya sebagai parti yang paling terdedah dengan kepelbagaian dan keunikan pengalaman politik. PAS bukan lagi parti yang mudah disisihkan dengan dakwaan kosong yang "dikitar semula", malah merupakan "pemain utama" yang semakin disegani kawan dan lawan. Kehadiran PAS dalam kompleksiti masyarakat majmuk dirasai keberkesanannya. Saya tidak fikir Soi Lek gagal untuk mengikuti perkembangan PAS itu.

Bermula "isu salam" calon PAS, Cikgu Normala Sudirman, ternyata MCA terjebak dengan perangkap sendiri. Umno pun turut terpalit apabila cuba untuk mengintai keuntungan politik jangka pendek daripadanya. Lagak Umno (baca kemunafikan) -- tentu bersama Utusan Malaysia -- yang seolah-olah mahu menjadi wira agama dalam beberapa kes di negeri-negeri Pakatan, terutama Selangor (Adun wanita DAP masuk surau dan kawasan masjid) dan Pulau Pinang (berdoa untuk bukan Islam dan perarakan Maulid), terserlah kejanggalannya.

Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin Yassin seperti sudah menerima tempias dan bahananya. Eksploitasi ketertiban Cikgu Mala menjaga adab Islam ketika bersalam diakui bakal menikam balik Umno-BN.

Muhyiddin cepat-cepat mahu mengurangkan risiko politik apabila Umno diserang kerana gagal memberi kefahaman tentang hal-hal asas Islam kepada sekutunya, MCA. Beliau tidak mahu isu ini dipanjangkan kerana "ada perkara yang lebih pokok yang patut BN lakukan". Tambahnya, "BN tidak mahu eksploitasi soal-soal begitu." Sedangkan peringatan yang sama disuarakan lebih lebih awal oleh pemimpin PAS sendiri. Pilihan raya adalah medan menguji isu-isu lebih serius, kritikal dan mendasar.

Ternyata PAS tidak keseorangan. Bukan sahaja tokoh-tokoh Islam seperti mufti dan NGO Muslim mempertahankan Cikgu Mala, malah rakan-rakan PAS dalam Pakatan turut memahami isu yang sengaja diputar-belitkan itu. Ahli Parlimen DAP Puchong, Gobind Singh Deo menempelak tindakan Soi Lek yang membangkitkan isu bersalam, sekali gus mempertahankan tindakan Cikgu Mala yang bertindak menurut ajaran Islam. Lebih buruk, gelagat isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor pula yang terheret dalam pidato pemimpin Pakatan. Ia masih berlegar sekitar isu wanita, 'kan?

Tinjauan Malaysiakini di bandar Labis Tengah dan Tenang Station mendapati hampir semua yang ditemui berpendapat MCA tidak seharusnya memainkan isu berjabat tangan itu kerana ia melibatkan agama calon. Mereka lebih mementing prestasi kedua-dua calon. Malah ada yang berpendapat, mereka menyokong MCA di peringkat parlimen (Labis), tetapi menyokong pembangkang di peringkat Dun (Bekok dan Tenang), bagi mewujudkan "semak dan imbang".

Apa pun, bagi saya, pengalaman PAS berdepan serangan MCA ini cukup bermanfaat untuk ditekuninya menjelang PRU13 nanti. Kecenderungan pengundi Melayu di kawasan Felda dan negeri Johor umumnya juga menarik untuk diteliti.

Harakahdaily/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Hidup UMNO Hidup BN