27 Januari 2011

Kawal internet: Balas dendam kepada rakyat

22 Safar 1432H.

KUALA LUMPUR, 27 Jan: PAS berpendapat cadangan pindaan memperluaskan skop Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kepada internet sebagai cubaan membalas dendam kerajaan Umno BN kepada rakyat.

Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad berkata tindakan itu dibuat ekoran rakyat telah menolak media konvensional berat sebelah Umno yang telah membawa kepada tsunami politik pada Pilihan Raya Umum 2008.

"Ini adalah tindakan membalas dendam kepada rakyat yang menolak media umno yang sarat dengan fitnah dan propaganda umno semata," katanya.

Menurutnya, laporan oleh Audit Bureau of Circulations (ABC) antara tahun 2005 hingga 2009 melaporkan penurunan pengeluaran akhbar The Star daripada 310,000 kepada 287,000, New Straits Times daripada 139,000 kepada 111,000, Utusan Malaysia daripada 213,000 kepada 169,000 dan Berita Harian daripada 204,000 kepada 155,000.

"Syarikat ini hanya boleh bertahan kerana mendapat sokongan dan tajaan Umno sahaja. Jikalau BN tidak berkuasa di negara ini, maka syarikat ini akan berkubur," tambahnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mahu membuat pindaan terhadap Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 supaya menjadi lebih komprehensif dan tidak terhad kepada bahan cetak semata-mata.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Mahmood Adam berkata pihaknya telah meminta Jabatan Peguam Negara mengkaji definisi penerbitan dalam akta itu sama ada ia boleh meliputi terbitan dalam bentuk multimedia termasuk kandungan internet, Facebook dan perisian.

Pindaan tersebut katanya akan dibentangkan pada persidangan dewan rakyat Mac depan.

Ujar Idris lagi, PAS berpendapat tindakan tersebut adalah untuk memaksa rakyat supaya menerima berita yang datang daripada satu saluran sahaja.

Tindakan itu katanya suatu tindakan terkebelakang, bertentangan dengan slogan Perdana Menteri yang bercakap mengenai taransformasi dan perubahan.

"Tindakan untuk menyekat maklumat daripada sampai kepada rakyat ibarat menyekat air yang laju.

"Kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib jangan paksa rakyat untuk menerima satu maklumat sahaja. Pepatah Arab ada menyebut 'kamu boleh paksa unta pergi minum air, tetapi tidak boleh paksa minum air'," katanya.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: