27 Januari 2011

Bukan PAS, tapi mahkamah sahkan calon BN salah

22 Safar 1432H.
Oleh : Abd Aziz Mustafa .

LABIS, 27 Jan: Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azahar Ibrahim hakikatnya telah disahkan bersalah oleh mahkamah kerana melelong tanah secara tidak sah, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

"Melelong tanah secara tidak sah bukan sahaja tidak mengikut prosedur malah adalah satu kesalahan dan oleh sebab itulah Mahkamah Tinggi Muar memerintahkan dikembalikan tanah itu kepada pemiliknya, Mansor Mohamad bersama kos pada 2008.

"Jika tindakan melelong itu sah, mengikut prosedur dan bukan satu kesalahan, mahkamah tidak akan memerintahkan tanah itu dikembalikan," katanya.

Mahfuz menyeru rakyat Tenang menolak Mohd Azahar yang telah disahkan melakukan kesalahan oleh mahkamah dan memilih calon PAS, Normala Sudirman.

"Normala bukan sahaja bersih dari tuduhan penyalahgunaan kuasa seperti yang sedang dihadapi oleh Mohd Azahar malah calon PAS di Tenang itu pernah diiktiraf sebagai guru cemerlang oleh Kementerian Pelajaran," katanya.

Mohd Azahar kini adalah defendan pertama dalam tuntutan saman Norhana Mohd Ali yang telah terpedaya membeli tanah Mansor yang dilelong secara tidak sah itu.

"Akibat penglibatan Mohd Azahar melelong tanah dengan cara yang didapati salah oleh mahkamah itu, kerajaan dan rakyat kini menghadapi risiko menanggung kerugian kira-kira RM1.5 juta," kata Mahfuz.

Norhana menuntut gantirugi berjumlah kira-kira 1.5 juta dan Mahkamah Tinggi Muar telah pun menetapkan tarikh pendengaran kes tuntutan Norhana ke atas calon BN di Tenang itu dan tiga yang lain pada 7 Februari 2011 ini.

"Dari segi integriti, Mohd Azahar hakikatnya tidak ada integriti kerana beliau sebelum ini mendakwa apa yang dilakukannya mengikut adalah prosedur dan kes lelongan tanah itu telah selesai.

"Kalau mengikut prosedur, mengapa mahkamah mengesahkan kesalahan beliau terlibat dalam lelongan tanah secata tidak sah dan jika selesai, mengapa pula ada tuntutan berkaitan tanah itu yang akan didengari mahkamah pada 7 Februari ini?" Ahli Parlimen Pokok Sena mempersoalkan.

Kalau sebagai pentadbir tanah pun beliau telah menghadapi tuduhan menyalahgunakan kuasa dan disahkan pula oleh mahkamah melakukan kesalahan, Mahfuz mengingatkan para pengundi di Tenang tentang kemungkinan bahaya lebih buruk yang akan dihadapi oleh rakyat dan kerajaan jika Mohd Azahar mendapat kuasa lebih besar hasil kemenangannya dalam pilihan raya kecil tersebut.

"Dengan kuasa hanya sebagai pentadbir tanah sahaja Mohd Azahar bukan sahaja telah memburukkan imej kerajaan malah mengakibatkan rakyat dan kerajaan menanggung risiko kerugian kira-kira RM1.5 juta, bayangkan kalau beliau mendapat kuasa lebih besar jika beliau menang pilihan raya kecil Tenang," beliau mengingatkan.

Harakahdaily/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Begitu rupanya calon bn ni. sebenarnya ramai lagi pesalah (dlm banyak hal)kini menjadi wakil rakyat bn.