27 Januari 2011

Kerajaan Kelantan ambil alih Arked Uda

22 Safar 1432H.
Oleh : Salmah Mat Husain.

KOTA BHARU, 26 Jan: Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Masyrakat, Datuk Husam Musa, berkata kerajaan Kelantan akan mengambil alih semula tanah di lot Pt 57 Seksyen 11, milik Uda.

Langkah tersebut untuk menaik tarafkan pusat perniagaan yang terletak dikawasan tersebut supaya lebih berdaya saing untuk membantu peniaga kecil di situ

Kata Husam, pengambil alihan itu ekoran kegagalan Uda membela nasib peniaga kecil yang kini menyewa di kedai tapak berkenaan sejak 27 tahun lalu sebagaimana yang sepatutnya sehingga ia menjadi masalah kepada peniaga terbabit.

Menurut Husam, bagi membela nasib peniaga kecil yang dibiarkan oleh Uda, kerajaan negeri bersedia menunaikan tanggungjawab sosialnya demi untuk peniaga berkenaan walaupun terpaksa mengorbankan peruntukan yang agak besar.

Di atas tanah milik Uda seluas 1.5 ekar itu menempatkan lebih 200 lot peniagaan untuk peniaga kecil yang dikenali sebagai Arked uda.

Arked tersebut telah dibina oleh PKINK sekitar tahun 1987 untuk memindahkan sebahagian daripada para peniaga Pasar Lambak yang telah dirobohkan berhampiran dengan Pejabat Umno Kelantan.

Bagaimanapun, peniaga kecil di kawasan itu hari ini menghadapi masalah apabila Uda yang diwujudkan kerajaan bagi membantu peniaga-peniaga Bumiputera setelah dikorporatkan dan dikenali sebagai UDA Holdings Bhd, mahu menjadikan kawasan tersebut sebagai pusat komersial.

Para peniaga kecil di situ diarahkan berpindah tanpa disediakan tapak perniagaan baru kepada mereka sehingga kerajaan negeri perlu terlibat untuk menyelesaikan masalah mereka.

Ekoran daripada itu timbul pula masalah lain apabila Bazaar Tok Guru yang baru dibina tidak mampu menampung jumlah peniaga yang ramai termasuk yang akan berpindah daripada Arked uda ke situ.

Menurut Husam, ruang niaga asal di bazaar tersebut hanya dapat menampung 300 peniaga sahaja, bagaimanapun bertambah kepada 415 lot setelah dicampur dengan peniaga Arked Uda.

Katanya, keadaan menjadi bertambah sempit apabila keluasan asal 10’ x 12 ‘, namun akhirnya menjadi 7’x8’ akibat pertambahan 100 orang peniaga.

Jelas beliau, perkara itu berlaku berikutan peniaga Arked Uda tidak mahu berada di tingkat satu dan ingin berada di tingkat bawah bersekali dengan peniaga di Pasar MPKB.

Justeru, Husam berkata usaha itu (pengambilan balik tanah) akan disegerakan agar masalah peniaga dapat diselesaikan segera.

“Pertamanya kerajaan negeri akan mengambil semula tanah tersebut seluas 1.5 ekar yang telah diserahkan oleh kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN) pada tahun 1975 supaya peniaga daripada Arked Uda boleh kembali berniaga di tempat asal.

“Keduanya, kerajaan negeri akan membaiki semula lot kedai di Bazaar Tok Guru yang menimbulkan masalah kepada peniaga bazaar di situ sebaik sahaja peniaga di Arked Uda kembali berniaga di tempat asal apabila bangunannya siap kelak,”ujarnya menjawab soalan media selepas mesyuarat exco, di sini sebentar tadi.

Kata Husam, walaupun kerajaan negeri terpaksa membelanjakan sumber kewangan yang besar untuk mengambil alih semula tanah di Arked Uda dan merombak semula ruang niaga di Bazaar Tok Guru kepada asal, namun demi kepentingan dan keselesaan peniaga, kerajaan negeri sanggup berkorban.

Husam bagaimanapun mengakui, keptusan itu belum lagi dimaklumkan kepada Uda, memandangkan ia baru diputuskan pada mesyuarat exco sebentar tadi.

Beliau seterusnya memberitahu, sekarang ini pihaknya dalam proses untuk menyerahkan lot ruang niaga kepada peniaga Bazaar Tok Guru setelah Sijil Kelulusan Kediaman diluluskan.

Sehubungan itu juga, kerajaan negeri merancang untuk mengadakan perjumpaan dengan peniaga terbabit untuk mengetahui masalah yang dihadapi.

“Kita juga akan menerangkan hasrat kita kepada mereka agar mereka lebih memahami perkara sebenar yang berlaku,”ujarnya.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: