08 Februari 2011

Peniaga raih RM20,000 sehari

05 Rabiul Awal 1432 H.

KUALA TERENGGANU - Cuti Tahun Baru Cina yang bermula Khamis lepas memberi durian runtuh kepada peniaga keropok keping dan keropok lekor di negeri ini.

Pengerusi Persatuan Keropok Losong Kuala Terengganu, Abu Bakar Yusof berkata, sepanjang cuti itu, peniaga berjaya meraih pendapatan sehingga RM20,000 sehari berbanding RM3,000 pada hari biasa.

“Itu bagi peniaga besar, manakala bagi peniaga kecil pula mereka menjual antara RM2,000 hingga RM3,000 sehari berbanding RM300 sahaja pada hari biasa,” katanya.

Abu Bakar berkata, sejak Khamis lalu, orang ramai terutama pengunjung luar yang datang bercuti di negeri ini tidak putus-putus mengunjungi gerai keropok di Kampung Losong menyebabkan jalan di kawasan itu menjadi sesak dengan kenderaan.

Malah, pembeli juga terpaksa beratur panjang semata-mata untuk mendapatkan keropok bagi dijadikan buah tangan.

Sementara itu, seorang peminat keropok, Maamor Junus, 54, dari Setiawan Perak, berkata, ini pertama kali dia datang membeli keropok di Kampung Losong setelah mendapat tahu daripada rakannya, keropok di kawasan itu amat popular.

Katanya dia terpaksa berbaris dan menunggu kira-kira satu jam sebelum dapat membeli keropok lekor untuk memenuhi pesanan adiknya.

Sinar Harian/-

BN biarkan rakyat merana, Tidak Peduli Hak Rakyat

05 Rabiul Awal 1432 H.
Oleh : Hafizi Pauzi.

IPOH, 8 Feb : Malaysia sedang diterajui oleh kerajaan yang menganggap diri mereka adalah golongan elit dan hanya mereka sahaja yang pandai memerintah . Sifat ini hanya layak berlaku di Negara yang tidak bertamadun. Demikian penegasan oleh ADUN Titi Serong, YB Drs. Khalil Idham Lim

“Realiti sebenarnya BNlah yang tidak pandai tadbir negara. Dan Rakyat perlu bertindak dari sekarang bagi menyebar berita mengenai keadaan semasa negara yang sedang menuju ke arah kemusnahan, berbagai isu penindasan terhadap rakyat telah dilakukan oleh BN terhadap rakyat, namun kesedaran tersebut masih belum mendominasi keadaan,” katanya ketika ditemui di sini.

Jelas Khalil, berdasarkan Laporan sebuah Yayasan untuk Kebebasan yang telah membuat kajian dalam soal melindungi hak asasi manusia, Malaysia terus teruk yang mana ia telah jatuh menjunam daripada 5 mata pada 2009 kepada 1.72 mata pada 2010.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Perak menambah, berdasarkan laporan, kebebasan mahkamah masih kuat dipengaruhi kerajaan melalui badan eskekutif dan ini tidak selari dengan slogan BN “rakyat didahulukan” seperti diperkenal oleh PM Malaysia.

Rakyat telah menyaksikan betapa tidak adilnya Malaysia dari segi amalan undang sivil melalui mahkamah di Negara ini dalam kes-kes serta pertuduhan yang berlaku dalam kalangan pemimpin BN.

"Apabila ada tuduhan dilemparkan ke atas Perdana Menteri Najib Razak dan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Rais Yatim dan juga ke atas Ketua Menteri Sarawak ,Taib Mahmud, pihak berwajib seperti SPRM lambat bertindak," soalnya.

Menurutnya lagi, di Malaysia dalam masa yang sama, jika terdapat sebarang pertuduhan yang membabitkan rakyat, SPRM mahupun mana-mana pihak yang terlibat amat pantas melaksanakan siasatan terperinci terhadap tertuduh.

“Hak asasi rakyat Malaysia terus dibelasah oleh BN dengan sewenang-wenangnya, perkembangan ini tidak boleh terus berlaku, rakyat perlu buat sesuatu untuk tukar mereka (BN),” katanya.

Jelas Khalil, kedaulatan undang-undang kini sedang dilanyak oleh BN, pihak yang menjadi mangsa ialah rakyat, segala saman, kompaun, serba segi yang melibatkan denda kesalahan akan dirasai oleh rakyat dikeluarkan tanpa belas ihsan kerajaan terhadap rakyat, “benarlah rakyat didahulukan”, tempelaknya.

Dalam pada itu, beliau juga mengkritik tindakan Kementerian Pelajaran yang memansuh bantuan RMT di sekolah seluruh Malaysia sambil menyifatkan ia adalah satu lagi detik sedih bagi golongan yang kesempitan kewangan.

“Sudahlah hak rakyat tidak dihormati, nafi pula hak mereka yang miskin untuk makan, pemimpin PR dan rakyat tidak boleh hanya menunggu dan melihat sahaja isu ini , gerakkan tenaga untuk mencetus kesedaran kepada orang yang paling hampir dengan kita,” jelasnya ketika menutup sesi temubual

Rakyat Perlu Tolak Pemboros Negara

05 Rabiul Awal 1432 H.
Oleh : Hafizi Pauzi.

IPOH, 8 Feb : Drs. Khalil Idham Lim, Ketua Penerangan PAS Perak menegaskan PR menolak sekeras-kerasnya terhadap sebarang bentuk pembaziran wang Negara, lebih-lebih lagi pembaziran berlaku pada waktu Negara berada dalam situasi memerlukan wang yang lebih untuk kebajikan rakyat.

“Saya rasa pelajar sekolah rendah pun tahu membanding harga sebelum membeli barang, pemimpin Malaysia sudah buta hati dan tak pandaio metametik untuk fikir cara belanja berhemah, akibatnya wang rakyat dibazirkan,” kata YB Khalil ketika ditemui di sini.

Tambahnya, Kementerian Pertahanan dikatakan bersedia membayar RM6 bilion bagi mendapatkan enam kapal tentera laut, harga tersebut adalah 870 peratus lebih mahal daripada bayaran negara lain untuk kapal yang sama sebagaimana yang disebut ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua.

Malaysia juga sedang berada dalam keadaan bahaya dengan tindakan Najib Razak membiarkan isterinya menginap di hotel dengan bayaran menginap di sebuah bilik mewah (suite) yang harganya mencecah UDS35,000 atau menyamai RM106,000 semalam dalam satu sesi lawatannya ke luar Negara baru-baru ini.

“Beliau (Rosmah) menyatakan bahawa lawatannya adalah mewakili rakyat walhal tindakan ini langsung tidak selari dengan hasratnya konon mahu mewakili hak rakyat Malaysia,” tempelaknya.

Menurutnya yang juga Adun Titi Serong, pembaziran seperti ini tidak dapat diterima, harga minyak RON 97 sahaja sudah 4 kali dinaik secara sesuka hati oleh BN tanpa ada kawalan, rakyat terus dihimpit dengan kesan kenaikan harga minyak terhadap barangan lain.

“Adakah Najib mahu melihat rakyat bangkit seperti mana di Tunisia dam Mesir, patutnya BN ambil pengajaran dari Rakan sejawatnya dari Tunisia diguling oleh rakyat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Khalil menempelak respon PM terhadap situasi mesir baru-baru ini dengan mengeluar kenyataan bahawa kerajaan sentiasa menjaga kemahuan rakyat kerana telah timbul rasa khuatir BN rakyat bangkit kerana ditindas oleh pemerintah.

“BN hakikatnya tidak ambil pengajaran, mereka terus menipu rakyat dengan fakta-fakta palsu bagi mempamer imej bersih serta adil BN terhadap rakyat Malaysia,” tambahnya.

Beliau juga mengingatkan terhadap rakyat Malaysia betapa perlunya kerajaan yang telah leka memerintah selama 53 tahun ini ditukar dengan kadar segera sambil menyatakan PRU 13 lah medan terbaik rakyat untuk melakukan perubahan ke arah Malaysia yang selamat.

Segerakan muzakarah Majlis Fatwa-PAS

05 Rabiul Awal 1432 H.

KUALA LUMPUR, 8 Feb: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menyokong dan menggesa agar muzakarah di antara Majlis Fatwa Kebangsaan dengan PAS yang diketuai Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat segera diadakan bagi menjernihan kekusutan dan menyelesaikan perselisihan yang berlaku.

Ketuanya, Nasrudin Hasan At-Tantawi (gambar) berkata, ini kerana DPPP yakin segala pertelingkahan, pertikaian, perselisihan faham mesti diselesaikan secara muzakarah dengan menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai asas penyelesaian.

“Ini sangat penting supaya kebenaran dapat ditegakkan dan memastikan sebarang kekeliruan, tohmahan serta fitnah dapat dipadamkan,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Malah, ujarnya DPPP ingin menegaskan bahawa bukan sahaja satu atau dua isu yang berkait dengan Al-Mursyidul Am PAS tetapi masih banyak perkara-perkara lain yang menyentuh aqidah ummah perlu dimuzakarahkan.

DPPP juga, tambah nya turut mengalu-alukan penyertaan ulama-ulama Umno justeru mereka adalah pendokong kerajaan yang dipimpin oleh Umno bagi menyelesaikan isu-isu agama.

Menurutnya, DPPP melihat, sekian lama Umno dan Barisan Nasional menguasai agen penyebaran massa utama seperti televisyen, radio dan akhbar arus perdana di dalam negara sudah terlalu banyak fitnah dan tohmahan telah dilemparkan terhadap Al-Mursyidul Am PAS khususnya dan PAS amnya.

“Inilah peluang dan platform terbaik bagi rakyat menilai apa yang ditohmah oleh media arus perdana ini benar ataupun salah,” ujarnya.

Justeru itu, katanya muzakarah antara kedua-dua pihak suatu peluang dan platform yang sangat baik sekiranya Majlis Fatwa Kebangsaan atau mufti-mufti bersama ulama-ulama Umno menganggap apa yang pernah disebut atau dipraktikkan oleh Al-Mursyidul Am dan PAS bercanggah dengan Islam.

Harakahdaily/-

MB arah Khusrin jaga hartanah Selangor

05 Rabiul Awal 1432 H.

Tan Sri Khalid Ibrahim akhirnya mengadakan pertemuan sulung dengan Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri yang baru Datuk Khusrin Munawi di pejabatnya di Shah Alam pada jam 5 petang tadi.

Bagaimanapun, menurut kenyataan daripada Pejabat Menteri Besar sebentar tadi, kerajaan negeri masih berpendirian bahawa Sultan Selangor dan menteri besar seharusnya berperanan dalam pelantikan SUK.

"...pertemuan ini diadakan demi memastikan keperluan rakyat Selangor diutamakan dan pentadbiran negeri terus berjalan dengan lancar," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, dalam pertemuan tersebut, Khalid juga mengarahkan Khusrin memberi keutamaan kepada hartanah milik kerajaan Selangor.

"Seterusnya, menteri besar mengarahkan Khusrin menyediakan laporan dari semasa ke semasa kepada kerajaan negeri mengenai maklumat terkini hartanah milik kerajaan Selangor, demi mengenal pasti nilai tanah yang terbiar dan bermasalah," kata kenyataan itu.

Arahan lain Khalid kepada Khusrin:
Menteri besar memberitahu Khusrin bahawa beliau perlu bekerjasama dengan pegawai daerah dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan hartanah milikan Kerajaan Selangor ini dijaga dengan baik.

Khalid menyarankan supaya Khusrin mengadakan perjumpaan atau dialog dengan penduduk setinggan yang mendiami tanah milik kerajaan Selangor dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

Khusrin diminta meneruskan usaha-usaha Selangor menangani masalah kecurian pasir yang boleh menggangu pendapatan kerajaan negeri.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut langsung sama ada Khalid membenarkan Khusrin mengangkat sumpah simpan rahsia di hadapannya bagi membolehkan SUK yang dilantik secara kontroversi itu menghadiri meyuarat exco dan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor.

Malaysiakini/-

Ambil iktibar pergolakan di Mesir, hargai keamanan

05 Rabiul Awal 1432 H.

KANGAR - Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Perlis, Jafperi Othman berkata, pergolakan politik yang berlaku di Mesir seharusnya menjadi iktibar kepada para penuntut supaya sentiasa menghargai keamanan.

"Mereka pastinya bersyukur apabila dapat meninggalkan negara yang bergolak akibat rusuhan dan tunjuk perasaan itu untuk menikmati kehidupan harmoni di negara sendiri," katanya.

Kumpulan pelajar dari Perlis itu adalah antara 778 penuntut dan rakyat Malaysia yang dikeluarkan dari Mesir dan tiba di KLIA di Sepang semalam melalui Ops Piramid.

Sinar Harian/-

Cubaan bisukan media

05 Rabiul Awal 1432 H.

KAHERAH - Terpaksa berpatah balik ke Jeddah selepas menempuh perjalanan selama tiga hari untuk ke Kaherah, Mesir, adalah sesuatu yang amat mengecewakan.

Penulis dan rakan media lain diarahkan pulang sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, malam kelmarin di mana kamera dan peralatan penting kami dirampas pihak imigresen Mesir.
Kerajaan Mesir kini galak menyasarkan petugas media yang tiba di negara itu bagi menghalang sebarang liputan dan berita mengenai protes di Kaherah, Iskandariah dan Suez ditontonkan kepada dunia.

Pihak berkuasa negara itu menapis kemasukan orang ramai ke Mesir seawal pesawat mendarat dan kami sendiri menyaksikan perkara ini apabila dilarang membuat liputan penghantaran pulang pelajar Malaysia di Mesir semasa mereka sedang menaiki pesawat C130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Masalah pertama timbul apabila bas yang sepatutnya membawa kami dari landasan ke terminal lapangan terbang dihalang hanya kerana kami cuba merakam gambar pelajar sedang menaiki pesawat tentera.

Bantuan dan kecekapan pihak TUDM mengendalikan keadaan dan atasi masalah itu dengan pegawai Mesir di landasan membolehkan kami melepasi halangan pertama itu dan dibawa ke terminal tanpa masalah lagi.

Kemudian timbul masalah kedua. Pihak imigresen Mesir nyaris tidak membenarkan penulis dan seorang lagi rakan media daripada Astro Awani melepasi pemeriksaan imigresen kerana terdapat bukti kami pernah memasuki Genting Gaza, Palestin, pada pasport kami.
Namun nasib menyebelahi kami apabila akhirnya dilepaskan selepas perbincangan dibuat antara pegawai imigresen Mesir sendiri, tetapi barangan penting seperti kamera tetap dirampas.

Melangkah keluar daripada lapangan terbang, penulis melihat khemah putih besar disediakan Kerajaan Malaysia bagi menempatkan ratusan pelajar Malaysia yang sedang tunggu giliran untuk naik pesawat ke Jeddah.

Dalam suasana malam yang sejuk di Kaherah, penulis dimaklumkan kami perlu melepasi 25 sekatan jalan raya untuk menuju ke bandar dari lapangan terbang kerana perintah berkurung di Mesir adalah dari jam 6 pagi sehingga 5 petang.

Kebanyakan sekatan jalan raya ini dilakukan oleh penduduk Mesir sendiri dan beberapa sekatan lain dikawal pihak tentera.

Penulis dimaklumkan mengenai nasib wartawan lain dari Malaysia di Kaherah lebih awal. Mereka ditahan, diacukan parang dan peralatan elektronik hampir dirampas penduduk.
Ramai petugas media dari negara lain, termasuk negara Barat di Kaherah, turut ditahan berkali-kali dan diarah meninggalkan negara itu secepat mungkin.

Seolah-olah tidak cukup dengan itu, perkhidmatan teksi dan hotel di Kaherah juga sukar didapati menyebabkan kami terpaksa bermalam semalaman di lapangan terbang, sementara menunggu penerbangan pulang.

Lebih mengecewakan, kami dilarang sama sekali oleh pihak berkuasa daripada mengambil sebarang gambar di kawasan lapangan terbang, walaupun hanya menggunakan kamera biasa.

Menurut cerita rakan media lain yang ditemui di lapangan terbang, wartawan mahupun orang awam, juga tidak boleh merakam sebarang gambar di kawasan konflik di Kaherah. Saluran internet di bandar itu juga tidak stabil, menyebabkan kami mengambil keputusan tidak meneruskan perjalanan ke destinasi utama, Dataran Tahrir.

Syukur kepada Allah ... hari yang penuh dengan kekecewaan tamat juga akhirnya. Penulis berasa lega dan gembira apabila dihantar pulang ke Jeddah menaiki pesawat bersama-sama lebih 300 pelajar Malaysia, keesokan harinya.

Karenah birokrasi luar biasa pihak berkuasa Mesir membuktikan betapa kerajaan negara itu berusaha memutuskan hubungan Mesir dengan dunia luar dengan menjadikan petugas media sebagai sasaran bagi mengekang sebarang maklumat disampaikan kepada masyarakat antarabangsa.

Gambar-Gambar Solat yang jarang kita lihat.

05 Rabiul Awal 1432 H
Oleh : selatanonline

Pelbagai alasan orang tak nak solat – seluar kotor lah (dah tau kotor kenapa pakai?) , tak sempat (sibuk pergi open house), tak ada masjid/surau dan yang paling menyedihkan apabila kawan tak solat kita pun tak solat kononnya takut dipanggil alim sedangkan solat adalah kewajipan kita.



Peringatan untuk diri sendiri juga anda – tiada alasan untuk ponteng solat. Malaikat di bahu kiri kita tidak pernah jemu mencatatkannya.



Semoga gambar-gambar di bawah memberi sedikit keinsafan kepada kita supaya tidak lalai menunaikan kewajipan kita sebagai seorang hamba.









Dinegara kita susah nak jumpa org solat di tempat2 terbuka...Nak cari masjid @ surau baru boleh solat...

DEBAT - NIK AZIZ PILIH JUMPA HARIMAU DARIPADA BERJUMPA KUCING

05 Rabiul Awal 1432 H
Oleh : WFAUZDIN NS

HAJAT untuk menyaksikan perdebatan di antara Ulamak Veteren Umno Kelantan iaitu Mohd Noor Deris dengan Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat akhirnya tidak kesampaian.

Ini adalah kerana Tuan Guru Nik Aziz mahu agar tokoh yang lebih berwibawa dan mempunyai peranan penting di dalam kerajaan atau Umno untuk berdebat dengannya.

Sebelum ini akhbar Sinar melaporkan bahawa Tuan Guru Nik Aziz bersedia untuk berdebat dengan Ulamak Umno yang mencabarnya itu. Tetapi laporan akhbar itu disangkal oleh Pejabat MB Kelantan, di antara lain sebab yang diberikan adalah seperti berikut:

" Sukalah diperjelaskan bahawa tajuk dan laporan berita tersebut sama sekali tidak benar. Apa yang berlaku ialah YAB Tuan Guru ditanya berkenaan desakan Mohd Nor Deris agar Majlis Fatwa Kebangsaan membincangkan kenyataan beliau yang di dakwa menjejaskan akidah.

Menjawab pertanyaan tersebut, YAB Tuan Guru bersetuju agar kenyataannya dibincangkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Persetujuan tersebut termasuklah mengadakan perbincangan antara beliau dengan Majlis Fatwa Kebangsaan."

"Tidak timbul isu berdebat dengan Mohd Nor Deris yang tidak mempunyai apa-apa jawatan di dalam kerajaan sebagai penggubal dasar. Secara logiknya, individu yang layak berdebat dengan Menteri Besar Kelantan yang juga al-Mursyidul Am PAS tentulah tokoh yang mempunyai jawatan berpengaruh di dalam kerajaan atau parti." (Kenyataan Media Pej MB Kelantan)

Tuan Guru Nik Aziz berani menyahut cabaran Mohd Noor yang mahu agar dirinya disiasat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Beliau bersedia untuk berdepan dengan Majlis Fatwa Kebangsaan yang tentunya lebih berwibawa daripada Mohd Noor Deris. Sekaligus, Mursyidul Am PAS tersebut memberikan tamparan memalukan kepada Mohd Noor Deris.

Ulamak Veteren Umno Kelantan tersebut boleh mengukur baju di badannya sendiri kerana kesangupan Tuan guru Nik Aziz berhadapan dengan Majlis Fatwa Kebangsaan yang bukan seorang atau dua ahli, tentunya meletakkan Tuan Guru Nik Aziz sebagai pemimpin yang berani kerana benar.

Namun demikian, Mohd Noor boleh berusaha untuk berdebat dengan anak murid Tuan guru Nik Aziz yang setaraf dengannya. Beliau perlu akur bahawa beliau tidak layak menggantikan PM, TPM atau Menteri seperti Jamil Khir untuk berdebat dengan Tuan Guru Nik Aziz.

Mereka semua itu lah sepatutnya yang bersesuaian untuk berdebat dengan MB Kelantan, bukan Mohd Noor Ulamak yang digelar `ulamak terompah kayu' di Kelantan.

Sekali lagi, tahniah buat Tuan Guru Nik Aziz yang telah memilih berhadapan dengan `dua tiga ekor harimau' daripada berhadapan dengan seekor kucing.

Umno janganlah jadi tikus membaiki labu


5 Rabiulawal 1432H.[MOD].-


PAS menyifatkan kempen Gelombang Merah yang digerakkan Umno Kelantan untuk menarik sokongan 400,000 orang muda hanyalah angan-angan Mat Jenin kerana golongan itu adalah "generasi yang sedar dan bermaklumat."

"Orang muda Kelantan tidak boleh terima slogan Umno hendak membela Kelantan, sedangkan Umno perlu membela rakyat negeri lain yang berada di bawah pemerintahan Umno yang tertinggal jauh dari segi kuasa membeli dan memiliki hartanah," kata ketua penerangannya Idris Ahmad (kiri).

Kelmarin Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kempen bertemakan "Transformasi 1Kelantan Gelombang Rakyat" akan dilaksanakan Pemuda Umno negeri melalui penganjuran ceramah, kursus, seminar dan gerak kerja.

Kempen itu antara lain berobjektif untuk menawan negeri itu daripada kepimpinan PAS yang telah memerintah Kelantan selama 21 tahun, pada pilihan raya umum akan datang.

Berikut kenyataan penuh Idris:

PAS berpandangan harapan Datuk Seri Mustafa Mohamed yang hendak memikat 400,000 orang muda hanya angan-angan mat jenin sahaja. Orang muda Kelantan adalah generasi yang sedar dan bermaklumat. Mereka antipenindasan, diskriminasi dan penyelewengan.

Orang muda Kelantan tidak boleh terima slogan Umno hendak membela Kelantan, sedangkan Umno perlu membela rakyat negeri lain yang berada bawah pemerintahan Umno yang tertinggal jauh dari segi kuasa membeli dan memiliki hartanah.

Seramai 400,000 orang muda Kelantan bukan hidup di dalam gua yang tidak tahu perkembangan dunia. Orang muda Kelantan yang terkenal sebagai golongan terpelajar dan memenuhi kerusi di pusat pengajian tinggi di dalam atau luar negeri.

Mereka menguasai ketua jabatan di Putrajaya. Ini petanda rakyat Kelantan, cerdik dan berjaya dalam pelajaran dan kerjaya.

Mereka tidak dapat menerima pengkhianatan kerajaan pusat yang tidak iktiraf kerajaan rakyat di Kelantan. Tindakan kerajaan pusat yang menyekat 118 projek sejak Rancangan Malaysia Keenam 1991, merampas hak royalti minyak satu lagi bukti penyelewengan konsep federalisme.

Kenapa pemimpin Umno Kelantan yang berada di peringkat pusat telah mengkhianat rakyat Kelantan sehingga sanggup menyalurkan minyak ke Songkla Thailand, pada hal lebih ekonomik ia mendarat di Kelantan.

Kesemua sikap ini tidak boleh diterima oleh orang muda Kelantan untuk menerima umno memerintah semula di Kelantan, kenapa mereka hendak menyerahkan diri mereka ke mulut naga untuk merosakkan sistem yang sudah dibina selama 20 tahun.

PAS hendak menasihat Datuk Seri Mustafa Mohamed, lebih baik beliau ambil perhatian negeri-negeri di bawah BN dahulu seperti Sabah dan Sarawak.

Pulihlah ekonomi negara yang menghadapi kadar inflasi yang semakin tinggi, semuanya gara-gara kegagalan kerajaan BN. Kelantan sudah selesa di bawah kepimpinan PAS yang boleh bersaing dengan negeri-negeri di bawah pemerintahan BN.

Umno janganlah jadi tikus membaiki labu.

SUK jumpa MB Selangor.

BERTENTANG MATA... Buat pertama kalinya selepas berakhirnya kontroversi pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang baru, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (kanan) mengadakan pertemuan dengan Datuk Mohammed Khusrin Munawi petang Isnin bagi membincangkan hal-hal berkaitan pentadbiran kerajaan negeri termasuk soal pelantikan itu.

Ops Piramid : Lebih 7,000 Sudah Dibawa Keluar

4 Rabiul Awal 1432H.

Seramai 7,209 pelajar dan warga Malaysia telah berjaya dibawa keluar dari beberapa bandar di Mesir ke Jeddah, Arab Saudi menerusi Ops Piramid.

Pegawai Media Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pertahanan, Mejar Marina Harun memberitahu Bernama, setakat pukul 10 malam tadi, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melalui tiga pesawat Hercules C-130 berjaya memindahkan 3,374 orang, tiga pesawat MAS (2,150) dan dua pesawat AirAsia (1,685).

Ops Piramid adalah operasi membawa warga Malaysia keluar dari Mesir yang sedang bergolak akibat tunjuk perasaan ratusan ribu rakyat negara itu yang mendesak Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan.

Nik Aziz mahu debat terbuka


5 Rabiulawal 1432H.[MOD].-

TUMPAT - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pelaksanaan debat perlu diadakan diruang terbuka bagi membolehkan orang ramai mengetahui dengan jelas topik yang menjadi persoalan.

Menteri Besar Kelantan itu mengulangi pendiriannya bahawa beliau hanya sedia berdebat mengenai Islam dengan sesiapa saja, tetapi tokoh berkenaan mestilah individu yang ada kuasa dan bertauliah.

Menurutnya, terpulang kepada Majlis Fatwa Kebangsaan untuk menentukan bagaimana debat itu mahu diadakan.

“Debat dilakukan secara terbuka lebih baik, boleh dilakukan dengan sesiapa saja yang berkuasa. Bagaimanapun ia bergantung kepada Majlis Fatwa Kebangsaan sendiri,” katanya selepas melancarkan Skim Al-It’am di Dataran Pasir Pekan, semalam.

Sebelum ini, Nik Aziz berkata, beliau sedia adakan dialog dengan sesiapa sahaja, termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan, jika tidak berpuas hati dengan kenyataannya dalam usaha menjernihkan hubungan isu berbangkit yang dianggap kontroversi.

Isu tersebut timbul apabila Nik Abdul Aziz pada sidang media semasa Pilihan Raya Kecil Tenang, baru-baru ini, mendakwa mereka yang tidak mengundi Pas adalah Jahiliah.

Bagaimanapun, pemimpin utama Pas itu enggan menerima cabaran ulama UMNO, Mohd Noor Deris untuk berdebat dengan alasan individu itu tidak mempunyai dasar yang jelas dalam perjuangan.

Nik Aziz berkata, Islam tidak melarang umatnya berdebat untuk mencari kebenaran dalam soal agama, asalkan al-Quran dan hadis menjadi petunjuk.

Kolum - Sidi Bouzid dan hujan petang di KL

5 Rabiulawal 1432H. [MOD].-


Suatu hari di sekitar stesen bas Pasar Seni Kuala Lumpur. Saya sedang berjalan-jalan dengan seorang teman. Penat berjalan, lalu saya membeli sebungkus air tebu dan duduk berehat sebentar di hentian bas berdekatan. Hari ini hari Sabtu. Esok adalah hari cuti bagi kebanyakan pekerja. Jadi, hari ini ramai orang keluar bersiar-siar, bertemu teman dan sahabat.

Sambil saya menikmati petang yang sibuk itu, tiba-tiba saya melihat beberapa penjaja stokin berlari-lari. Ketika ini, dua gerai menjual air dan keropok lekor berjaya ditahan beberapa orang penguatkuasa DBKL. Mereka kelihatan berbincang. Penjaja air itu kelihatan murung, cuma sesekali kelihatan senyum berhadapan penguatkuasa itu. Saya cuma melihat, kemudian bangun dan pergi menuju ke Central Market. Saya tidak tahu apakah nasib penjaja air tersebut. Mungkinkah dia disaman, disita atau cuma diberi amaran.

Ini adalah fenomena biasa di Kuala Lumpur. Biarpun disaman - disita beberapa kali. Siapa peduli? Lebih-lebih lagi jika gerai-gerai tolak itu disewakan kepada orang-orang Indonesia. "Ya pak...bisa aja....boleh..." Penjaja mana yang akan bakar diri. Ini Kuala Lumpurlah...

Kuala Lumpur jauh bezanya dari Sidi Bouzid. Jauh dari sudut pembangunan dan infrastruktur. Jauh dari sudut pemikiran dan budaya. Apapun bezanya, berapapun jaraknya; Kuala Lumpur dan Sidi Bouzid tetap dihuni oleh manusia-manusia yang punya hati dan perasaan. Manusia yang punya cita-cita dan wawasan. Manusia yang punya keluarga, teman-teman dan kehidupan. Manusia-manusia ini bisa gembira, ketawa, dan menangis. Inilah kita; manusia. Insan yang takkan terpisah dengan tembok geografi maupun faham agama dan politik. Semua kita adalah manusia-manusia bebas!

Kalaulah gerai Bouazizi tidak disita dan beliau tidak dikasari. Maka beliau tidak akan membakar dirinya Disember lalu dan masih hidup sehingga sekarang; meniti hari-hari yang penuh liku seperti hari-hari biasa yang lain. Kekal dengan keadaan hidupnya yang dihimpit kemiskinan justeru menyara ibu dan adik-adiknya yang lain.

Bouazizi adalah seorang terpelajar dari sebuah universiti tempatan. Bukti sebahagian dari proses kehidupan- peningkatan ilmu dan kefahaman. Sijil itu cuma kertas yang dicetak. Beliau menjual sayur dan buah apabila permohonannya menjadi tentera dan jawatan lain ditolak.

Sampailah Bouazizi dikhianati negaranya sendiri; debu-debu suci Sahara di Tunisia telah lama menjadi sebuah tanah yang korup. Beliau adalah seperti kita, punya cita-cita dan semangat. Rakyat biasa yang bergelut dengan kehidupan. Sidi Bouzid bukanlah syurga. Sebuah tempat; mungkin neraka - bandar yang menderita akibat penggangguran yang tinggi dan kadar korupsi pihak berkuasa yang telah mencapai klimaks. Berbanggalah ibunya Bouazizi. Anaknya syahid dalam mempertahankan hak dan maruah!

Kematian Bouazizi adalah manifestasi keangkuhan pihak berkuasa. Kematian Bouazizi pada 4 Januari 2011 adalah sejarah buat Sidi Bouzid dan Tunisia. Kematian Bouazizi adalah sejarah buat dunia. Di sinilah sekali lagi-revolusi bermula.

Saya tidak pasti apakah revolusi yang tercetus di Tunisia ini bakal menjadi "Kepingan domino pertama" seperti tulisan Anwar Ibrahim (gambar kanan) yang diterbitkan di laman The Wall Street Journal pada 26 Januari lalu? Tetapi sehingga saat ini; kita diperlihat dengan kebangkitan rakyat di beberapa negara Arab yang lain iaitu Mesir, Yaman dan Jordan.

Setakat artikel ini ditulis. Bekas Presiden Tunisia Zine El Abidine Ben Ali telah terbang ke Jeddah dan selamat dilindungi keluarga monarki Saudi, isterinya Leila lari ke Dubai manakala anak-anak mereka menyelamatkan diri ke England. Bayangkan, setelah 23 tahun memerintah, kerajaan Tunisia pimpinannya tumbang tidak sampai 24 jam! Rakyat di Mesir pula sedang berada dijalan-jalan raya memegang sepanduk dan melaungkan slogan-slogan anti Hosni Mubarak. Presiden Mubarak seorang lagi "diktator" yang diramal bakal terbang ke Saudi.

Kebangkitan ini dinamakan revolusi. Kebangkitan rakyat yang telah lama tertindas menentang kerajaan mereka sendiri. Apakah ertinya sesebuah negara kaya tetapi rakyatnya miskin disebabkan pemimpin yang korup?

Bangun melawan kerajaan yang zalim adalah patriotik. Rakyat di Tunisia, Mesir, Yaman dan Jordan telah membuktikan mereka patriotik. Manakala patriotisma acuan kita cukuplah dengan mengibarkan Jalur Gemilang semasa hari kebangsaan memenuhi setiap ruang bangunan, kenderaan, dan tiang-tiang lampu di jalan-jalan. Dilihat gagah dan perkasa.

Kematian Bouazizi memperlihatkan betapa kemiskinan itu mencengkam. Kekayaan cuma dibolot oleh keluarga Zine El Abidine Ben Ali dan kroni mereka. Pembaziran adalah suatu perkara biasa. Kebebasan bersuara rakyat disekat. Korupsi berleluasa sehingga ke akar umbi.

Lalu persoalan timbul, apakah Tunisia selepas revolusi akan digantikan dengan pemerintah yang baik? Apakah rakyat di benua arab akan berjaya membebaskan diri mereka dari belenggu pemerintahan kuku besi? "Transformasi" jalanan ini dilihat akan terus berlaku di dunia Arab. Kita ketepikan dulu soal "esok bagaimana". Yang penting; kebangkitan rakyat ini adalah sebuah manifestasi. Sebuah "akibat" - sebuah tanda kemarahan dan kebencian rakyat terhadap pemerintah yang zalim.

Bouazizi telah menjadi ikon revolusi. Pencetus kebangkitan Tunisia dan dunia yang dahagakan kebebasan. Sekarang, Tunisia bersedia untuk membangun sebagai sebuah negara demokrasi yang asli dan sekular. Para penjaja buah dan bunga takkan lagi khuatir; mereka takkan lagi dikasari. Sidi Bouzid akan terus dikenang, tersemat dalam catatan sejarah. Dan petang itu, Kuala Lumpur dibasahi hujan...

*Hafiz Zainuddin ialah penulis bebas.

Krisis Mesir: Universiti Al-Madinah tawar pelajar Al-Azhar tempat

5 Rabiulawal 1432H.[MOD]. February 07, 2011 -


KUALA LUMPUR, 7 Feb – Universiti Antarabangsa Al-Madinah (Mediu) menawarkan tempat kepada pelajar-pelajar Universiti Al-Azhar, Mesir untuk membolehkan mereka menyambung pengajian yang tertunda ekoran pergolakan di Mesir.

Rektor Mediu Prof Dr Mohammad Khalifa Al-Tamimi mengemukakan surat tawaran itu kepada Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Mediu Jamaluddin Hussain berkata dalam surat itu, Prof Dr Mohammad Khalifa menyatakan bahawa tawaran berkenaan akan merangkumi sistem pengajian secara e-pembelajaran dan sistem pengajian secara konvensional di bilik kuliah serba lengkap dengan kualiti pendidikan bertaraf antarabangsa Mediu di Plaza Masalam, Shah Alam.

Kira-kira 90 peratus modul pengajian bagi bidang pengajian Islam Mediu diambil daripada Universiti Al-Azhar dan sebahagian besar pensyarahnya berasal dari negara Timur Tengah dan Asia Barat yang menggunakan Bahasa Arab sebagai bahasa perantaraan.

Pensyarah-pensyarah universiti itu juga merupakan lepasan peringkat Doktor Falsafah (PhD) Universiti Al-Azhar, Universiti Islam Madinah, Universiti Islam Jordan, universiti tempatan dan beberapa universiti terkemuka yang lain.

“Kami percaya program ini akan memberi banyak manfaat untuk rakyat Malaysia terutamanya pelajar-pelajar dari Universiti Al-Azhar yang menerima musibah daripada konflik persengketaan yang menghampiri kejadian perang saudara yang melanda Mesir,” kata Prof Dr Mohammad Khalifa.

Beliau juga amat berharap agar Mediu diberi peluang untuk menabur bakti kepada para pelajar berkenaan untuk memastikan mereka mencapai cita-cita dan seterusnya menjadi warga yang berjasa kepada agama, negara dan bangsa. – Bernama