06 Jun 2011

Umno Perak bimbang gelombang PAS Ganti Umno

4 Rejab 1432H. [MOD] -



IPOH, 6 Jun: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) menganggap program ‘PAS Ganti Umno’ menakutkan  dan menggentarkan Umno Barisan Nasional negeri.

Sehubungan itu, setiausahanya, Salman Saleh merakamkan ucapan tahniah kepada penganjuran program besar PAS negeri yang bertemakan ‘PAS ganti Umno’ di dua lokasi yang terlibat  iaitu Zon Utara di Padang Rengas pada 15 Mei yang lalu dan pada 29 Mei, Zon Selatan di Pasir Salak di dalam usaha mengumpulkan seluruh petugas parti bagi tujuan persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Katanya, program itu membina semangat dan kekuatan baru untuk PAS Perak bagi persediaan petugas jentera pilihanraya parti yang memastikan untuk menumbangkan Umno BN nanti.

“Kami amat yakin program ini memberikan tamparan hebat buat Umno BN Perak yang masih bergelut dengan krisis dalaman mereka.

 “Keduanya bagi kami, Umno BN tidak akan duduk diam dengan hanya melihat kejayaan program ini oleh PAS Perak dan yakin akan ada usaha-usaha bagi memburukan keadaan tersebut," ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, jelas fitnah-fitnah dengan usaha menakutkan rakyat sedang bergerak sekarang dan tidak mustahil ianya digerakan oleh pihak-pihak tertentu yang bersekongkol dengan Umno BN.

Tambahnya, terlalu takut melihat gelombang yang dibina melalui program ‘PAS ganti Umno’ ini, Umno BN terdesak bagi menghalang kebangkitan rakyat Perak. 

Wanita berpakaian lelaki ditangkap di Masjid Nabawi

4 Rejab 1432H. [MOD] -


Gambar hiasan

MADINAH: Polis di Masjid Nabawi menahan seorang wanita Saudi yang berpakaian lelaki selepas dia memasuki kawasan jemaah lelaki berhampiran makam Rasulullah (SAW).

Jurucakap polis, Fahd Al-Ghaman memberitahu akhbar Okaz, pegawai mengesyaki sesuatu tidak kena pada ‘lelaki’ itu kerana bentuk badannya. Dia kemudian ditahan ketika meninggalkan kawasan berkenaan sebelum diserahkan kepada polis.

Satu sumber berkata, penyiasat tidak yakin dengan dakwaan wanita itu bahawa dia hanya mahu melihat kawasan berkenaan.

“Wanita itu cuba melarikan diri apabila ditahan. Tetapi dia menyerah diri selepas lelaki yang ada bersamanya, berjaya ditangkap. Lelaki itu ialah suaminya,” kata seorang pengawal masjid berkenaan. 

Agensi

Pimpinan baru PAS menggerunkan Umno

4 Rejab 1432H. [MOD] -



Sebagai seorang ahli PAS seumur hidup, saya tidak mahu sesiapa pun memimpin PAS kecuali orang-orang yang bertaqwa. Apabila ulama (“berpendidikan aliran agama”) yang dipilih perwakilan  memimpjn PAS, biarlah ulama itu ulama yang bertaqwa. Apabila insan bukan ulama (“bukan dari pendidikan aliran agama”) dipilih perwakilan memimpin PAS, biarlah insan itu insan yang bertaqkwa, Insha Allah.

Takdirnya, pada pemilihan pucuk pimpinan PAS kali ini, para perwakilan telah, buat kesekian kalinya, memilih insan yang bertaqwa untuk memimpin parti dalam tempoh dua tahun yang akan datang. Kali ini, insan yang bukan dari aliran pendidikan agama (tidak semestinya mereka ini bukan ulama) telah dinobatkan sebagai Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden.  Mereka memiliki kelebihan – dua orang dari mereka pernah melalui proses pentarbiyyahan Kem Kemunting dan kesemuanya adalah aktivis parti yang paling ketara (visible), terserlah dan berwibawa yang telah menjelajah seluruh pelusuk negara. Lebih dari itu, mereka telah menyertai pilihan raya dan menang dan mereka juga adalah jaguh demonstrasi di jalan raya. Kalau keadaan memaksa rakyat untuk turun ke jalan raya seperti mana yang telah berlaku di Tunisia, Mesir dan beberapa buah lagi Negara Arab, saya rasa inilah orangnya yang akan berada di barisan hadapan.

Mereka adalah ahli PAS yang telah melalui proses pentarbiyyahan yang panjang, lalu mereka itu  kenal dengan apa itu Islam dan perjuangan Islam. Dari segi ilmu Islam dan ketaqwaan yang dimiliki, mereka sebenarnya layak dipanggil ulama. Lidah mereka sentiasa basah dengan ayat-ayat Al-Qur’an dan Hadith-hadith. Mereka kenal akan hukum hakam Islam. Di sana ada Majlis Syura Ulama yang memberi legitimasi kepada seluruh keputusan yang diambil parti. Sistem pembuatan keputusan yang wujud di dalam PAS memberi keanjalan yang luas bagi ahli-ahli memilih pemimpin. Sama ada yang dipilih itu “ulama” atau “bukan ulama,”  legitimasi perjuangan PAS dan segala tindak tanduknya tetap bersumber dan berpaksikan Al-Qur’an, Sunnah, Qias dan Ijma Ulama. Harus diperhatikan bahawa kebanyakan gerakan Islam di dunia hari ini – dari Negara-negara Arab, Turki dan lran hinggalah ke Asia (India, Pakistan, Bangladesh, Indonesia dan Malaysia) – dipimpin oleh gabungan ulama dan profesional.

Satu kejayaan besar dari sistem pentarbiyyahan PAS ialah ia telah berjaya “mengulamakan” golongan profesional dan yang bukan dari aliran pendidikan Islam dan ia telah berjaya pula “memprofesionalkan” golongan ulama dan yang dari aliran pendidikan Islam. Sesungguhnya, insan yang ada nilai di sisi Allah hanyalah insan yang bertaqwa. Inilah dia intisari daripada sistem pentarbiyyahan PAS – untuk mewujudkan insan yang bertaqwa, Insha Allah.  PAS adalah parti bagi orang bertaqwa yang sentiasa tunduk kepada perintah Allah SWT.       

Di luar sana ramai insan yang berstatus ulama. Ada ramai ulama di dalam Biro Agama UMNO. Di Pusat Islam ada ramai ulama. Di Majlis Agama Islam negeri-negeri ada ramai ulama. Tetapi perjuangan mereka (harus ditekankan, tidak semua) itu berbeza dengan perjuangan para ulama yang berada di dalam PAS. Ulama dalam PAS, yang bertaraf pemimpin nasional mahu pun pemimpin negeri, kawasan dan cawangan atau ahli biasa, semuanya insan yang bertaqwa, Insha Allah. Kalau mereka tidak memiliki ketaqwaan yang tinggi, mana mungkin mereka berada di dalam sebuah jemaah Islamiah seperti PAS. Mana-mana jemaah yang perjuangannya bermatlamat menegakkan Al-Qur’an dan Sunnah, Qias dan Ijma Ulama sebagai perlembagaan dan undang-undang bagi ummah, maka itulah dia jemaah Islamiah dan sesiapa sahaja yang berada dan berjuang di dalam jemaah Islamiah, maka mereka adalah orang-orang bertaqwa, Insha Allah.  Di dalam bahtera PAS hari ini terhimpun orang-orang bertaqwa dari setiap lapisan dan golongan masyarakat yang pada kalbu mereka sentiasa bersemarak kalimah “Lailaha Ilallah Muhammadur Rasulallah.” Yang lebih menggerunkan musuh ialah sudah wujud pula golongan orang bukan Islam yang  merestui perjuangan PAS dan mahu bersama-sama untuk melangsungkan perjuangan.

Umno bukan satu jemaah Islamiah. Ianya jemaah kovensional yang dasarnya “agama suku dan politik suku.”  Pemimpin-pemimpinya selalu melaungkan kata-kata ”jangan campur-adukan agama dan politik.”  Pemimpin UMNO tidak pernah tahu bahawa berpolitik itu adalah cara hidup para nabi. UMNO, kerana dasarnya konvensional, cukup serasi dengan pendekatan “matalamat menghalalkan cara.” UMNO menggunakan fitnah seks untuk menjatuhkan lawan. Ia memainkan isu perkauman supaya bila tercetus rusuhan kaum seperti “Peristiwa 13 Mei,” maka bolehlah ia terus berkuasa. Dalam tempoh lebih daripada 50 tahun UMNO berkuasa ia telah merosakkan lembaga-lembaga utama di dalam masyarakat dan Negara seperti badan kehakiman, polis, tentera, badan pencegah rasuah, suruhanjaya pilihan raya dan sistem pendidikan Negara. UMNO gagal mengagihkan kekayaan Negara secara adil. Kebokrokan ini berlaku kerana ulama yang ada di dalam UMNO semuanya bisu.  Mereka melihat kemungkaran dilakukan oleh pemimpin-pemimpin mereka tetapi mereka tidak berani melarang. Malah, mereka tergamak pula mencipta hujjah dan hukum untuk memberi legitimasi kepada kemungkaran yang dilakukan.

Dengan menobatkan Mohamad Sabu, YB Salahuddin Ayub, YB Husam Musa dan YB Mahfudz Omar ke barisan kedua dan ketiga di dalam hiraki kepimpinan PAS, bermakna para perwakilan terus memperkasakan gabungan kepimpinan ulama dan profesional di dalam parti. Sekali gus, para perwakilan menghantar isyarat-isyarat berikut kepada UMNO-BN: 

  • Revolusi rakyat yang dipimpin oleh gabungan ulama dan profesional telah berjaya menumbangkan dua orang diktator paling liat dan “notorious” dalam zaman moden ini, iaitu,El  Zine Abidine Ben Ali (Tunisia) dan Hosni Mubarak (Mesir), maka dengan memperkasakan gabungan pimpinan ulama dan profesional di dalam PAS, adalah diharapkan akan  tercetus pula revolusi rakyat Malaysia yang kelak berkemampuan menumbangkan kerajaan zalim UMNO-BN dalam pilihan raya ke 13 ini. 

  • Personaliti yang dipilih memang terkenal sebagai “great mobilizer of people” (penggerak orang ramai yang berwibawa).” Mereka telah membuktikan kemampuan memobilisasikan puluhan malah ratusan ribu manusia untuk turun ke jalan raya memprotes kezaliman. Jika UMNO-BN mahu terus menodai sistem pilihan raya pada pilihan raya ke 13 ini, maka jangan dipersalahkan Mohamad Sabu, YB Salahuddin Ayub, YB Husam Musa dan YB Mahfudz Omar, jika sekiranya rakyat turun ke jalan raya memprotes pilihan raya yang tidak adil. 
  • Dengan menambahkan golongan profesional di dalam hiraki kepimpinan PAS, pengundi bukan Melayu melihat bahawa PAS menjadi sebuah parti yang semakin mesra rakyat bukan Melayu. Pengundi-pungundi bukan Melayu, khasnya orang Cina dan India, telah lama menyuarakan bahawa mereka ingin melihat lebih ramai profesional menjadi pemimpin PAS kerana mereka berkeyakinan kejayaan pengurusan ekonomi Negara menuntut kehadiran golongan profesional yang bersih, berintegriti, bijaksana dan berilmu tinggi.  Ulama memandu dan golongan profesional melaksana. Para perwakilan melihat bahawa jalan yang selesa untuk memenangi dan menambat hati orang bukan Melayu supaya bersama dengan PAS ialah dengan melakanakan apa jua perkara baik dan bermanfaat untuk semua yang mereka suarakan.

Pemerkasaan gabungan pimpinan ulama dan profesional di dalam PAS menghantar angin dingin ke dalam sum-sum UMNO. Ia menambahkan lagi kegerunan mereka untuk berdepan dengan Pakatan Rakyat di dalam pilihan raya ke 13 yang akan berlangsung bila-bila masa selepas Muktamar PAS ke 57 ini. Tahniah kepada semua calon yang menang. Kepada yang kalah jangan pula berbalasungkawa kerana ruang perjuangan itu amat luas.    

Tersembam disentap peragut

4 Rejab 1432H. [MOD] -


Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU: Seorang pekerja kantin Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) nyaris maut selepas menjadi mangsa ragut seorang lelaki bermotosikal di Jalan Pengadang Baru, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, Norhayati Ibrahim, 35, yang membonceng motosikal ditunggang suaminya, Fauzi Abdullah Abdul Ghani, 45, tersembam di atas jalan raya selepas cuba menahan beg tangannya disentap peragut terbabit.

Tindakan suami mangsa mengejar peragut berkenaan berjaya menghalang niat penjenayah daripada mengambil semula beg tangan mangsa yang tercampak di atas jalan.

Norhayati yang tinggal di Kampung Wakaf Mempelam ketika ditemui di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) berkata, dia bersyukur kerana nyawa serta barangan berharga di dalam beg tangan itu dapat diselamatkan.

Menceritakan detik cemas itu, dia berkata, kejadian berlaku terlalu pantas dan dia langsung tidak perasan kehadiran suspek yang mengekori mereka ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Kami berdua baru pulang menghadiri kenduri kahwin dan singgah di beberapa kedai untuk melihat barangan perabot di sekitar Jalan Pengadang Baru sebelum berhenti mengisi minyak di stesen berhampiran.

“Sebaik keluar dari stesen minyak itulah peragut menyambar beg tangan di atas riba. Saya sempat menguatkan pegangan beg tangan dan cuba melawan.

“Akibat disentap dengan kuat saya tersembam atas jalan manakala beg tangan pula tercampak di atas jalan. Suami bergegas membrek motosikal selepas melihat saya terlantar dan mengejar lelaki berkenaan serta menghalang beg dicapai peragut,” katanya.

Sementara itu Fauzi Abdullah berkata, dia tidak sedar isteri sedang melawan peragut di belakangnya sehinggalah terdengar suara isterinya cuba melawan dan akhirnya terjatuh dari motosikal akibat disentap peragut terbabit.

“Hanya Tuhan saja tahu betapa cemasnya melihat keadaan isteri terlantar atas jalan raya yang agak sesak ketika itu, selepas melihat isteri bangun semula saya bergegas mengejar suspek yang cuba mengambil beg tangan isteri yang terjatuh.

“Meskipun beg tangan berjaya diselamatkan, saya gagal mengejarnya kerana peragut berpakaian baju coklat berseluar hitam itu lesap sebaik melalui lorong tikus di kampung berhampiran kawasan terbabit.

“Melihat keadaan motosikal Yamaha Ego warna hitam yang tidak dipasang nombor pendaftaran, memang lelaki ini sudah merancang jenayah itu,” katanya yang akan menyerahkan kes berkenaan kepada pihak berkuasa.

Israel tembak penunjuk perasaan

4 Rejab 1432H. [MOD] -



DAMSYIK: Tentera Israel menembak mati tiga orang dan mencederakan sembilan yang lain apabila melepaskan tembakan terhadap remaja yang cuba memanjat pagar kawat berduri di Bukit Golan, semalam.

“Tiga orang terbunuh, termasuk seorang kanak-kanak dan sembilan yang lain cedera akibat tembakan tentera Zionis di Bukit Golan, wilayah yang dijajah rejim itu,” lapor televisyen Syria.

Rakaman televisyen itu menunjukkan golongan remaja yang menunjuk perasaan cuba memanjat pagar kawat berduri itu sementara tentera Israel di atas kereta kebal melepaskan tembakan.

Remaja Syria dan Palestin mengadakan tunjuk perasaan bagi mengingati ulang tahun Perang Enam Hari 1967 yang menyaksikan rejim Israel menawan Bukit Golan.

Mereka turut melaungkan slogan dan melontar batu sambil memanjat pagar di beberapa lokasi dalam usaha memasuki wilayah berkenaan.

Pada 15 Mei lalu, tentera Israel menembak mati 12 orang dan mencederakan beratus-ratus penduduk Palestin yang berarak ke sempadan Israel dengan Lubnan, Syria dan Gaza dalam tunjuk perasaan mengecam pembentukan negara Yahudi.

Israel sebelum ini berikrar untuk mengalang tunjuk perasaan itu daripada berulang.

Perdana Menteri rejim Zionis, Benjamin Netanyahu memberitahu Kabinetnya, dia mengarahkan tentera Israel bertindak keras bagi melindungi sempadan, masyarakat dan rakyat Israel. 

Reuters

Wanita maut kena renjatan pemanas air

4 Rejab 1432H. [MOD] -



BANGI: Seorang wanita berusia 26 tahun maut akibat terkena renjatan elektrik dipercayai berpunca daripada alat pemanas air di bilik mandi rumahnya di Kampung Aman, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa yang baru bangun dari tidur masuk ke bilik air berkenaan untuk mandi.

Bagaimanapun, disebabkan mangsa tidak tahan dengan air yang terlalu sejuk, dia menggunakan alat pemanas air.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abdul Rashid Abdul Wahab berkata, ketika menghidupkan alat pemanas air itu badan mangsa berkemungkinan basah selain peralatan terbabit dipercayai rosak menyebabkan mangsa terkena renjatan elektrik.

“Mangsa yang terkena renjatan elektrik itu menjerit dengan kuat sebelum rebah. Jeritan kuat mangsa didengari ahli keluarganya sebelum mereka bergegas ke bilik air berkenaan,” katanya.

Cedera dihempap batu nisan

4 Rejab 1432H. [MOD] -


Gambar hiasan

TRENTON (New Jersey): Seorang wanita dikejarkan ke hospital selepas cedera akibat dihempap batu nisan ketika dia melakukan seks dengan teman lelakinya.

Polis berkata, wanita berusia 39 tahun itu bersama teman lelakinya berada di satu tanah perkuburan untuk melawat kubur seorang anggota keluarganya.

Mereka disyaki melakukan seks di tanah perkuburan itu selepas itu.

Bercakap kepada wartawan, penyiasat, Kapten James Stevens berkata: “Mungkin ada kegiatan luar biasa yang mereka lakukan di tanah perkuburan itu.” Wanita berkenaan bagaimanapun tidak cedera parah.

Pihak pengurusan tanah perkuburan berkata, mereka menanti laporan polis sebelum membuat sebarang pendakwaan. 

Agensi

‘Opah pukul, herdik atuk’

4 Rejab 1432H. [MOD] -


IPOH: “Saya terkejut dan terkilan dengan tindakan opah kerana hakikatnya, opah yang selalu memukul serta mengherdik atuk (datuk),” luah seorang lelaki yang digelar ‘cucu iblis’ oleh neneknya.

Dia yang hanya mahu dikenali Noor, 29, tidak sangka nenek yang membelanya sejak kecil, tergamak menggelarnya sedemikian serta menabur pelbagai fitnah terhadapnya. 

Katanya, paling menyedihkan apabila dia dikatakan mendoakan supaya wanita warga emas itu meninggal dunia secepat mungkin kerana menyusahkan hidupnya dan memanggil wanita itu ‘babi’. 

“Saya begitu terkejut ketika membaca sebuah akhbar pagi tadi (semalam) kerana saya adalah individu dimaksudkan dalam berita bertajuk ‘Cucu hati iblis’.

“Mengalir air mata kerana sebagai umat Islam, saya tahu adalah dosa besar untuk menderhaka apatah lagi mendoakan perkara tidak baik kepada orang lain, terutama ahli keluarga sendiri,” katanya sebak.
4 Rejab 1432H. [MOD] -



PADANG SERAI, 6 Jun: Keputusan pemilihan kepimpinan PAS yang telah berlalu baru-baru ini membuktikan bahawa parti tersebut berjaya menangani masalah yang cuba dicipta oleh Umno dan BN dalam isu ulama dan Erdogan yang cuba dikaitkan.

Apa yang telah diputuskan oleh para perwakilan, dilihat menggambarkan aspirasi sebenar mereka yang inginkan pembaharuan dalam organisasi yang diharapkan oleh masyarakat Melayu dan Islam sebagai pengganti kepada Umno yang telah memerintah negara sekian lama.

Naib Presiden PKR, N Surendran (gambar) berkata demikian ketika ditemui selepas majlis dialog dan ramah mesra dengan masyarakat di sini, semalam.

Katanya lagi, usaha Umno dan BN melalui media arus perdana  untuk melaga-lagakan kepimpinan PAS terutamanya bagi jawatan timbalan dan naib presiden tidak kesampaian, apabila calon-calon yang tewas tidak pun menunjukkan kekecewaan atas keputusan yang telah mereka terima.

"Sebaliknya Umno dan BN sendiri menggigit jari apabila melihat agenda fitnah yang ingin mereka lemparkan bagi mengeruhkan suasana pemilihan tidak menjadi realiti.

"Ini juga membuktikan kematangan yang ada dalam organisasi tersebut, berjaya menidakkan hasrat menggunung Umno dan BN yang ingin melihat berlakunya kecelaruan dalam pemilihan baru-baru ini," ujarnya lagi.

Malah, katanya gandingan antara muka baru dan muka lama mampu untuk membantu mencapai kejayaan yang diinginkan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.

"Syabas juga diucapkan kepada mereka yang berjaya mempertahankan jawatan sebagai naib presiden dan barisan kepimpinan dalam jawatankuasa yang menggandingkan muka baru dan juga lama," tegasnya lagi.

Pelajar dalang curi motosikal

4 Rejab 1432H. [MOD] -


ADZMAN menunjukkan enjin dan rangka motosikal yang dirampas daripada lima remaja termasuk tiga pelajar sekolah di Alor Setar semalam.

ALOR SETAR - Kegiatan tiga pelajar sekolah bersekongkol dengan dua remaja yang gemar mencuri motosikal di depan rumah dan kawasan surau sejak awal tahun ini terbongkar apabila kelima-lima mereka ditahan di kawasan Anak Bukit di sini baru-baru ini.

Dalam operasi sejak 26 Mei lalu itu, polis menemui empat rangka, sebuah enjin dan sepasang rim motosikal.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzman Mohd. Jan memberitahu, siasatan mendapati salah seorang pelajar yang ditahan itu berusia 14 tahun dan disyaki menjadi dalang kegiatan tersebut.

Katanya, kegiatan mereka terbongkar selepas dalangnya diberkas penduduk ketika cuba mencuri motosikal di kawasan Anak Bukit pada pukul 3.15 pagi.

"Polis yang menerima maklumat kemudian telah membuat operasi diketuai oleh Inspektor Mohd. Hafeez Assad Mohd. Saad dan dapat menahan empat lagi rakannya berusia di antara 13 dan 19 tahun.

"Dalam serbuan itu, kita menemui tiga rangka motosikal di kawasan semak, manakala sebuah lagi rangka dan sebuah enjin di dalam tali air," katanya di sini semalam.

BN cemas: Realiti PAS ganti Umno di ambang mata

4 Rejab 1432H. [MOD] -



Apakah bahayanya jika golongan profesional menguasai PAS? 

Mengapa Utusan Malaysia dan akhbar arus perdana begitu takut dengan keputusan pemilihan perwakilan muktamar PAS ke-57? Apakah perubahan besar yang mereka jangka akan berlaku berikutan keputusan ini?

Benarkah dalam muktamar PAS kali ini golongan ulama tewas? Tepatkah bacaan dan tafsiran yang dibuat oleh media arus perdana yang memang selama ini tidak pernah bersimpati kepada PAS dan kerabat Pakatan Rakyat itu? 

Yang jelas, tafsiran dan analisis media arus perdana yang diketuai oleh Utusan Malaysia ini memang salah! Mungkin kesalahan ini berlaku kerana kejahilan atau niat sengaja untuk mencari-cari kelemahan dalam PAS dan Pakatan Rakyat. 

Hakikatnya ialah, PAS memang sebuah parti yang bergerak berteraskan ajaran Islam. Maka setiap ahlinya secara langsung atau tidak harus melalui proses tarbiyah untuk bukan sahaja mengenali erti halal haram tetapi bagaimana menentukan keadilan kepada semua dalam tata-kelola negara dan masyarakat. 

Sebab itu, apabila Utusan dan Berita Harian membuat laporan kekalahan ulama dalam muktamar kali ini, ia menggambarkan kebebalan mereka memahami sejarah, ideologi perjuangan dan juga konsep politik yang diperjuangkan parti itu. 

Menurut Datuk Husam Musa, seorang yang digelar profesional dan dikatakan condong kepada pemikiran Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, setiap pemimpin profesional yang dipilih menerajui PAS kali ini adalah anak didik ulama PAS sendiri.

Ulama kalah?

Oleh itu, tidak timbul soal ulama kalah dalam pemilihan kali ini. Sebaliknya, ulama yang menang. Pentarbiyahan ulama PAS sudah menampakkan hasilnya. Anak-anak muda yang dilatih dengan sejarah perjuangan PAS dan memiliki ijazah profesional kini menggalas tanggungjawab menjadikan PAS parti lebih dinamis dalam iklim politik Malaysia. 

Lantas apa yang dapat disimpulkan daripada laporan media arus perdana akan pemikiran pemimpin Umno, ahli-politik yang tercicir dalam sayembara siasah Malaysia dan media pencacai mereka ialah cemas, kalut dan sedih. 

Nada cemas dan membuahkan reaksi kalut ini dapat diukur di segi betapa bercelarunya komen yang dikutip oleh akhbar-akhbar pro-Umno ini. Ada di kalangan pemimpin UImno yang meratapi anjakan yang dibuat oleh PAS kerana dikatakan tidak lagi memperjuangkan konsep negara Islam dan memilih moto negara berkebajikan.

Jika benar mereka ikhlas dalam memberi komen, maka kini barulah kita tahu bahawa mereka selama ini adalah pengkagum PAS yang mahu menegakkan negara Islam. Dan, kini mereka amat bersedih kerana PAS beranjak mahu negara berkebajikan. Salah seorang dari mereka dari golongan ini adalah Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Rupa-rupanya Utusan dan pemimpin Umno berkenaan cuba belajar dari sejarah. Melihat kejayaan pejuang Islam mengambil alih pemerintahan Turki dari golongan sekular seperti Umno di Malaysia, mereka cuba melekatkan persepsi bahawa golongan ini di bawah payung pemikiran Anwar Ibrahim mahu mengambil alih pemerintahan negara daripada Umno yang sekular. 

Mereka namakan golongan ini sebagai kumpulan Erdogan, sempena nama pemimpin gerakan Islam Turki hari ini.

Janda politik

Baiknya sudut pandangan ini ialah, Utusan dan pemimpin Umno berkenaan mengaku bahawa golongan sekular memang boleh ditundukkan seperti yang berlaku di Turki dan dalam iklim politik Malaysia yang sekular ialah Umno. 

Cuma cop kumpulan Erdogan ini digunakan untuk menakut-nakutkan orang Melayu yang belum celik perubahan sejarah, betapa Umno yang sekular akan tersungkur dalam pilihan raya umum akan datang.

Ada juga yang tiba-tiba menafsirkan pemilihan itu sebagai kejayaan DAP menyempurnakan penguasaannya terhadap parti berteraskan perjuangan Islam dan Melayu itu. Seorang yang mempunyai pemikiran liar begitu ialah, janda politik, yang menjadi wakil rakyat tetapi tidak mempunyai parti selepas diceraikan oleh PKR.

Entah ilmu mantik apa yang digunakannya, kesimpulan beliau bahawa DAP kini sudah menguasai PAS ternyata ucapan seorang yang “meroyan”.

PAS dengan DAP kini merintis jalan mencari lebih banyak titik persamaan – menumbangkan Umno-BN – dan tidak timbul soal siapa menguasai siapa. Namun tidak sukar difahami pemikiran Zulkifli yang sempit kerana telah terlalu lama hidup bersendirian sebagai seorang “janda politik”.

Mungkin dengan bercakap betapa PAS terlepas peluang pimpinan ulama, Zulkifli berharap ada ulama yang menaruh belas kasihan dan melamarnya untuk masuk PAS seperti Ibrahim Ali yang tidak berparti tetapi diambil PAS untuk menjadi anak angkat dan disokong bertanding pilihanraya umum ke-12 lalu. Namun bila golongan profesional memimpin PAS, peluang ini tertutup sama sekali. Kasihan Zulkifli si-janda politik.

Diterima di akhirat 

Apa jua logik yang digunakan untuk menafsirkan pemilihan lebih ramai profesional dalam barisan pimpinan PAS itu, ternyata dibuat dari lubuk hati yang cemas dan menghasilkan komen yang kalut dan dangkal.

Pengkagum Umno, Syed Azidi Abdul Aziz yang menggunakan nama samaran Kickdefella dalam blognya, menyatakan bahawa bagi rakyat Malaysia beragama Islam, pertembungan PAS dan Umno pada masa hadapan bukan lagi untuk memilih syurga dan neraka di akhirat, tetapi syurga dan neraka di dunia mereka.

Jelas betapa sempitnya kefahaman Islam Kickdefella ini. Mungkin beliau tidak faham bahawa kebaikan dan keadilan yang dilaksanakan di dunia ini akan menentukan ganjaran apa yang diterima di akhirat. Sebab itu PAS mahu menegakkan negara berkebajikan untuk kebaikan umat di dunia demi mendapat ganjaran syurga di akhirat! 

Sukar hendak pastikan pandangan insan sebegini sama ada ia bebal, jahil atau semata-mata kerana pintu hati sudah tertutup daripada mengenali kebenaran.

Pandangan yang meragu-ragukan seumpama ini dikutip oleh Utusan daripada Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya. Beliau dilaporkan sebagai mencabar PAS supaya segera menjelaskan pengertian negara berkebajikan dan tidak meninggalkan rakyat tertanya-tanya apakah pengertian negara Islam yang sebelum ini hendak diperjuangkan oleh PAS.

Penghinaan dayafikir Melayu-Islam

Jika benar itu yang dikatakan oleh Dr Juanda, maka ternyata beliau pun tidak jauh daripada kelompok Kickdefella. Cuma jika benar Dr Juanda berkata demikian, maka dia sendiri seharusnya tahu apa hukumnya iaitu, tugas seorang mufti seharusnya turut mengimarahkan konsep negara berkebajikan ke cuping telinga pemimpin-pemimpin Umno beragama Islam dan bukan cuba menanam kesangsian di kalangan rakyat mengenai konsep negara berkebajikan itu. 

Namun Awang Selamat, jaguh Utusan, seperti biasa cuba melontarkan sudut pandang yang negatif terhadap sesiapa sahaja yang cuba mencabar Umno. Kini apabila PAS melangkah untuk membuktikan dinamisme politiknya, Utusan meratapi kekurangan bilangan kepemimpinan ulama dalam PAS. 

Memang sikap hipokrit. Ini kerana apabila PAS dipimpin ulama, mudah bagi Utusan menggambarkan betapa ulama tidak arifnya kepemimpinan PAS dalam banyak hal tatakelola kerajaan dan isu antarabangsa.

Ini memang alur pemikiran umno. Jika rakyat terus dibebalkan dengan hiburan dan kemunduran ekonomi, ia beranggapan bahawa rakyat, khususnya melayu, akan terus bergantung harap kepada Umno untuk memelihara dan memperjuangkan nasib dan masa depan ekonomi mereka. 

Maka Utusan dan media pro-Umno menggunakan logik ini dalam menafsirkan apa yang berlaku dalam PAS. Ternyata andaian atau gagasan pemikiran ini salah, zalim. Malah ia satu penghinaan terhadap dayafikir orang Melayu-Islam yang membuat dalam keputusan memilih barisan pimpinan baru PAS.

Sebenarnya, apa yang ditakuti ialah golongan profesional Islam ini akan berhasil meneraju PAS diterima setiap lapisan rakyat Malaysia dan menggantikan Umno!

M/kini

Pemimpin PAS: ‘Kami tak korban prinsip, Muhyiddin kena belajar dengan ulama’

4 Rejab 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 6 Jun — Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu belajar dengan ulama atau bertanya mufti sebelum membuat sebarang kenyataan mengenai PAS kononnya ia sudah menggadai prinsip Islam, kata timbalan presiden baru Mohamad Sabu.

Sehubungan itu tegas beluau, dakwaan Muhyiddin yang mengatakan PAS sudah mengorbankan prinsip Islam kerana kepentingan politik adalah tidak berasas sama sekali.

“Muhyiddin perlu belajar dengan ulama atau berbincang dengan mufti sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan.

“Dia tak boleh kata kita begitu kerana kepimpinan kita adalah ulama yang berwibawa yang merujuk kepada al-Quran dan Hadis,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Muhyiddin (gambar) semalam bahawa PAS sudah mengorbankan prinsip-prinsip Islam demi kepentingan politik sedangkan parti itu sepatutnya menggunakan muktamar kali ini untuk mencari kebenaran di sebalik isu video seks didakwa membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Muktamar Tahunan PAS Ke-57 yang berakhir semalam ada meluluskan usul, yang dibawa Dewan Ulama, mengecam tindakan penayangan video seks itu dan dianggap sebagai satu fitnah.

“Jadi saya nak tegaskan di sini bahawa berbincang dengan ulama terlebih dahulu sebelum bagi pandangan.

“Perkara itu membabitkan zina dan kita tidak boleh beri pandangan sendiri,” kata Mohamad.

Sementara itu, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata, apa yang diucapkan oleh Muhyiddin adalah mereka yang tidak tahu akan prinsip dan keadilan dalam Islam.

“Dia (Muhyiddin) tak tahu prinsip keadilan Islam. Prinsip Islam ialah tidak dibenar mengaibkan orang lain. Itu prinsip Islam kita.

“Tuduhan terhadap (Datuk Seri) Anwar merupakan tuduhan yang melibatkan maruah,” kata beliau yang mempertahankan kerusinya buat penggal kedua.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menambah, seseorang Muslim juga tidak dibenarkan menghukum mana-mana pihak sesuka hati kerana dalam Islam tidak mengajar agar umatnya mengaibkan orang lain.

Seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar hanya ketawa apabila diajukan soalan mengenai kenyataan timbalan perdana menteri itu.

Katanya, Muhyiddin dan pemimpin Umno kini dilihat sudah mulai gelabah dan ia menunjukkan petanda kejayaan muktamar kali ini.

“Muhyiddin dan pemimpin-pemimpin Umno dilihat semakin menggelabah. Nampaknya muktamar kali ini berjaya membuatkan mereka kucar-kacir.

“Nasihat saya kepada Muhyiddin ialah lebih baik dia banyak belajar dari ulama jika nak bercakap mengenai soal zina dan qazaf,” katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena ini juga memberitahu, jangan disebabkan politik, asas agama tergadai.

“Apa yang dicakap Muhyiddin tidak langsung bersandarkan prinsip pada agama. Beliau patut rujuk pada ulama.

“Sama ada PAS mengetepikan Islam atau tidak, itu tidak muncul. Umno sedang dalam kegelabahan kerana perkara yang mereka cetuskan, masyarakat menolaknya,” katanya. 

Empat mayat penumpang bot karam ditemui

4 Rejab 1432H. [MOD] -


ANGGOTA APMM meronda menggunakan sebuah bot bagi mencari mayat mangsa bot karam di Tanjung Ayam, Pengerang, Kota Tinggi semalam.

KOTA TINGGI - Empat lagi mayat lelaki warga Indonesia yang hilang selepas sebuah bot pancung karam di Tanjung Ayam, Pengerang di sini ditemui semalam.

Salah satu mayat ditemui pada pukul 8 pagi semalam oleh penduduk kampung di pantai Sungai Rengit di sini diikuti satu lagi mayat di selatan Tanjung Stapa kira-kira pukul 9.52 pagi.

Dua lagi mayat ditemui oleh anggota Maritim Malaysia (APMM) di Teluk Ramunia masing-masing pada pukul 10.30 pagi dan 1.30 petang.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zulkifili Abu Bakar berkata, kesemua mayat itu telah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.

"Berikutan penemuan itu, sehingga kini enam daripada tujuh mangsa tragedi tersebut telah ditemui selepas dua mayat dijumpai kelmarin dan Jumaat lalu," katanya.

Bertelagah baki wang hantaran

4 Rejab 1432H. [MOD] -




KANGAR: “Maafkan sayang abang, abang sayang yang nak jadi wali itu tidak boleh terima abang lagi atas apa yang abang cakap keluarga sayang zalim.”

Begitu antara kandungan SMS diterima jurujual kenderaan dikenali sebagai Aizat 37, daripada bakal isterinya menyebabkan majlis ijab kabul pasangan berkenaan yang sepatutnya diadakan kira-kira jam 10 pagi semalam, dibatalkan.

Semuanya berpunca daripada pertelagahan baki wang hantaran yang sepatutnya dipersetujui kedua-dua pihak dilangsaikan ketika majlis akad nikah semalam. 

Justeru, Aizat yang berasa dirinya dipermainkan dan ditipu keluarga gadis berkenaan membuat laporan di Balai Polis Kangar, kira-kira jam 10 pagi.

Aizat berkata, dia menerima SMS terbabit daripada bakal isterinya berusia 20 tahun yang dikenali sejak tiga bulan lalu jam 11.44 malam kelmarin iaitu 11 jam sebelum majlis akad nikah dijadual berlangsung di sebuah masjid di Simpang Empat, dekat sini.

Leher lelaki dijerut dengan baju

4 Rejab 1432H. [MOD] -


ANGGOTA polis mengangkat mayat Kim Loong yang mati dijerut oleh pembunuhnya dalam kejadian di sebuah apartmen di Pandan Utama, Ampang Jaya

AMPANG JAYA – Rutin hidup seorang wanita tua adalah datang ke rumah anak lelakinya di sebuah apartmen di Pandan Utama di sini tiga hari sekali untuk mengemas dan mengambil baju kotor lelaki itu.

Bagaimanapun, semalam Yoke Ching, 65, tidak menyangka kunjungan ke rumah anak kesayangannya, Ng Kim Loong, 45, pada pukul 8 pagi di tingkat lapan apartmen tersebut membuatkan dia trauma apabila menemui mayat lelaki itu terlentang di atas katil dengan kaki dan tangannya diikat.

Leher pengurus sebuah kedai jam di pusat beli-belah Lot 10 Bukit Bintang di sini yang masih bujang itu turut dijerut selain terdapat kesan lebam di muka.

“Saya sangka dia sedang tidur ketika saya datang. Selepas tunggu di ruang tamu selama setengah jam, saya jadi pelik sebelum meninjau ke dalam bilik tidur.

“Alangkah terkejutnya saya apabila mendapati dia telah mati dengan tangan dan kakinya diikat. Lehernya pula dijerut dengan baju,” ceritanya ketika ditemui di sini semalam.