4 Rejab 1432H. [MOD] -
Gambar hiasan
KUALA TERENGGANU: Seorang pekerja kantin Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) nyaris maut selepas menjadi mangsa ragut seorang lelaki bermotosikal di Jalan Pengadang Baru, dekat sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, Norhayati Ibrahim, 35, yang membonceng motosikal ditunggang suaminya, Fauzi Abdullah Abdul Ghani, 45, tersembam di atas jalan raya selepas cuba menahan beg tangannya disentap peragut terbabit.
Tindakan suami mangsa mengejar peragut berkenaan berjaya menghalang niat penjenayah daripada mengambil semula beg tangan mangsa yang tercampak di atas jalan.
Norhayati yang tinggal di Kampung Wakaf Mempelam ketika ditemui di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) berkata, dia bersyukur kerana nyawa serta barangan berharga di dalam beg tangan itu dapat diselamatkan.
Menceritakan detik cemas itu, dia berkata, kejadian berlaku terlalu pantas dan dia langsung tidak perasan kehadiran suspek yang mengekori mereka ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.
“Kami berdua baru pulang menghadiri kenduri kahwin dan singgah di beberapa kedai untuk melihat barangan perabot di sekitar Jalan Pengadang Baru sebelum berhenti mengisi minyak di stesen berhampiran.
“Sebaik keluar dari stesen minyak itulah peragut menyambar beg tangan di atas riba. Saya sempat menguatkan pegangan beg tangan dan cuba melawan.
“Akibat disentap dengan kuat saya tersembam atas jalan manakala beg tangan pula tercampak di atas jalan. Suami bergegas membrek motosikal selepas melihat saya terlantar dan mengejar lelaki berkenaan serta menghalang beg dicapai peragut,” katanya.
Sementara itu Fauzi Abdullah berkata, dia tidak sedar isteri sedang melawan peragut di belakangnya sehinggalah terdengar suara isterinya cuba melawan dan akhirnya terjatuh dari motosikal akibat disentap peragut terbabit.
“Hanya Tuhan saja tahu betapa cemasnya melihat keadaan isteri terlantar atas jalan raya yang agak sesak ketika itu, selepas melihat isteri bangun semula saya bergegas mengejar suspek yang cuba mengambil beg tangan isteri yang terjatuh.
“Meskipun beg tangan berjaya diselamatkan, saya gagal mengejarnya kerana peragut berpakaian baju coklat berseluar hitam itu lesap sebaik melalui lorong tikus di kampung berhampiran kawasan terbabit.
“Melihat keadaan motosikal Yamaha Ego warna hitam yang tidak dipasang nombor pendaftaran, memang lelaki ini sudah merancang jenayah itu,” katanya yang akan menyerahkan kes berkenaan kepada pihak berkuasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan