4 Rejab 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 6 Jun: Kepimpinan tertinggi Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) yang baru sepakat untuk memacu dewan itu ke arah kecemerlangan seiring dengan Dewan Ulamak dan Pemuda.
Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusof berkata, ianya sekaligus merealisasikan hasrat perwakilan yang mahukan DMPP lebih bersifat nasional.
"Perwakilan ingin membuat perubahan ke arah memacu Dewan Muslimat yang lebih cemerlang dan saya lihat bagaimana kematangan muslimat dalam membahaskan usul-usul yang dikemukakan.
"Kita lihat bagaimana gagasan muslimat mengharapkan kepimpinan yang lebih mantap untuk menerajui Dewan Muslimat," kata beliau.
Beliau bagaimanapun menganggap pertukaran pucuk pimpinan itu hanyalah sebagai "giliran tugas antara adik-beradik" dan perlu mengutamakan agenda memperkasa DMPP.
"Dengan pertukaran ini saya anggap tidak ada kalah dan menang sebab saya menyayangi Ustazah Nuridah seperti sahabat dan kakak kandung saya sendiri dan tidak ada pertelingkahan hati di antara kami.
"Kami hanya bergilir melaksanakan tugas, ibarat pemandu kereta yang bergilir-gilir memandu. Kalah dan menang bukan menjadi keutamaan tapi yang penting kita nak membina Dewan Muslimat yang lebih baik," katanya.
Saling melengkapi
Sementara itu, timbalan ketua, Dr. Siti Mariah Mahmud mahu DMPP menjadi gagasan yang bukan hanya membuat perubahan di peringkat dalaman parti tetapi turut mendapat tempat di hati wanita di luar parti.
"Kita tampung menampung di antara satu sama lain kerana tak ada seorang pun yang lengkap dan sempurna.
"Apa yang penting Dewan Muslimat perlu diupayakan supaya menjadi dewan yang boleh kita banggakan, ada autonomi, berdikari dan boleh dihormati oleh wanita lain dan boleh membawa sesuatu yang baru ke dalam masyarakat," katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Raja.
Ditanya mengenai persediaan DMPP untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13, beliau yakin DMPP mampu membuat persediaan yang lebih mantap jika jika ianya berlangsung agak lambat.
"Kalau PRU bulan Julai tak banyak benda yang kami boleh buat tapi kalau lambat sikit kami boleh buat persediaan yang lebih mantap," katanya.
Pasukan asal, cuma bertukar jawatan
Naib ketua Senator Mumtaz Md Nawi pula berkata, beliau tidak merasakan perbezaan ketara dengan perubahan dalam DMPP itu kerana ianya masih disertai individu lama, cuma bertukar jawatan.
Beliau yang mengekalkan jawatan itu juga menambah, mereka diberi amanah untuk meneruskan gagasan terdahulu yang semakin menunjukkan kejayaan.
"Pertukaran kepimpinan peringkat atas, ada apa-apa masalah cuma meneruskan lagi kepimpinan yang sedia ada kerana semua yang menang pun daripada ahli jawatankuasa dulu.
"Pasukan lama dan baru adalah gabung jalin yang mantap dan kita lihat daripada keputusan yang dibuat muslimat menggambarkan keseriusan mereka untuk pastikan gerak kerja yang sebelum ini bersifat diterjemahkan ke bentuk praktikal.
"Banyak gagasan yang telah dimulakan kepimpinan dahulu telah menampakkan kejayaan sedikit demi sedikit," katanya.
Ujarnya juga, ahli jawatankuasa yang dipilih juga merupakan individu yang cemerlang di peringkat negeri dalam pelbagai aspek.
"Mereka yang dipilih ini adalah orang yang sangat berpengalaman di negeri masing.
"Mereka telah terbukti dapat bercakap dan menyuarakan isu-isu dengan lantang.
"Jadi saya rasa ini satu barisan kepimpinan untuk menghadapi PRU 13," katanya.
12 AJK yang dipilih perwakilan pada muktamar DMPP kali ke-51 ialah Aiman Athirah Al-Jundi, Dr. Halimah Ali, Dr Asiah Ali, Aida@Nurul Huda Yusuf Rawa, Wan Ubaidah Omar, Kartini Ahmad, Mastura Mohamad, Normala Sudirman, Azizah Khatib Mat, Rosni Adam, Dr. Najihatussolehan Ahmad dan Siti Aisyah Ghazali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan