06 Jun 2011

England nyaris aib

4 Rejab 1432H. [MOD] -



LONDON: England terpaksa bangkit untuk mencatat keputusan seri 2-2 menentang Switzerland dalam pusingan kelayakan Euro 2012 semalam selepas dua kesilapan yang dilakukan penjaga gol, Joe Hart hampir menyebabkan skuad kendalian Fabio Capello itu menanggung kekalahan.

Jaringan sepakan penalti Frank Lampard dan percubaan pada babak kedua pemain gantian, Ashley Young menyelamatkan maruah England selepas dua jaringan dalam tempoh tiga minit, pemain tengah Tranquillo Barnetta membolehkan pasukan bimbingan Ottmar Hitzfeld mendahului 2-0.

Namun ketika England boleh menarik nafas lega dengan keputusan seri untuk terus kekal mendahului Kumpulan G menerusi perbezaan gol selepas pencabar terdekat, Montenegro seri 1-1 dengan Bulgaria, Capello sebenarnya kurang senang dengan permainan buruk anak buahnya.

Dua kesilapan mudah oleh England memudahkan Switzerland mencipta gol dan walaupun pasukan tuan rumah mendominasi separuh masa kedua, barisan pemain Capello gagal mencari gol kemenangan selepas berjaya menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-51.

Darren Bent yang memainkan peranan utama di bahagian serangan England apabila Wayne Rooney tidak dapat beraksi kerana digantung perlawanan seharusnya menyalahkan diri sendiri kerana gagal menyumbat gol dari jarak lapan kaki pada minit ke-71 untuk memberikan tiga mata penuh buat England.

Capello yang menggalakkan pemainnya supaya bercuti selepas tamat musim Liga Perdana dua minggu lalu gagal beraksi baik pada babak pertama seolah-olah mereka masih bersantai di pantai.

Bagaimanapun, Capello menegaskan kesemua pemain masih keletihan. “Perbezaan antara kedua-dua pasukan adalah kami kurang bertenaga,” katanya.

“Pemain Switzerland sungguh cergas. Bagaimanapun, kami menamatkan perlawanan ini dengan keputusan baik, pemain menunjukkan kebangkitan pada separuh masa kedua tapi seperti yang selalu terjadi, kami kurang bertenaga ketika ini.” Jurulatih Switzerland, Hitzfeld nyata berpuas hati dengan membawa pulang satu mata tapi mengakui kecewa apabila skuadnya gagal mempertahankan kelebihan dua gol yang dimiliki.

“Jika saya ditawarkan keputusan seri 2-2 di Wembley sebelum perlawanan saya akan menerimanya,” kata Hitzfeld. “ Tapi kami mahu menang. Pada 10 minit pertama kami memiliki banyak percubaan tepat berbanding perlawanan sebelum ini.” “Semestinya kami sedikit kecewa. Jika anda mendahului 2-0 di England , memang ada harapan untuk anda mempertahankannya. Tapi tiada alasan untuk saya menegur kesalahan pasukan. Mereka sudah melakukan segala yang termampu.” 

AFP

Tiada ulasan: