15 Disember 2011

PKR 'gembira' Lim Boon Chang keluar parti

19 Muharram 1433H. [MOD] -

PULAU PINANG, 15 Dis: Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (AMK) Pulau Pinang mengalu-alukan perletakan jawatan Ketua Cabang KeAdiLan Bukit Gelugor, Lim Boon Chang untuk sertai parti lamanya, Gerakan yang kian karam dalam arus politik tanahair.

Ketuanya, Amir Ghazali ketika dihubungi menegaskan, keputusan itu tepat sekali kerana parti tidak mahu wujudnya individu yang mencari kesempatan untuk bertanding di satu-satu kerusi serta seringkali mengungut parti sekiranya permintaanya tidak diterima.

"Sebelum dipecat lebih baik beliau letak jawatan kerana sikap yang ditunjukan mula melampau. Biar dia karam di laut bersama nakhoda Gerakan yang sudah jelas melakukan penyelewengan demi penyelewengan, "ujarnya gembira.

Baginya, tidak elok parti menyimpan individu yang sering mengambil kesempatan sedemikian kerana keputusan siapa yang akan dicalonkan atau di kerusi mana dicalonkan bukan keputusan peribadi sebaliknya adalah keputusan parti.

Penghijrahan kembali beliau ke Parti Gerakan pastinya mengundang padah kepada Gerakan pimpinan mantan Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Koh Tsu Koon yang kini tidak lagi mempunyai kekuatan semaksima dulu selepas berbagai isu dikaitkan denganya ketika bertindak sebagai Ketua Menteri beberapa penggal.

"Biarlah dia belayar bernakhodakan bekas ketuanya dulu yang terkenal dengan suka menyeleweng dan mengambil kesempatan mengaut keuntungan, " tegas beliau.

Lim Boon Chang pernah menganggotai Gerakan selama 15 tahun mengambil keputusan menganggotai PKR kira-kira tiga tahun lalu dan tengahari tadi mengambil keputusan meletakan semua jawatan dalam parti dan menyertai semula Gerakan dengan alasan PKR sudah tidak releven apabila kebanyakan suara yang hadir dari peringkat bawahan tidak diendahkan oleh pucuk pimpinan.

Harakah Daily

Lapan askar Syria terbunuh dalam serang balas

19 Muharram 1433H. [MOD] -

BEIRUT 15 Dis. - Penembak curi dipercayai pembelot menembak konvoi tentera di tengah Syria hari ini menyebabkan lapan askar terbunuh.

Tindakan tersebut dipercayai serangan membalas dendam selepas tentera memusnahkan kereta awam yang menyebabkan lima orang terbunuh, menurut kumpulan aktivis.

Ini merupakan hari kedua berturut-turut di mana serangan tentera kerajaan terhadap orang awam dibalas serta-merta oleh penyerang anti-rejim.

Konflik di Syria semakin meruncing dan mungkin mewujudkan pemberontakan akibat tentangan terhadap Presiden Bashar Assad. - Agensi

Fitnah II: Peguam bidas hujah pendakwa raya

19 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 15 Dis: Kes perbicaraan Fitnah II terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim memasuki pusingan terakhir apabila peguam hari ini mengemukakan hujah balas terhadap penggulungan akhir pihak pendakwaan, sebelum keputusan diumumkan.

Antara isu yang dijangka ditumpukan pasukan peguam bela Anwar hari ini ialah kredibiliti tiga saksi pakar pembelaan yang dipertikaikan ketua pendakwaan, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden semasa penggulungannya Selasa lalu.

Pakar berkenaan ialah Dr Thomas Hoogland yang memeriksa kecederaan tulang belakang Anwar pada 2005, dan mengesahkan ketidakupayaan Anwar melakukan aksi fitnah berkenaan.

Manakala dua lagi ialah pakar DNA Dr Brian McDonald dan pakar forensik, Dr David Wells.

Isnin lalu, peguam Anwar, Karpal Singh ketika menggulung hujah turut mendesak mahkamah memanggil semula bekas Timbalan Pendakwa Raya, Farah Azlina dan pengadu,Mohd Saiful Bukhari Azlan bagi memastikan keputusan perbicaraan dilakukan dengan adil.

Menurut Karpal, hakim perlu meneliti keterangan pembelaan yang dibuat Anwar dari kandang tertuduh sebagai rujukan terhadap bukti yang dibentangkan sepanjang perbicaraan.

Karpal juga menegaskan adalah mustahil Saiful menuruti semua arahan Anwar ketika kejadian itu berlaku, dan mempunyai banyak peluang untuk melarikan diri tetapi tidak berbuat demikian.

Keadilan Daily

Umno jangan mimpi perpaduan Umno-PAS

19 Muharram 1433H. [MOD] -

Tiga kali Muktamar PAS memutuskan dan mengulangi ketegasannya bahawa tidak akan wujud gabungan atau persefahaman atau dalam istilah apapun antara PAS dan Umno.

Bahkan Keputusan Muktamar itu disusuli kenyataan demi kenyataan dari pemimpin PAS bahawa parti itu akan terus setia dengan Pakatan Rakyat, gabungan yang telah mencapai kemenangan besar dalam PRU Ke-12 2008 yang lalu.

Oleh itu segala kenyataan dari pemimpin Umno dan mereka yang sehaluan dengannya mengenai perlunya persefahaman atau gabungan PAS-Umno kononnya demin untuk perpadian ummah, hanyalah ‘cakap-cakap tepi jalan’ yang tidak mempunyai makna dan andaran apa-apa.

Cakap-cakap manis dibibir pemimpin Umno ini hanya untuk menimbulkan suatu tanggapan palsu bahawa kononnya Umno memang mahukan pepaduan Melayu/Islam demi untuk kepentingan politik umat Islam.

Apabila jelas PAS menolaknya berulang kali, lalu mereka membuat andaian dan ruduhan jahat bahawa PAS takut dengan kemarahan DAP, atau tunduk kepada pengaruh DAP yang tidak mahu Umno bergabung dengan PAS.

Dakwaan karut ini terus diulangi oleh pemimpin Umno di mana saja ada kesempatan, terutama menjelang PRU Ke-13 ini. Iaitu dengan maksud untuk menanamkan kebencian orang Melayu terhadap PAS dan seterusnya DAP bahawa PAS lebih bersedia menerima DAP dari Umno.

Mereka menjaja premis ini terumata di luar bandar, kerana mereka yakin dakwaan ini mudah diterima oleh orang Melayu kerana untuk puluhan tahun digambarkan oleh Umno/BN ini bahawa DAP adalah parti perkauman Cina dan berbahaya kepada orang Melayu jika Pakatan Rakyat berkuasa.

Secara tidak benar mereka menggambarkan bahawa DAP adalah dominan dalam Pakatan Rakyat sementara PAS hanya mengiukut kehendak PAS. Analogi palsu ini bertahun dijaja oleh Umno/BN dan ditiupkan kembali dengan hangatnya menjelang PRU Ke-13. Ini semata-mata untuk mengekalkan kuasa Umn/BN yang bergelomang dengan rasuah, penyelewengan dan pelbagai lagi.

Oleh itu penegasan berulang kali oleh pemimpin PAS bahawa parti itu tidak akan bergabung dengan Umno adalah penegasan yang sepatutnya diterima oleh orang Melayu yang sesetengahnya mungkin terpengaruh dengan propaganda Umno ini.

Oleh itu adalah wajar saya perturunkan kembali sebahagian Surat Terbukan Kepada Orang Melayu dari Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang:

“Islam didahulukan, Melayu bersamanya. Bukan Melayu didahulukan, Islam mengikutnya, kerana Islam ditegakkan Melayu selamat. Kalau Melayu ditegakkan di atas aqidah kebangsaannya, Melayu sesat, Islam terpinggir. Inilah kecuaian Umno adalah pelakon yang sama memimpin negara yang dikatakan merdeka, dengan semangat hidup Melayu, Islam selamat. Nyata bahawa Melayu tidak selamat dengan cara Umno.

Islam cara Umno tidak mampu memperkasakan Melayu, kerana Melayu didahulukan, Islam tidak memandunya kerana tidak djadikan panduan. Maka bangsa Melayu tidak mampu bersaing dengan kaum lain dalam masyarakat majmuk.

Kita wajib menerima hakikat masyarakat majmuk yang diatur oleh penjajah di tanah air kita. Setelah mereka menjajah bangsa Melayu lebih dulu yang bercampur dengan kaum pribumi berada di tanah air ini. Penjajah membawa kaum lain yang dijajah juga, untuk sama-sama diperhambakan untuk kepentingan penjajah Barat.

Bangsa Melayu dan penduduk asal yang lain terus dipinggir di kawasan luar bandar dengan keadaan terbiar dalam kemiskinan. Kaum Cina pula menjadi buruh di lombong-lombong dan sebahagiannya di bandar dan kaum India menjadi buruh di ladang-ladang. Semua kaum diperkudakan untuk kepentingan penjajah dan seterusnya diatur untuk dilagakan di antara satu sama lain, untuk terus diperintah atau menjaga kepentingan penjajah selepas merdeka.

Mengikut Islam bahawa masyarakat majmuk adalah satu adunan yang baik sekiranya dimanfaatkan dengan bijak, sekiranya wujud kedudukan yang seimbang dan saksama diantara satu sama lain. Kaum lain telah menerima hakikat bangsa Melayu yang beragama Islam adalah teras kepada negara dengan hak yang adil secara sama dengan kaum yang lain, kerana jumlah mereka lebih besar.

Tiba-tiba kedudukan orang Melayu yang beragama Islam ketinggalan jauh di belakang dari segi pendidikan, ekonomi, politik dan lain-lain. Ini menyebabkan rasa tidak puas hati terhadap kaum lain, dengan terpinggir secara nyata di Singapura, Pulau Pinang dan negeri-negeri lain di pantai Barat dan Malaysia Timur. Semua negerinegeri ini pada awalnya dipimpin oleh Umno yang bertemakan hidup Melayu mafhumnya tegaklah Islam.

Umno sebenarnya yang bermasalah.

Malangnya Umno menyalahkan pihak lain, khususnya PAS yang tidak bersama Umno sejak menentang penjajah dan cara mencapai kemerdekaan dan mengurus negara. Umno meletakkan Islam di samping atau di belakang tanpa kuasa secara warisan penjajah yang merancang untuk melemahkan umat Islam mengikut kajian para orentalis.

Akhirnya orang Melayu bukan saja terus dalam keadaan lemah, tidak mampu bersaing dengan kaum lain. Bukan sahaja ketinggalan dalam ekonomi di bumi sendiri, walaupun diberi tongkat hak istimewa Melayu dan Bumiputera, bahkan ketinggalan dalam pendidikan dan kesedaran berpolitik.

Pemimpin yang tidak boleh menjadi model Islam kepada bukan Islam dan tidak mampu memimpin kumpulannya dan bangsanya sendiri, apatah lagi negara, tetapi lebih berlagak mampu dengan mempertahan kuasa dengan apa sahaja, kerana dibejati penyakit zalim dan fasad.

Zalim mengikut takrif Islam ialah meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya dalam segala bidang, seperti kehakiman, pentadbiran, ekonomi dan lain-lain aspek. Fasad pula ialah kemungkaran dalam segala aspek saperti rasuah dan segala maksiat terhadap Allah, diri sendiri dan masyarakat.

Demikianlah pandangan Dato Seri Presiden yang sangat wajar menjadi renungan mengapa PAS menolak gabungan dengan PAS dan inilah juga sebahagian hujah yang dikemukakan oleh pemimpin dan perwakilan dalam tiga Muktamar Tahunan PAS di Ipoh, Shah Alam dan Kota Bharu.

Oleh itu suara-suara yang kedengaran kembali mengenai perpaduan Umno-PAS, terutama menjelang PRU ke-13 akan datang, adalah suara yang tidak memahami hakikat sebenar jalur perjuangan PAS, atau mereka yang keliru, atau untuk kepentingan politik golongan sekular/perkauman. Pandangan ini sudah tentu bertentangan dengan Islam.

Harakah Daily

Perselisihan Karpal dan Ramasamy selesai

19 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 15 Dis: Ekoran permohonan maaf dan penarikan balik berita oleh akhbar Tamil Makkal Osai, kesemua pemimpin DAP yang terlibat dalam isu Karpal dan Ramasamy setuju ia diselesaikan.

Penal tiga anggota yang dibentuk DAP membuat keputusan bersama Karpal Singh dan Prof P Ramasamy, DAP perlu terus bergerak ke depan dan menyelesaikan perbezaan kalau masih ada melalui saluran dalam DAP sendiri.

Demikian kenyataan yang dikeluarkan oleh tiga anggota penal yang dibentuk DAP untuk menyelesaikan masalah itu hari ini.

Ketiga-tiganya adalah Ketua anggota Parlimen DAP Lim Kit Siang, Penasihat Seumur Hidup DAP Dr Chen Man Hin dan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng.

Semalam, 14 Disember, Ketua Editor Makkal Oosai M. Rajan telah mengeluarkan pembetulan dalam laporan mereka berkaitan dengan laporan 28 November mereka.

Dalam pembetulan itu, Oosai mengakui laporan 28 November mereka yang melaporkan tentang calon DAP dalam pilihanraya akan datang bukannya bersumberkan dari P Ramasamy dan melahirkan rasa sedih kerana berita itu menyebabkan berlaku pertembungan umum antara Karpal dan Ramasamy.

Dengan harapan perbezaan ini dapat diselesaikan segera, Ketua Editor Makkal OOsai itu menyanjung tinggi jasa kedua-dua pemimpin itu.

“Untuk kita, Karpal Singh dan Professor Ramasamy adalah pemimpin yang terpenting. Karpal Singh adalah pejuang dalam barisan pembangkang yang amat disanjungi di negara kita. Beliau telah melalui banyak penderitaan dan dugaan. Beliau berpegang teguh kepada prinsip parti dan berjuang sehingga masuk ke penjara.

“Seperti itu juga, pemberian jawatan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang kepada seorang India adalah sejarah dalam politik negara kita. Pada pilihanraya lepas, Professor Ramasamy telah memenangi DUN dan Parlimen di Penang dan menjadi Timbalan Ketua Menteri. Beliau juga memberikan khidmat yang baik kepada masyarakat India Pulau Pinang dengan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri tersebut,” tulis Rajan dalam kenyataan pembetulannya sebagaimana yang dipetik oleh ketiga-tiga mereka hari ini.

Sehubungan itu, ketiga-tiga pemimpin kanan DAP itu termasuk Karpal dan Ramasamy sedar harapan tinggi yang diberikan rakyat kepada mereka dalam usaha untuk membentuk lanskap baru politik dalam PRU 13 khasnya, membawa sistem dua parti dan seterusnya usaha menukar kuasa di Putrajaya.

"Mengambil kira kenyataan penjelasan Makkal Oosai dan rakyat yang mahukan perpaduan, pemimpin DAP, Karpal dan Ramasamy mengambil keputusan untuk bergerak ke depan sebagai satu pasukan yang solid dalam persiapan akhir menuju PRU 13 yang sudah tidak berapa bulan itu," kata mereka bertiga.

Mereka juga berkata, semua perbezaan akan diselesaikan melalui saluran parti untuk mempekuatkan parti.

"Hanya dengan cara itu, DAP dan Pakatan Rakyat dapat melawan dan menewaskan Umno dan Barisan Nasional dalam pilihan raya ke 13 nanti," kata mereka.

Harakah Daily

Nyaris maut angkara tembakan

19 Muharram 1433H. [MOD] -

BENTONG – Lapan sekeluarga Orang Asli yang tinggal di sebuah pondok di kebun durian berhampiran Kampung Gemeti, dekat sini, berdepan detik mencemaskan apabila dihujani tembakan bertalu-talu daripada pihak tidak dikenali.

Amat Stek, 40, berkata, dia bersama isteri, adik, dua anak serta tiga anak saudaranya tinggal di pondok itu sementara waktu untuk menjaga durian milik majikannya.

Menurutnya, kira-kira jam 9.15 malam ketika mereka semua ingin masuk tidur, dia terdengar bunyi bising di luar pondok.

“Saya cuba menjenguk di bahagian luar pondok dan mendapati seseorang sedang menghalakan senapang patah ke arah pondok serta menembak bertalu-talu. Atas dasar keselamatan, saya meminta semua ahli keluarga meniarap dan berlindung,” katanya.

Amat berkata, selepas itu, tembakan dapat didengari dari sebelah tepi pondok menyebabkan mereka semua terus berlindung.

Menurutnya, kemudian secara tiba-tiba ruang pondok diliputi asap berwarna merah hasil daripada tin yang dilemparkan pihak tidak dikenali itu.

“Kami semua melarikan diri dari pondok itu dan merentasi kebun untuk menyelamatkan diri seterusnya memaklumkan kepada majikan berhubung perkara itu,” katanya.


Majikan lapor polis

Sementara itu, majikan mangsa, Lum Kwong Chee, 53, berkata, selepas dimaklumkan pekerjanya, dia terus ke tempat kejadian sebelum ke balai polis untuk membuat laporan.

Menurutnya, selain pondok, kenderaan Ford Ranger yang diletakkan di hadapan pondok juga turut menjadi sasaran tembakan pihak tidak dikenali itu.

“Terdapat kesan tembakan di bahagian pintu dan keempat-empat cermin tingkap juga dipecahkan. Wang tunai yang terdapat di dalam kereta bernilai RM200 turut lesap,” katanya.

Kwong Chee berkata, walaupun terdapat kesan tembakan, namun tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku.

Menurutnya, pihaknya tidak mengetahui punca kejadian dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.


Polis jalankan siasatan

Manakala, Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, selepas menerima laporan daripada majikan mangsa, pihaknya terus menjalankan siasatan di tempat kejadian.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati terdapat kesan tembakan di dinding rumah dan kenderaan Ford Ranger yang diletakkan di hadapan pondok itu.

“Selain itu, polis juga menemui butir peluru dipercayai peluru penabur.

“Siasatan awal mendapati, kejadian kemungkinan berpunca daripada perasaan tidak puas hati atas pemasangan jerat babi dilakukan pekerja Orang Asli itu yang terkena individu atau kumpulan dipercayai sedang memburu.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39 Akta Senjata Api dan suspek dalam kes ini sedang kami kenal pasti,” katanya.

Sinar Harian

Jururawat kena ragut maut

19 Muharram 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN - Kejam perkataan paling sesuai diberikan kepada individu yang bertanggungjawab menyebabkan kematian seorang jururawat pelatih sebuah hospital swasta dekat sini, malam kelmarin.

Jurucakap polis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa, G Malathi, 24, maut dipercayai diragut sebelum terbabas berikutan gagal mengawal moto­sikalnya di Jalan Residensi, dekat sini.

“Mangsa dipercayai bergelut dengan peragut yang menyebabkan dia tidak dapat mengawal motosikalnya lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan. Ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal Yamaha Lagenda berseorangan.

“Mangsa anak kedua daripada tiga beradik meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan serius,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai terbabas, namun punca kemalangan masih disia­sat.

Menurutnya, dompet dan telefon bimbitnya juga gagal ditemui.

Difahamkan, mangsa yang baru setahun bekerja di sebuah hospital swasta di Jalan Macalister dekat sini mempunyai kelulusan Diploma Kejururawatan dari sebuah institut pengajian tinggi swasta di negeri ini dan berasal dari Gelugor.

Ketika ditemui, mangsa berpakaian kemeja T dan dalam keadaan terbaring, manakala motosikalnya berada berhampiran pada jarak kurang lima meter dari lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng mengesahkan kejadian itu dan siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1989.

“Mayat mangsa dihantar ke HPP untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya,” katanya.

Sinar Harian

PR mahu kekal perintah Selangor

19 Muharram 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM – Pakatan Rakyat Selangor menyasarkan untuk memenangi lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) bagi mengekalkan tampuk pemerintahan.

Untuk menjayakan matlamat tersebut, strategi tersendiri diatur memastikan penambahan enam kerusi untuk Pas, PKR (5) dan tambahan dua kerusi untuk DAP melumpuhkan pengaruh Barisan Nasional di negeri ini menjadi kenyataan.

Pesuruhjaya Pas Negeri, Dr Abdul Rani Osman berkata, pucuk pimpinan parti menyasarkan untuk merampas enam kerusi pada PRU akan datang dengan mengadakan program Semarak Hijau.

“Sebelum ini kita menang lapan kerusi dan kali ini kita sasarkan menang 14 kerusi kesemuanya.

“Kita telah mengadakan program tersebut melalui ceramah dan melawat dari rumah ke rumah sejak dua bulan lalu di kawasan yang kita jangkakan boleh menang nanti antaranya Sabak, Morib dan Taman Templer tetapi saya tidak dapat mendedahkan kesemuanya kerana itu adalah strategi kita,” katanya.

Katanya, apa yang lebih penting perlu fokus tenaga gerak kerja di kawasan tersebut sebelum mengadakan program tersebut di kawasan-kawasan yang agak sukar dirampas.

“Berdasarkan reaksi kita terima sepanjang Semarak Hijau dijalankan, saya dapati sokongan rakyat semakin bertambah dan yakin mampu mencapai sasaran memenangi 14 kerusi itu.

“Malah saya setuju dengan kenyataan Menteri Besar bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat mampu menang lebih kerusi pada PRU akan datang,” katanya.

PKR pula yakin merampas empat kerusi iaitu di Dengkil, Sementa, Permatang dan Pelabuhan Klang.

Ketua Penerangannya, Shuhaimi Shafiei berkata, PKR menyasarkan lima kerusi untuk dirampas tetapi yakin menang empat daripadanya.

Menurutnya, keyakinan itu dilahirkan selepas mendapat reaksi positif yang diterima daripada rakyat.

“Kita lihat rakyat percaya kepada Kerajaan Pakatan Rakyat kerana identiti kita terbukti telus, bertanggungjawab dan efisien dalam mengurus dan mentadbir negeri ini.

“Jadi atas dasar itu PKR yakin untuk merampas empat kerusi BN selain mempertahankan 15 kerusi yang kita menangi pada pilihan raya lalu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi DAP Negeri, Teresa Kok berkata, DAP turut menaruh harapan untuk merampas baki dua kerusi bagi menjadikan keseluruhannya 15 kerusi.

Ketika ditanya mengenai lokasi mana yang bakal dimenangi DAP kelak, beliau berkata, perkara itu tidak dapat dijelaskan kerana mungkin ada kawasan yang kalah pada pilihan raya lalu tetapi kali ini dirampas kembali DAP dan begitu juga sebaliknya.

“Kalau dapat kekalkan 13 kerusi tersebut sudah memadai buat DAP dan kami sangat berpuas hati tetapi kalau menang kesemua 15 kerusi yang ditandingi DAP maka itu lebih bagus.

“Ini semua bergantung kepada tenaga kerja kita bagi menghadapi pilihan raya kali ini,” katanya.

Sinar Harian

Mahkamah tolak permohonan cabar Akta Perhimpunan Aman

19 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 15 Dis: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) hari ini menolak permohonan PAS bagi mencabar dan menghentikan Akta Perhimpunan Aman.

Hakim Datuk Rohana Yusof berkata, proses mahkamah tidak sepatutnya digunakan sekarang di bawah konsep pemisahan kuasa dan PAS boleh menggunakan proses Parlimen untuk menentang akta itu.

Ini kerana, sekurang-kurangan dua daripada pemohon (Dr Dzulkefly Ahmad dan Dr Mohamad Hatta Ramli) merupakan anggota parlimen dan berpeluang luas membincangkan dan menentangnya daripada diluluskan dalam Parlimen.

Beliau juga berkata, permohonan itu pramatang kerana akta itu masih belum menjadi undang-undang; dan sekiranya sudah menjadi undang-undang, kesahhannya masih boleh dicabar di mahkamah.

Percubaan oleh mahkamah untuk membetulkan atau memutuskan mengenai perkara itu akan mengganggu proses undang-undang parlimen dan melanggar doktrin pengasingan kuasa, tambah Rohana.

Hakim mengarahkah kos RM8,000 dibayar kepada kerajaan.

Pada 2 Disember lalu, PAS memfailkan semakan kehakiman terhadap perdana menteri dan kerajaan Malaysia kerana membentangkan rang undang-undang Perhimpunan Aman yang didakwa bertentangan dengan perlembagaan.

Dalam saman yang difailkan oleh Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan dua anggota parlimennya, mereka antaranya menuntut perintah deklarasi bahawa responden bertindak melebihi kuasa dan/atau menyalahguna kuasa dengan membentangkan rang undang-undang itu.

Dua lagi pemohon ialah Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor) dan Dr Mohamad Hatta Ramli (Kuala Krai).

Mereka diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin.

harakahdaily/-

Anwar ramal PRU13 selepas kes liwatnya selesai

19 Muharram 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM – Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meramalkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan dipanggil sebaik sahaja kes liwat dihadapi kini berakhir, sambil menegaskan ia sebahagian daripada usaha menamatkan kerjaya politiknya.

Menurutnya, beliau bersedia lakukan yang terbaik, tetapi pada masa sama menduga keadaan paling buruk.

“Ini bukan secara kebetulan,­ akhir kes ini akan secara kebetulan (selari) dengan pilihan raya (umum),” katanya dipetik portal The Malaysian Insider.

Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meramalkan pilihan­ raya umum akan berlangsung awal tahun depan. Mandat semasa hanya berakhir April 2013.

Sinar Harian

15 mahasiswa ditahan di KL Sentral

19 Muharram 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM- Seramai 15 mahasiswa daripada Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) ditahan polis ketika melakukan flashmob menuntut Kebebasan Akademik (Academic Freedom) di KL Sentral, petang tadi.

Menurut salah seorang mahasiswa yang ditahan, Setiausaha Aksi Mahasiswa Peduli (Aksi), Ekhsan Bukharee Badarul Hisham berkata, mereka kini sedang memberi keterangan di balai polis Jalan Travers, Kuala Lumpur.

"Sehingga jam 8.30 malam, kami masih lagi berada di balai polis. Tinggal lima orang sahaja lagi yang belum beri kenyataan. Kami tiba di sini pada jam 6.30 petang tadi. Setiap seorang disoal siasat lebih kurang 30 hingga 45 minit oleh pegawai polis yang bertugas," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, antara yang ditahan ialah Pengerusi Bebas, Ahmad Safwan Anang dan Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Ahmad Syukri Ab Razak dan Presiden.

Sebelum kejadian, Ekhsan berkata, pada jam 5 petang, kira-kira 50 orang berkumpul di hadapan pintu utama stesen keretapi komuter sambil memegang sepanduk bertulis 'bebas' dan 'reunite academic freedom'.

Selepas itu, pihak polis memberi masa 2 minit untuk bersurai tetapi tidak dihiraukan mereka.

"Ketika diberi masa oleh pihak polis, kami hanya mendiamkan diri kerana ini ialah 'silent flashmob'. Tetapi sewaktu pihak polis cuba merampas sepanduk yang kami pegang, ketika itu baru kami laungkan 'student power' dan 'hidup mahasiswa'. Tiada pergelutan berlaku. Kami beri kerjasama kepada polis," ujarnya.

Tambahnya, mereka ditempatkan di balai polis bantuan KL Sentral terlebih dahulu sebelum dibawa ke Balai Polis Jalan Travers.

sinar harian/-

Jampi rambut kekasih

19 Muharram 1433H. [MOD] -

DIPUJA...bahan yang mengandungi rambut mangsa dibungkus dengan kain kuning.
KESAL...Rina ketika ditemubual wartawan Harian Metro.
KESAL...Rina ketika ditemubual wartawan Harian Metro.

KUALA LUMPUR: “Hampir setahun saya mengabaikan tanggungjawab kepada suami dan lebih teruk saya turut mengabaikan tanggungjawab kepada anak yang ketika itu berusia setahun kerana lupa semua itu.

“Dalam ingatan hanya terbayang bekas teman lelaki dan jika boleh, saya ingin bersamanya setiap masa walaupun ketika itu sudah mendirikan rumah tangga,” kata wanita yang ingin dikenali sebagai Rina, 31, mendakwa menjadi mangsa ‘dukun asmara’ mengakibatkan nafsunya hanya terdorong apabila melihat bekas teman lelakinya.

Menurutnya, dalam tempoh itu, dia langsung tidak ‘berminat’ apabila melihat suami, sebaliknya perasaan itu bertukar setiap kali melihat wajah bekas teman lelaki dan tambah teruk ketika menerima SMS daripada lelaki itu juga turut membuatkannya ghairah.

Katanya, dia tidak menyangka lelaki itu menggunakan ‘cara halus’ sedangkan mereka berpisah secara baik tanpa perselisihan faham dan dulu lelaki itu beranggapan perpisahan mereka ketentuan tanpa menaruh dendam.

Rina berkata, dakwaannya terhadap lelaki terbabit dirasakan berasas selepas menjumpai botol kecil dibungkus kain kuning mengandungi rambutnya di dalam kereta bekas teman lelakinya ketika mereka keluar makan malam.

metro/-

20 jam pembedahan pisahkan kembar siam

19 Muharram 1433H. [MOD] -

SANTIAGO 15 Dis. - Pasukan perubatan Chile awal pagi ini berjaya memisahkan pasangan kembar siam berusia 10 bulan yang bercantum di bahagian dada dan punggung dalam satu pembedahan maraton selama 20 jam.

“Kami gembira kerana pembedahan ini berjalan lancar seperti yang diharapkan,” kata Ketua Pasukan Perubatan, Francisco Ossadon.

Pembedahan bagi memisahkan kembar tersebut antara prosedur kompleks yang pernah dilakukan di rantau ini.

Pasukan yang terdiri daripada 25 pakar pelbagai bidang itu memulakan operasi awal semalam di Hospital Luis Calvo Mackenna.

Kedua-dua bayi itu dijangka akan melalui beberapa pembedahan berasingan lagi selepas ini. - AFP

Kanak-kanak mangsa gigitan siamang dilaporkan stabil

19 Muharram 1433H. [MOD] -

Keadaan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun sembilan bulan yang cedera parah pada betis kanannya akibat gigitan seekor siamang ketika mengunjungi Zoo Melaka Selasa lalu, dilaporkan stabil.

NONEGigitan hingga menampakkan tulang kaki kanan dan mangsa, Muhammad Afiq Haziq terpaksa dibedah selama tiga jam di Hospital Melaka, semalam.

Pada insiden yang berlaku kira-kira jam 2.30 petang Selasa itu, mangsa bersama ibu dan bapa serta enam adik beradiknya diserang haiwan dalam keluarga beruk itu ketika dalam perjalanan menuju ke kawasan burung.

Menurut ibu mangsa, Anita Sulaiman, 36, sebelum kejadian mereka sekeluarga berjalan di hadapan kawasan pulau yang menempatkan sekumpulan haiwan berkenaan namun tidak memasuki kawasan itu.

"Tidak lama selepas itu, kami terkejut apabila melihat kira-kira 30 hingga 40 orang pengujung lari bertempiaran dari arah belakang ke hadapan kami.

"Apabila menoleh saya melihat seekor siamang menerpa dan terus menggigit betis Afiq yang sedang didukung oleh ayahnya," katanya.

Anita berkata, suaminya Kamarul Baharin, 38, bertindak menarik kepala siamang bagi mengelakkan betis anaknya daripada dimamah namun gagal sehingga seorang pengunjung membantu dengan menendang perut haiwan berkenaan.

"Akibat tendangan itu siamang melepaskan gigitan lalu melarikan diri dan akibat gigitan itu, Afiq mengalami kecederaan hingga menampakkan tulang.

"Saya yang tergamam kemudian menyelamatkan enam orang anak yang lain dengan membawa mereka ke arah sebuah tram dan memaklumkan pemandu tram mengenai kejadian," katanya.

NONEMenurut beliau, pada masa sama, suami dan pengunjung yang membantu segera ke pejabat zoo sebelum membawa Afiq ke klinik kesihatan berdekatan.

"Bagaimanapun, kami diminta membawa Afiq ke hospital selepas diberitahu luka tersebut tidak boleh dijahit kerana Afiq mengalami kecederaan parah," katanya.

Anita berkata, beliau berkata dan keluarga yang menetap di Klang, Selangor datang ke Melaka untuk menghadiri satu majlis kenduri perkahwinan saudara di Melaka Ahad lalu dan pada waktu sama meluangkan masa bercuti bersama sempena cuti sekolah.

"Akibat terlalu trauma saya tidak lagi akan ke mana-mana zoo dan mungkin selama tujuh keturunan malah Afiq sendiri berkata dengan saya tidak mahu ke zoo lagi selepas ini," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Zoo Melaka, Masri Mohd Arop berkata, pihaknya memohon maaf dan turut bersedih dengan kejadian yang menimpa mangsa selain pihaknya bersedia menghulurkan bantuan termasuk menanggung kos rawatannya.

NONE"Ini kejadian pertama berlaku di zoo ini dan pihak kami akan menyiasat secara terperinci dengan pakar-pakar yang ada di negara ini termasuk universiti tempatan dan pengalaman zoo-zoo lain mengenai inisiden ini.

"Haiwan berkenaan telah ditangkap serta dikuarantin supaya dapat pihak kami siasat punca bagaimana ia boleh terlepas dan langkah pencegahan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang,"katanya.

Masri berkata, pihaknya memohon kerjasama pelawat supaya tidak membuat provokasi terhadap haiwan spesis berkenaan kerana haiwan tersebut akan bertidak agresif jika terdapat provokasi.

"Provokasi ini mungkin dibuat oleh pengunjung lain tetapi orang lain pula menjadi mengsa. Justeru, pihak Zoo Melaka juga menasihatkan pengunjung supaya mendapatkan polisi insuran tanggungan awam ketika mengadakan kunjungan ke sini," katanya.

malaysiakini/-

Kontrak baru wajibkan guru sandaran kerja setiap hari

19 Muharram 1433H. [MOD] -

Seramai 8,000 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) mengeluh dan merayu kerajaan mempertimbangkan semula kontrak perkhidmatan baru mereka yang dianggap membebankan termasuk perlu hadir di sekolah pada hari Sabtu dan Ahad.

Pengerusi Jawatan Kuasa Bertindak GSTT Shamil Nor berkata penukaran daripada "Kontrak Khidmat kepada Kontrak untuk Berkhidmat juga menghendaki guru berkenaan memulangkan semula perbezaan gaji yang telah diterima sejak bulan Oktober hingga Disember berjumlah RM 3,476 setiap seorang.

"Kontrak yang baru ini juga tiada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain perlu hadir di sekolah tujuh hari seminggu termasuk cuti umum, sungguhpun tiada sesi pembelajaran atau gaji dipotong," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Pemuda Umno, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau juga berkata di samping itu semua mereka hanya dimaklumkan mengenai penukaran kontrak itu pada 10 Nov sedangkan kontrak ini telah berkuat kuasa pada 17 Okt.

"Walaupun kontrak yang baru ini telah berkuat kuasa namun saya dimaklumkan terdapat Pejabat Pendidikan Daerah yang masih tidak memaklumkan perkara itu kepada guru sandaran di daerah mereka sedangkan esok semua guru sandaran diminta menandatangani Surat Akujanji berhubung kontrak yang baru itu," katanya.

Sementara itu Setiausaha Pemuda Umno Datuk Megat Firdouz Megat Junid berkata pihaknya akan berbincang dengan pihak Kementerian Pelajaran bagi mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung masalah itu.

- Bernama