16 Disember 2011

Lelaki maut gara-gara cemburu

20 Muharram 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR - Bahana cemburu, seorang lelaki berusia 54 tahun maut selepas dipukul dalam satu kejadian berhampiran kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Macang Kudong, Pokok Sena, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa, Hamdan Saad, dikatakan sedang menunggang motosikal bersendirian kawasan berkenaan dan ditinggalkan di dalam belukar.

Mangsa bagaimanapun sempat menghubungi keluarganya dan dibawa pulang ke rumah sebelum dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Difahamkan, mangsa ketika ditemui ahli keluarganya berada di dalam sebuah parit yang memisahkan ladang kelapa sawit dengan lokasi kejadian, dan mangsa dipercayai terjatuh sewaktu cuba mencari jalan untuk keluar dari lokasi kejadian.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Setar, Superintendan Baharom Abu berkata, mangsa yang dimasukkan ke HSB kira-kira jam 1 petang kelmarin, dilaporkan meninggal dunia awal pagi semalam.

“Mangsa mengalami kecederaan pada seluruh badan dan kes pada mulanya disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa).

“Hasil awal bedah siasat mendapati mangsa mengalami masalah jantung akibat kecederaan badan serta tekanan emosi akibat dipukul,” katanya.

Menurutnya, motif kejadian dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Susulan daripada itu, polis berjaya menahan dua suspek lelaki berusia 50 dan 22 tahun, bapa dan anak, dirumah mereka di Pokok Sena.

“Kedua-dua suspek berkenaan direman selama tujuh hari bermula kelmarin,” katanya.

Dalam pada itu, ahli keluarga mangsa yang ditemui di perkarangan Unit Forensik HSB, semalam, enggan mengeluarkan sebarang kenyataan.

Sinar Harian

Nyaris terkena kejutan elektrik

20 Muharram 1433H. [MOD] -

TAIPING – Seorang warga emas terkejut apabila wayar elektrik tiba-tiba jatuh lalu mengenai leher ketika sedang berjalan menuju ke stesen teksi di Jalan Iskandar, di sini.

Chua Hock Koon, 71, berkata, dia baru sahaja keluar dari sebuah kedai kopi kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Menurutnya, sebelum kejadian dia berhasrat menemui seorang kenalan di stesen teksi untuk berbual, namun hasrat itu terbantut akibat wayar elektrik mengenai lehernya.

“Wayar ini terjatuh dan terkena pada leher saya, walaupun tidak teruk tetapi saya masih dapat rasa kesakitan­nya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam

Hock Koon berkata, selepas kejadian, salah seorang pemandu teksi yang berada di situ menyatakan wayar terbabit jatuh mungkin disebabkan banyak burung bertenggek.

“Saya bimbang kejadian sama terus berulang dan keadaan itu akan mendatangkan bahaya kepada orang ramai terutama kanak-kanak,” katanya.

Katanya, dia kemudian membuat satu laporan kepada pihak Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dan salah seorang ahli MPT, The Han Leng telah hadir ke tempat kejadian untuk meninjau masalah yang berlaku.

“Apabila pemeriksaan dijalankan, beliau terus menghubungi pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk mengambil tindakan selanjutnya.

“Jalan ini sentiasa sibuk dengan kenderaan dan orang ramai, oleh itu, perhatian serius perlu diambil bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya.

Sinar Harian

Remaja ditemui lemas selepas mandi kolam

20 Muharram 1433H. [MOD] -

HUTAN MELINTANG - “Saya bersama suami bergegas ke kolam itu selepas mendapat tahu apa yang berlaku, namun kami hanya sempat menatap mayat anak kami terbujur kaku sebaik sahaja tiba di tempat kejadian.” Ujar M Santhaletchumi, 37, ibu kepada B Uthayakumar, 13 yang ditemui mati lemas selepas mandi di sebuah kolam dalam kawasan tapak pembinaan perumahan, di Jalan Hutan Melintang, di sini, pada petang kelmarin.

Santhalethumi berkata, dia sedang bekerja di sebuah kilang berhampiran kediamannya ketika mendapat panggilan daripada rakan mangsa pada jam 4.50 petang yang memaklumkan anaknya itu sakit tenat selepas mandi di sebuah kolam.

Menurutnya, mangsa telah keluar rumah pada kira-kira jam 8 pagi pada hari kejadian untuk ke rumah rakannya yang terletak tidak jauh daripada rumahnya di Taman Selasih, Hutan Melintang, di sini.

“Saya hairan kenapa Uthayakumar pergi ke kolam yang terletak kira-kira 400 meter daripada rumah kami sedangkan dia tidak tahu berenang dan tidak pernah ke situ sebelum ini.

“Kami juga tidak menjangka perkara ini boleh berlaku kerana Uthayakumar tidak pernah menunjukkan sebarang perubahan atau kelakuan aneh sebelum kejadian ini,” katanya ketika ditemui, semalam.

Enggan menceritakan lebih lanjut, Santhaletchumi mengakui, dia dan suami, C Bala, 42 tidak dapat menahan sedih saat menatap mayat anak kedua daripada lima beradik itu, namun tetap menerima suratan takdir.


Kelakuan aneh

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, maklumat daripada rakan mangsa memaklumkan polis beberapa keanehan yang dilakukan mangsa sebelum ditemui lemas.

“Menurut rakan mangsa, antara kelakuan aneh mangsa adalah meninggalkan dompet serta telefon bimbitnya di rumah rakannya dan keluar rumah tanpa memberitahu sesiapa.

“Kelakuan mangsa turut menimbulkan tanda tanya dalam kalangan keluarganya, tambahan mangsa tidak pernah mandi di luar rumah termasuk di parit atau sungai, sebelum ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Hutan Melintang hanya memberitahu rakannya, dia mahu mandi berseorangan tetapi tidak memberitahu di mana.

“Rakan mangsa mula merasa risau apabila mangsa tidak kembali selepas hampir dua jam dan telah keluar untuk mencari mangsa di merata tempat, namun gagal menemuinya.

“Kejadian yang menimpa diri mangsa hanya disedari selepas salah seorang rakannya yang lain berkebetulan melalui kawasan tapak pembinaan itu,” katanya.

Kok Liang berkata, rakan mangsa ternampak kepalanya terapung dalam kolam berkenaan dan telah meminta bantuan daripada penduduk berkedekatan untuk menyelamatkan mangsa.

Katanya, ambulans telah dihubungi selepas mayat mangsa ditarik keluar oleh penduduk dari kolam berkenaan dan mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat.

“Mangsa telah disahkan maut akibat lemas serta diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut. Mayat mangsa telah dituntut oleh keluarganya untuk disempurnakan,” katanya.

Sinar Harian

Empat nyaris maut, rempuh tiang lampu

20 Muharram 1433H. [MOD] -

HULU BERNAM – Hasrat empat remaja bermain futsal terbantut apabila terbabit dalam kemalangan berdekatan Plaza Tol Behrang, Perak dekat sini malam kelmarin.

Kereta Perodua Viva yang mereka naiki dikatakan gagal dikawal selepas melalui lopak air di laluan tersebut lalu terbabas ke bahu jalan laluan bertentangan dan nyaris merempuh tiang lampu.

Pemandu yang hanya dikenali sebagai Baim, 20, berkata, ketika kejadian hujan renyai dan laluan berkenaan gelap.

“Kereta kami secara tiba-tiba melencong selepas melalui lopak air dan terbabas ke laluan bertentangan.

“Keadan ketika itu amat mencemaskan kerana kereta meluncur di atas rumput dan terseret lebih kurang 30 meter sebelum berhenti berdekatan tiang lampu.

“Nyaris juga kereta tidak merempuh tiang lampu, kalau tidak hanya ALLAH SWT yang tahu kesannya pada kami semua,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Baim bersama rakannya tidak mengalami sebarang kecereraan bagaimanapun kereta tersebut mengalami kerosakan pada kedua-dua pintu sebelah kiri serta bumper hadapan.

“Syukur, tiada apa-apa berlaku pada kami,” katanya.

Sinar Harian

Jimmy dakwa isteri suka judi

20 Muharram 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM – Pengacara Jimmy Shanley mendakwa, keretakan rumah tangganya berpunca daripada tabiat buruk isterinya Nursuhaila Eliani Suhaimy yang suka berjudi dan merokok.

Menurutnya, disebabkan keengganan meninggalkan tabiat itu menyebabkan Nursuhaila tidak mahu tinggal bersamanya dan masa untuk bersama semakin terhad.

“Dia (Nursuhaila) bukan sahaja berjudi menggunakan daun terup, tetapi turut berjudi menerusi Internet ketika di rumah mertua.

“Isteri enggan tinggal bersama saya kerana sukar hendak meninggalkan aktivitinya itu disebabkan di rumah saya tidak ada perkhidmatan jalur lebar (broadband),” katanya.

Jimmy berkata demikian ketika menjawab pertanyaan peguam syarie Mohd Noor Aizan Md Idrus yang mewakilinya dalam perbicaraan permohonan perintah kembali taat dan nusyuz yang difailkan pada Januari lalu.

Katanya, sebelum bernikah, Nursuhaila berjanji akan melayannya setiap masa dan meninggalkan semua perbuatan negatifnya itu.

Permohonan untuk kembali taat difailkan oleh Jimmy pada 3 Januari lalu, diikuti permohonan nusyuz pada 27 Januari lalu dibuat selepas Jimmy dan Nursuhaila mula tinggal berasingan pada 21 Oktober tahun lalu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie Saharuddin Selamat bersambung 23 Februari dan 5 Mac 2012.

Sinar Harian

Noh nafi ada kaitan video hina Hudud

20 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 16 Dis: Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar (gambar) menafikan dakwaan satu video klip bahawa beliau ada kaitan dengan video klip hina hukum hudud.

Menurut Noh, ia adalah satu pakatan jahat pembangkang yang cuba menjatuhkan kredibilitinya sebagai pemimpin di negeri Selangor.

"Apa lagi isu, melainkan cara pemimpin pembangkang yang akan serang secara peribadi pemimpin-pemimpin (Barisan Nasional) terutama saya yang berada di Selangor supaya kredibiliti saya hilang (dan) rakyat Selangor tidak percaya kepada kepimpinan saya," katanya kepada pemberita selepas menutup Persidangan Kebangsaan Perpaduan Nasional anjuran Majlis Profesor Negara di Kuala Lumpur , Khamis.

Baru-baru ini, Harakahdaily menyiarkan laporan satu video klip yang menunjukkan bukti-bukti kaitan antara video sembang rakyat dengan Noh Omar.

Email penerbit video Sembang Rakyat yang menerbitkan video menghina hudud itu juga email yang tertera sebagai pengendali laman web rasmi Noh iaitu Pena Noh dan laman web Umno Bahagian Tanjung Karang yang diketuai Noh.

Email itu juga didapati ada kaitan dengan laman web Puteri Umno Selangor, menurut klip video yang diterbitkan oleh Malaysianews.

Harakahdaily menyiarkan berita ini 14 Disember lepas di bawah tajuk Video hina hudud ada kaitan dengan Noh Omar? tentang isu ini.

Noh yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno berkata tindakan itu mungkin satu tuduhan dan konspirasi yang cuba dilakukan pembangkang untuk mengaitkan beliau dengan isu sensitif.

Bernama melaporkan beliau berkata demikian apabila diminta mengulas laporan media pembangkang, Rabu, yang mendakwa penerbit video Sembang Rakyat yang menerbitkan klip menghina hukum hudud dimiliki oleh orang yang sama yang menguruskan blog anggota Parlimen Tanjung Karang itu, laman web Puteri Umno Selangor dan Umno Tanjung Karang, disamping blog Pena Noh.

Noh berkata beliau tidak pernah mengarahkan mana-mana orang untuk melakukan perkara itu, dan menafikan dakwaan tersebut.

"Pembangkang di Selangor ini, cukup bimbang dengan saya. Dulu fitnah pasal isu insentif padi, tapi yang ini (video hina hudud) saya cukup terkejut dan saya tidak buat (perkara itu)," katanya.

Harakah Daily

SBPA: PM dituntut tunai janji naik gaji Jan 2012

20 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 16 Dis: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) bersetuju dengan saranan Cuepacs yang mendesak kakitangan awam agar tidak menandatangani borang opsyen sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang diedarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Ketuanya, Kamaruzaman Mohamad (gambar) berkata, cubaan penguatkuasaan SBPA kepada 1.2 juta kakitangan awam tanpa memberikan maklumat yang mencukupi adalah satu penganiayaan.

Menurutnya, DPPWP dimaklumkan, hanya kakitangan yang menandatangani SBPA sahaja yang akan menerima kenaikan gaji sebanyak 7-13 peratus seperti yang di umumkan oleh Perdana Menteri dalam pembentangan bajet yang lalu.

“Manakala kakitangan yang mahu mengunakan skim perkhidmatan berdasarkan SSM dan SSB akan kekal menerima tangga gaji sedia ada,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Malah, ujarnya ramai kakitangan awam yang tidak berpuashati kerana dalam SBPA mereka wajib memilih untuk bersara pada usia 60 tahun.

Beliau menambah, penilaian anjakan atau kenaikan gaji tahunan pula bakal didasarkan kepada merit laporan prestasi tahunan yang mana kakitangan yang gagal mencapai markah 70 peratus bagi 3 tahun berturut-turut boleh dipecat.

Katanya, apa yang tidak dijelaskan oleh JPA adalah, bagaimana bentuk penilaian itu berfungsi.

Soalnya, bagaimana mereka boleh menjamin tidak adanya elemen pilih kasih, atau sabotaj oleh kakitangan atasan kepada mereka yang menjadi subordinat mereka.

Menurutnya lagi, malah tidak dinyatakan juga jumlah kenaikan itu kerana carta perubahan gaji tidak diberikan.

“Adakah kakitangan yang mencapai markah yang lebih tinggi akan menerima kenaikan gaji dua kali ganda atau sama sahaja seperti sebelum ini di mana mereka hanya menerima kadar kenaikan mengikut tahun perkhidmatan?” tanya beliau lagi.

Katanya, kakitangan awam adalah aset yang penting kepada pentadbiran negara, tetapi layanan yang diberikan kepada mereka nampaknya semakin teruk.

Tambahnya, perkara yang paling penting untuk hidup mereka iaitu dalam menentukan masa depan kerjaya mereka dibuat tergesa-gesa sedangkan JPA hanya memberikan masa dari 16-30 Disember ini untuk mereka membuat keputusan.

“Itu arahan dari JPA, tapi bila turun kepada Kementerian dan Jabatan, ramai yang mengadu bahawa mereka perlu buat keputusan kurang dari 48 jam kerana pihak Bahagian Sumber Manusia masing-masing mengambil masa yang banyak untuk mengedar dan merekodkan pilihan yang dibuat sebelum menghantarnya semula kepada JPA,” katanya lagi.

Apa yang penting, ujarnya DPPWP berharap agar kakitangan awam bijak membuat pilihan dan tidak tergesa-gesa.

Justeru, katanya DPPWP juga mahu Perdana Menteri menunaikan janjinya untuk menaikkan gaji kakitangan awam bermulai 1 Januari tahun hadapan tanpa mengira skim mana yang mereka pilih dan tidak terikat kepada SBPA sahaja.

“Rakyat memang sedar bahawa Perdana Menteri cuba menggunakan pakej belanjawan Bajet 2012 untuk menarik undi dan sokongan, tapi biarlah dengan cara yang ikhlas dan jelas bukannya sekadar janji yang cacamarba,” katanya lagi.

Harakah Daily

Blok rumah jatuh satu demi satu

20 Muharram 1433H. [MOD] -

KUANTAN – “Sejak seminggu yang lalu, memang saya perasan struktur rumah semakin renggang tetapi sejak tiga hari kelmarin satu persatu blok rumah jatuh bermula dari bilik air dan ruang dapur,” kata Khamisah Ibrahim, 38 yang tinggal di Felda Bukit Kuantan di sini.

Dalam kejadian dua hari lalu, rumah yang didiami lapan beranak ini tidak selamat diduduki lagi berikutan berdepan dengan risiko tanah mendap yang teruk.

Menurutnya yang sudah lima tahun tinggal di rumah tersebut terkejut melihat dinding rumah yang semakin merenggang.

“Sejak dua tahun lalu, kami tambah rumah sedikit demi sedikit untuk keselesaan, tetapi apabila tiba musim tengkujuh ini, kami langsung tidak lena berikutan rumah yang seolah-olah bergegar setiap kali hujan lebat.

“Lebih menakutkan melihat dinding yang merekah dan kini sudah ‘melopong’,” katanya.

Bagi anaknya, Raja Badrul Amin Raja Bari Shah,14 yang bernasib baik apabila segera keluar dari bilik air rumahnya yang akhirnya jatuh menyembah bumi.

“Saya dengar bunyi mencurigakan dan selepas itu dinding bilik air jatuh lalu terus saya memanggil ahli keluarga yang lain untuk keluar rumah sebelum kesemuanya jatuh disebabkan kejadian tanah mendap ini.

“Saya juga tengok dinding dapur yang jatuh perlahan-lahan dengan bunyi yang kuat,”katanya.

Selain itu, kerugian juga dianggarkan lebih RM10,000 dan keluarga Khamisah kini hilang tempat tinggal berikutan rumah yang tidak selamat diduduki lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail berkata, pihaknya sudah menyampaikan bantuan segera untuk meringankan beban keluarga ini.

“Saya akan berbincang dengan pihak atasan untuk mendapatkan bantuan rumah murah kepada mereka kerana rumah ini sememangnya tidak selamat lagi.,” katanya.

Sinar Harian

Premis judi tidak serik

20 Muharram 1433H. [MOD] -

SERI KEMBANGAN – Tidak serik! Walaupun pernah disita sebelum ini, tiga pusat perjudian haram di sekitar kawasan Putra Walk, Taman Pinggiran Putra tetap meneruskan operasi. Namun, kedegilan mereka tidak kekal lama selepas sekali lagi diserbu pihak berkuasa.

Dalam operasi bersepadu dijalankan Jabatan Penguat­kua­saan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Subang Jaya premis terbabit dikenakan tindakan pemotongan elektrik.

Pengarah Jabatan Penguat­kuasaan MPSJ, Ahmad Hasan berkata, premis pertama pusat permainan video yang diserbu di Jalan PP 25 didapati menjalankan aktiviti perjudian haram serta pertaruhan melalui laman sesawang.
Menurutnya, tindakan se­terusnya hasil risikan sebelum ini menemukan dengan dua lagi premis yang ditinggalkan kosong di Jalan PP 32 dan PP 33.

“Kita dapati premis tersebut kosong dan tiada aktiviti perniagaan dijalankan ketika serbuan dibuat. Tidak serik dengan tindakan penutupan dan sitaan sebelum ini, pengusaha berdepan pula tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh TNB,” katanya.

Ahmad berkata, operasi bersepadu menyita, menutup dan tindakan memotong bekalan elektrik dijalankan bertujuan mengelakkan pengusaha premis pusat perjudian haram terus menjalankan aktiviti perjudian.

Tambahnya, kesemua premis dikenakan tindakan sitaan di bawah Undang-undang Kecil 3 Undang-Undang Kecil Pusat Siber MPSJ 2007 kerana menjalankan perniagaan pusat siber tanpa lesen dan boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM 1,000.

“Sebanyak 110 set peralatan komputer berunsur perjudian turut disita di bawah Undang-undang Kecil 28(1) Undang-Undang Kecil Pusat Siber MPSJ 2007 dan premis tersebut juga ditutup di bawah Undang-undang Kecil 33(1) Undang-Undang Kecil Pusat Siber MPSJ 2007. Manakala pihak TNB pula menyita tiga meter elektrik di premis pusat perjudian tersebut,” katanya.

Sinar Harian

Barang kemas lesap 5 minit

20 Muharram 1433H. [MOD] -

PARIT BUNTAR – Tak sampai lima minit, semua barang kemas yang berada di sebuah kedai emas Jalan Bendahara, di sini, lesap dilarikan tiga perompak bersenjata dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, semalam.

Saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Ali berkata, sebelum itu, dia ada terdengar satu das tembakan dilepaskan selain sempat melihat dua lelaki bertopeng dan bersenjata senapang patah serta pistol.

Menurutnya, seorang lagi ahli kumpulan itu menunggu di kereta dan bersedia untuk melarikan diri.

“Ketika kejadian, tiada pelanggan di dalam kedai ini, hanya pemilik dan anaknya yang sempat melarikan diri sebaik mendengar satu das tembakan.

“Akibat terkejut dan takut, anak pemilik serta beberapa pekerja kedai pakaian berhampiran turut melarikan diri kerana khuatir dicederakan perompak yang melepaskan satu lagi das tembakan sebelum melarikan diri,” katanya.

Katanya, perompak itu dipercayai melarikan diri ke laluan utama, Ipoh - Taiping melalui jalan di Kampung Kedah, Parit Buntar sebelum menghala ke arah Butterworth, Pulau Pinang.

“Salah seorang penduduk yang berada di tempat kejadian sempat mengekori perompak ini yang menaiki sebuah kereta jenid Proton wira dengan nombor pendaftaran PDM 6708,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian rompakan kedai emas terbabit.

Menurutnya, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan bagi memburu penjenayah terbabit.

“Tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan dan pemilik premis sempat menyelamatkan diri selepas mendengar das tembakan yang dilepaskan perompak terbabit.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes boleh berhubung terus ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Sinar Harian

Bertembung atas jambatan

20 Muharram 1433H. [MOD] -

PENGKALAN BINJAI – Akibat bertembung sesama sendiri, seorang pelajar yang kini menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan seorang buruh swasta maut di tempat kejadian dalam nahas motosikal di Kilometer 1, atas jambatan baru Kampung Pengkalan Binjai, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, kedua-dua mangsa, Muhamad Hafirol Afiq Ab Rahim, 17, dan Rosli Wahab, 35, meninggal dunia kerana mengalami kecederaan parah.

Ketika kejadian, Muhamad Hafirol Afiq berasal dari Taman Semarak, Binjai, yang menunggang motosikal jenis Honda dipercayai dalam perjalanan dari Kampung Mak Lagam, Chukai untuk pulang ke rumahnya.

Sementara Rosli yang juga bapa kepada empat anak dan berasal dari Felda Seberang Tayor menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dalam perjalanan dari Kampung Pengkalan Binjai menghala ke Mak Lagam untuk ke rumah ibunya di Felda Neram.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, kedua-dua mangsa dipercayai bertembung dengan kuat dari arah bertentangan hingga mereka tercampak beberapa meter bersama motosikal.

“Nahas itu mengakibatkan Muhamad Hafirol Afiq mengalami pendarahan teruk pada bahagian kepala manakala Rosli pula cedera pada bahagian dalam badan serta dada,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang kebetulan melewati lokasi kejadian cuba memberikan bantuan kecemasan namun gagal menyelamatkan kedua mangsa yang kehilangan banyak darah sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Gara-gara perlanggaran kuat itu juga kedua-dua motosikal mangsa remuk dan rosak teruk dengan sebahagian komponennya bertaburan di atas jambatan berkenaan.

Kedua-dua mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kemaman (HK) untuk bedah siasat.

Jenazah mereka dituntut keluarga masing-masing kira-kira jam 12 tengah malam untuk disemadikan di tanah perkuburan di kampung masing-masing.

Bagaimanapun Abdullah Sani berkata, punca sebenar kemalangan berkenaan masih disiasat.

Oleh itu orang awam yang mempunyai maklumat mengenainya boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman bagi membantu siasatan.

Sinar Harian

Jentera bomba rempuh rumah

20 Muharram 1433H. [MOD] -

PENAGA – Sebuah jentera bomba yang dalam perjalanan membantu memadam kebakaran sebuah rumah di Kampung Pajak Song, Kepala Batas terbabas dan merempuh sebuah rumah penduduk di Kampung Pasir Gebu di sini malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.25 malam itu, jentera bomba bersama lima anggota termasuk pemandu dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Muda, Penaga cuba me­ngelak sebuah motosikal yang ditunggang laju semasa melalui selekoh di kawasan berkenaan.

Pengarah Bomba negeri Pulau Pinang, Azmi Tamat berkata, pemandu jentera bomba itu dikatakan cuba mengelak motosikal itu menyebabkan dia gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas sebelum merempuh dinding rumah dan sebatang pokok mangga.

“Akibat rempuhan itu, pemandunya Nordin Hassan, 53, tersepit dan patah kaki kanan manakala tiga rakannya, Ridzuan Hamid, Shamsuddin Mohd Nahu dan Syawal Deraman, semuanya 40-an mengalami kecederaan ringan manakala seorang lagi anggotanya terselamat.

“Bagaimanapun dua beranak yang menghuni rumah berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan biarpun dinding bahagian dapur rumah mereka rosak teruk selepas dirempuh jentera terbabit,” katanya.

Azmi berkata, akibat rempuhan itu, jentera bomba berkenaan tidak dapat meneruskan perjalanan dan tugas memadam kebakaran dilakukan bersama beberapa jentera dari Balai Kepala Batas dan Pasukan Bomba Sukarela lain.

Azmi yang bergegas ke tempat kejadian dari rumahnya di bahagian pulau selepas dimaklumkan kakitangannya berkata, pihaknya mengambil masa hampir sejam untuk mengeluarkan pemandu jentera yang tersepit itu.

“Bahagian hadapan jentera itu remuk teruk selepas menghentam pokok mangga menyebabkan mangsa tersepit hingga menyukarkan kerja menyelamat.

“Namun, selepas berusaha keras akhirnya pemandu jentera berkenaan berjaya diselamatkan sebelum dihantar bersama tiga rakan sekerjanya bagi mendapatkan rawatan di Hospital Kepala Batas sejurus selepas itu,” katanya.

Jentera yang terlibat dalam kejadian itu kemudiannya berjaya ditarik keluar dan kejadian itu mengemparkan penduduk beberapa buah kampung sekitar yang keluar melihatnya.

Bagaimanapun pihaknya enggan mengulas lanjut berkaitan kejadian itu kerana ingin memberi ruang kepada pasukan penyiasat menjalankan tugas mereka untuk mengetahui punca sebenar kejadian.

Azmi turut memaklumkan masih belum lagi dapat menaksir jumlah kerosakan jentera dan peralatan dalam kejadian itu dan dalam masa sama akan berbincang dengan pemilik rumah berkenaan sebelum menetapkan sebarang keputusan.

Sinar Harian

400 bermasalah kesihatan mental

20 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU – Seramai 400 pesakit yang mengalami masalah kesihatan mental dimasukkan ke wad psikiatri Hospital Hulu Terengganu (HHT) pada setiap tahun dan 50 hingga 80 daripadanya adalah kes baru.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Anwa Sulaiman berkata, dari jumlah itu, kes paling banyak melebihi 80 peratus adalah berkaitan psikosis iaitu penyakit mental yang disebabkan oleh perubahan kimia di dalam otak.

“Terdapat juga masalah lain seperti kecelaruan emosi (lebih lima peratus) dan penyalahgunaan dadah (lebih lima peratus).

“Bagaimanapun, statistik ini hanya menggambarkan masalah berkaitan dengan penyakit mental yang merupakan sebahagian kecil daripada masalah,” katanya pada Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2011 Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Besar, Intitut Latihan dan Perindustrian (ILP) Marang.

Teks ucapan beliau dibacakan Pegawai Pembangunan Kesihatan Keluarga, Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Hasyim Abdullah dan majlis itu dirasmikan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pergigian), Dr N Jegarajan NS Pilay.

Menurut Dr Anwa, bagi membantu pesakit terbabit, pelbagai kaedah merawat, memulih, mendidik dan mencegah pelbagai penyakit berkaitan mental dan emosi mula diperkenal dan sentiasa diperbaharui bagi membantu merawat pesakit-pesakit mental.

Beliau berkata, langkah proaktif itu juga telah meningkatkan tahap pemulihan penyakit secara optimistik, selain dapat mengurangkan kadar ulangan penyakit dan kebergantungan sosial yang kronik.

Secara tidak langsung katanya, usaha dijalankan juga dapat menangkis tanggapan singkat sesetengah masyarakat, bahawa penyakit mental adalah penyakit tiada ubat dan sukar dipulihkan.

“Selain itu, kita turut menjalankan khidmat rawatan psikiatri dalam komuniti di semua daerah yang mana pesakit sukar untuk datang ke hospital, tiada sokongan keluarga dan kewangan akan dibantu oleh pasukan komuniti itu.

“Pasukan ini akan membuat lawatan ke rumah untuk memastikan rawatan berkala dapat diberikan dan keadaan pesakit akan dipantau secara berterusan,” katanya kepada Sinar Harian.

Dr Anwa berkata, Terengganu mempunyai dua hospital menawarkan khidmat Kumpulan Sokongan Keluarga yang dapat membantu proses penyembuhan pesakit mental iaitu Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan Hospital Hulu Terengganu.

“Rawatan boleh diperoleh di semua hospital kerajaan dan klinik kesihatan namun kos perubatan penyakit mental agak tinggi iaitu menyamai kos merawat penyakit kronik seperti jantung,” katanya.

Sinar Harian

Bekalan darah A, O kritikal

20 Muharram 1433H. [MOD] -

TUMPAT – Unit Tabung Darah Hospital Tumpat kekurangan bekalan darah terutamanya daripada jenis A dan O, kini giat menjalankan kempen menderma darah untuk menampung kekurangan tersebut.

Pegawai Seranta Hospital Pasir Mas/Tumpat, Wan Buhari Wan Abd. Razak berkata, pihaknya mengalu-alukan penderma tetap dan baru agar menyahut kempen menderma darah ini untuk menampung kekurangan bekalan darah tersebut.

“Satu program derma darah peringkat daerah Tumpat akan diadakan di Unit Tabung Darah Hospital Tumpat esok (Sabtu).

“Program itu bermula dari jam 9 pagi hingga 4 petang, orang ramai dijemput hadir menyahut kempen derma darah ini kerana setitis darah menyelamatkan beribu nyawa,” katanya.

Menurutnya, penderma darah akan diberikan sijil penghargaan dan cenderahati.

Wan Buhari berkata, penderma darah dari jenis kumpulan lain juga dialu-alukan untuk menderma darah walau pun unit tersebut kekurangan darah A dan O.

Katanya, kempen menderma darah seperti ini juga turut diadakan di beberapa institut pengajian tinggi, di kolej-kolej swasta dan kerajaan selain melibatkan penyertaan beberapa badan sukarelawan.

“Golongan muda turut menjadi sasaran bagi meningkatkan kesedaran tentang tanggungjawab sosial ini, yang mana setitis darah mereka mampu menyelamatkan nyawa orang lain,” katanya.

Sinar Harian

Selesai masalah dalaman parti, Jangan gunakan media BN

20 Muharram 1433H. [MOD] -

Masalah dalam parti sepatutnya jangan dibincang dalam media atau pun secara terbuka yang boleh menjejaskan imej parti. Kita minta mereka yang mempunyai sebarang masalah peribadi atau dengan sesama ahli, jangan gunakan media kerajaan untuk meluahkan perasaan sebab sekarang ini media BN sedang berusaha sedaya mungkin untuk mengadu domba setiap masalah yang ada dalam Pakatan Rakyat.

Imej PAS boleh terjejas sekiranya berlaku pertelingkahan antara pemimpin jadi tolong hentikan kenyataan yang boleh menjejaskan imej parti dalam media kerajaan. Perkara semacam ini boleh dibincang dalam peringkat dalaman bukan perlu disebarkan diluar parti
.
Kita tidak mahu imej PAS terjejas sekiranya terjadi ahli atau wakil rakyat PAS melompat parti. Perkara ini patut diambil perhatian kepada mereka yang sudah dipilih jadi wakil rakyat. Waktu pilihanraya sudah hampir janganlah biar perkara ini terjadi dalam PAS
.
Kita kena pertahankan imej PAS demi menjaga nama Islam yang diperjuangkan oleh PAS selama ini. Kalau mereka yang sudah terpilih jadi wakil rakyat hendak keluar parti memang hak mereka tetapi ini bukan waktu sesuai sebab mereka dipilih jadi wakil rakyat atas sokongan ahli,penyokong dan juga rakyat bukan atas kemenangan peribadi
.
Adalah malang sekali kalau perkara ini berlaku dalam PAS sebab sesudah mereka dilantik menjadi wakil rakyat mereka mengkhianati amanah rakyat yang sudah memilih mereka kecuali berlaku penyelewengan atau parti yang mereka wakili itu sudah nyata sesat dan menyesatkan.

Harap perkara ini dapat dibincang secara baik dan dalam suasana yang tenang, jangan jadi perselisihan pendapat menyebab imej parti terjejas. Kita boleh mempunyai berbagai-bagai pendapat bukan bermakna apabila pandangan dan pendapat kita ditolak kita terus merajuk dan menyepi diri dari arus perjuangan.

"Jika kamu berselisih pendapat maka kembalikanlah kepada Allah (Al-Qur’an) dan Rasul-Nya (Sunnah-nya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian, yang demikian itu lebih utama dan lebih baik akibatnya." An-Nisa’ ayat 59
Bersatulah kerana Allah demi kebaikan untuk semua tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.

PAS Miri
Jofri Jaraiee