16 Disember 2011

Lelaki maut gara-gara cemburu

20 Muharram 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR - Bahana cemburu, seorang lelaki berusia 54 tahun maut selepas dipukul dalam satu kejadian berhampiran kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Macang Kudong, Pokok Sena, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa, Hamdan Saad, dikatakan sedang menunggang motosikal bersendirian kawasan berkenaan dan ditinggalkan di dalam belukar.

Mangsa bagaimanapun sempat menghubungi keluarganya dan dibawa pulang ke rumah sebelum dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Difahamkan, mangsa ketika ditemui ahli keluarganya berada di dalam sebuah parit yang memisahkan ladang kelapa sawit dengan lokasi kejadian, dan mangsa dipercayai terjatuh sewaktu cuba mencari jalan untuk keluar dari lokasi kejadian.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Setar, Superintendan Baharom Abu berkata, mangsa yang dimasukkan ke HSB kira-kira jam 1 petang kelmarin, dilaporkan meninggal dunia awal pagi semalam.

“Mangsa mengalami kecederaan pada seluruh badan dan kes pada mulanya disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa).

“Hasil awal bedah siasat mendapati mangsa mengalami masalah jantung akibat kecederaan badan serta tekanan emosi akibat dipukul,” katanya.

Menurutnya, motif kejadian dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Susulan daripada itu, polis berjaya menahan dua suspek lelaki berusia 50 dan 22 tahun, bapa dan anak, dirumah mereka di Pokok Sena.

“Kedua-dua suspek berkenaan direman selama tujuh hari bermula kelmarin,” katanya.

Dalam pada itu, ahli keluarga mangsa yang ditemui di perkarangan Unit Forensik HSB, semalam, enggan mengeluarkan sebarang kenyataan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: