20 Muharram 1433H. [MOD] -
PETALING JAYA, 16 Dis: Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mendesak agar kerajaan memansuhkan segera Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) bukannya meminda.
Berkata pada satu sidang media di Ibu Pejabat Keadilan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar memaklumkan pihaknya telah dijemput untuk turut serta di dalam Sidang Meja Bulat esok 17 Disember di sebuah hotel di Kuala Lumpur yang dianjurkan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.
"Bagi pihak Keadilan akan diwakili oleh Pengarah Komunikasi Parti, Nik Nazmi Nik Ahmad dan beberapa perkara akan kita bentangkan pada persidangan tersebut.
"Melihat kepada keputusan Mahkamah Rayuan pada bulan November yang lalu bahawa AUKU bertentangan dengan perlembagaan Persekutuan merupakan satu keputusan yang benar-benar bersejarah.
"Di dalam maklum balasnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa Seksyen 15 AUKU akan dipinda untuk membenarkan mahasiswa aktif di dalam parti, namum di dalam ucapan yang sama Najib tetap mengumumkan politik tetap akan diharamkan daripada kampus," jelasnya.
Tambah Nurul Izzah lagi, malangnya cadangan pindaan AUKU ini nampaknya sama seperti kegagalan agenda transformasi Najib selama ini seperti yang dilihat di dalam reformasi ISA dan Akta Perhimpunan Aman.
"Pengumuman yang nampak berani pada mulanya tetapi apabila diteliti secara dekat sebenarnya meneruskan dasar-dasar lapuk yang sedia ada.
"Kita lihat sahaja kekeliruan maklum balas tersebut terhadap isu ini sendiri oleh anggota kabinet Najib sendiri serta pentadbir-pentadbir university yang berakhir dengan penangkapan 15 mahasiswa daripada Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang mengadakan flash mob di KL Sentral bagi membantah AUKU," sambungnya.
Beliau memberitahu Seksyen 15 sebenarnya hanya merangkumi kebebasan berpersatuan mahasiswa tetapi seksyen-seksyen lain yang sebenarnya membolehkan pemusatan kuasa pentadbiran universiti di Malaysia termasuk perlantikan naib-naib canselor oleh menteri.
"Dalam pada itu mengadakan prosedur displin yang tidak adil bagi kesalahan-kesalahan di bawah AUKU serta menyekat kuasa Majlis Perwakilan Pelajar," jelasnya Nurul Izzah lagi
Sementara itu Ketua AMK Shamsul Iskandar Md Akim, memberitahu kebebasan akademik yang sudah mati selama empat puluh tahun di Malaysia, hanya dengan memansuhkan AUKU budaya ketakutan yang sudah berakar umbi di universiti-universiti negara kita dapat diatasi.
Menurutnya lagi, Perdana Menteri menunjukkan keazaman politik jika beliau benar-benar serius tentang kebebasan dan kecemerlangan akademik dengan memansuhkan AUKU keseluruhannya dan memperkenalkan undang-undang baru yang menjamin otonomi universiti, pensyarah dan mahasiswa.
"Pada masa yang sama, kami mahukan negeri-negeri Pakatan yang menguasai universiti dan kolej tertentu untuk menunjukkan komitmen yang lebih mendalam kepada kebebasan akademik.
"Mahasiswa kritikal di dalam cara Kerajaan Negeri Kedah menghadapi isu Kolej Universiti Insaniah dan bagaimana Kerajaan Negeri Selangor tidak mengambil tindakan terhadap cadangan menjadikan Universiti Selangor sebagai institusi bebas AUKU dari segi semangatnya," sambungnya.
Shamsul Iskandar memberitahu komitmennya untuk memansuhkan AUKU dan mengembalikan kebebasan akademik sudah wujud sekian lama dan terkandung di dalam Buku Jingga.
"Kita harus berbuat sedemikian di negeri-negeri Pakatan Rakyat dan mendesak perkara yang sama daripada pentadbiran Najib sehingga universiti-universiti kita benar-benar bebas dan menjadi simbol kecemerlangan seperti suatu ketika dahulu," kata Shamsul lagi.
Dalam pada itu Nik Nazmi berkata, beliau akan pastikan persidangan tersebut akan menjadikan perbincangan memansuhkan AUKU dan bukan memindanya, selain itu juga beberapa cadangan akan diutarakan agar ia dapat diterima oleh pihak penganjur.
"Kita mahu sesuatu yang baru di dalam AUKU dan saya berharap persidangan tersebut menjadi satu sejarah kepada mahasiswa yang selama ini menuntut hak mereka.
"Kita tahu hari ini bagaimana kekangnya mahasiswa ingin bergerak untuk menyatakan apa yang mereka kehendaki. Hak mahasiswa tidak boleh kita halang, kebebasan perlu mereka perolehi terutamanya dalam arena politik tanah air seperti mana yang diberikan kepada pelajar di luar negara yang menyertai Kelab Umno di sana," kata beliau.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan