20 Muharram 1433H. [MOD] -
BUKIT PASIR – Pemilik tiga gerai makan di Jalan Besar Bukit Pasir di hadapan jalan masuk Jalan Kemunting di sini memerlukan perhatian pihak bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah sistem perparitan dihadapi mereka.
Peniaga mendakwa, kerana tiadanya saluran perparitan yang sempurna, gerai mereka sering dinaiki air setiap kali hujan sekali gus mengganggu perniagaan mereka.
Peniaga, Jalilah Ismail, 43, berkata, sejak 12 tahun dia berniaga di situ, dia dan dua peniaga lain terpaksa berpakat mengeluarkan modal sendiri untuk membuat longkang bagi mengelakkan air terus bertakung kerana di situlah tempat mereka mencari rezeki.
“Saya harapkan mereka (pihak yang berkenaan) datang sendiri memantau dan bertanyakan masalah yang kami hadapi di sini,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, seorang lagi peniaga, Mohd Razif Ismail, 50, berkata, dia juga bersetuju dengan pandangan Jalilah kerana perniagaannya sering kali terganggu akibat air dari jalan besar memasuki gerainya.
Katanya, dia juga mengharapkan satu saliran perparitan yang sempurna dapat dibina segera.
“Diharap pihak yang berkenaan termasuk PBT mengambil tindakan untuk membina satu saluran air seperti parit di belakang gerai kami supaya air yang memasuki gerai dapat surut dengan cepat dan tidak lagi bertakung,” katanya.
Manakala, Jahurunisa Mainuddin, 49, berkata, dia juga mahukan tindakan segera dilaksanakan untuk membina saliran perparitan yang sempurna selain membina beberapa lagi kemudahan lain.
“Selain itu saya juga harap kemudahan lain dapat dibina seperti tandas awam dan surau untuk kemudahan pelanggan kami yang semakin ramai dari semasa ke semasa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Bahagian Batu Pahat, Mohd Hamidi Mad Tap berkata, dia mahukan agar pihak bertanggungjawab mengambil tindakan mengatasi masalah peniaga di kawasan berkenaan.
Katanya, pernah satu ketika semasa makan di gerai berkenaan semasa hujan, air yang melimpah di kawasan pelanggan serta tempat mereka memasak mencecah paras betis saya dan ini memberikan satu pandangan yang tidak elok.
“Saya berasa terkilan kerana tiadanya tindakan daripada pihak yang berkenaan walaupun saya telah diberitahu ada peniaga yang sudah berniaga di kawasan ini melebihi 10 tahun lamanya,” katanya.
Sinar Harian
1 ulasan:
Ketua penerangan ada komisyen bikin longkang...pnyamun duit rakyat
Catat Ulasan