16 Disember 2011

Remaja ditemui lemas selepas mandi kolam

20 Muharram 1433H. [MOD] -

HUTAN MELINTANG - “Saya bersama suami bergegas ke kolam itu selepas mendapat tahu apa yang berlaku, namun kami hanya sempat menatap mayat anak kami terbujur kaku sebaik sahaja tiba di tempat kejadian.” Ujar M Santhaletchumi, 37, ibu kepada B Uthayakumar, 13 yang ditemui mati lemas selepas mandi di sebuah kolam dalam kawasan tapak pembinaan perumahan, di Jalan Hutan Melintang, di sini, pada petang kelmarin.

Santhalethumi berkata, dia sedang bekerja di sebuah kilang berhampiran kediamannya ketika mendapat panggilan daripada rakan mangsa pada jam 4.50 petang yang memaklumkan anaknya itu sakit tenat selepas mandi di sebuah kolam.

Menurutnya, mangsa telah keluar rumah pada kira-kira jam 8 pagi pada hari kejadian untuk ke rumah rakannya yang terletak tidak jauh daripada rumahnya di Taman Selasih, Hutan Melintang, di sini.

“Saya hairan kenapa Uthayakumar pergi ke kolam yang terletak kira-kira 400 meter daripada rumah kami sedangkan dia tidak tahu berenang dan tidak pernah ke situ sebelum ini.

“Kami juga tidak menjangka perkara ini boleh berlaku kerana Uthayakumar tidak pernah menunjukkan sebarang perubahan atau kelakuan aneh sebelum kejadian ini,” katanya ketika ditemui, semalam.

Enggan menceritakan lebih lanjut, Santhaletchumi mengakui, dia dan suami, C Bala, 42 tidak dapat menahan sedih saat menatap mayat anak kedua daripada lima beradik itu, namun tetap menerima suratan takdir.


Kelakuan aneh

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, maklumat daripada rakan mangsa memaklumkan polis beberapa keanehan yang dilakukan mangsa sebelum ditemui lemas.

“Menurut rakan mangsa, antara kelakuan aneh mangsa adalah meninggalkan dompet serta telefon bimbitnya di rumah rakannya dan keluar rumah tanpa memberitahu sesiapa.

“Kelakuan mangsa turut menimbulkan tanda tanya dalam kalangan keluarganya, tambahan mangsa tidak pernah mandi di luar rumah termasuk di parit atau sungai, sebelum ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Hutan Melintang hanya memberitahu rakannya, dia mahu mandi berseorangan tetapi tidak memberitahu di mana.

“Rakan mangsa mula merasa risau apabila mangsa tidak kembali selepas hampir dua jam dan telah keluar untuk mencari mangsa di merata tempat, namun gagal menemuinya.

“Kejadian yang menimpa diri mangsa hanya disedari selepas salah seorang rakannya yang lain berkebetulan melalui kawasan tapak pembinaan itu,” katanya.

Kok Liang berkata, rakan mangsa ternampak kepalanya terapung dalam kolam berkenaan dan telah meminta bantuan daripada penduduk berkedekatan untuk menyelamatkan mangsa.

Katanya, ambulans telah dihubungi selepas mayat mangsa ditarik keluar oleh penduduk dari kolam berkenaan dan mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat.

“Mangsa telah disahkan maut akibat lemas serta diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut. Mayat mangsa telah dituntut oleh keluarganya untuk disempurnakan,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: