20 Muharram 1433H. [MOD] -
TAIPING – Seorang warga emas terkejut apabila wayar elektrik tiba-tiba jatuh lalu mengenai leher ketika sedang berjalan menuju ke stesen teksi di Jalan Iskandar, di sini.
Chua Hock Koon, 71, berkata, dia baru sahaja keluar dari sebuah kedai kopi kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Menurutnya, sebelum kejadian dia berhasrat menemui seorang kenalan di stesen teksi untuk berbual, namun hasrat itu terbantut akibat wayar elektrik mengenai lehernya.
“Wayar ini terjatuh dan terkena pada leher saya, walaupun tidak teruk tetapi saya masih dapat rasa kesakitannya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam
Hock Koon berkata, selepas kejadian, salah seorang pemandu teksi yang berada di situ menyatakan wayar terbabit jatuh mungkin disebabkan banyak burung bertenggek.
“Saya bimbang kejadian sama terus berulang dan keadaan itu akan mendatangkan bahaya kepada orang ramai terutama kanak-kanak,” katanya.
Katanya, dia kemudian membuat satu laporan kepada pihak Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dan salah seorang ahli MPT, The Han Leng telah hadir ke tempat kejadian untuk meninjau masalah yang berlaku.
“Apabila pemeriksaan dijalankan, beliau terus menghubungi pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk mengambil tindakan selanjutnya.
“Jalan ini sentiasa sibuk dengan kenderaan dan orang ramai, oleh itu, perhatian serius perlu diambil bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan