16 Disember 2011

400 bermasalah kesihatan mental

20 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU – Seramai 400 pesakit yang mengalami masalah kesihatan mental dimasukkan ke wad psikiatri Hospital Hulu Terengganu (HHT) pada setiap tahun dan 50 hingga 80 daripadanya adalah kes baru.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Anwa Sulaiman berkata, dari jumlah itu, kes paling banyak melebihi 80 peratus adalah berkaitan psikosis iaitu penyakit mental yang disebabkan oleh perubahan kimia di dalam otak.

“Terdapat juga masalah lain seperti kecelaruan emosi (lebih lima peratus) dan penyalahgunaan dadah (lebih lima peratus).

“Bagaimanapun, statistik ini hanya menggambarkan masalah berkaitan dengan penyakit mental yang merupakan sebahagian kecil daripada masalah,” katanya pada Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2011 Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Besar, Intitut Latihan dan Perindustrian (ILP) Marang.

Teks ucapan beliau dibacakan Pegawai Pembangunan Kesihatan Keluarga, Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Hasyim Abdullah dan majlis itu dirasmikan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pergigian), Dr N Jegarajan NS Pilay.

Menurut Dr Anwa, bagi membantu pesakit terbabit, pelbagai kaedah merawat, memulih, mendidik dan mencegah pelbagai penyakit berkaitan mental dan emosi mula diperkenal dan sentiasa diperbaharui bagi membantu merawat pesakit-pesakit mental.

Beliau berkata, langkah proaktif itu juga telah meningkatkan tahap pemulihan penyakit secara optimistik, selain dapat mengurangkan kadar ulangan penyakit dan kebergantungan sosial yang kronik.

Secara tidak langsung katanya, usaha dijalankan juga dapat menangkis tanggapan singkat sesetengah masyarakat, bahawa penyakit mental adalah penyakit tiada ubat dan sukar dipulihkan.

“Selain itu, kita turut menjalankan khidmat rawatan psikiatri dalam komuniti di semua daerah yang mana pesakit sukar untuk datang ke hospital, tiada sokongan keluarga dan kewangan akan dibantu oleh pasukan komuniti itu.

“Pasukan ini akan membuat lawatan ke rumah untuk memastikan rawatan berkala dapat diberikan dan keadaan pesakit akan dipantau secara berterusan,” katanya kepada Sinar Harian.

Dr Anwa berkata, Terengganu mempunyai dua hospital menawarkan khidmat Kumpulan Sokongan Keluarga yang dapat membantu proses penyembuhan pesakit mental iaitu Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan Hospital Hulu Terengganu.

“Rawatan boleh diperoleh di semua hospital kerajaan dan klinik kesihatan namun kos perubatan penyakit mental agak tinggi iaitu menyamai kos merawat penyakit kronik seperti jantung,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: