19 Disember 2011

Bekas Presiden Czech meninggal dunia

23 Muharram 1433H. [MOD] -

PRAGUE 19 Dis. - Bekas Presiden Republik Czech, Vaclav Havel disahkan meninggal dunia pada usia 75 tahun, semalam.

Havel yang memegang jawatan Presiden dari 1989 hingga 2003, merupakan pejuang Revolusi Velvet yang memperjuangkan kemerdekaan negaranya dari pengaruh komunis Rusia pada 1989.

Jurucakap mendiang, Sabina Tancevova berkata, Havel yang telah lama jatuh sakit, meninggal dunia semasa sedang tidur pada awal pagi semalam. - AFP

Masalah Kampung Pasir belum dapat diselesaikan oleh pihak pemerintah

23 Muharram 1433H. [MOD] -
PAS MIRI

MIRI - Kampung Pasir terletak di dalam pekan Lutong, Miri. Terdapat bangunan syarikat minyak dan gas seperti Petronas dan juga Shell di kawasan tersebut. Kebanyakan penduduk di kampung Pasir adalah masyarakat Iban dan terdapat juga orang Melayu dan Cina tinggal dalam kampung tersebut.

Mereka sudah lama tinggal di kampung Pasir lebih daripada 40 tahun. Masalah utama yang dihadapi oleh penduduk kampung Pasir adalah bekalan elektrik dan juga saluran air paip yang terpaksa berkongsi meter air. Begitu juga peparitan yang tersumbat dan jalan kampung yang sempit dan berlubang.

Mereka sudah lama memohon agar bekalan elektrik dapat disambung ke rumah mereka tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak yang berkenaan untuk mengatasi masalah tersebut. Mereka masih lagi menggunakan generator sebagai sumber bekalan elektrik ke rumah mereka. Kalau musim hujan berpanjangan kawasan kampung Pasir mudah dilanda banjir kilat dan sudah tentu ini akan menyusahkan penduduk kampung untuk membersih kawasan rumah mereka akibat banjir.

Mereka merayu kepada pihak Pas dan Pakatan Rakyat agar dapat membantu mereka selesaikan masalah mereka sebab menurut mereka sebelum ini mereka selalu memohon kepada wakil rakyat BN untuk membantu selesaikan masalah mereka tetapi perkara tersebut masih juga tidak dapat diatasi walaupun sudah berpuluh-puluh kali mereka memohon dan merayu agar pihak yang berkenaan menyelesaikan masalah mereka.

Kita mendesak agar pihak yang berkenaan bertindak dengan segera mengatasi masalah kampung Pasir memandangkan kampung tersebut terletak dalam kawasan bandaraya Miri yang sudah pasti akan mencemarkan imej Miri sebagai bandaraya sekiranya masih lagi terdapat kampung dalam Bandar yang masih menggunakan generator sebagai sumber bekalan elekrik ke rumah mereka.

Kita minta pihak kerajaan janganlah membiarkan penduduk kampung Pasir terus ketinggalan dari arus pembangunan sedang mereka juga berhak mendapat keperluan asas. PAS dan Pakatan sentiasa membantu rakyat dengan sedaya mungkin tanpa mengira bangsa,agama dan fahaman politik.

Jofri Jaraiee
PAS Miri

Angka korban taufan Washi catat 652 orang

23 Muharram 1433H. [MOD] -

MANILA - Persatuan Palang Merah melaporkan angka korban ribut tropika Washi yang membadai selatan Filipina telah meningkat kepada sekurang-kurangnya 652 orang, semalam manakala lebih 800 dilaporkan masih hilang.

Bandar pelabuhan Cagayan de Oro dan Iligan di selatan Mindanao itu dilaporkan paling teruk terjejas akibat banjir lumpur yang berlaku sejak kelmarin.

Pihak berkuasa turut melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang telah dihanyutkan ke laut dan setakat ini 60 orang telah diselamatkan dari luar pesisiran pantai El Salvador terletak kira-kita 10 kilometer dari Cagayan de Oro.

Taufan Washi dilaporkan bergerak ke arah barat Pulau Palawan dan pasukan kecemasan turut bersedia untuk menghadapi ancaman banjir kilat di kawasan tersebut.

sinar harian/-

Awang hitam patah kaki

23 Muharram 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU - Tindakan nekad lelaki warga Nigeria untuk meloloskan diri dalam operasi memburu awang hitam oleh Jabatan Imigresen Johor membawa padah apabila patah kaki kiri akibat terjatuh dari siling, petang kelmarin.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen negeri, Mohamad Nasir Abas berkata, suspek berusia 28 tahun itu antara tiga warga Afrika dicekup pihak berkuasa negeri ini dalam tiga operasi berasingan dijalankan pihaknya.

Menurutnya, suspek ditahan semasa serbuan ketiga di rumah kedai dua tingkat di Jalan Anggerik 41, Taman Johor Jaya jam 6.25 petang.

“Lokasi berkenaan pernah diserbu oleh pihak berkuasa minggu lalu, namun hanya seorang suspek diberkas dan tiga lagi melarikan diri dengan memanjat bumbung dan siling rumah kedai itu. Kali ini kita ke lokasi yang sama untuk memberkas saki-baki mereka.

“Ketika serbuan, bilik yang dihuni lelaki itu berkunci dan suspek ditemui menyorok di belakang almari selepas dipercayai terjatuh dari siling ketika cubaan untuk menyelamatkan diri. Suspek tidak mampu berjalan dan mengalami kesukaran untuk berdiri,” katanya, di sini, semalam.

Mohamad Nasir berkata, lelaki terbabit ditahan mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 Akta 155 kerana memasuki negara ini tanpa dokumen yang sah.

Terdahulu, pada serbuan pertama di sebuah rumah pangsa di Larkin Perdana jam 4 petang, seorang lelaki warga Nigeria berusia 30-an ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Serbuan kedua pula dilakukan di sebuah rumah di Taman Johor Jaya, jam 5.53 petang dan pihak kami terpaksa memotong kunci pagar rumah berkenaan yang didiami seorang lelaki Afrika.

“Lelaki warga Afrika Selatan dan berusia 30 tahun itu kemudiannya ditahan mengikut Seksyen 56 (1)(I) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana memiliki cop palsu pada pasportnya,” katanya.

Kesemua suspek dibawa ke Depoh Imigresen Pekan Nanas untuk siasatan lanjut.

Sinar Harian

Rusia dicemari tumpahan minyak

23 Muharram 1433H. [MOD] -

POKOK-POKOK yang mati akibat tumpahan minyak dekat bandar Usinsk, 1,500 kilometer ke timur laut Moscow.

MOSCOW, Rusia - Pencemaran alam sekitar akibat tumpahan minyak semakin serius di Komi yang merupakan antara wilayah pengeluar minyak mentah utama Rusia.

Di wilayah berkenaan, lopak dan kolam minyak mentah terbentuk di beberapa kawasan termasuk di sekitar bandar Usinsk yang terletak sekitar 1,500 kilometer ke timur laut ibu negara Rusia di sini.

Pencemaran dipercayai berpunca daripada kebocoran pada rangkaian saluran paip minyak lama yang tidak diganti selain limpahan daripada telaga-telaga minyak haram yang terdapat di Komi.

Beberapa pakar menganggarkan sekitar 5 juta tan minyak mentah tumpah dan mencemari alam sekitar negara itu pada setiap tahun. - Agensi

4 gadis maut MPV jatuh gaung

23 Muharram 1433H. [MOD] -

KOTA TINGGI – Empat sahabat yang baru habis menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut manakala dua lagi parah apabila kenderaan Toyota Innova yang dinaiki mereka terbabas dan terhumban ke dalam gaung di Kilometer 33.7 Jalan Johor Bahru-Mersing di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 5.30 petang itu, mereka yang terkorban ialah Ng Sin Yun, 17; Tey Jia Xin, 17; Winnie Ng, 18, dan Ching Hui Sean, 18.

Sin Yun mati di tempat kejadian manakala Winnie, Jia Xin dan Hui Sean meninggal dunia semasa mendapat rawatan di Hospital Kota Tinggi di sini.

Pemandu kenderaan, Victor Ng Wee Tai, 17, iaitu adik Winnie dan seorang lagi rakan mereka, Chin Shi Xuan, 17, cedera parah. Victor dirawat di sebuah hospital swasta di sini manakala Shi Xuan dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru.

Kosmo

NFC: Najib perlu desak Muhyiddin letak jawatan

23 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 19 Dis: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil langkah berani dan drastik dalam menangani skandal Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) yang dikaitkan dengan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan keluarganya.

Ketua Penerangan DPP Malaysia, Riduan Mohd Nor (gambar) berkata, pihaknya berpandangan, isu dakwaan penyelewengan dana NFC merupakan isu besar negara yang memberi kesan buruk bukan sekadar rakyat di negara ini, malah ia juga di peringkat antarabangsa.

Beliau dalam satu kenyataan menambah, rakyat yang melihat segala penyelewengan dalam negara ini merasa muak kerana pemimpin negara bersikap tidak jujur kepada rakyat.

“Persepsi rakyat menyatakan bahawa pemimpin negara yang berkuasa pada hari ini mementingkan diri mereka sendiri dan bukan berkhidmat untuk kepentingan rakyat.

“Isu ini pastinya mengikis kepercayaan rakyat terhadap kepemimpinan yang mereka pilih dalam pilihanraya,” katanya.

Dalam keadaan demikian, ujarnya sudah timbul pelbagai desakan supaya Shahrizat meletak jawatan.

Desakan kuat itu, tambah beliau bukan setakat datang dari rakyat dan pemimpin Pakatan rakyat, malah pemimpin Umno sendiri menyuarakan rasa tidak senang dengan isu itu kerana merasakan Shahrizat sudah menjadi liabiliti kepada Umno.

Bagi DPP Malaysia, tegasnya tidak adil jika hanya Shahrizat sahaja yang disalahkan ekoran dakwaan penyelewengan sebanyak RM 250 juta dalam projek tersebut sebaliknya menteri berkaitan juga perlu dipertanggungjawabkan kerana terlibat meluluskan projek tersebut.

Selain Shahrizat, katanya Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri juga perlu dipertanggungjawabkan atas isu itu.

Ini, katanya kerana Muhyiddin sebagai Menteri Pertanian dan Asas Tani ketika projek tersebut diluluskan dan beliau mempunyai kuasa untuk meluluskan atau membatalkan projek tersebut ketika itu.

Tambahnya, slogan transformasi yang dilaungkan dalam kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan.

Menurutnya lagi, Najib perlu segera membersihkan kabinet beliau dari sebarang kes yang memalukan dan antara langkah yang boleh mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap beliau adalah dengan mendesak Muhyiddin supaya meletak jawatan sebagaimana desakan terhadap Shahrizat.

“Tindakan ini sebagai pengajaran supaya setiap pemimpin negara menjaga amanah kepemimpinan mereka yang telah diberi oleh rakyat,” katanya.

DPP Malaysia, katanya mengingatkan PM supaya bertegas membersihkan kabinetnya dari sebarang isu yang boleh menjejaskan kredibiliti negara.

Katanya lagi, pemimpin negara bukan setakat perlu bersih dari rasuah, malah dilihat oleh rakyat bersih dari rasuah atau penyelewengan.

Beliau berkata, penyakit rasuah dan penyalahgunaan kuasa adalah dosa besar yang boleh menghancurkan negara dan umat.

Harakah Daily

Mahasiswa bukan budak hingusan

23 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 19 Dis: “Saya ucapkan selamat berjuang, sabar dan tabah mendepani ujian buat seluruh mahasiswa yang berani dan benar,” kata Nasrudin Hassan.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia itu berkata mahasiswa adalah agent of change dan ilmu yang mereka miliki meletakkan mereka sebagai intelek muda dan ia merupakan aset untuk berani, yakin dan bertanggungjawab dengan tindakan yang mereka ambil.

“Mereka bukan lagi budak hingusan yang boleh ditempelak, dipulas telinga dan ditampar, apa lagi untuk diludah,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, mereka mampu bangkit membentuk gelombang third force yang berkesan ke arah membangkitkan ummah dari lena yang panjang lantas mencetus perubahan dan meletakkan negara selamat serta bebas dari anasir yang meruntuhkan peradaban seperti rasuah, pecah amanah, ketidaktelusan dan sebagainya.

Katanya, kerajaan sekali-kali tidak wajar mengkesampingkan tuntutan mereka apatah lagi memperkecilkan mereka.

“Saya lihat inilah masanya, mahasiswa menyusun kebangkitan lalu memposisikan diri mereka selayaknya, sesuai dengan ilmu dan semangat yang mereka miliki. Usah gentar berkelana di alam buana ini, menggalas cita-cita perjuangan,” ujarnya.

Tambahnya, tidak sekadar berjuang untuk membebaskan mahasiswa tetapi juga menggerak kesedaran serta kebangkitan rakyat.

Justeru, katanya Dewan Pemuda PAS Malaysia mengucapkan syabas kepada thaurah yang mula menampakkan rentak kebangkitan mahasiswa.

Kini, ujar beliau mereka mula melepaskan diri dari pasung puaka yang membelenggu leher mereka sejak sekian lama.

“Kami pastinya bangga dengan perkembangan ini.

“Menuntut ilmu biarlah seiring dengan semangat perjuangan. Jangan abaikan salah satu dari keduanya. Ilmu adalah senjata berkesan bagi perjuangan yang kita dukung,” tegasnya.

Beliau menambah, ada senjata tetapi tidak menghunusnya untuk perjuangan suci itu hanya memperlihatkan kita lemah.

“Demikian juga berjuang tanpa senjata (ilmu) membuatkan kita salah memilih hala tuju yang benar,” jelasnya.

Harakah Daily

Mayat bayi dalam kotak

23 Muharram 1433H. [MOD] -

MACHANG - Seorang pengutip sampah terkejut apabila menemui mayat seorang bayi lelaki yang diletakkan di dalam kotak plastik di tapak pelupusan sampah Bukit Tajul, Banggol Judah dekat sini, kira-kira jam 1.15 petang, semalam.


Rusmi Shafie, 30 berkata, mayat bayi tersebut dijumpai ketika dia bersama lapan rakan yang lain mencari bahan terpakai daripada timbunan sampah tersebut.

Katanya, sebaik sahaja sebuah lori sampah milik Majlis Daerah Machang masuk ke kawasan tersebut, dia dan rakannya terus mengerumuninya.

“Semasa sedang mencari barangan dalam longgokan sampah itu, saya menarik se­buah kotak plastik yang me­nyerupai beg lalu membukanya dan menemui baju kemeja T perempuan yang dipenuhi darah.

“Saya kemudian menarik kain batik perempuan yang diletak di sebelahnya dan ternampak telinga manusia. Saya terus menjerit dan mem­beritahu rakan-rakan namun mereka tidak per­caya dan menganggap saya bergurau sehingga mereka melihatnya sendiri. Mayat bayi lelaki itu cukup sifat dan masih bertali pusat. Kami percaya ia baru sahaja me­ninggal dunia tidak lebihi 24 jam,” katanya.

Tambahnya, ini kali pertama di­alaminya sejak mencari bahan terpakai di tapak pelupusan tersebut.

Ketua Polis Daerah Ma­chang, Deputi Superintendan Che Malek Bedot berkata, mayat bayi tersebut yang ditemui dalam keadaan cukup sifat, dipercayai telah dibuang di salah sebuah tong sampah di kawasan Machang sebelum diangkut ke tapak pelupusan itu.

“Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti mereka yang terlibat dalam kes ini,” katanya.

Mayat bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Machang untuk bedah siasat.

Sinar Harian

Cina Terengganu terikat dengan BN

23 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU – Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Terengganu, Hanafiah Mat mendakwa kaum Cina di Terengganu masih lagi terikat kepada Barisan Nasional (BN).


Menurutnya, keadaan itu boleh dilihat dalam pilihan raya umum lalu apabila hanya kaum Cina di Kelantan dan Terengganu yang masih menyandang harapan kepada parti kerajaan.

Beliau berkata, keadaan sebaliknya berlaku di negeri-negeri lain terutama di Pantai Barat apabila mereka menunjukkan sokongan padu kepada Pakatan Rakyat dalam usaha mengubah landskap politik di negara ini.

“Kalau di negeri ini, contohnya di Dun Bandar yang ramai kaum Cina masih memberi sokongan kepada BN tetapi tidak di Pantai Barat dan juga di Pahang. Kaum Cina di kawasan tersebut lain dengan negeri ini dan Kelantan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mendakwa, situasi politik di kalangan kaum Tionghoa sejak belakangan ini dilihat sedikit berubah apabila mereka mula memberi kepercayaan kepada PR.

Menurutnya, kaum itu yang sering mengikuti perkembangan ekonomi negara kecewa apabila pelbagai isu ekonomi dikaitkan dalam keadaan rakyat terbeban dengan kenaikan harga barang.

“Sejak akhir-akhir ini pergerakan politik dalam kalangan kaum Cina sudah lain dan mereka amat prihatin terutama berhubung masalah ekonomi yang berlaku dalam negara.

“Lagipun, akhbar orang Cina lebih telus dan mereka dapat melihat perkembangan dalam negara dengan lebih baik berbanding orang Melayu yang masih terpengaruh dengan media kerajaan,” katanya.

Sinar Harian

Curi kasut, jual pada pemilik asal

23 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU – Helah seorang lelaki untuk mendapatkan wang dengan menjual kasut yang dicurinya tidak berjaya apabila tindakan jahatnya itu terbongkar apabila secara tidak sengaja menawarkan kepada pemilik asal kasut terbabit.


Tertuduh, Samsu @ Shamsudin Musa, 41, berasal dari Kampung Seberang Pintasan, Dungun mengaku bersalah melakukan perbuatan terbabit mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Pengakuan itu dilakukan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim dan pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Miky Dunstan Muda.

Berdasarkan fakta kes, kira-kira jam 10.15 pagi pada 17 Disember lalu di Stesen Bas Kuala Dungun, seorang pemandu bas pelancong meninggalkan kasut jenama Rorine berwarna coklat miliknya di dalam bas dan memakai selipar untuk ke tandas.

Ketika dalam perjalanan kembali ke bas, pengadu terserempak dengan suspek yang kemudian menawarkan untuk menjual kasut kepadanya.

Bagaimanapun, mangsa dapat mengecam kasut itu adalah miliknya yang ditinggalkan di dalam bas berkenaan.

Pengadu kemudian membawa suspek menaiki bas dan mendapati kasutnya lesap.

Selepas disoal siasat, suspek mengaku mencuri kasut mangsa dan dia kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Abdul Hayyi menetapkan 16 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula untuk jatuh hukum di Mahkamah Majistret Dungun.

Tertuduh bagaimanapun dibenarkan diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

Sinar Harian

Remaja panik diacu pisau

23 Muharram 1433H. [MOD] -

LEDANG – Seorang remaja terpaksa berhadapan detik mencemaskan apabila diacu pisau oleh penjenayah dalam kejadian rompakan bersenjata di sebuah rumah di Taman Sentosa, Tangkak di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, mangsa, Lee Siau Yan, 19, dikatakan baru sahaja pulang menghantar ibunya ke Hospital Tangkak.

Namun, sebaik sahaja tiba di rumah, mangsa terkejut apabila mendapati pintu pagar terbuka dan terdapat kereta yang dinaiki dua lelaki berhenti di hadapan rumahnya.

Sebaik sahaja Siau Yan membuka pintu, salah seorang suspek meluru ke arahnya sambil mengacu sebilah pisau di perut dan kepala.

Setelah berjaya memasuki rumah, suspek segera menggeledah dan membawa lari barangan seperti komputer riba, dua telefon bimbit, wang tunai RM40, barangan kemas, CPU komputer dan sebuah Mercedes lama.

Sebelum melarikan diri, suspek yang dipercayai warganegara tempatan sempat merosakkan salah satu kamera litar tertutup (CCTV) di rumah semi banglo berkenaan.

Siau Yan yang merupakan penuntut salah sebuah kolej di Kajang pulang bercuti di kampung dan ketika kejadian dia bersendirian di rumah.

Mangsa yang juga masih trauma dengan kejadian itu, segera menghubungi ibunya dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang sebaik kejadian tersebut berlaku.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Ledang, Deputi Superintendan Mohd Salleh Abd Razak ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Menurutnya, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti identiti suspek.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Ledang di talian 06-9781222.

“Nilai kerugian dianggarkan RM40,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana merompak,” katanya.

Sinar Harian

Israel buka tender bina 1,000 unit rumah di Baitulmaqdis

23 Muharram 1433H. [MOD] -

BAITULMAQDIS 19 Dis. - Kementerian Perumahan Israel semalam membuka tender untuk pembinaan lebih 1,000 unit rumah di timur Baitulmaqdis dan Tebing Barat.

Jurucakap kementerian itu berkata, lebih 500 rumah baru dibina di timur bandar Har Homa manakala 528 lagi dibina di dua kawasan Tebing Barat, iaitu 348 di Bietar dan 180 lagi di Givat Ze’ev.

Katanya, pembinaan unit baru itu sebagai tindak balas terhadap tindakan Palestin memohon keanggotaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada September lalu. - AFP

Isu masjid: Dah berak merata, jangan tuduh orang lain

23 Muharram 1433H. [MOD] -

Siapa yang buat teks Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin ketika perasmian Masjid Sultan Ismail di Cendering. Apakah maklumat yang sebenar dilapurkan kepada Tuanku berkenaan solat Jumaat di dua masjid dalam satu qariah. Mutakhir ini kerja ni sebenarnya angkara siapa? Kita tidak mahu apabila dekat pilihanraya, pihak kerajaan pimpinan Umno Terengganu dok mainkan kaset lama untuk menjadi bahan kempen Umno-BN. Macam dah tak de isu lain ke nak tutup penyelewengan pimpinan Umno-BN.

Kenyataan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mohd Rozali Salleh berkata terdapat 11 masjid di Marang, Setiu dan Besut dikesan masih melakukan dua solat Jumaat dalam satu kariah berbanding 23 buah sebelum ini.

Menurutnya walaupun pelbagai usaha telah dilakukan, masalah itu masih tidak dapat diselesaikan.

"JHEAT pernah dihalang dengan jentera, malah ada orang baring bawah jengkaut apabila kita datang ke tempat mereka untuk menyelesaikan perkara ini," katanya.

Rozali berkata JHEAT memandang serius perkara itu kerana ia bukan sahaja menimbulkan perpecahan dalam kalangan penduduk setempat tetapi juga meninggalkan imej negatif terhadap Islam.

Kita juga tidak mahu pihak JHEAT menjadi ‘ggabus’ Umno-BN. Sebab mereka menyedari duduk sebenar perkara ini. Sebenarnya setelah Umno kembali berkuasa, pemimpin mereka kembali rakus untuk memecah-belahkan rakyat di qariah yang khususnya ramai yang menyokong pembangkang.

Ketika PAS memerintah pun, Tok-tok Imam dan pemimpin Umno sendiri memulau masjid-masjid semasa pemerintahan PAS seperti wujudnya masjid baru Gong Pak Jin di Dun Tepuh. Apatah lagi selepas Umno kembali berkuasa, mereka menggunakan kuasa kerah keng mereka. Mereka lebih suka menggunakan bahasa jentolak & jengkaut. Itulah yang disebut oleh Pesuruhjaya JHEAT sepertimana ucapan di atas.

Kita masih ingat kerakusan Umno-BN merobohkan Masjid Bujal yang dibangunkan oleh masyarakat setempat dengan pelbagai alasan meskipun kita semua tahu Rasulullah s.a.w. mengajar mengutamakan pembinaan masjid sebelum pembinaan rumah sendiri. Rumah Allah didahulukan sebagaimana ketika Hijrahnya Rasulullah s.a.w. maka pembinaan Masjid Quba terus dibina dan apabila Rasulullah s.a.w. masuk ke tengah Madinah maka terus dibina Masjid Nabawi.

Kita lihatlah bagaimana Masjid Sura Lama dalam Dun Paka. Masjid yang dibina dan dikuasai oleh orang-orang Pas itu menimbulkan rasa tidak puas hati pimpinan Umno-BN bahkan Hj Ahmad (calon PAS 1959) selaku pengasasnya dibuang daerah ke Melaka. Bukan itu sahaja mereka berusaha supaya masjid itu ditutup dan dibina Masjid Sura Baru hanya beberapa ratus meter daripada Masjid Sura Lama yang binaannya jauh lebih kecil apatah lagi nak memuatkan masyarakat setempat. Hasrat sebenarnya ialah orang Umno tidak bersedia bersembahayang di masjid yang dibina oleh orang PAS sedangkan Hj Ahmad itu adalah pengasas dan pembuka Kampung Sura itu sendiri.

Begitu juga apabila orang Umno gagal menguasai Masjid Kg. Pinang Merah, Masjid Kg. Nyior dan Masjid Tebing Tembah yang menyebabkan orang Umno mendesak agar dibuat masjid sendiri dan akhirnya mereka membina sebuah masjid baru di Tebing Tembah dengan projek bernilai lebih daripada RM3 juta dan cuba menurunkan taraf Masjid Tebing Tembah yang sedia ada meskipun bangunannya besar dan selesa serta masih amat kukuh dan telah dibaikpulih dan diperbaharui.

Semua penyokong Umno terpaksa dikumpulkan 3 kampung berdekatan untuk mencukupkan solat Jumaat. Biar apa pun berlaku janji nafsu orang Umno terpuas meskipun berlaku perpecahan di kalangan masyarakat bahkan mereka diugut jika tidak pergi bersembahyang di masjid mereka.

Begitu juga masjid di Felda Kerteh 2 dan Kerteh 3. Ia tetap dibina walaupun kedudukan masjid tu sejengkal kera sahaja tetapi ia tidak menjadi isu kerana kawasan ramai penyokong Umno dan ianya satu projek untuk Umno.

Ini baru satu Dun… bolehlah ditinjau di seluruh Terengganu nescaya kita akan mengetahui bahawa semua ini sebenarnya angkara Umno-BN. Apatah lagi Imam yang dilantik yang dipilih berdasarkan penyokong Umnonya. Kekadang ahli Umno tegar, meskipun lemah ilmu agamanya. Inilah kekadang timbulnya percakapan imam yang terlebih Umno daripada pemimpin mereka. Hatta menghina Islam, menghina hukum Islam. Bagaimanalah ingin dibuat Tok Imam. Itu belum diambil kira kes-kes akhlak.

Jika Imam itu dikatakan penyokong PAS nescaya disekat elaun mereka sehingga kini. Dah lebih 7 tahun sebahagian imam & bilal disekat elauan mereka meskipun mereka tetap bertugas sehingga kini. Apabila timbul isu nescaya pemimpin PAS dipersalahkan. Mereka ada media, mereka ada alat propaganda. Mereka yang lempar batu, mereka sembunyi tangan. Inilah sikap pimpinan Umno-BN. Dekat-dekat nak mengundi ni… tayang balik le cd-cd lama ni. Diharap pimpinan Umno jangan hipokrit. Dah berak merata… jangan tuduh pulak orang lain.

Harakah Daily

PKR gesa kerajaan tangguh SBPA, dengar suara Cuepacs

23 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 19 Dis — Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bagi mengelakkan kekalutan dan rasa tidak puas hati yang berterusan di kalangan kakitangan awam.

Timbalan Ketua Penerangan AMK Najwan Halimi berkata, pihaknya berharap agar pihak kerajaan menerusi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menangguhkan terlebih dahulu pelaksanaan SBPA dan berunding dengan Cuepacs serta menyelesaikan isu-isu yang menjadi pertikaian serta mencetuskan kekeliruan di kalangan penjawat awam.

“Kajian semula terhadap skim ini adalah perlu sekiranya ia bersifat tidak adil dan menindas. AMK juga menuntut supaya pihak JPA tampil bersikap telus dalam hal ini demi kepentingan hampir 1.4 juta penjawat awam di seluruh negara,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, AMK terkesan dengan perkembangan melibatkan sektor perkhidmatan awam negara sebagaimana yang dilaporkan oleh media semalam berkaitan bantahan oleh Cuepacs terhadap pelaksanaan skim SBPA.

Najwan berkata, menurut kenyataan Timbalan Presiden II Cuepacs Zainal Ismail, pelaksanaan SBPA yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari ini dilihat mencetuskan rasa tidak senang di semua peringkat sektor perkhidmatan awam terutamanya di kalangan Kumpulan Pelaksana.

Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman (gambar) mahu kerajaan menangguhkan SBPA dan mengadakan perundingan kajian semula skim tersebut.

“AMK berpandangan bahawa isu ketidakseimbangan pelarasan gaji sebagaimana yang didedahkan oleh Cuepacs sememangnya sesuatu yang memeranjatkan.

“Ini jelas bercanggah dengan pengumuman oleh YAB Perdana Menteri sewaktu pembentangan Belanjawan 2012 yang menyatakan bahawa kenaikan gaji bagi penjawat awam adalah antara tujuh hingga 13 peratus namun apa yang berlaku adalah wujud dakwaan bahawa kenaikan gaji bagi kebanyakan penjawat awam khususnya Kumpulan Pelaksana adalah kurang daripada tujuh peratus,” katanya lagi,

Justeru kata beliau, AMK juga mengesan wujudnya kekalutan dalam aspek tempoh pemberian opsyen kepada penjawat awam dalam memilih samada untuk menerima SBPA atau kekal di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM).

“Mengapakah kerajaan perlu tergesa-gesa dalam menguatkuasakan pelaksanaan skim SBPA ini seolah-olah ada ‘gula-gula pilihan raya’ di sebaliknya?” katanya.

Dalam konteks ini, kata beliau, sektor perkhidmatan awam sebagai nadi utama pembangunan negara sewajarnya dilayan dengan adil tanpa mengira perbezaan pangkat dan kumpulan sama ada dari Kumpulan Pelaksana, Kumpulan Pengurusan dan Profesional atau dari Kumpulan Pengurusan Tertinggi.

“Justeru, AMK berharap agar pihak kerajaan menerusi JPA menangguhkan terlebih dahulu pelaksanaan SBPA serta berunding dengan pihak Cuepacs dan menyelesaikan isu-isu berbangkit yang menjadi pertikaian serta mencetuskan kekeliruan di kalangan penjawat awam,” katanya.

malaysian insider/-