23 Disember 2011

Rasuah: Khir Toyo dihukum penjara setahun

27 Muharram 1433H. [MOD] -

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini mendapati bekas menteri besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo bersalah atas tuduhan rasuah.

Mahkamah menjatuhkan hukuman 12 bulan penjara berkuatkuasa hari ini, serta memerintahkan harta terbabit dilucuthak kepada kerajaan Malaysia.

Hukuman penjara itu dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan berkuat kuasa mulai hari.

Perintah melucuthak harta tersebut pula dibuat mengikut Seksyen 36(1) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 1997.

Dalam penghakimannya, Hakim Datuk Mohtaruddin Baki berkata hukuman yang berat adalah perlu kerana dalam kes-kes yang melibatkan kepentingan awam dan swasta, kepentingan awam perlu diberi keutamaan.

Bagaimanapun, Mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman tersebut.

Sebelum itu, Mohtaruddin berkata pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes terhadap ADUN Sungai Panjang itu tanpa sebarang keraguan yang munasabah.

NONEKhir didakwa mengikut seksyen 165 Kanun Keseksaan - tuduhan rasuah yang lebih ringan, berbanding dengan tuduhan di bawah Akta Pencegahan Rasuah dan Akta baru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Khir berdepan dengan kemungkinan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Jika denda itu melebihi RM2,000, Khir boleh hilang kelayakannya sebagai ADUN dan tidak boleh bertanding dalam pilihan raya akan datang.

Turut hadir ialah isterinya, Zaharah Kechik dan kira-kira 40 penyokongnya - ada yang duduk dan ada yang berdiri di dalam bilik mahkamah yang padat.

Khir diwakili oleh pasukan peguam yang diketuai oleh Jahaberdeen Yunoos, M Athimulan dan Kamarul Hisham Kamaruddin.

DPP Abdul Wahab Mohamed menjalankan pendakwaan.

Khir tiba di mahkamah seawal jam 9.15 pagi.

Khir, 45, didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, Zahrah Kechik, 45, dua lot tanah dan sebuah rumah di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, daripada pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Hayroni pada harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditmas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

khir toyo mansion 060709 06Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Dr Mohamad Khir, yang juga ADUN Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, di Shah Alam, pada 29 Mei 2007.

Pada 8 Ogos lalu, Hakim Mohtaruddin memerintahkan Khir membela diri atas tuduhan itu selepas mendapati pendakwa sudah membuktikan kes prima facie ke atas pemimpin politik itu.

Dua puluh lima saksi pendakwa dan lima saksi pembela, termasuk Khir, memberi keterangan dalam perbicaraan tersebut.

Malaysiakini/-

Propaganda musuh terhenti, fokus kemungkaran BN

27 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 23 Dis: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) merasa yakin, polemik dalaman PAS yang dicipta oleh propaganda musuh sudah terhenti dan fokus rakyat kini terarah kepada semua kemungkaran yang dilakukan oleh kerajaan BN hari ini.

Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, media seperti mahu menimbulkan prejudis terhadap PAS dengan menimbulkan polemik yang sengaja direka-reka.

“Sebaliknya media mahu lensa rakyat melupakan isu-isu besar yang sedang melingkari negara ini seperti penyelewengan dana rakyat, penyalahgunaan kuasa, rasuah, krisis kepercayaan dalam parti pemerintah, serta polisi dan undang-undang yang membelenggu rakyat.

“Kesemua ini adalah isu yang perlu dihadapkan kerana melibatkan kepentingan rakyat yang lebih utama,” ujarnya.

Katanya, DPP Malaysia dan rakyat tentunya tidak sabar menunggu perubahan yang bakal dijelmakan dalam PRU ke 13 nanti bersama Pakatan Rakyat membina sebuah negara yang adil, aman dan sejahtera.

Sehubungan itu, ujarnya DPP Malaysia menghargai keikhlasan dan tekad yang ditunjukkan Ustaz Nasharudin Mat Isa yang bertegas mempertahankan Islam melalui PAS dengan tiada niat sedikitpun mahu menyertai Umno seperti yang ditohmah.

Bagi DPP Malaysia, tambahnya itu adalah satu contoh terbaik buat semua pendukung PAS betapa kentalnya iltizam yang ditunjukkan oleh bekas Timbalan Presiden PAS itu.

Menurutnya, meskipun difitnah dari pelbagai pihak, beliau masih tetap teguh berpegang kepada perjuangan PAS yang selama ini didukungnya, malah segala tohmahan yang dilemparkan tidak sedikitpun merencatkan perjuangan beliau.

“Sudah tentu kenyataan terbuka beliau untuk terus bersama dengan perjuangan Islam dalam PAS menyejukkan dan melegakan hati seluruh penyokong dan pendokong perjuangan Islam ini.

“Keperibadian yang tinggi ini adalah natijah dari proses tarbiyah yang ada dalam PAS selama ini,” katanya lagi.

Katanya, kejayaan proses tarbiyah PAS bukan menjadikan seseorang itu hebat penampilannya, lebih dari itu menjadikan akidah perjuangannya kental dan tidak mudah goyah walau apa pun ujian yang melanda.

Beliau menambah, proses tarbiyah PAS membina setiap diri ahli dan anggota berjiwa besar dalam menghadapi segala macam tribulasi.

Kerana itulah, ujarnya PAS terus bertahan sehingga sekarang meskipun diserang dari pelbagai penjuru dan ruang.

Justeru, tegasnya DPP Malaysia menganggap semua tohmahan terhadap Nasharudin merupakan mainan media yang mahu melaga-lagakan perpaduan yang kukuh dan ukhwah yang erat di kalangan pemimpin PAS.

Harakah Daily

Maahad Muhammadi Perempuan terbaik sekolah Yik

27 Muharram 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU, 23 Dis: Maahad Muhammadi Perempuan muncul sekolah terbaik sekolah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (Yik) setelah mendapat keputusan cemerlang 100 peratus dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Manakala Maahad Tahfiz Sains Al-Quraan, Bistanul Ariffin, Berangan, Tumpat pula menduduki tempat kedua terbaik seluruh Kelantan yang juga mendapat keputusan 100 peratus kejayaan.

Kejayaan luar biasa yang sebelum ini hanya dicapai enam peratus bagi 9A, kini mencecah kepada 40.7 peratus, berbanding Maahad Muhammadi Perempuan 40.9 peratus.

Menariknya, pasangan kembar Nurul Aina dan Nurul Aini Mat Sidik, 15, antara yang memperolehi 9A sekolah itu.

Mudir Maahad Muhammadi Perempuan, Ustaz Mansor Daud ketika berucap pada majlis pengisytiharan itu semalam memberitahu, seramai 167 pelajar yang menduduki peperiksaan itu telah memperolehi 9A.

“Ianya satu pencapaian yang amat membanggakan dan kita sendiri tidak menduganya.

“Sebelum ini Yik meletakkan target pada kita, 95 peratus, kita rasa ianya tidak mampu melepasinya, namun inilah ketetapan Allah, alhamdulillah,” ujarnya.

Mudir Maahad Tahfiz Sains Al-Quran Bistanul Ariffin, Ustaz Suhaimi Sulaiman pula, menyifatkan kejayaan itu bukan hanya keberkatan sekolah aliran agama sahaja, sebaliknya pelajar juga menghafal al-Quran.

Harakah Daily

LPF: Tarik balik keputusan tidak tapis filem

27 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 23 Dis: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) membantah tindakan Lembaga Penapis Filem (LPF) yang tidak lagi akan menapis sesebuah filem sebelum ditayangkan, sebaliknya menyerahkan peranan itu kepada pengarah dan penerbit filem.

Pengerusi Lajnah Kesenian, Kebudayaan dan Sukan DPPWP, Fadhil Osman (gambar) berkata pihaknya melihat keputusan itu amat tidak wajar kerana ia boleh menyebabkan berlakunya pelbagai perlanggaran dalam disiplin filem di negara ini khususnya membabitkan adegan-adegan yang tidak wajar menjadi tontotan umum.

Katanya, DPPWP menganggap keputusan ini amat membahayakan terutama kepada industri perfileman negara memandangkan kuasa menapis sesebuah filem diserahkan sepenuhnya kepada pengarah dan penerbit filem.

Sudah tentu, katanya filem itu akan ditapis mengikut selera dan citarasa pengarah atau penerbit.

Beliau menambah, penerbit atau pengarah pula akan melihat kepada kehendak dan citarasa penonton semasa bukan mengikut hukum agama.

“Isu moraliti dalam filem akan dipandang remeh dan boleh ditafsir dengan pelbagai tafsiran menurut hawa nafsu oleh mereka yang berkepentingan.

“Keputusan ini juga boleh menyebabkan industri pefileman negara berkecamuk dan boleh mengundang pelbagai kemarahan orang ramai,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Bagi mereka, ujarnya keuntungan adalah keutamaan dengan mengikut pasaran semasa tanpa mengerti persoalan hala dan haram sesuatu filem yang ditayangkan.

Bagi DPPWP, katanya LPF perlu melihat kepada suasana dan permasalahan dalam masyarakat hari ini khususnya terhadap anak-anak muda.

Dengan peningkatan gejala sosial yang semakin parah, kata beliau apakah LPF mahu menambah lagi masalah sosial dalam negara ini hasil daripada penayangan filem yang tidak tertapis.

Beliau berkata, DPPWP bimbang pengaruh filem akan menyebabkan keruntuhan akhlak remaja yang lebih serius sebagaimana yang berlaku kepada masyarakat di negara Barat.

“Kawalan atau tapisan yang dilakukan oleh LPF selama ini boleh meyakinkan untuk sesebuah filem ditonton oleh setiap lapisan masyarakat,” katanya.

Menurutnya lagi, meskipun tidaklah sempurna, setidak-tidaknya, tidak ada adegan yang terlepas pandang serta prinsip akauntabiliti akan dipertanggungjawabkan terhadap pihak terlibat dalam menerbitkan sesebuah filem.

“Dengan ini barulah industri filem di negara ini mampu berkembang dengan sihat dan baik,” katanya.

Justeru, tambah beliau DPPWP mendesak LPF agar menarik balik keputusan untuk tidak menapis filem pada tahun depan.

Katanya, LPF perlu melihat maslahat umum dengan melihat kesan daripada keputusan itu kepada masyarakat terutama generasi muda hari ini dan masa depan negara.

Harakah Daily

Terima keputusan syura dalam apa jua tindakan

27 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 23 Dis: Dewan Pemuda PAS Malaysia mendukung keputusan PAS melalui mesyuarat Lujnah Politiknya yang disokong oleh kenyataan al-Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyusul selepas itu untuk memanggil tiga orang yang terlibat dengan pertikaian yang telah mencetuskan keresahan ahli dan penyokong PAS sejak beberapa hari kebelakangan ini bagi mendapatkan penjelasan 'rasmi' dan tindakan seterusnya.

“Kembali kepada mesyuarat atau syura adalah kembali kepada Allah, rasul-Nya dan ulil amri (syura) sebagai mana diseru oleh al-Quran, DPPM dengan penuh tawaduk meyakini bahawa menerima keputusan syura dalam menentukan apa-apa tindakan ke atas mereka yang terlibat adalah satu amal ketaatan kepada Allah dan rasul-Nya,” kata timbalan ketuanya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz kepada Harakahdaily.

Katanya, ketaatan kepada Allah akan mendekatkan parti PAS kepada janji-janji agung daripada Allah ke atas hamba-hamba-Nya yang berjuang di jalan-Nya.

Ini, ujarnya seperti yang dipertegaskan oleh DPPM sebelum ini, setiap perselisihan yang berlaku hendaklah diadili seadilnya oleh hakim yang diberi kuasa oleh ugama.

Justeru, kata beliau sebarang penghukuman awal oleh mana-mana pihak, luar dan dalam parti, adalah tertolak kerana ia pasti menambahkan kerosakan.

“Seperti kata al-Mursyidul Am, ia hanyalah ribut kecil yang dikencangkan oleh pihak yang enggan melihat kesepaduan jamaah Islam,” katanya.

Beliau berkata, DPPM dengan ini menawarkan kepada pihak yang bertelagah apa yang ditawarkan oleh Allah di dalam al-Quran iaitu kembalilah kepada jalan-Nya yang terbentang luas.

“Semoga Allah merapatkan kembali talian iman dan ukhuwwah sesama ahli,” katanya lagi.

Harakah Daily

Anak saman KPF, FGVH hari ini

27 Muharram 1433H. [MOD] -

TEMERLOH - Persatuan Anak-anak Peneroka Felda (Anak) akan memfailkan saman pemula terhadap Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) dan Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Mahkamah Tinggi di sini hari ini jam 10 pagi.

Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata, saman pemula itu adalah bagi memohon injunksi (menghalang) kepada Mesyuarat Khas Perwakilan KPF pada 5 Januari, penyenaraian saham FGVH dan pelupusan aset KPF dalam Felda Holding.

“Kita akan mulakan perjuangan dengan bersama-sama lebih 10 NGO solat hajat di perkarangan mahkamah Temerloh esok (hari ini).

“Tindakan ini dibuat bagi menyelamatkan harta Felda dan peneroka,” katanya di pejabat Perhubungan Pas Pahang di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Penerangan Pas Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Pesuruh Jaya Pas Pahang.

Mazlan berkata, penyenaraian yang cuba dilakukan oleh pihak tertentu adalah tidak berasas, tidak masuk akal dan hanya bakal menggali kubur untuk peneroka.

“Sebenarnya tindakan tersebut hanya untuk dapatkan dana sebesar RM3 bilion untuk agenda tertentu menjelang April nanti. Kita kenal siapa dalangnya, syarikat pelabur dan kita akan dedahkan apabila sampai masanya nanti.

“Anak juga akan buat bantahan kali kedua di tribunal Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk menentukan status Tan Sri Isa Samad kerana kita tidak berpuas hati dengan jawapannya yang mengatakan beliau belum menjadi Pengerusi KPF sedangkan dia sudah bertindak sebagai penjawat itu berdasarkan surat pelantikan daripada Perdana Menteri,” katanya.

Mengenai prestasi KPF, Mazlan memberitahu, pada masa ini koperasi terbesar dan paling berjaya itu sudah mendapat RM5 bilion perolehan setahun sehingga menjana keuntungan sebanyak RM800 juta dan rizab tunainya sahaja melebihi RM1.1 bilion.

“Sebab itu kita bersama NGO pada masa ini minta semua pihak menyekat penyenaraian saham FGVH ke Bursa Malaysia supaya terus berkembang. Kami ada maklumat bahawa penyenaraian hanyalah konspirasi tertinggi untuk dapatkan dana daripada Felda.

“Mereka ini ada agenda lain dan bukan wang semata-mata. Sebab itu kita mahu kerajaan juga menyekat usaha ini kerana ia melibat maruah negara dan isu keuntungan durian runtuh kepada peneroka sebenarnya tidak berbangkit langsung,” katanya.

Sinar Harian

Peratusan gred A meningkat

27 Muharram 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Seramai 7,571 daripada 76,829 pelajar mendapat keputusan cemerlang dengan memperoleh semua A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Selangor.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Selangor, Mahmud Karim berkata, jumlah itu meningkat sebanyak 0.73 peratus berbanding pencapaian pelajar pada tahun lalu, iaitu melibatkan 6,907 orang yang memperoleh semua A.

Menurutnya, Gred Purata Nasional (GPN) juga menunjukkan peningkatan daripada 2.56, berbanding 2.60 pada tahun lalu, iaitu pertambahan sebanyak 0.4 peratus.

“Nilai gred purata yang kita capai pada tahun ini melebihi sasaran JPS, iaitu 2.58. Lagi kecil nilai itu, lebih baik keputusannya,” katanya.

Mahmud berkata, empat pelajar istimewa antara individu yang mendapat keputusan cemerlang dengan dua daripada mereka mendapat 8A, manakala dua lagi memperoleh 7A.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR, keputus­an PMR 2011 merekod­kan keputus­an terbaik dalam tempoh lapan tahun.

Pengarah Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri Wilayah Persekutuan (JPNWP), Datuk Khairil Awang berkata, pada keseluruhannya, pencapaian calon PMR 2011 bagi Wilayah Persekutuan (WP) meningkat berdasarkan GPN, iaitu 2.54 berbanding 2.59 pada 2010.

“Nilai GPN WP sebanyak 2.54 mengatasi Gred Purata Nasional, iaitu 2.71 di mana sejumlah 25,353 calon mendaftar untuk menduduki PMR 2011 iaitu 22,739 orang (89.69 peratus) adalah calon daripada sekolah di bawah kelolaan Kemen­terian Pelajaran Malaysia, manakala 2,614 orang (10.31 peratus) adalah calon dari sekolah swasta,” katanya selepas Majlis Penyerahan Keputusan PMR 2011 kepada sembilan pelajar yang mencapai gred A dalam semua mata pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Seri Rampai Kuala Lumpur, semalam.

Khairil berkata, calon yang mendapat gred A dalam semua mata pelajaran meningkat 193 orang iaitu daripada 2,103 orang pada 2010 kepada 2,296 orang pada 2011.

Menurutnya, prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu pada gred A menunjukkan sedikit penurunan sebanyak 1.66 peratus manakala Bahasa Inggeris pada gred A pula mencatatkan peningkatan 2.35 peratus.

Menurutnya, enam sekolah di WP memperoleh kelulusan 100 peratus iaitu Sekolah Menengah Agama Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur (KL), Sekolah Menengah Sains Selangor KL, Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya, Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki KL, Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur KL dan Sekolah Menengah Victoria KL.

Sinar Harian

Semua calon dapat A Bahasa Arab

27 Muharram 1433H. [MOD] -

CHUKAI – Jumlah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai yang berjaya mendapat semua A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini melonjak kepada 85 orang berbanding seramai 58 orang tahun lalu.

Dengan pencapaian memberangsangkan itu, Gred Purata Sekolah (GPS) turut meningkat kepada 1.17 daripada 1.25 tahun lalu seterusnya menjadikan SMK Chukai yang merupakan salah sebuah Sekolah Premier Terengganu menduduki tangga ke-12 sekolah terbaik negeri dari segi GPS.

Penolong kanan pentadbirannya, Noraizan Endut berkata, pencapaian GPS tahun ini meningkat sebanyak 0.08 manakala dari segi peratusan jumlah pelajar mendapat semua A, ia meningkat kepada 43.59 peratus berbanding 30.53 peratus pada tahun lalu.

“Daripada jumlah pelajar yang mendapat semua A, 14 pelajar memperoleh 9A dan 71 pelajar memperoleh 8A sementara pada tahun lalu seramai empat pelajar mendapat 9A manakala 54 lagi 8A,” katanya selepas menyampaikan slip keputusan PMR kepada pelajar cemerlang di Dewan Mercu, SMK Chukai, semalam.

Seramai 195 calon sekolah berkenaan menduduki PMR tahun ini sementara pada tahun lepas calon berjumlah 190 orang.

Menurutnya, semua subjek menunjukkan peningkatan pada tahun ini dan apa yang lebih membanggakan kesemua 16 calon yang mengambil subjek Bahasa Arab sekolah itu berjaya mendapat A.

Noraizan berkata, demi melihat pelajar meraih keputusan cemerlang pelbagai program dijalankan pihak sekolah termasuk mengadakan klinik khas untuk pelajar bermasalah secara berperingkat, kelas malam intensif, perkampungan pelajar termasuk mengikuti program bawah tajaan Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) di Angullia Resort.

“Pencapaian ini membakar semangat untuk kita terus mengekalkan kecemerlangan, bagi PMR tahun depan kita sasa­rkan lebih ramai calon akan mendapat semua A,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Panitia Bahasa Arab, Rafidah Adam berkata, kejayaan kesemua pelajarnya mendapat A dalam Bahasa Arab didorong kesungguhan pelajar sendiri.

“Malah, saya sendiri mengadakan kelas di rumah saya setiap Jumaat yang dilakukan setiap kali ada ujian. Pelajar sendiri datang ke rumah sebab semangat untuk belajar berkobar-kobar,” katanya.

Sinar Harian

Ditahan ketika asyik layan pelanggan

27 Muharram 1433H. [MOD] -

SEREMBAN - Seramai 22 wanita warga China dan Vietnam ditahan penguat kuasa Imigresen dalam serbuan, kira-kira jam 11 malam, di sebuah pusat hiburan di Jalan Rasah, di sini, kelmarin.

Hasil pemeriksaan mendapati, mereka yang berumur 25 hingga 30 tahun, menyalahgunakan pas lawatan sosial dan pas pelajar untuk bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di pusat terbabit, selain tinggal lebih masa.

Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman berkata, ketika serbuan, mereka asyik melayan kira-kira 50 pelanggan di premis berkenaan.

"Ada juga yang cuba melarikan diri tetapi gagal kerana pihak berkuasa sudah bersedia mengepung tempat berkenaan," katanya.

Sementara itu, dalam operasi berasingan, Imigresen negeri turut berjaya menahan 10 lelaki warga Myanmar, berumur 25 hingga 30 tahun, yang bekerja sebagai pelayan di sebuah pusat hiburan di Seremban 2, tanpa permit, kira-kira jam 12.30 tengah malam.

"Semua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen di Senawang untuk diambil keterangan sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) di Lenggeng untuk tindakan susulan.

"Kes akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c), Seksyen 55(b) dan Seksyen 39 (b) Akta Imigresen," katanya.

Sinar Harian

Sekolah SJKT Gopeng uzur, bahayakan murid

27 Muharram 1433H. [MOD] -

IPOH - Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Gopeng hanya mempunyai 250 murid tetapi itu bukan alasan untuk mengabaikan keselamatan dan keselesaan mereka.

Dibuka sejak 65 tahun lalu, sekolah itu kini berdepan dengan isu bangunan uzur yang mendedahkan murid dan gurunya kepada risiko kemalangan.

Menurut Adun Teja, Chang Lih Kang berkata, sejak dibuka, sekolah itu tidak pernah menjalani kerja-kerja menaik taraf atau pembaikan sehingga ke hari ini.

Pihaknya dimaklumkan keadaan bangunan sekolah yang sudah terlalu uzur itu dikhuatiri mengundang risiko kepada murid-muridnya.

Beliau berkata, lebih membimbangkan siling dan dinding sekolah yang diperbuat daripada kayu itu sudah dimakan anai-anai menyebabkan ia mula berlubang serta reput.

“Aduan juga sudah banyak kali dibuat namun mereka mendakwa sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Adun Tronoh, V Sivakumar berkata, ramai ibu bapa yang sudah menyuarakan kebimbangan dan beliau pernah ke sekolah berkenaan namun dihalang atas alasan pihak Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) tidak memberi kebenaran.

“Selepas dihalang, kami bawa perkara berkenaan kepada pengetahuan pihak Jabatan Kerja Raya. Kami turut bertanyakan soalan status sekolah itu ketika sidang dewan undangan negeri lalu dan memohon JKR memberi laporan terperinci.

“Pada 26 November lalu selepas sidang barulah pihak JKR memberikan jawapan berserta laporan lengkap Jun lalu. Pengarah JKR, Datuk Dr Safry Kamal Ahmad ketika perjumpaan semalam (kelmarin) menyatakan beliau sedia maklum dengan masalah itu dan salah satu bilik darjah telah ditutup kerana rosak teruk.

“Kami difahamkan pihak JKR sedang menunggu peruntukan daripada JPN untuk disalurkan kepada sekolah berkenaan dan jika peruntukan diterima, JKR akan melakukan kerja-kerja penambahbaikan dengan anggaran kos yang dikemukakan berjumlah RM117, 000. Persoalannya mengapa sehingga ke hari ini masalah ini tidak diselesaikan,” katanya.

Pihaknya turut bercadang mengadakan perjumpaan pula dengan JPN pada minggu depan bagi membincangkan masalah yang dihadapi SJKT Gopeng.

Sinar Harian

Bayi nyaris tenggelam banjir

27 Muharram 1433H. [MOD] -

ROMPIN - Seorang bayi berusia 48 hari nyaris menjadi mangsa lemas dalam kejadian banjir kilat di Kampung Kurnia dekat Rompin, selepas bayi itu terlepas dari dakapan ibunya yang ketika itu sedang bersiap sedia berpindah ke pusat peminda­han banjir.

Nor Alisya Abd Malek hampir terjatuh ke dalam air banjir sedalam satu meter berdekatan rumahnya, namun tindakan pantas seorang jiran yang sempat menyambut bayi itu daripada terjatuh berjaya menyelamatkan mangsa daripada lemas.

Ibu mangsa, Mariam Osman, 31, berkata, kejadian itu berlaku ketika dia bersama-sama mangsa banjir yang lain sedang bersiap sedia untuk menaiki trak Jabatan Bomba dan Penyelamat ke pusat pemindahan banjir di Balai Raya Teluk Gading, Tanjung Gemok.

“Keadaan permukaan jalan yang licin sewaktu meredah banjir menyebabkan saya tiba-tiba tergelincir lalu terjatuh, namun bersyukur kerana bayi saya sempat diselamatkan jiran yang kebetulan berjalan di sebelah kiri saya,” katanya.

Mariam yang masih berpantang berkata, dia dan keluarganya terpaksa meredah banjir memandangkan air sedalam satu meter sudah masuk ke dalam rumahnya sejak awal pagi semalam.

“Kami tidur dalam keadaan banjir, sebaik saja sedar, saya dapati air sudah naik paras lutut dan kemudiannya pada jam 11 pagi air sudah cecah paras pinggang menyebabkan kami ambil keputusan berpindah,” katanya.

Sementara itu, jirannya, Aminah Mohd Daud, 42, berkata, dia berasa terkejut apabila mendapati rakanya itu tiba-tiba rebah, namun sempat menyambut bayi itu daripada tergelincir bersama Marian.

“Kejadian ini berlaku dalam sekelip mata, namun tak sangka dapat menyambut bayi tersebut daripada ditenggelami air kerana pada masa itu saya hanya memikirkan nyawa bayi berkenaan,” katanya.

Aminah berkata, detik cemas yang dilaluinya itu adalah peristiwa yang tidak akan dilupai dalam hidupnya kerana dapat menyelamatkan seorang nyawa daripada lemas akibat daripada permukaan jalan yang licin.

“Syukur kerana tiada nyawa yang melayang semasa kejadian ini, namun kami tetap berasa bimbang dengan keadaan rumah selepas banjir kerana terpaksa mengemas rumah sebaik saja banjir kembali surut,” katanya.

Sinar Harian

MB nafi berkeadaan uzur

27 Muharram 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU-Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyangkal dakwaan beliau berada dalam keadaaan uzur dan menerima rawatan intensif semasa berada di Hospital Universiti Malaysia (HUSM) baru-baru ini.

Nik Aziz, 80 berkata, sudah menjadi rutin dia akan membuat pemeriksaan berkala di hospital terbabit supaya keadaan kesihatan sentiasa stabil dan memuaskan.

“Sudah menjadi kebiasaan saya buat pemeriksaan di hospital tiga bulan, ada( dakwaan) kata saya sakit, itu kerja orang yang tidak kenal dosa, ” katanya ketika ditemui di kediamannya di Pulau Melaka, di sini semalam.

Kelmarin, Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Mohd. Fadzli Shaari memaklumkan bahawa Nik Aziz telah dimasukkan ke hospital pada Isnin lalu untuk berehat dan dimaklumkan dibenarkan pulang pagi kelmarin.

Ogos lalu, tersebar khabar angin bahawa Nik Aziz menghidap barah prostat bagaimanapun beliau menafikannya dan menjelaskan hanya menghadapi masalah saluran jantung yang tersumbat akibat kolestrol yang tinggi.

Sebelum ini, biarpun dipertikaikan keadaan kesihatannya Nik Aziz berulang kali menegaskan beliau akan tetap bertanding pada Pilihan Raya Umum 13 (PRU-13) nanti.

Sinar Harian

Rampas 6 kenderaan curi

27 Muharram 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU- Taktik licik pencuri kereta dengan menyamar sebagai penarik kereta terbongkar apabila polis berjaya memberkas salah seorang daripada suspek dan merampas enam kenderaan termasuk sebuah lori dalam serbuan di Kampung Pintu Geng, dekat sini, kelmarin.

Lelaki itu yang juga penagih tegar berusia 31 tahun dan berasal daripada Kampung Sri Landak, Pengkalan Chepa, ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota yang bergegas ke kampung berkenaan selepas menerima maklumat daripada orang ramai.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, dalam serbuan kira-kira jam 1.30 petang itu, polis berjaya merampas sebuah lori dan dua kereta yang dipercayai dicuri serta ditinggalkan di Pintu Geng, dekat sini.

Beliau berkata, hasil semakan yang dibuat, ketiga-tiga kenderaan terbabit dilaporkan hilang di kawasan Kota Baharu dan suspek berkenaan juga mempunyai rekod jenayah.

Katanya, ketika serbuan, terdapat tiga lelaki sedang berusaha menghidupkan enjin lori yang dicuri di kawasan Jalan Kuala Krai, kira-kira jam 12 tengah hari Isnin lalu kerana dipercayai kenderaan tersebut mengalami masalah teknikal.

“Setelah melakukan intipan terhadap ketiga-tiga lelaki terbabit polis berusaha memberkasnya tetapi dua daripada mereka berjaya melarikan diri dengan meninggalkan kenderaan terbabit dan salah seorang sahaja yang ditangkap.

”Ekoran tertangkapnya salah seorang lelaki terbabit, polis berjaya merampas tiga lagi kenderaan termasuk sebuah pacuan empat roda jenis Perodua Kembara, Perodua Kancil dan Proton Satria masing-masing di Bachok dan Pengkalan Chepa,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, Pengkalan Chepa.

Azham berkata, dengan tindakan pantas dalam tempoh 24 jam, polis berjaya merampas empat kenderaan serta merampas nombor plat palsu yang dipercayai terlibat dalam kes curi kereta. Polis masih mengesan dua lagi suspek yang dipercayai ahli kumpulan terbabit untuk membantu siasatan.

Menurutnya, siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor dan tidak menolak kemungkinan kereta yang dicuri itu dijual kepada rangkaian tertentu.

Katanya, siasatan awal mendapati ekoran daripada permintaan tinggi, lebih banyak kenderaan telah dicuri dan dijual dengan harga yang murah.

Sinar Harian

Dadah: Buruh berdepan penjara seumur hidup

27 Muharram 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Seorang buruh berdepan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan memiliki tiga jenis dadah termasuk heroin di sebuah kawasan hutan di Melor di sini, 9 Disember lalu.

Tertuduh, Che Mat Rusok Mohd Yunoh, 30, dari Kampung Kubang Edang, Melor mengaku bersalah di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki 34.8 gram metamphetamine di kawasan hutan belakang sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Kubang Edang, Melor di sini, pada jam 5 petang, 9 Disember lalu.

Berikutan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang lima tahun sehingga seumur hidup dan tidak kurang 10 sebatan.

Manakala, pada pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki 4.5 gram heroin dan memiliki 7.6 gram nimetazepam pada pertuduhan ketiga masing-masing pada masa, tarikh dan lokasi yang sama.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia dituduh mengikut Seksyen 39A(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun sehingga lima tahun dan diwajibkan rotan antara tiga sehingga sembilan rotan.

Timbalan Pendakwa Raya negeri, Intan Nurhilwani Mat Riffin bagaimanapun tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh.

Kes bersambung 29 Januari depan sementara menunggu laporan kimia dadah berkenaan.

Sinar Harian

Peratusan lulus meningkat

27 Muharram 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU- Sebanyak 14 buah sekolah di negeri ini menunjukkan peningkatan mendapat kelulusan 100 peratus dengan peningkatan dalam keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di negeri ini berbanding tahun lalu yang hanya melibatkan 10 sekolah.

Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan, Hussain Awang, berkata, peratus kelulusan keseluruhan calon sekolah Kementerian Pelajaran termasuk sekolah Agama Bantuan Kerajaan di negeri ini ialah 67.73 peratus berdasarkan kepada pencapaian peratus lulus minimum D yang membabitkan 19,659 calon berbanding tahun lalu, kelulusannya 66.75 peratus terdiri 119,962 calon PMR.

”Berdasarkan keputusan keseluruhan PMR itu, 83 sekolah mencapai kecemerlangan pada tahun ini dengan pertambahan 14 sekolah terbabit.

”Antara sekolah yang mencapai keputusan itu adalah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bachok, SMK Sains Machang, SMK Sains Pasir Puteh, SMKA Naim Lil Banat, SMK Datuk Ahmad Maher dan SMK Sultan Yahya Petra serta Maktab Sultan Ismail, selain SMK Kubang Bemban dan SMK Lati di Pasir Mas dan SMK Kamil di Pasir Puteh.

”Daripada seramai 29,025 calon PMR itu, 2,140 pelajar berjaya memperoleh kecemerlangan semua A dalam mata pelajaran diambil atau kira-kira 7.37 peratus tahun ini berbanding 2,023 calon atau 6.76 peratus tahun sebelumnya,” katanya kepada media di pejabat Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) di sini, semalam.

Hussain berkata, kecemerlangan sebanyak 0.61 peratus itu adalah peratus kejayaan tertinggi dalam tempoh enam tahun manakala 10 daripada mata pelajaran yang ditawarkan menunjukkan peningkatan dan mengatasi peratus kelulusan mata pelajaran peringkat nasional.

”Mata pelajaran itu ialah Bahasa Melayu mencatatkan keputusan 94.2 peratus bagi kelulusan peringkat negeri berbanding 94.0 peringkat nasional; diikuti Sejarah 73.5 peratus (78.7); Geografi 92.8 peratus (/88.1); Bahasa Tamil 100 peratus (78.1); Matematik 93.2 peratus (92.4) dan Sains 94.9 peratus (93.7),” katanya.

Sinar Harian