01 Februari 2012

Nasib stadium sudah jatuh ditimpa tangga

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU, 1 Feb: PAS Terengganu mendesak kerajaan negeri segera mengumumkan kepada rakyat sama ada Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) masih boleh diperbaiki atau wajar dirobohkan sahaja.

Timbalan Pesuruhjaya (III) PAS Terengganu, Dr Alias Razak berkata kejadian malang menimpa Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin berharga RM292 juta dan bumbungnya runtuh amat memalukan seluruh rakyat Terengganu.

(Gambar fail: Stadium SSMZA yang berharga RM292 juta runtuh bumbungnya dan kini kecurian peralatan RM50 juta.)

Malah, katanya lebih malang lagi setelah dua tahun ‘terbiar’ sepi pelbagai peralatan pendawaian elektrik, sistem elektronik, dua set jana kuasa serta kelengkapan lain dicuri oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Inilah kata orang, ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ nasib yang dialami oleh stadium (SSMZA) kita. Bila dah dua tahun terbiar sepi berlaku pula kecurian kepada peralatan dan harta benda stadium.

“Buat (SSMZA) mahal, kos RM292 juta tidak lebih setahun guna runtuh bumbung dan ini memalukan rakyat dan Tuanku (Sultan) sendiri.

“Kita (PAS) minta pihak kerajaan negeri jelaskan (umum) sama ada stadium ini masih boleh diperbaiki atau perlu dirobohkan sahaja dan buat yang lain (baru),” ujarnya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa isu di pejabat PAS Terengganu, semalam.

Menurutnya, kecurian peralatan stadium tersebut dilaporkan bernilai RM50 juta berlaku sejak tahun 2010 lagi selepas sebahagian bumbung runtuh.

Katanya, pihak berkuasa sebelum ini telah membiarkan keadaan struktur bumbung stadium yang runtuh itu selama lebih dua tahun.

Dr Alias menyifatkan ‘kelembapan’ pentadbiran kerajaan negeri dengan membiarkan lebih dua tahun bumbung stadium runtuh akhirnya merugikan rakyat.

“Dua tahun tidak diusik keadaan bumbung stadium runtuh, ‘dok soh ke nok’ baiki, barang (peralatan) pun kena curi. Akhirnya rakyat juga yang rugi.

“Saya pun pelik, macam mana dengan ada pengawal keselamatan barang boleh kena curi termasuk dua set jana kuasa yang bernilai RM70,000 seunit,” ujarnya.

Katanya, PAS melahirkan rasa dukacita dan mahukan siasatan segera dilakukan serta mendakwa mana-mana pihak yang bertanggungjawab mencuri harta rakyat.

Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin adalah sebahagian dari Kompleks Sukan Gong Badak yang bernilai RM500 juta mula dibina pada Mei 2006 dan siap tahun 2008 serta pernah dijadikan lokasi pertandingan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-12.

(Gambar fail: YDP PAS Kemaman, Ismail Harun meninjau keadaan bumbung Masjid Baru Batu Putih Kertih yang runtuh.)

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tunggal berkata isu stadium tersebut sering kali dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu oleh PAS.

“Kita (PAS) acap kali bawa isu stadium ini di Dewan Undangan Negeri. Kita bukan menentang pembangunan (stadium) tetapi menentang penyelewengan dan rasuah yang boleh menyebabkan runtuhnya pembangunan itu,” jelasnya.

Bahkan, katanya jawapan lisan Exco kerajaan negeri ketika itu Dato’ Yahya Khatib Mohamad mengatakan banyaknya berlaku ‘keruntuhan’ di Terengganu kerana banyaknya pembangunan yang dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sepanjang tempoh dua penggal kerajaan BN Terengganu memerintah negeri pelbagai kejadian berlaku termasuk bumbung masjid runtuh di Kertih, bumbung terminal bas runtuh di Kuala Berang, menara telekomunikasi tumbang di Hulu Besut, Dewan Sekolah Menengah Wakaf Tapai di Ajil runtuh dan banyak lagi.

harakahdaily/-

Populasi di Jepun makin mengecil pada 2110

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

TOKYO - Populasi di Jepun dijangka akan mengecil kepada dua pertiga dari jumlah pada masa ini dalam tempoh seabad lagi, menurut laporan kerajaan, kelmarin.

Laporan Kementerian Kesihatan dan Kebajikan menunjukkan jumlah penduduk dijangka akan menurun dari 127.7 juta kepada 86.7 juta menjelang 2060 dan terus berkurangan 42.9 juta pada 2110 jika keadaan masih tidak berubah.

Unjuran oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Sosial dan Populasi Penduduk meramalkan secara purata hanya 1.35 bayi akan dilahirkan dalam tempoh 50 tahun lagi.

Laporan itu juga menyebut bencana berganda di utara-timur Jepun, Mac lalu yang telah menyebabkan lebih 19,000 orang maut atau hilang tidak menjejaskan jangka hayat purata sebaliknya dijangka akan terus meningkat.

sinar harian/-

Korban Pantai Batu Hitam

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUANTAN - Kegembiraan tiga rakan sekampung turun ke pantai untuk mandi –manda berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka lemas dalam kejadian di Pantai Batu Hitam dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.05 petang itu, Mohd Shahrul Hafiz Ramli, 12 murid tahun enam, Sekolah Kebangsaan (SK) Balok dan rakannya , Mohd Nor Faiz Rolzami 10, murid SK Sungai Karang dari Kampung Batu Hitam berjaya diselamatkan dua penduduk kampung yang kebetulan berada di kawasan kejadian.

Kedua-dua mangsa yang tidak sedarkan diri ketika diselamatkan diberi bantuan pernafasan bagaimanapun usaha menyelamatkan Mohd Shahrul gagal apabila dia disahkan meninggal dunia akibat sesak nafas.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani YUsoff berkata, Mohd Nor Faiz yang berada dalam keadaan tenat dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, seorang lagi rakan mangsa, Mohd Taufik Omar, 12 murid SJK (C) Kong Meng, Beserah cuba menyelamatkan mereka bagaimanapun usahanya tidak berjaya lalu meminta bantuan penduduk kampung.

“Hasil maklumat yang diterima, lima anggota polis dari Balai Beserah segera ke lokasi kejadian bagaimanapun kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan penduduk kampung.

“Pasukan Bomba dan Penyelamat Balai Kuantan turut menghantar lima anggota bagi mengerakkan operasi mencari dan menyelamat diikuti tiga pegawai perubatan dari HTAA,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mohd Shahrul menjadi mangsa keenam tragedi mati lemas sepanjang bulan pertama tahun ini di sini selepas tiga kes lemas yang meragut lima nyawa di Pantai Sepat.

Bapa kepada mangsa, Razali Rahim,31, ketika ditemui di bilik mayat berkata, dia reda dengan ketentuan Ilahi bagaimanapun agak terkilan kerana tidak sempat menunaikan hajat anak sulung dari lima beradik tersebut.

“Sebelum kejadian mangsa meminta saya membelikannya permainan video namun saya memberitahunya supaya sabar.

“Dia juga tidak menunjukkan sebarang kelakuan aneh sebelum ini tetapi ada meminta duit 20 sen untuk membeli gula-gula di kedai berhampiran,” katanya.

Razali berkata, kebetulan pada hari kejadian dia tidak berapa sihat dan terus memberi duit kepada anaknya itu sebelum menyuruhnya pulang ke rumah.

“Bagaimanapun tidak lama kemudian saya mendapat panggilan daripada rakan sekerja memaklumkan anak saya lemas di pantai,” katanya.

Menurut rakan mangsa, Mohd. Taufik pula, mereka yang semuanya berasal dari Kampung Batu Hitam di sini, hanya bermain air dan mandi di gigi air sahaja tetapi tiba-tiba Mohd. Sharul dan NorFaiz pergi ke tengah.

“Saya yang tak sedap hati menoleh ke belakang lalu ternampak kedua-dua mereka terkapai-kapai lemas.

“Saya cuba untuk menyelamatkan mereka namun gagal berikutan paras air agak tinggi lantas naik ke darat meminta pertolongan orang awam yang berada di tepi pantai,” katanya.

Sinar Harian

'Pegawai' samun warga emas

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

NIBONG TEBAL – Seorang warga emas tidak menyangka kehadiran seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai sebuah badan kebajikan membawa padah apabila dia disamun di rumahnya di Kampung Teluk Ipil.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 12 tengah hari itu menyebabkan Bedah Mohamad, 92, mengalami kerugian RM200 apabila wang tunai berserta kad pengenalannya dilarikan pencuri berkenaan.

Bedah ketika ditemui di rumahnya berkata, dia kesal dengan sikap lelaki berusia sekitar 20-an itu yang sanggup mengambil kesempatan terhadap dirinya.

“Sudahlah keadaan diri ini tua, wang tunai untuk membeli keperluan harian dicuri lelaki berkenaan.

“Semuanya berlaku begitu pantas apabila lelaki terbabit mengunjungi rumah saya sekitar jam 12 tengah hari,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu memperkenalkan diri sebagai pegawai sebuah badan kebajikan dan ingin memberikan sumbangan kepadanya.

“Selepas mengambil kad pengenalan, lelaki terbabit meminta pula segelas air. Saya terus ke dapur untuk mengambil air dan meninggalkan dompet di atas kerusi.

“Bagaimanapun sekembalinya saya ke ruang tamu, lelaki itu menghilangkan diri bersama dompet. Tergamak dia menyamar sebagai pegawai dan kejadian itu menghantui saya sehingga ke hari ini,” katanya.

Prihatin terhadap masalah terbabit, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jawi, Tang Beng Huat bersama Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Teluk Ipil menghulurkan sumbangan.

Sumbangan wang tunai diberikan ketika Beng Huat bersama Ahli JKKK mengadakan kunjungan prihatin untuk meringankan beban Bedah.

Sinar Harian

Pakatan Rakyat Dihalang Bersama Rakyat Kerana BN Takut Dengan Bayangan Sendiri

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

MIRI - Sambutan Maulidur Rasul 1433 Hijrah, peringkat negeri Sarawak akan diadakan di Miri pada 5 Februari 2012, ini sudah pasti akan meriah dengan penyertaan berbagai pertubuhan kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan juga dari golongan berbagai kaum dan agama di Sarawak.

Harapan PR (Pakatan Rakyat) untuk bersama-sama menyertai perarakan Maulidur Rasul 1433 Hijrah di Miri terhalang disebabkan ada campur tangan pihak tertentu yang tidak ingin melihat perlibatan PR bersama rakyat.

Pada mulanya pemohonan PKR untuk menyertai perarakan tersebut tidak menghadapi masalah tetapi apabila PKR hendak mengajak PAS dan DAP sekali dalam satu Pakatan, tiba-tiba saja pemohonan mereka ditolak dengan alasan Pakatan bukan parti berdaftar.

Sedangkan negeri yang diperintah oleh PR (Pakatan Rakyat) tidak mempunyai masalah untuk mengajak parti seperti Umno dan kompenan BN bersama-sama merayakan hari kebesaran yang disambut seluruh negara. Nampaknya BN Sarawak tidak 'gentleman' apabila berhadapan dengan PR Sarawak.

Ini terbukti hanya PR yang dihalang sedangkan PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) juga sebuah pertubuhan politik dibenarkan. Dimana keadilan pihak yang menganjur dalam hal ini?

Kita tidak menyalahkan pihak yang menganjur perarakan tersebut kerana mereka terpaksa patuh arahan pihak atasan yang tidak suka melihat PR bersama dengan rakyat.

Mereka yang pengecut ini akan mengarah atau menghalang PR dari menyertai perarakan tersebut sebenarnya takut atau fobia dengan PR. Mereka ini sebenarnya takut dengan bayang-bayang sendiri sehingga sanggup melakukan apa saja untuk menghalang PR dari terus bersama rakyat. Mereka menggunakan pihak keselamatan dan juga pegawai-pegawai kerajaan untuk melaksanakan arahan mereka.

Kita juga simpati akan nasib pegawai kerajaan yang terpaksa mengikut setiap arahan dari mereka yang mempunyai kepentingan dalam pemerintahan sehingga sanggup memperalatkan jentera kerajaan untuk menjaga kepentingan mereka dari tergugat oleh PR.

Kita sungguh rasa pelik mengapa PR yang terdiri dari PKR,PAS dan DAP ini terus dihalang untuk bergaul bersama dengan rakyat. Setiap aktiviti mereka sentiasa dipantau seolah-olah PR ini sebuah gerakan atau pertubuhan yang haram yang mesti diawasi selalu. Dimana demokrasi yang diamalkan dalam Negara ini kalau kegiatan pihak pembangkang sentiasa dihalang oleh parti pemerintah dengan menakut-nakutkan rakyat supaya jangan mendekati PR?

Kemungkinan mereka takut akan kedudukan mereka tergugat dan kalah dalam Pilihanraya umum ke13 nanti, mereka sanggup buat apa saja untuk menghalang kegiatan PR bersama rakyat.

Mereka takut rahsia mereka terbongkar serta kegiatan penyelewengan mereka diketahui oleh rakyat, maka sebab itulah mereka melakukan apa saja cara menghalang PR dari bersemuka dan bertemu dengan rakyat.

Ada sesetengah pemimpin BN (Barisan Nasional) takut apabila PAS mula bertapak dan mendapat sokongan rakyat yang berbilang kaum dan agama di Sarawak. Mereka sanggup fitnah PAS dengan berbagai cara agar rakyat takut dan lari dari PAS tetapi semakin kuat mereka buat fitnah terhadap PAS, semakin ramai pula orang datang bersama PAS setelah mereka mengetahui yang PAS berjuang untuk semua tanpa mengira bangsa dan agama.

Apabila mereka berjumpa rakyat mereka mengatakan merekalah sebenarnya yang membela rakyat selama ini, dan PR hanya menghasut rakyat untuk menentang kerajaan.

Kita dalam PR akan tetap bersama rakyat walaupun dihalang dengan berbagai cara oleh puak yang pengecut ini, suatu hari nanti rakyat akan tahu siapa yang sebenarnya yang benar-benar membela rakyat yang terdiri dari berbagai kaum dan agama di Sarawak ini dari terus ditipu dan ditindas selama ini.

Rakyat sendiri akan menilai dan akan memilih kerajaan yang benar-benar amanah, jujur dan adil untuk semua tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik yang akan menjadi kerajaan nanti.

Mereka yang zalim dan menyalahgunakan kuasa,sudah pasti akan menerima hukuman dari rakyat apabila mereka sudah tidak berkuasa nanti. Setiap perbuatan jahat yang mereka lakukan terhadap rakyat pasti akan dibalas setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan.

Kalau tidak didunia, di akhirat sudah pasti mereka juga akan menerima hukuman tersebut terkecuali mereka bertaubat awal sebelum nyawa mereka dicabut. Semoga rakyat Sarawak dapat memilih kerajaan yang terbaik buat mereka dalam PRU 13 nanti.

Jofri Jaraiee

PAS Miri, Sarawak

Lelaki bersenjata culik 4 warga asing di Yaman

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SANAA: Sekumpulan lelaki bersenjata bertindak menculik empat pekerja amal membabitkan warga Colombia, Jerman, Iraq dan Palestin manakala dua pemandu warga Yaman, lapor agensi berita negeri, Saba.

"Satu kumpulan bersenjata menculik enam pekerja agensi bantuan antarabangsa di Wadi Ahjar kira-kira 50 kilometer di barat laut Sanaa di wilayah Mahwit semalam,” menurut laporan yang dikeluarkan hari ini.

Seseorang pekerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Sanaa mengesahkan, enam pekerja yang diculik bertugas di bahagian penyelarasan hal ehwal kemanusiaan (OCHA). - AFP

Kepala babi: PAS Selangor lawat Masjid Nurul Iman

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SELAYANG, 1 Feb: PAS Selangor mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan Masjid Nurul Iman di Batu 18, Rawang, pagi ini ekoran satu kepala babi ditemui di pintu masuk masjid itu, pagi semalam.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Khalid Samad mengetuai lawatan itu dan mengadakan perbincangan dengan pihak masjid yang disertai nazir masjid, Ilham Akhbar Harun. Yang Dipertua PAS Selayang, Zaidi Talib turut serta dalam pertemuan itu.

Selepas mengadakan perbincangan, mereka pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak bagi mendapat maklumat berhubung kejadian pagi semalam itu.

Khalid meminta pihak polis menjalankan siasatan rapi dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap perbuatan keji itu serta mengambil tindakan yang sewajarnya.

Dalam kejadian semalam, kepala babi ditemui di pintu masuk Masjid Nurul Iman pada jam 5.00 pagi oleh ahli jawatankuasa masjid sebaik sahaja mereka membuka pintu pagar utama masjid itu.


Pihak polis dari Balai Polis Rawang yang terletak tidak jauh dari masjid itu yang dihubungi tiba di lokasi pada jam 7.30 pagi untuk menjalankan penyiasatan.

Mereka kemudiannya telah meninggalkan masjid itu setelah mengambil bahan bukti serta menyiasat di kawasan sekitar kira-kira dua jam, manakala kes itu pula akan disiasat oleh jabatan siasatan jenayah.

Dalam pada itu, nazir masjid telah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian tersebut.

Harakah Daily

PAS Pahang sokong bantah korporat JBA

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

TEMERLOH, 1 Feb: PAS Pahang menyokong tindakan 1,700 pegawai dan kakitangan Jabatan Bekalan Air (JBA) Pahang yang membantah pengkorporatan dan penswastaan agensi itu pada 1 Februari atau ditangguhkan.

Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Pahang, Hassanuddin Salim (gambar) berkata, malah PAS menyokong jika mereka mahu mengadakan bantahan terbuka kerana tiada langsung rundingan rasmi melibatkan wakil kesatuan sehingga menimbulkan tanda tanya sesama mereka.

“PAS menganggap kerajaan negeri tidak sepatutnya membelakangkan kakitangan JBA untuk mengkorporatkan agensi itu kerana ia melibatkan masa depan mereka,” katanya.

Hassanuddin berkata demikian mengulas tindakan kakitangan jabatan tersebut yang mengisytiharkan akan mengadakan bantahan jika permintaan mereka ditangguhkan pengkorporatan dan penswastaan agensi itu tidak dipedulikan.

Menurut perancangan, JBA akan diswastakan dengan nama Perbadanan Air Pahang (Paip) berkuatkuasa pada 1 Februari ini.

Pada masa ini kutipan hasil air merupakan pendapatan kerajaan negeri yang ketiga selepas tanah dan balak.

Kelmarin, Presiden Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman mewakili kakitangan JBA berkata, penangguhan pengkorporotan itu perlu kerana mereka belum mendapat penerangan dan maklumat lengkap mengenai rasional tersebut.

Omar menambah, Cuepacs tidak ada pilihan lain kecuali akan bertindak mengadakan bantahan besar-besaran yang membabitkan semua kakitangan JBA Pahang sekiranya pengkorporatan ini diteruskan kerajaan, walaupun ia mendapat bantahan rakyat.

“Bayangkan, 80 peratus daripada kakitangan JBA di Pahang menandatangani surat opsyen persetujuan tanpa mengetahui butiran perkhidmatan terbaru atas arahan ketua jabatan masing-masing.

“Ketika ini, SBPA dikaji semula bagi memastikan semua pihak mendapat faedah tanpa mengabaikan mana-mana kakitangan, khususnya dalam aspek gaji, kekananan dan sebagainya,” sebagaimana dipetik media.

Beliau turut merayu Menteri Besar Pahang menggunakan kuasanya untuk menangguhkan pengkorporatan tersebut sebelum semua isu berbangkit dapat diselesaikan demi faedah kedua-dua pihak.

Sementara itu Hassanuddin berkata, penangguhan pengkorporatan itu adalah wajar sehinggalah rundingan rasmi setiap wakil kesatuan yang terlibat sedangkan ia membabitkan masa depan kakitangan JBA Pahang.

"Sepatutnya, selesaikan dahulu isu SBPA sebelum meneruskan agenda mengkorporatan JBA Pahang secara tergesa-gesa banyak menimbulkan tanda tanya kakitangannya sendiri pekerja bertaraf kontrak selepas ini.

“Walau sebaik manapun yang dirasakan pihak kerajaan melalui pengkorporatan ini, jika tidak berunding secara mendalam dengan kakitangan itu tidak betul kerana ia membabitkan masa depan mereka.

“Satu hal lagi, selepas pengkorporatan kemungkinan rakyat akan dibebankan pula dengan bil yang tinggi. Jadi ini nampak kerajaan mahu melepaskan tanggungjawab ini kepada swasta," katanya.

Tambah Hassanuddin, isu yang sebenar ialah Kerajaan Negeri Pahang mesti menyelesaikan masalah air yang begitu kritikal di sesetengah tempat walaupun negeri ini mewah dengan sumber air mentah.

Harakah Daily

Polis tumpas geng penyamun

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan sekumpulan penyamun yang dipercayai aktif melakukan jenayah pecah rumah serta curi kereta di sekitar kawasan Cheras, Kuala Lumpur, Perak dan Negeri Sembilan sejak lapan bulan lalu.

Seramai tujuh lelaki dan seorang wanita tempatan termasuk dua adik-beradik berusia lingkungan 25 hingga 31 tahun ditangkap sejak 14 Januari lalu hingga kelmarin dalam lima tangkapan berbeza di beberapa lokasi.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, polis menubuhkan pasukan khas untuk mengesan penjenayah terbabit,

Menurutnya, suspek pertama iaitu seorang lelaki diberkas polis di kawasan berhampiran sebuah hotel di Cheras pada 14 Januari lalu.

“Suspek yang menaiki sebuah kereta Proton Perdana V6 dipercayai hasil samun bertindak merempuh anggota polis untuk melarikan diri, tetapi berjaya ditangkap selepas tayar kenderaannya ditembak polis.

“Polis menemui sebuah televisyen plasma jenama LG 42 inci dalam kereta Perdana V6 yang dirampas,” katanya dalam satu sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, di sini semalam.

Menurutnya, dua rakan suspek yang menaiki sebuah lagi kereta yang dipercayai dicuri jenis Perdana V6 berjaya melarikan diri,

Mohan Singh berkata, polis membuat serbuan kedua di Damansara, Petaling Jaya pada 19 Januari lalu dan menahan dua beradik lelaki diikuti tangkapan dua lelaki serta seorang wanita di sebuah restoran di Kepong pada keesokan harinya.

“Dua hari selepas tangkapan itu, polis menemui sebuah kereta jenis Toyota Frontier dan Mitsubishi Evo yang disamun kumpulan itu di Perak dan Negeri Sembilan.

“Sebuah lagi kereta disamun kumpulan penjenayah terbabit iaitu jenis Kia Citra yang dilaporkan hilang di Perak, berjaya ditemui selang dua hari kemudian,” katanya.

Beliau berkata, hasil bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson, Negeri Sembilan, seorang lagi anggota sindiket diberkas pada 15 Januari lalu dan lelaki terbabit yang diberkas bersama Perdana V6 merupakan suspek yang melarikan diri dalam serbuan pertama di Cheras.

“Suspek terakhir yang ditahan ialah seorang lelaki pada 26 Januari lalu dan hasil tangkapan itu membawa kepada rampasan dua komputer riba dan sebuah lagi televisyen jenama Samsung.

“Polis juga menemui sebuah lagi kereta jenis Kia Citra di Damansara yang dilaporkan hilang di Kajang sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, selain merampas enam kereta, televisyen dan dua komputer riba, barang-barang lain turut dirampas termasuk enam utas jam tangan, pelbagai jenis aksesori wanita serta alat pembesar suara kesemuanya bernilai RM260,000.

Katanya, modus operandi yang dilakukan oleh kumpulan itu adalah menggunakan kereta curi untuk melakukan jenayah pecah rumah pada waktu pagi dan malam.

“Penahanan kumpulan penjenayah ini dapat menyelesaikan beberapa kes jenayah samun kereta dan pecah rumah.

“Kesemua suspek termasuk empat daripada mereka yang mempunyai rekod jenayah lampau direman sehingga Khamis bagi membantu siasatan,” katanya.

Sinar Harian

Tahanan Palestin nekad mogok lapar

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

TEL AVIV - Tahap kesihatan seorang pejuang Palestin yang berada dalam tahanan Israel dilaporkan semakin merosot selepas dia nekad untuk melakukan mogok lapar selama 46 hari, menurut aktivis antarabangsa, kelmarin.

Ketua gerakan Jihad Islam di Tebing Barat, Khader Adnan, 34, telah ditahan oleh tentera rejim Zionis pada 17 Disember lalu dan dipenjarakan tanpa melalui sebarang proses perbicaraan yang adil.

Adnan yang berang dengan tindakan melulu Israel kerana memenjarakannya tanpa sebab bertekad melakukan protes dengan memutuskan untuk mogok lapar sehari selepas dia ditahan di bawah ‘tahanan pentadbiran’ rejim Zionis itu.

Sebuah kumpulan aktivis hak asasi manusia mula menyuarakan kebimbangan mereka dengan menyatakan kesihatan dan sistem tubuh Adnan akan semakin terjejas jika dia masih berdegil untuk meneruskan mogok lapar tersebut.

Bagamainapun, dalam satu kenyataan, jurucakap perkhidmatan penjara Israel, Sivan Weizman berkata, doktor di pusat tahanan itu kini sedang memantau tahap kesihatan Adnan dan dia dilaporkan stabil.

sinar harian/-

Geng Mat Kaha lumpuh

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PEKAN – Kumpulan pencuri motosikal atau lebih dikenali sebagai Geng Mat Kaha yang licik melakukan aktiviti jenayah di beberapa daerah termasuk daerah ini dan Kuantan berjaya dilumpuhkan selepas lima anggota kumpulan itu diberkas.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, seorang anggota kumpulan itu yang berjaya ditahan di Kuantan dan empat lagi di daerah ini merupakan remaja lelaki berusia dalam lingkungan 19 hingga 22 tahun.

Menurutnya, hasil siasatan awal polis menemui lima rangka motosikal dipercayai jenis Yamaha RXZ, Honda Wave dan Honda EX5 yang dibuang ke dalam aliran Sungai Pahang melalui Sungai Pulau Tambun.

“Sejak awal Januari lalu, sepasukan anggota polis dari cawangan Jenayah IPD giat mengesan suspek utama kes ini dan penahanannya membawa kepada maklumat mengenai empat lagi anggota kumpulan itu yang berjaya diberkas.

“Tangkapan itu juga berjaya meleraikan 15 kes berkaitan curi motosikal di daerah ini yang berlaku di sekitar kawasan Peramu sepanjang 2010 membabitkan kerugian sebanyak RM50,000,” katanya kepada Sinar Harian.

Yahaya berkata, kelima-lima suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Menurutnya, polis kini giat mengesan lima lagi anggota kumpulan itu yang masih bebas namun sudah dikenal pasti melalui siasatan dijalankan.

“Kelima-lima suspek ditahan merupakan bekas pelatih sebuah institut kemahiran di daerah ini dan mereka mempunyai pengetahuan serta kemahiran berkaitan yang memudahkan perlakuan jenayah.

“Modus operandi kumpulan ini ialah mencuri motosikal ditinggalkan pemilik di sekitar kawasan sasaran sebelum meleraikan enjin dan komponen berkaitan,” katanya.

Katanya, barangan itu dijual kepada mat rempit yang gemar membeli barangan gantian dan terpakai utnuk pengubahsuaian motosikal serta kegiatan lumba haram.

“Polis berjaya mengesan taktik kumpulan ini dan beberapa penjenayah berkaitan di mana mereka aktif mencuri sekitar jam 12 malam hingga jam 6.30 pagi. Manakala motosikal yang diletakkan di kawasan gelap kerap menjadi sasaran.

“Semua suspek masih ditahan dan akan didakwa di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan. Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih dari tujuh tahun,” katanya.

Yahaya turut menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati, tidak meninggalkan motosikal masing-masing di kawasan sunyi serta terpencil, selain menguncinya dengan teliti.

“Pantauan dan siasatan mendapati kebanyakan motosikal yang hilang tidak dikunci dengan baik. Ada di antara mangsa gemar meninggalkan motosikal di kawasan sunyi seperti berhampiran sungai untuk memancing dan sebagainya,” katanya.

Sinar Harian

Seksa akibat perbuatan khianat

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUANTAN – Masalah pembetung yang rosak di Kampung Darat Sekolah dekat Beserah bukan sahaja menyebabkan aliran air longkang melimpah malah menyebabkan bau busuk.

Seorang penduduk, Narawi Ismail, 52, berkata, masalah tersebut berlaku sejak dua minggu lalu sehingga dia terpaksa membaiki sendiri pembetung supaya mengelakkan air tidak terus mengalir ke belakang rumahnya.

Menurutnya, saliran yang tersasar tersebut menyebabkan hakisan dan bau busuk sehingga mengganggu keselesaan hidup sekeluarga

“Saya pelik, bagaimana pembetung ini boleh pecah sehingga air longkang tidak dapat mengalir dengan betul.

“Akibatnya, ia terus mengalir ke belakang rumah saya. Tambahan pula, aliran air tersebut banyak dan menyebabkan kawasan belakang rumah saya terhakis sedikit demi sedikit,” katanya.

Selain itu, longkang sejauh dua kilometer itu dipercayai laluan untuk air buangan dari taman perumahan dan air bukit yang berdekatan.

Narawi berkata, akibat perbuatan khianat itu, aliran tersebut tidak dapat mengalir menyebabkan kawasan berhampiran pembetung itu seolah-oleh menjadi satu anak sungai.

“Saya kecewa dan terkilan dengan apa yang berlaku kerana longkang telahpun dibina untuk aliran air ini, tetapi mengapa pembentung ini dipecahkan dan aliran terpesong ke tempat lain.

“Untuk membaikinya pula, ia memerlukan kos dan saya tidak mampu untuk membaikinya menyebabkan tempat yang pecah itu disendal oleh papan. Tapi saya tidak tahu sampai bila ia akan bertahan,” katanya.

Oleh itu, dia berharap agar pihak yang bertanggungjawab dapat memantau keadaan ini sebaik mungkin dan bagi individu yang terlibat pula diharapkan agar tidak berbuat onar itu lagi yang menyusahkan banyak pihak.

Sinar Harian

Padah ugut guna pistol palsu

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

AYER KEROH - Seorang penjual burger mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini semalam, atas dua tuduhan, termasuk mengugut menggunakan pistol palsu, pertengahan Disember tahun lalu.

Zuhairi Zakaria, 29, dari Cheng, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Zuhairi didapati dengan sengaja melakukan ugutan jenayah sambil mengacukan sepucuk pistol tiruan bagi mendatangkan ketakutan dan kegusaran terhadap Ahmad Tamyiz Mak Aris, 41.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Restoran Hijrah Sari Cheng, Nasi Ayam Hailam, Cheng kira-kira jam 4.10 petang pada 15 Disember 2011.

Zuhairi didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah kanun sama dan dibaca bersama Seksyen 32(2) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan penalti tambahan penjara tidak lebih 10 tahun.

Bagi pertuduhan kedua, Zuhairi didapati memiliki sebilah parang berhulu dan bersarung kayu sepanjang kira-kira 36 sentimeter, sebilah pisau bersarung besi bulat kira-kira 56 sentimeter di dalam sarung kain warna hijau diletakkan di dalam sebuah kereta Viva berwarna hitam.

Kesalahan itu dilakukan di tempat letak kereta berhadapan Rumah Pangsa Taman Anika, Lorong Pandan kira-kira jam 5.45 petang pada hari sama.

Dia dituduh mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan boleh dihukum di bawah akta sama, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi dua tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Ahmad Sazali membenarkan Zuhairi diikat jamin RM8,000 dan menetapkan 29 Februari depan tarikh sebutan semula kes.

Dalam prosiding berbeza di mahkamah sama, seorang mekanik mengaku tidak bersalah merogol dan mencabul teman wanitanya tahun lalu.

Mohd Redzuan Mohamad, 26, didakwa merogol perem­puan berusia 15 tahun tujuh bulan di sebuah rumah di Jalan Lipat Kajang, Kampung Kandang, kira-kira jam 1.30 pagi pada 24 Oktober 2011.

Mohd Redzuan juga mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan melakukan kekerasan jenayah terhadap perempuan sama di rumah tidak bernombor di KM 8 Kampung Alai kira-kira jam 1.40 pagi pada 22 November 2011.

Bagi kesalahan merogol, dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan sementara kesalahan mencabul, didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripadanya jika sabit kesalahan.

Ahmad Sazali membenarkan jaminan RM10,000 dan menetapkan tarikh sebutan semula pada 29 Februari depan.

Sinar Harian

Warga emas maut lintas jalan

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SEREMBAN - Hasrat seorang warga emas yang ingin bertemu anaknya di sekitar bandar ini tidak kesampaian, apabila dia maut dilanggar sebuah kenderaan di Jalan Rasah, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi itu, mangsa, M Muniammah, 67, mati akibat dirempuh sebuah kereta sewaktu sedang melintas di jalan berkenaan.

Jurucakap polis berkata, mangsa yang berasal dari Kampung Pasir mengambil jalan mudah menyeberangi jalan besar tanpa menggunakan jejantas yang disediakan di kawasan berhampiran.

“Mengikut siasatan awal, kita dapati mangsa mahu melintas untuk mendapatkan perkhidmatan bas di seberang jalan.

“Namun, tindakannya itu menyebabkan sebuah kereta yang dipandu oleh seorang wanita berusia 30-an, tidak sempat mengelak, lalu merempuhnya sehingga terpelanting ke atas jalan,” katanya.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera di anggota badan dan mayatnya dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat.

“Bagaimanapun, pemandu kereta tidak mengalami kecederaan dan dia telah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abdul Halil Hamzah mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menggunakan jejantas yang disediakan untuk melintas bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini.

Sinar Harian

Bil elektrik melambung

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU – Akibat terlalu tertekan kerana tidak mampu membayar caj bil elektrik yang mencecah ribuan ringgit, seorang warga emas nekad untuk berpindah dari rumah sewa yang didiaminya sejak dua tahun lalu.

Warga emas, Lim Ah Lek, 72, mendakwa runsing apabila tidak mampu membayar hutang tertung­gak yang dianggap tidak munasabah, dengan lonjakan bil secara drastik sejak Oktober tahun lalu.

“Sepanjang saya tinggal di sini, saya jarang dikenakan bayaran elektrik kerana menggunakan kurang RM20 sebulan, namun sejak empat bulan lalu, saya dikenakan caj RM96, RM25, RM150 dan terkini bagi bulan Januari 2012 sebanyak RM1,211.60,” katanya pada sidang media di Kelab Media Cina Selatan, Johor Bahru, dekat sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Biro Aduan Awam Pemuda MCA Johor, Kua Song Tuck di sini semalam.

Ah Lek yang menyewa di Taman Perumahan Rakyat Iskandar dengan kadar sewa RM124, bekerja sebagai tukang cuci dengan pendapatan RM600 sebulan.

Katanya, dia tinggal bersendirian dan hanya memiliki sebuah kipas, sebuah televisyen serta sebuah peti ais sahaja dengan penggunaan yang cukup minimum.

Sementara itu, seorang pakar kecantikan, Sia Peck Chin, 29, juga mendakwa, bil elektrik rumahnya di Jalan Cokmar, Taman Seri Tebrau di sini mencecah sehingga RM5,110.90 dalam bil terbaru yang dikeluarkan 7 Januari lalu.

“Sebelum ini, ada kalanya bil yang sampai menyatakan defisit (terlebih bayar), tetapi saya tetap bayar sekurang-kurangnya RM80 sebulan kerana bimbang berlaku kesilapan dan mungkin akan membebankan saya di kemudian hari.

“Namun, apa yang dikhuatiri selama ini benar-benar berlaku dan apabila bacaan sebenar dibuat, bil yang dikeluarkan RM5,110.89,” katanya.

Peck Chin berkata, dia telah beberapa kali menghubungi sendiri pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi mengesahkan kesahihan bil negatif yang diterimanya.

“Saya telah meminta pihak TNB membuat bacaan sekali lagi kerana mustahil bil saya boleh mencecah sebanyak itu memandangkan saya jarang berada di rumah dan tidak pernah gagal buat bayaran setiap bulan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengurus Perkhidmatan Pelanggan dan Pemasaran Tenaga Nasional Berhad Johor Bahru, Mohamad Izwan Zainal berkata, bagi kes Ah Lek telah berlaku bil anggaran berlebihan (over estimate) dalam sistem, kerana bacaan yang dinyatakan itu dibuat melalui sistem, kerana pembaca meter TNB hanya melalukan bacaan ke tapak dua bulan sekali.

“Bagi kes warga emas, Lim Ah Lek tidak perlu membayar caj bil yang diterimanya, kerana bil sebenar yang direkod dari bacaan di tapak hanya akan dikeluarkan pada 6 Februari depan.

“Sekiranya kes seperti ini berlaku, pengguna boleh hadir ke pejabat TNB bagi mendapatkan penjelasan dan TNB akan membatalkan bil,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun, bagi kes Peck Chin pula, rumah yang disewanya itu telah merekodkan bacaan anggaran selama setahun akibat pembaca meter gagal membuat bacaan sebenar ke tapak ekoran pintu berkunci.

“Kita telah mendapati bacaan anggaran yang dibuat kurang daripada bacaan penggunaan sebenar dari Oktober 2010 sehingga November 2011.

“Namun pada 8 Disember lalu, kita berjaya merekodkan bacaan sebenar dan nilai yang perlu dibayar adalah seperti yang dinyatakan dalam bil terkini,” katanya.

Mohamad Izwan berkata, bagi mana-mana pengguna yang tidak berpuas hati dengan bil diterima boleh hadir ke pejabat TNB bagi semakan dan rundingan.

Sinar Harian