09 Februari 2012

NASA cari firma reka teksi angkasa lepas

16 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

WASHINGTON: Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) mencari firma untuk merekabentuk dan membina teksi angkasa lepas bagi mengangkut angkasawan dari dan ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), lapor Reuters kelmarin.

Program itu menyasarkan untuk meneruskan rancangan membangunkan kapal angkasa lepas komersial penumpang.

Dengan Amerika menutup program kapal angkasa lepas tahun lalu, Russia ketika ini satu-satunya negara yang menerbangkan krew ke stesen angkasa lepas. Kos pengangkutan ke stesen itu bernilai AS$60 juta (RM179.97 juta) untuk seorang.

Pengurus program komersial NASA, Ed Mango berkata selepas NASA memilih syarikat yang mengambil bahagian, ia akan melabur antara AS$300 juta hingga AS$500 juta (RM900.21 juta hingga RM1.5 bilion) bagi setiap firma di bawah perjanjian perkongsian 20 bulan.

“Ia dijangka selesai mereka bentuk bersepadu kenderaan angkasa lepas menjelang Mei 2014 sekali gus bersedia untuk melakukan ujian penerbangan menjelang pertengahan dekad.

“Sejak tiga tahun lalu, NASA membelanjakan sejumlah AS$365.5 juta (RM1.096 bilion) dalam syarikat persendirian termasuk AS$130.9 juta (RM392.87 juta) dalam Boeing, AS$125.6 juta (RM376.96 juta) dalamSierra Nevada Corp dan AS$75 juta (RM225.11 juta) dalam Teknologi Penerokaan Angkasa Lepas atau Space X),” katanya.– Agensi

PAS gesa media tidak promosi Valentine’s Day

16 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 9 Feb: PAS Wilayah Persekutuan (WP) berharap semua pihak terutama media-media utama di negara ini tidak memainkan peranan mempromosikan Hari Kekasih atau Valentine’s Day yang biasa disambut pada 14 Februari setiap tahun kerana ia boleh menyumbang kepada gejala keruntuhan akidah dan akhlak khususnya remaja di negara ini.

Ketua Penerangannya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, dalam hal itu, PAS WP ingin memberi ingatan bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwanya berkenaan hukum menyambut Valentine’s Day:

“Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 yang bersidang pada 22-24 Nov 2005 telah membincangkan Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine's Day. Muzakarah berpandangan bahawa ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang dan tidak ada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya.

Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.”

Katanya, dengan gejala sosial yang semakin meningkat seperti pergaulan bebas lelaki dengan perempuan, berzina, bersekedudukan, pelacuran sehingga membawa kepada perlakuan jenayah seperti rogol, buang anak, dan lain-lain lagi, sudah tentu perayaan mengarut seperti Valentine’s Day juga menjadi penyumbang kepada peningkatan kadar gejala sosial yang semakin parah di negara ini.

Tambahan pula, ujarnya dengan kepesatan bandaraya besar seperti Kuala Lumpur yang menjadi pusat kepada kelab-kelab malam, pusat-pusat hiburan, rumah-rumah urut, hotel bajet serta rumah tumpangan, di samping konsert-konsert yang dianjurkan, gejala sosial sudah seakan tidak terkawal.

“PAS WP merasa bimbang dengan semua aktiviti hiburan yang diadakan di negara ini,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Justeru, katanya media tidak sewajarnya menambah rancakkan lagi promosi Hari Kekasih atau Valentine’s Day.

Selain itu, tambahnya PAS WP juga meminta pengusaha-pengusaha restoran, hotel, rumah tumpangan, dan lain-lain tidak mempromosikan hari tersebut dengan pelbagai tawaran menarik seperti diskaun, pakej tertentu, harga promosi dan lain-lain lagi.

Katanya lagi, PAS WP mengingatkan bahawa usaha mempromosi hari tersebut boleh mengundang dosa kerana membantu mempromosikan aktiviti maksiat yang telah dihukumkan haram.

“Akhirnya, PAS WP menasihati remaja dan belia di Wilayah Persekutuan agar menunjukkan akhlak dan tauladan yang baik dalam setiap masa.

“Valentine’s Day’ bukan budaya umat Islam dan jangan jadikan hari tersebut sebagai hari melepas nafsu bersama pasangan masing-masing,” ujarnya.

Harakah Daily

Air France Batalkan Penerbangan Jarak Jauh Ekoran Mogok

16 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PARIS: Syarikat penerbangan Perancis, Air France mengumumkan bahawa ia terpaksa membatalkan sekurang-kurangnya 40 peratus penerbangan jarak jauh dan 30 peratus lagi ke atas penerbangan jarak dekat ekoran tindakan mogok oleh kakitangan syarikat itu yang masuk hari ketiga pada Rabu.

Sehubungan dengan itu, Air France telah menasihati para pelanggannya supaya menunda penerbangan mereka atau menukar jadual perjalanan mereka dengan menghantar notis pembatalan penerbangan menerusi emel dan juga teks pesanan ringkas.

Mogok itu dilancarkan di Lapangan Terbangan Charles de Gaulle, di sini serta beberapa lapangan terbang Perancis yang lain.

Pihak kesatuan melancarkan mogok empat hari itu sebagai protes ke atas undang-undang baru yang menuntut pekerja syarikat penerbangan secara individu perlulah memberikan notis makluman 48 jam sebelum melancarkan sebarang mogok.

Rang undang-undang itu telahpun mendapat kelulusan dewan perwakilan bulan lalu dan kini akan dibawa ke Dewan Senat untuk dibahaskan.

Menteri Pengangkutan, Thierry Mariani menegaskan bahawa rang undang-undang itu tidak akan dikaji semula kerana ia diperkenalkan untuk melindungi hak pengguna iaitu para penumpang.

mstar/-

Bekas Presiden Maldives cedera dipukul polis

16 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

MALE 9 Feb. - Bekas Presiden Maldives, Mohamed Nasheed cedera dan mendapatkan di hospital semalam selepas dipukul polis ketika menyertai perarakan bersama penyokongnya di ibu negara.

Menurut sepupunya yang juga merupakan anggota setia parti bekas presiden itu, Mohamed Nasheed yang dipaksa meletakkan jawatan kelmarin, cedera bersama beberapa lagi anggota Pasti Demokratik Maldives (MDP).

Selain beliau, pengerusi MDP, Reeko Moosa Manik juga dimasukkan ke hospital kerana cedera di bahagian kepala dan belakang selepas dibelasah polis.

Dalam situasi terkini, penunjuk perasaan yang marah bertindak menyerang balai polis dan membakar beberapa bangunan kerajaan. - AFP

Kakitangan KFC tendang pelanggan

16 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

RAKAMAN pergaduhan antara kakitangan KFC dengan seorang pelanggan yang berlaku di sebuah restoran makanan segera di Shah Alam baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Gara-gara tidak sabar menunggu ayam goreng yang dipesan, seorang pelanggan bukan sahaja ditumbuk malah turut ditendang oleh seorang kakitangan KFC dalam satu kes pergaduhan baru-baru ini.

Kejadian tersebut yang didakwa berlaku di salah sebuah cawangan restoran makanan segera tersebut di Shah Alam itu sempat dirakam oleh orang ramai.

Rakaman pergaduhan selama 28 minit itu kemudian dimuat turun ke laman perkongsian video, YouTube yang juga disiarkan di beberapa laman blog.

Difahamkan pergaduhan itu berlaku ekoran pesanan yang dibuat oleh pelanggan tersebut tidak sampai setelah menunggu selama satu jam ekoran KFC cawangan tersebut didakwa telah kehabisan ayam.

Pelanggan tersebut yang marah telah meminta pihak KFC untuk memohon maaf namun tidak diendahkan sebaliknya kakitangan restoran itu telah menjerit ke arah pelanggan: “Kalau mau makan, buat sendiri lah.”

Menerusi video tersebut, pertengkaran yang bermula dengan berbalas cakap itu akhirnya berakhir dengan tindakan seorang kakitangan KFC menumbuk dan menendang pelanggan tersebut sebelum dileraikan oleh rakannya.

Sementara itu, KFC Holdings (Malaysia) Berhad memaklumkan bahawa pihaknya sedang melakukan siasatan berhubung kes pergaduhan itu yang didakwa berlaku awal Februari lalu.

kosmo/-

AKHLAK MULIA PAKAIAN MUSLIM

16 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًۭا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَـٰٓئِكَةٌ غِلَاظٌۭ شِدَادٌۭ لَّا يَعْصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ ﴿٦﴾
أَشْهَدُ أَنْ لَّآإِلهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ, وَرَسُوْلُهُ
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللَّهِ ! اتَّقُواْ اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَاتَمُوْتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُّسْلِمُوْنَ

KAUM MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH!

Sebagai umat Nabi Muhammad SAW yang tinggi darjatnya, sudah tentu kita tidak rela dan mahu nikmat keamanan, kemakmuran dan keharmonian hidup yang kita kecapi selama ini ditarik balik oleh Allah SWT. Justeru, marilah kita syukuri dan hargai segala bentuk nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada rakyat dan Negara kita ini dengan cara meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT,

dalam erti kata mengerjakan segala suruhan dan menjauhi segala larangan-Nya. Memiliki iman dan takwa yang tinggi adalah prasyarat utama bagi membolehkan kita terus memperolehi berkat yang melimpah ruah dari langit dan bumi sebagaimana dijelaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:-

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ ٱلْقُرَىٰٓ ءَامَنُوا۟ وَٱتَّقَوْا۟ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَـٰتٍۢ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلْأَرْضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا۟ فَأَخَذْنَـٰهُم بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ ﴿٩٦﴾

Yang bermaksud: “Jikalau penduduk negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi, tetapi (jika) mereka mendustakan (ayat-ayat) Kami itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya,” (S. Al-A’raaf: 96).


KAUM MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH!

Sebelum kelahiran dan pengutusan Nabi Muhammad SAW ke dunia ini, diriwayatkan bahawa masyarakat Arab diibaratkan hidup dalam kegelapan. Gelap dalam erti kata jauh daripada petunjuk Ilahi lantaran budaya hidup mereka yang bertuhankan hawa nafsu dan berhala, bukannya bertuhankan Allah Yang Maha Esa. Kerananya, mereka digelar sebagai masyarakat Jahiliah, iaitu masyarakat yang tidak tahu mensyukuri dan menghargai nikmat akal yang dikurniakan Allah untuk menelusuri fitrah insan yang suka berbuat baik, menyenangi kebaikan dan membenci kejahatan.

Akibatnya, wujudlah keadaan dan suasana yang tidak aman dan harmoni kerana penindasan dan kezaliman berleluasa, yang kuat menindas yang lemah, yang kaya memeras yang miskin, manakala kaum wanita dianggap sebagai alat memuaskan nafsu semata-mata. Malah, perjudian, arak dan pembunuhan bayi perempuan adalah perkara biasa dan bukan sesuatu yang mengaibkan mereka.

Ini memperlihatkan bangsa Arab pada ketika itu berada dalam keadaan yang amat parah dan tenat dari segi akhlak dan tauhid dengan dijemput oleh dua tamadun empayar manusia yang besar iaitu Rom dan Parsi.

Justeru, kelahiran dan pengutusan Nabi Muhammad SAW adalah untuk membetulkan semula kehidupan manusia yang pada ketika itu bergelumang dengan amalan serta budaya hidup yang kotor dan sesat. Mereka bukan sahaja tidak berakhlak, malah sesat dan tandus dengan nilai-nilai keperikemanusiaan yang sepatutnya. Hal ini dijelaskan oleh Nabi SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Aku diutus untuk menyempurnakan akhlak (budi pekerti) yang mulia.” (HR. Ahmad)

Hadith ini memperlihatkan betapa Islam menitikberatkan soal pembinaan akhlak yang mulia dan terpuji. Ia hendaklah menjadi pakaian manusia setiap masa khususnya individu Muslim ke arah mewujudkan kehidupan yang sejahtera dan harmoni dalam keluarga, organisasi, masyarakat dan negara.

KAUM MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH!

Akhlak merujuk kepada amalan, perangai dan tingkah laku tulus yang tidak dibuat-buat yang menjadi kebiasaan. Manakala menurut istilah Islam, akhlak ialah sikap keperibadian manusia terhadap Allah, manusia, diri sendiri dan makhluk lain, sesuai dengan suruhan dan larangan serta petunjuk Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.

Ini bererti akhlak merujuk kepada seluruh perlakuan manusia sama ada berbentuk lahiriah mahupun batiniah yang merangkumi aspek amal ibadat, percakapan, perbuatan, pergaulan, komunikasi, kasih sayang dan sebagainya.

Sesungguhnya Rasulullah SAW yang terkenal dengan ketinggian akhlaknya telah berjaya merobah masyarakat Jahiliah kepada masyarakat yang beradab dan bertamadun. Namun demikian, segala ajaran serta contoh teladan yang diberikan oleh baginda SAW dalam membina masyarakat yang berakhlak dan bertamadun kini semakin dipinggirkan. Keadaan ini sedikit sebanyak telah menyebabkan manusia hari ini secara umumnya kembali mengulangi perbuatan kufur dan keji umat Jahiliah.

Ia ditandai dengan maksiat dan kemungkaran yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Antaranya termasuklah aktiviti perjudian melalui internet dan SMS, pengambilan bahan-bahan yang memabukkan dan mengkhayalkan di samping pergaulan bebas yang menatijahkan zina, hubungan seks songsang, gejala pembunuhan, penderaan dan pembuangan bayi.

Dalam erti kata lain, senario yang berlaku pada hari ini memperlihatkan bahawa segelintir anggota masyarakat tidak lagi melihat kelakuan berakhlak sebagai sesuatu yang bernilai dan bermanfaat. Malah, ada di kalangan mereka itu cuba meminggirkannya jauh-jauh dari sikap dan budaya hidup berakhlak meskipun menyedari akan risikonya.

Ini adalah antara ciri cintakan dunia, iaitu satu fenomena yang boleh melalaikan seseorang daripada mengingati Allah dan menyediakan bekalan untuk kehidupan akhirat.

KAUM MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH!
Memang tidak dinafikan bahawa satu daripada ciri akhlak Islam itu ialah berkasih sayang sesama insan. Malah Nabi SAW sendiri menitikberatkan soal berkasih sayang seperti yang ditunjukkan kepada isteri-isteri baginda, anak-anak, fakir miskin dan lain-lain lagi.

Nabi SAW menzahirkan rasa kasih sayang kepada golongan ini dengan cara menggembirakan mereka melalui pemupukan hubungan yang baik, gurau senda di samping pemberian pertolongan serta bantuan yang sewajarnya. Dengan kata lain, menghormati yang tua dan menyayangi yang muda merupakan antara akhlak Rasulullah dalam menyatakan rasa kasih sayang baginda terhadap anggota masyarakat.

Dan kasih sayang itu pula bukanlah hanya sekadar ucapan manis untuk melembutkan hati manusia. Ia juga bukan ungkapan sebagai lesen untuk melakukan sesuatu yang tidak baik. Tapi, lain pula halnya dengan segelintir generasi muda hari ini. Mereka jadikan perasaan kasih sayang itu sebagai lampu hijau bagi melakukan perkara-perkara yang dilarang.

Bagi mereka, perasaan kasih sayang menghalalkan segala yang haram. Sebab itu, terdapat di kalangan muda- mudi hari ini yang berpandangan sedemikian tidak segan silu melakukan adegan-adegan yang menjolok mata seperti bercium dan berpeluk-pelukan sehingga terjerumus melakukan zina atau hubungan seks haram tanpa rasa bersalah.

Berlakunya penyalahgunaan nilai kasih sayang sebagai kesempatan untuk melakukan dosa dan maksiat adalah akibat daripada kedangkalan segelintir umat Islam memahami erti kasih sayang sebenar yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW.

Ia menyebabkan golongan muda-mudi Islam terikut-ikut menciplak budaya songsang yang dipromosi oleh golongan kuffar bertujuan merosakkan akidah dan akhlak umat Islam. Padahal, Islam memiliki khazanah akhlak mulia yang sesuai diamalkan pada bila-bila masa seperti yang diteladankan oleh Nabi SAW kepada kita semua.

Cuma, masyarakat memerlukan seorang pemimpin yang boleh mengubah akhlak dan membawa mereka ke jalan diredai Allah. Dalam hubungan ini, Allah berfirman:-

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌۭ يَدْعُونَ إِلَى ٱلْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ ۚ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ ﴿١٠٤﴾
Yang bermaksud: “Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar; merekalah orang yang beruntung.” (S. Ali-Imran: 104)

Maknanya, perlu ada di kalangan umat Islam yang bertanggungjawab mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dalam masyarakat. Sementara dalam konteks keluarga pula, ketua keluarga yang secara umumnya merujuk kepada bapa atau kaum lelaki dipikulkan amanah untuk melaksanakan tanggungjawab berkenaan sebagai upaya memelihara diri dan ahli keluarga masing-masing daripada api neraka selaras dengan firman Allah:-

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًۭا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَـٰٓئِكَةٌ غِلَاظٌۭ شِدَادٌۭ لَّا يَعْصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ ﴿٦﴾
Yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, pelihara dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat yang kasar, keras, dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (S. At-Tahrim: 6).

Sehubungan itu, kita sebagai Muslim sudah sewajarnyalah berusaha untuk tampil sebagai insan berakhlak kerana itulah sifat sebagai hamba Allah dan mukmin sebenar. Mudah-mudahan berkat kesungguhan kita mentarbiah diri dan ahli keluarga supaya berakhlak mulia berhasil meletakkan kita ke makam takwa yang sebenar di sisi Allah SWT.

Bahagian Pengurusan Masjid,
Jabatan Agama Islam Perak

Capello letak jawatan sebagai pengurus England

16 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

FABIO Capello telah meletakkan jawatan sebagai pengurus pasukan England selepas menyuarat bersama pengerusi FA, David Bernstein dan setiausaha agung FA, Alex Horne di Stadium Wembley, berkuatkuasa serta-merta hari ini.

Mesyuarat selama satu jam tersebut berbincang tentang perlucutan tugas John Terry selaku ketua pasukan England dan kenyataan Capello di stesen televisyen Itali yang mencabar keputusan FA itu.

Bernstein bagaimanapun menegaskan Capello bersikap profesional dalam mesyuarat itu dan selama beliau menjadi pengurus pasukan England.

"Kami terima perletakan jawatan beliau dan setuju ini adalah keputusan terbaik. Pihak kami ingin berterima kasih atas segala jasa beliau bersama pasukan England," katanya.

Capello sebelum ini bertegas bahawa hukuman dikenakan kepada Terry tidak adil kerana dia belum dibicarakan tentang kes berbaur perkauman terhadap pemain QPR, Anton Ferdinand.

Perbicaraan kes itu akan bermula pada 9 Julai depan, iaitu sebaik sahaja kejohanan EURO 2012 berakhir.

Menurut sumber dari ESPNsoccernet, pengurus Tottenham Hotspurs, Harry Redknapp telah disenaraikan sebagai pengganti Capello oleh pihak FA.

Bekas pengurus pasukan England, Sven-Goran Eriksson percaya bahawa Redknapp adalah pengganti yang sesuai.

"Dia orang England, dia sudah tahu cara permainan mereka. Dia juga cemerlang bersama Spurs dan pasukan sebelum ini," katanya kepada BBC.

Sinar Harian

Diserang kerana cemburu

16 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

IPOH – Niatnya berniaga hasil kampung adalah untuk menyara isteri dan sembilan anaknya disalah erti oleh sesetengah pihak sehingga sanggup menyerang keluarga itu di sebuah pasar di bandar raya ini.

Peniaga, Mohd Nor Azman Mat, 47, yang baru memulakan perniagaan menjual pisang, telur dan ayam menahan sabar dengan karenah seorang peniaga yang hanya dikenali sebagai ‘Ida’ yang seolah-olah mahu tutup rezekinya.

Menurutnya, kemuncak iri hati Ida tercetus apabila dia memaki hamun selain mengancam keselamatan isteri, Rohani Ahmad, 38, serta anak-anaknya yang membantu menjalankan perniagaan pada 22 Januari lalu.

“Dia mengambil telur yang dijual membaling ke arah saya selain menghambur kata-kata kesat. Saya cuba bertanya masalah dengannya sedangkan saya tidak pernah mengganggunya. Dia juga mengugut untuk mengapa-apakan anak saya.

“Selang 10 minit kemudian, kami didatangi seorang lelaki yang membawa besi dan menghayun ke arah saya dengan alasan saya mengganggu anak saudaranya.

“Saya tidak tahu apa punca mereka mengamuk sehingga laporan polis terpaksa dibuat di Balai Polis Pekan Baru kerana bimbang dengan tindakan agresif mereka yang mungkin menjejaskan keselamatan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Namun Mohd Nor Azman terkilan kerana tiada tindakan susulan dibuat oleh pihak berkenaan selepas kejadian itu.

“Lebih teruk lagi, perniagaan kami diganggu oleh pihak berkuasa yang datang membuat serbuan sebanyak dua kali dalam satu hari dengan alasan meletakkan barang sehingga mengganggu laluan pejalan kaki.

“Lebih pelik, peniaga lain yang turut membuat kesalahan sama tidak dikenakan apa-apa tindakan malah dibiarkan pula,” katanya.

Mohd Nor Azman berkata, tidak habis menggunakan kuasa, ada segelintir masyarakat yang jelas ingin melingkupkan perniagaannya dengan menggunakan ‘cara halus’ beberapa kali.

“Ia terbukti apabila terdapat taburan beras kunyit dan lada hitam serta tanah kubur di hadapan kedai sebelum memulakan perniagaan. Lebih tergamak lagi apabila mereka meletakkan tahi kucing di tempat letak barang jualan.

“Kami hanya menjalankan perniagaan bagi menyara keluarga setelah sekian lama berusaha keluar dari kemiskinan. Kami bersyukur dengan bantuan dari Datuk Bandar, Datuk Roshidi Hashim yang memberi nafas baru kepada keluarga kami,” katanya.

Sinar Harian

UTM tawar program kedoktoran

16 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi antara lima universiti di dunia yang menawarkan program Kedoktoran Pendidikan Kejuruteraan setanding dengan universiti terkemuka luar negara.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTM, Profesor Dr Rose Alinda Alias berkata, UTM adalah satu-satunya universiti di Asia yang menawarkan program seumpama itu.

Menurutnya, program pengajian itu menjadi permintaan dan tarikan kepada golongan pensyarah kejuruteraan di universiti, kolej, politeknik dan kolej matrikulasi.

“Kita menjadi satu-satunya universiti yang menawarkan program Kedoktoran Pendidikan Kejuruteraan di Asia selain Universiti Purdue, Virginia Tech, Utah di Amerika Syarikat dan Universiti Aalborg di Denmark.

“Program ini bermula pada 2007 khusus untuk pensyarah kita memandangkan sebelum ini tiada yang fokus pada bidang pendidikan kejuruteraan,” katanya Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman antara Universiti Aalborg dengan UTM, di sini, semalam.

Rose Alinda berkata, Pusat Pendidikan Kejuruteraan di bawah Pengajian Siswazah UTM yang mengendalikan program kedoktoran itu mengorak langkah lebih jauh dengan memeterai memorandum persefahaman dengan Universiti Aalborg.

Menurutnya, perjanjian berkenaan menjadi asas kepada kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk program kerjasama kedoktoran, penyelidikan secara kolaborasi, penyeliaan bersama, penerbitan bersama dan pertukaran pelajar kedoktoran antara institusi.

“Memorandum persefahaman itu telah ditandatangani oleh Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ir Dr Zaini Ujang dan rakan sejawatnya, Profesor Finn Kjaersdam pada 22 Ogos tahun lepas di Denmark.

“Bagaimanapun pertukaran dokumen perjanjian baru dilakukan pada hari ini (semalam) antara saya yang mewakili UTM dengan Profesor Kejuruteraan Pendidikan, Dr Anette Kolmos yang mewakili Universiti Aalborg.

“Kita mengalu-alukan pensyarah dan guru-guru mengikuti bidang pendidikan kejuruteraan ini agar terus berkembang untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju di dunia,” katanya.

Sinar Harian

Sambutan Hari Kekasih

16 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

1. Memadu kasih antara dua insan lelaki dan perempuan adalah antara nikmat anugerah Allah swt kepada ummat manusia. Malah kasih dan cinta yang berputik lalu berbunga dan berbuah inilah menjadikan bumi ini meriah dengan penghuninya. Namun Islam tidak menetapkan hari-hari tertentu untuk meraikannya.

2. Adam dan Hawa pernah memadu kasih. Sunnah mereka berdualah menjadi fitrah ummah yang tidak mungkin boleh dipadam. Lantas Islam dibawa datang dari tuhan yang sama dengan tuhan yang telah mencipta manusia lalu menyatukannya dengan kasih dan cinta, malah tuhan yang sama jua telah menyusun kehidupan ini dengan penuh sistematik agar cinta tidak bernoda dan kasih tidak menjadi tragedi.

3. Islam mensyariatkan institusi perkahwinan untuk meluruskan kasih dan cinta. Justeru itu, Islam mengizinkan lelaki dan perempuan saling membina perasaan, memupuk rasa kasih serta memekarkan bunga cinta antara mereka selama mana mereka tidak membiarkan syaitan dan iblis menjadi perantara yang menjerumuskan hubungan mereka ke lembah maksiat dan mungkar.

4. Anak-anak muda muslim dan muslimah boleh meraikan kekasih hati mereka terutama mereka yang telah berada diambang perkahwinan, samaada sempena hari kekasih ataupun pada hari lebaran yang lain selama mana mereka memelihara adab dan akhlak Islam. Antaranya :

a] pastikan tidak berdua-duaan, sebaliknya ditemani mahram
b] tidak mendedahkan aurat apatah lagi berpakaian seksi
c] tidak melakukan perbuatan yang dilarang agama

5. Mereka mungkin perlu bertemu pada saat-saat tertentu dengan memelihara adab dan akhlak yang telah saya nyatakan tadi, bagi mereka saling mengenali dan menyelami isi hati mereka sebagaimana mereka perlu membincangkan rancangan masa depan dan persiapan mereka menghadapi gerbang perkahwinan.

6. Namun anak-anak muda muslim perlu elakkan budaya asing dan syiar agama lain dibawa masuk mewarnai corak dan gaya kehidupan mereka. Lantaran Islam sudah lengkap dengan tatacara dan gaya hidup yang indah dan mendamaikan. Islam tidak pernah menghalang kemahuan dan keperluan manusia tetapi Islam memurnikan kemahuan dan mengurus keperluan mereka agar tidak terhindar dari redha Allah swt Tuhan yang mencipta mereka.

7. Meraikan kekasih hati tidak terhad kepada anak-anak muda yang belum berumahtangga, bahkan terlebih wajar ianya diraikan oleh pasangan yang sudah berumahtangga, samaada yang baru dibina ataupun yang sudah lama. Keraian tersebut boleh menyuburkan rasa kasih dan cinta yang sekian lama bersemi. Hubungan suami isteri bertambah intim dan keluarga kian erat. Terutama seorang pejuang, terlebih aula ia memiliki rumahtangga yang mendamaikan agar aksi di medan juang lebih berkesan.

8. Saya mengesyorkan, sempena hari kekasih ataupun apa jua nama hari lebaran yang membawa maksud serupa, diraikan dengan hadiah dan ziarah. Jika melibatkan pasangan yang belum diijab kabul, pastikan 3 adab dan akhlak yang telah saya tegaskan tadi laksanakan.

9. Tidak susahkan? hanya perlu ditemani mahram seperti adik beradik ataupun ibubapa serta berpakaian menutup aurat. Ianya untuk keselamatan anda juga. Ingat, kita hidup di zaman yang sangat terdedah kepada kemungkinan maruah kita dicalar dan diragut dengan begitu mudah dan rakus jika kita tidak mengambil langkah berhati-hati.

10. Saya ucapkan selamat meraikan kekasih hati anda dengan akhlak Islami. Semoga rumahtangga anda, samaada yang bakal dibina atau yang telah lama dibina akan senantiasa dirahmati dan diberkati Allah swt.

Nota: sempena sambutan Maulidur Risaalah, saya juga mengharapkan semua khasnya anak-anak muda muslim/ah meletakkan rasa kasih dan cintanya kepada Junjungan Besar Nabi kita Muhammad saw. mengatasi cinta dan kasih kita kepada manusia yang lain.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Harakah Daily

Tanggung bil RM4,000

16 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU- Seorang suri rumah terkejut dan kesal apabila menerima panggilan telefon supaya dia menyelesaikan hutang bil telefon hampir RM4,000, sedangkan talian berkenaan tidak pernah digunakannya.

Suri rumah berkenaan, Zainah Ismail, 34 berkata, lebih membebankan fikirannya, syarikat berkenaan memberitahu jika enggan menjelaskan hutang itu, dia perlu hadir ke mahkamah untuk perbicaraan.

Dua hari kemudian, dia diminta hadir ke syarikat telekomunikasi tersebut untuk melihat tunggakan hutang berkenaan.

“Setelah menyatakan saya tidak pernah mendaftar dan menggunakan dua talian yang didakwa digunakan oleh saya, pihak syarikat berkenaan meminta supaya laporan polis dibuat.

“Bagi menafikan hal berkenaan, saya juga sudah membuat surat sumpah di pejabat peguam,” dakwanya semasa ditemui di kediamannya di Kedai Melor, di sini.

Zainah yang berasal dari Johor berkata, setelah ke syarikat tersebut, pihaknya mengenakan bil talian tetap (pasca bayar) sebanyak RM3,391.90 ke atas nombor talian pertama dan pada talian nombor kedua sebanyak RM482 yang didakwa digunakan sejak 2001.

Menurutnya, dia langsung tidak mengetahui mengenai talian telefon menggunakan bil dan hanya tahu menggunakan prepaid tambah nilai (prabayar) sahaja.

“Saya percaya nama atau kad pengenalan saya sudah disalahgunakan oleh pihak tertentu dan saya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Kota Bharu hari ini (semalam),” katanya.

Katanya, dia kini membersihkan namanya dan berharap pihak syarikat telekomunikasi membuat semakan yang lebih teliti bagi mengelak nama yang tidak berkenaan terjebak dalam masalah terbabit.

“Masalah ini memang merunsingkan saya dan saya harap orang ramai berhati-hati terutama dalam penggunaan kad pengenalan. Setahu saya, saya tidak pernah memberikan kad pengenalan kepada sesiapa,” katanya.

Sinar Harian

Kebolehan Noraini anugerah luar biasa

16 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

BESUT - Keluarga pelajar Noraini Ismail, 17, yang tiba-tiba boleh bertutur bahasa Korea, Mandarin dan Jepun setelah terlibat dalam kemalangan baru-baru ini, meng­anggapnya sebagai anugerah. Ibu Noraini, Mansena Daud, 48, berkata, pada mulanya dia dan keluarga yang lain bimbang dengan keadaan Noraini tetapi bila difikirkan adalah satu kelebihan luar biasa.

“Tetapi anak saya mampu bertuturnya dan difahami orang yang menguasai bahasa-bahasa itu.

“Ia kami anggap anugerah daripada ALLAH,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, keadaan anaknya kini masih seperti sebelumnya yang boleh bercakap dalam bahasa Mandarin dan Korea tetapi sejak semalam Noraini lebih banyak bertu­tur bahasa Melayu dengan pelat Cina.

“Sejak dua hari lalu saya sengaja kejutkan dia ketika dia tidur pada sebelah pagi supaya tidak bercakap dalam bahasa-bahasa itu dan nampaknya usaha itu sedikit berkesan. Dia kurang bertutur bahasa Mandarin atau Korea,” katanya.

Suri rumah itu berkata, anaknya sebelum ini berkelakuan agak kasar seperti lelaki, bersifat lemah lembut dan lebih menghormati orang dewasa selepas kemalangan itu.

“Dia kini lebih berminat meminum air soya dan tidak lagi menggemari budu atau mengenali petai seperti yang disukainya sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Noraini berkata, dia telah pergi ke HUSM, Kubang Kerian semalam bersama ibunya bagi mendapatkan rawatan lanjutan dan telah bertemu dengan Dr Azwani Che Yusof dari Klinik Psikiatri (Bahagian Pertuturan).

Sinar Harian

Misteri empat kereta terbakar

16 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SUBANG JAYA -“Jiran ketuk rumah berkali-kali memaklumkan kedai runcit yang diusahakan saya di tingkat bawah pangsapuri Seri Nipah, Subang Mas di sini terbakar.

Namun sebaik tiba di bawah saya terkedu melihat kereta Proton Iswara milik saya sebenarnya yang terbakar,” kata Mohd Nazim Nasaruddin, 28, salah seorang daripada empat pemilik kereta yang musnah terbakar, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, Mohd Nazim berkata, sebaik diberitahu oleh jirannya mengenai kejadian, dia bergegas meluru ke tingkat bawah pangsapuri.

“Sampai sahaja di tingkat bawah, saya lihat kereta jenis Mini Cooper yang diletakkan betul-betul di depan kedai runcit diusahakan sudah musnah terbakar.

“Bimbang api merebak ke kereta saya yang diletakkan bersebelahan, saya kemudian mengambil keputusan mengalihkan kereta ke tempat lain tetapi perbuatan itu ditegah penduduk lain,” katanya ia berikutan kedengaran bunyi letupan dari kereta yang musnah terbakar.

Mohd Nazim berkata, dia cuba memadamkan api yang mula merebak ke keretanya dan dua kereta lain menggunakan pakaian yang terdapat di dalam kereta.

“Apabila merasakan keadaan mulai selamat, saya terus mengalihkan kereta ke tempat lebih selamat.

“Kejadian menyebabkan saya kerugian ribuan ribu ringgit, namun bersyukur ia tidak merebak hingga ke kedai runcit diusahakan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 3 pagi itu disedari oleh salah seorang peniaga kedai makan berhampiran.

Katanya, pekerja restoran itu memaklumkan terlihat kepulan asap keluar dari sebuah kereta menyebabkan dia bingkas mendapatkan bantuan dan berusaha memadamkan api.

Tambahnya, saksi memaklumkan kebakaran bermula dari bahagian enjin kereta jenis Mini Cooper sebelum merebak ke tiga lagi kereta bersebelahan.

Punca kebakaran dipercayai daripada litar pintas yang berlaku di bahagian enjin kereta itu.

“Empat kereta yang musnah terbakar termasuk kereta jenis Proton Iswara, Mini Cooper, Toyota Corolla, dan Perodua Kelisa. Kerugian dianggarkan melebihi RM200,000.

“Siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur khianat dan setakat ini ia diklasifikasikan sebagai kes bencana,” katanya.

Sinar Harian

PSC kaji umur 20 tahun layak daftar pengundi

16 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemungkinan akan diminta agar menerima pendaftaran pemilih baru sebaik sahaja rakyat Malaysia mencapai umur 20 tahun berbanding had kelayakan semasa 21 tahun.

Sinar Harian Online difahamkan ia antara syor yang akan diperhalusi dalam perbincangan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berhubung penambahbaikan proses pilihan raya membabitkan SPR, hari ini.

Bagaimanapun, di bawah syor baru ini, kelayakan semasa yang membolehkan seseorang itu mengundi ketika pilihan raya - sama ada pilihan raya kecil atau umum - iaitu 21 tahun akan kekal.

Salah seorang ahli PSC, Dr Hatta Ramli mengesahkan ia antara perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat PSC kali ini.

"Ya, ia antara perkara yang kami sedang kaji. Ia akan dibincangkan (dengan pelbagai pihak). Tetapi saya tidak tahu bila ia akan dibawa untuk dibincangkan. Kena tunggu mesyuarat (esok)," kata beliau kepada Sinar Harian Online.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya difahamkan PSC dijangka akan mempertimbangkan perkara itu bagi membolehkan pendaftaran awal untuk menjadi pengundi yang sah.

Langkah itu jika diterima, kata beliau, akan membolehkan seseorang itu mengundi sebaik sahaja mencecah umur 21 tahun.

"Saya fikir ini langkah yang baik kerana kita boleh daftar awal dan terus mengundi apabila capai umur 21 tahun," kata beliau sambil menambah, perkara itu akan memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pilihan Raya.

Kini, kelayakan umur mengundi bagi seseorang warganegara Malaysia adalah apabila dia mencapai umur 21 tahun. Ini berdasarkan pada Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan seseorang warganegara berumur 21 tahun ke atas, menetap di mana-mana bahagian pilihan raya dan tidak hilang kelayakan sebagai pemilih, layak untuk mendaftar sebagai pemilih.

Difahamkan PSC akan membawa syor-syor yang lebih besar dan menyeluruh kali ini selepas 10 cadangan, yang disenaraikan dalam laporan awal, telah dibentang dan diterima oleh Parlimen awal Disember lalu.

PSC dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr Maximus Ongkili. Beliau dijadual akan mengadakan sidang media petang ini selepas mesyuarat susulan mereka yang akan bermula pagi ini.

Jawatankuasa itu telah mengadakan enam sesi pendengaran awam di seluruh negara untuk mendapatkan pandangan pelbagai pihak sejak tahun lalu.

Sepuluh cadangan yang dikemukakan itu ialah mengenai penggunaan dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum ke-13; pengundian awal, pengundi tidak hadir luar negara, pengundi luar kawasan dan penukaran kawasan pendaftaran.

Cadangan turut menyentuh mengenai pembersihan daftar pemilih, pameran rang daftar pemilih tambahan, ketelusan proses mengundi, penambahbaikan proses pencalonan dan pengukuhan SPR.

Sinar Harian

Husnuzon

16 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

"Memang lumrah kehidupan manusia zaman sekarang. Entah apa yang menyebabkan tabiat yang sedemikian rupa semakin bercambah hari kehari. Mengumpat, dengki, hasut menghasut, fitnah dan berburuk sangka memang mainan harian mereka. Berbanding orang yang beriman dan tahu hukum hakam agama. Mereka menanam sifat ihsan yang menjadi landasan kehidupan harian. Nak mengumpat tahu dosa pahala, nak berburuk sangka kepada orang lain takut datang ke diri sendiri kalau sangkaan itu tak tepat bahkan boleh menjadi fitnah.

Baik tak baik seseorang itu adalah lebih mulia jika kita sangka baik sahaja. Ada masa bersangka baik itu juga dakwah. Berburuk sangka pula membunuh. Mana tidaknya jika sesetengah golongan yang suka berubat dengan bomoh yang memang jauh tersasar dengan cara perubatan islam mesti jiran tetangga dituduhnya. Paling tidak adik beradik sendiri menjadi mangsa.

Sungguh hebat perubatan ini sedangkan perkara ghaib itu bukan mudah hendak diperkatakan jika tidak diterima secara laduni kata orang tasawuf atau secara ilham kata ahli akademik. Kemanakah keyakinan kita kepada Allah tentang kekuasaanNya. Manusia berburuk sangka tanpa tidak tahu kesan buruknya itu.

Balasan dari Allah SWT memang dasyat tetapi seolah-olah kita redha dan berani hendak mencuba walhal sakit gigi di waktu malam pun kita sudah tidak sanggup untuk menunggu esok pagi semata-mata hendak berjumpa Doktor gigi. Inikan pula balasan dari Allah SWT. Manusia memang tidak jemu-jemu berburuk sangka tetapi mudah jemu untuk membuat amalan kebaikan sedangkan Allah tiada istilah jemu untuk memberi balasan pahala kepada hambaNya.

Bukan sekadar berburuk sangka sesame manusia.. Kepada Allah SWT juga dilarang sama sekali. Setiap ujian yang diterima oleh manusia bersangka baiklah. Sabar, redha dan syukur paling tinggi di sisi Allah SWT. Begitulah sifat manusia.. kalau hendak berjumpa pembesar sebulan sudah perkemaskan diri kerana sangkaan baik kepada pembesar agar menerima habuan tertentu tetapi berjumpa Allah SWT ketika solat baju pun tak pakai. Bagaimanakah kita hendak mendapat habuan dari Alah SWT?.

Paling tidak pun nikmat khusyuk lebih berharga dari mendapat habuan wang ringgit. Kerana berburuk sangkalah pasangan suami isteri boleh berpecah sedangkan ketika itu istilah sabar pun sudah tidak dikenali. Sedikit masalah besar pula ceritanya. Kata pepatah, “Sikit-sikit lama jadi bukit”. Tetapi jika maksiat dan kezaliman sudah benar-benar dihadapan adakah perlu anda bersangka baik?. Semestinya pelaku pula berkata anda yang baik jika tiada cegahan dari kita sendiri.

Ingatlah bahawa sesuatu jawatan atau harta yang melimpah ruah itu sebenarnya sementara belaka. Yang perlu ada pada kita ialah sentiasa bermohon kepada Allah agar yang diterima ini adalah Rahmat belaka kerana takut yang datang bukan rahmah Allah tetapi istidraj yang hendak menjatuhkan kita di atas kesombongan kita. Wallahu a'lam
"

tranungkiter/-