09 Februari 2012

Capello letak jawatan sebagai pengurus England

16 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

FABIO Capello telah meletakkan jawatan sebagai pengurus pasukan England selepas menyuarat bersama pengerusi FA, David Bernstein dan setiausaha agung FA, Alex Horne di Stadium Wembley, berkuatkuasa serta-merta hari ini.

Mesyuarat selama satu jam tersebut berbincang tentang perlucutan tugas John Terry selaku ketua pasukan England dan kenyataan Capello di stesen televisyen Itali yang mencabar keputusan FA itu.

Bernstein bagaimanapun menegaskan Capello bersikap profesional dalam mesyuarat itu dan selama beliau menjadi pengurus pasukan England.

"Kami terima perletakan jawatan beliau dan setuju ini adalah keputusan terbaik. Pihak kami ingin berterima kasih atas segala jasa beliau bersama pasukan England," katanya.

Capello sebelum ini bertegas bahawa hukuman dikenakan kepada Terry tidak adil kerana dia belum dibicarakan tentang kes berbaur perkauman terhadap pemain QPR, Anton Ferdinand.

Perbicaraan kes itu akan bermula pada 9 Julai depan, iaitu sebaik sahaja kejohanan EURO 2012 berakhir.

Menurut sumber dari ESPNsoccernet, pengurus Tottenham Hotspurs, Harry Redknapp telah disenaraikan sebagai pengganti Capello oleh pihak FA.

Bekas pengurus pasukan England, Sven-Goran Eriksson percaya bahawa Redknapp adalah pengganti yang sesuai.

"Dia orang England, dia sudah tahu cara permainan mereka. Dia juga cemerlang bersama Spurs dan pasukan sebelum ini," katanya kepada BBC.

Sinar Harian

Tiada ulasan: