09 Februari 2012

Orang Asli lapor SPRM paip dimusnah

16 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

TEMERLOH, 9 Feb: Penduduk daripada tujuh perkampungan Orang Asli di Bera, semalam tampil membuat laporan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di sini bagi meminta siasatan kejadian memusnahkan saluran paip air akibat perbalahan antara kontraktor dan subkontraktor projek berkenaan.

Mereka mendakwa, akibat kemusnahan tersebut menyebabkan penduduk yang terdiri daripada 240 keluarga Orang Asli Semelai di kampung-kampung Kuala Serting, Lubok Perah, Lengot, Patir, Lubok Tambangan, Pasal dan Bukit Ngeri terputus bekalan air bersih yang diperolehi mereka sebelum ini.

Jurucakap kumpulan tersebut Bob Manolan berkata, kejadian merosakkan paip air oleh subkontraktor yang tidak berpuas hati kerana mendakwa tidak menerima bayaran daripada kontraktor utama itu, berlaku antara 6 hingga 12 Januari lepas.

“Pada hari tersebut subkontraktor telah menggunakan jentolak membongkar saluran paip yang telah ditanam lalu dipecah dan dimusnahkan.

“Bayangkan, bertahun-tahun kerja memasukkan bekalan air tapi bila dah siap dimusnahkan pula. Kesian orang kampung, menunggu bekalan air bersih berpuluh tahun bila dah dapat cuma bertahan empat hari sahaja,” katanya.

Tambah Bob, projek membina pam air dan saluran paip daripada sumber galian bawah tanah untuk perkampungan Orang Asli tersebut dianugerahkan kepada syarikat Rossington Consolidated Sdn Bhd (RCSB) pada 27 Julai 2009 melibatkan perkampungan Orang Asli seluruh Pahang dengan jumlah peruntukan sebanyak RM113.8 juta.

Projek tersebut menerima peruntukan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KPLBW).

Dalam Laporan Ketua Audit Negara yang terbaru turut menyebut tentang kelemahan syarikat RCSB ini untuk menyiapkan projek bekalan air luar bandar.

Sementara itu Menteri KPLBW Datuk Shafie Apdal dalam kenyataan medianya disiarkan dalam Tv3 pada 6 Februari lepas, berkata kementeriannya telah membuat pembayaran penuh kepada RCSB.

Jelas Bob, sebelum itu pihak RCSB telah menafikan mereka tidak membuat bayaran kepada subkontraktor seperti yang disiarkan dalam Tv9 pada 31 Januari dan akhbar New Srraits Times (NSTP).

“Persoalannya sekarang kenapakah subkontraktor mendakwa mereka tidak dibayar lalu memusnahkan paip-paip air yang telah dipasang sekali gus menganiaya penduduk?

“Sebab itu kita mahu SPRM siasat di mana tirisnya kerana peruntukan ini melibatkan wang negara dan kementerian yang terlibat tidak berlepas tangan dan tanggungjawab mereka sepatutnya memantau projek dan syarikat yang dilantik.

“Sekarang penduduk kampung yang dahagakan kemajuan dan keceriaan untuk menikmati air yang bersih tidak kesampaian disebabkan perbalahan antara kontraktor hanya kerana ketiadaan pemantauan daripada kementerian,” katanya.

Tambahnya, laporan telah dibuat di balai polis Bera dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) minggu lalu walaupun dilarang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kemayan.

Sementara itu Exco PAS Pusat Mazlan Aliman yang turut mengiringi penduduk, menganggap perbuatan memecah dan memusnahkan paip air sebagai harta awam adalah khianat dan pecah amanah.

“Bagi saya yang paling utama dipersalahkan ialah Kementerian Luar Bandar kerana tidak bertanggungjawab sehingga berjuta-juta wang rakyat dibazirkan begitu saja dan inilah akibatnya apabila projek diagihkan kepada kroni.

“Saya diberitahu untuk baiki kerosakan di Kuala Serting saja perlukan wang sebanyak RM2.1 juta. Jadi berapa banyak lagi wang yang perlu dihabiskan hanya kerana kelemahan kerajaan?


“Yang pelik lagi, pihak berkuasa negeri seperti JBA dan Jakoa berkata pihak mereka tidak mengetahui tentang projek tersebut. Jadi siapa yang nak bertanggungjawab?” soalnya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: