09 Februari 2012

Selangor lancar Kempen Anti Zina 11 Feb

16 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 9 Feb: Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mengambil inisiatif untuk melancarkan gerakan pencegahan zina sempena Hari Kekasih.


Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr Halimah Ali berkata, gerakan itu akan menumpukan kawasan-kawasan yang selalunya menjadi tumpuan anak-anak muda memadu asmara seperti pusat membeli-belah, kawasan tasik dan dataran di sini.

"Kita akan adakan ekspedisi dakwah di tempat-tempat yang menjadi tumpuan pasangan muda-mudi.

"Pada malam itu juga penguatkuasa Jais, pihak polis serta penguatkuasa PBT akan melakukan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan-kawasan tersebut," katanya di Bangunan SUK, di sini semalam.

Menurutnya, kempen yang telah memasuki fasa keenam itu bukan sahaja melibatkan kepimpinan peringkat negeri dan daerah tetapi menyeluruh sehingga ke peringkat akar umbi.

"Untuk mengatasi masalah secara menyeluruh tentulah pemimpin kawasan masing-masing seperti jawatankuasa masjid dan surau perlu terlibat membantu menjayakan gerakan ini,” katanya.

Dr Halimah yang juga Adun Selat Klang menambah, mereka bukan sahaja paling berupaya melakukan follow-up, malah juga follow-through secara berkesan.

Katanya, sepanjang lebih kurang dua tahun penganjuran kempen di bawah kelolaan Generasi Idaman Selangor (GEMS), kempen itu dilihat berjaya menarik pelbagai pihak bekerjasama mendidik masyarakat mengatasi gejala sosial khususnya zina.

"Mereka ini makin bersemangat, proaktif, berani dan positif kerana mereka merasakan bahawa mereka juga telah memberikan impak yang besar bagi masyarakat.

"Dengan usaha mempromosikan kempen Anti Zina, sekurang-kurangnya mereka menyedarkan orang ramai tentang bahaya zina, dan saya yakin selama ini ramai pihak yang tidak peduli untuk atasinya," ujarnya.

Menurutnya, program yang diatur bukan sekadar mencegah perbuatan terlarang seperti zina, tetapi juga untuk mendekati dan mendidik golongan muda dengan menyediakan mereka alternatif lain bagi bersantai dan berhibur dengan cara yang betul dan tidak dimurkai Allah SWT.

"Contohnya seperti Sambutan Tahun Baru pada malam 1 Januari lalu, kita lihat hampir pukul 12 tengah malam, barisan pimpinan bersama artis-artis, bersama Ustaz Azhar Idrus, Zizan menyanyikan Asma Ul-Husna dan ditutup dengan doa oleh Ustaz Azhar.

"Inilah gambaran yang kita mahu beri kepada golongan muda bahawa kita faham yang kamu mahu iaitu seni, muzik, hiburan lawak dan sebagainya. Namun semua ini harus dilakukan dengan beradab dan tidak melebihi batas," ujarnya.

Majlis Pelancaran Kempen Anti Zina Keenam akan diadakan pada 11 Februari ini di Unisel Bistari Jaya, jam 3 petang.

Harakah Daily

Tiada ulasan: