09 Februari 2012

PAS kutuk keganasan Syria bunuh rakyatnya

16 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 9 Feb: PAS melalui Lajnah Hubungan Luar dan Hal Ehwal Antarabangsa mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan pemimpin dan pihak berkuasa Syria dalam menangani kebangkitan rakyat di negara itu.

Tindakan tidak sepatutnya oleh pihak keselamatan negara itu yang sepatutnya menjadi benteng kepada rakyat amat dikesali sehingga mengakibatkan beribu kematian di kalangan orang awam.

Setiausaha Lajnah Hubungan Luar dan Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat, Mohd Faiz Mohd Nawi berkata, pihaknya amat prihatin dengan penderitaan dan ketidakadilan yang dialami oleh rakyat Syria dalam usaha mereka menuntut hak dan kebebasan di negara mereka.

Menurutnya, Lajnah Hubungan Luar dan Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat menggesa institusi serantau dan antarabangsa Islam seperti Liga Arab dan Pertubuhan Persidangan Islam agar segera menjalankan peranan mereka sebagai orang tengah yang boleh mendamaikan kemelut yang semakin bertambah serius itu.

"Lajnah Hubungan Luar dan Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat menolak semua bentuk campur tangan asing di Syria," katanya ketika menghubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, pihaknya turut mengingatkan kepada semua pihak yang terbabit dalam kemelut itu agar dapat menghentikan segera tindakan keganasan bagi memulihkan kembali keamanan di bumi yang berkat itu.

"Kami meminta pihak pemerintah di negara itu agar mengembalikan semula hak rakyat melalui proses demokrasi yang lebih telus," tegasya.

Tindakan tersebut, tambahnya, perlu dilakukan segera oleh pemerintah Syria sejajar dengan hasrat rakyat negara itu yang bangkit menentang segala macam penindasan sejak sekian lama.

Bagi menyatakan sokongan terhadap rakyat Syria, pihaknya menyeru orang ramai hadir ke perhimpunan aman yang akan diadakan di hadapan Kedutaan Syria, Jalan U Thant, di sini, esok, 10 Februari, selepas solat Jumaat.

Untuk mengikuti perhimpunan aman itu, katanya, orang ramai boleh menunaikan solat Jumaat di Masjid Tabung Haji atau masjid yang berdekatan sebelum berarak ke Kedutaan Syria.

Semalam Harakahdaily telah melaporkan mengenai himpunan aman yang akan diadakan itu yang akan dipimpin oleh pemimpin PAS, pimpinan NGO dan aktivis-aktivis masyarakat yang prihatin.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan antara lain dilaporkan berkata, himpunan tersebut diadakan bagi membantah dan mengecam pembunuhan ke atas rakyat Syria oleh rejim Bashar al-Assad yang semakin meningkat.

Semalam, enam anggota Majlis Keselamatan Negara Teluk (GCC) telah bertindak mengusir diplomat Syria dan memanggil pulang duta masing-masing yang berada di Damsyik ekoran kematian orang awam yang terus meningkat di negara itu.

GCC dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan turut mengutuk pembunuhan yang dilakukan terhadap rakyat Syria yang tidak bersenjata sejak demonstrasi menentang Presiden Bashar al-Assad tercetus 11 bulan yang lalu.

“Saya menyeru kepada seluruh ahli-ahli PAS, NGO-NGO dan seluruh rakyat prihatin agar keluar beramai-ramai untuk berhimpun menyatakan solidariti kita bersama rakyat Syria yang tertindas,” kata Nasrudin kepada Harakahdaily.

Harakah Daily

Tiada ulasan: