09 Februari 2012

PSC kaji umur 20 tahun layak daftar pengundi

16 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemungkinan akan diminta agar menerima pendaftaran pemilih baru sebaik sahaja rakyat Malaysia mencapai umur 20 tahun berbanding had kelayakan semasa 21 tahun.

Sinar Harian Online difahamkan ia antara syor yang akan diperhalusi dalam perbincangan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berhubung penambahbaikan proses pilihan raya membabitkan SPR, hari ini.

Bagaimanapun, di bawah syor baru ini, kelayakan semasa yang membolehkan seseorang itu mengundi ketika pilihan raya - sama ada pilihan raya kecil atau umum - iaitu 21 tahun akan kekal.

Salah seorang ahli PSC, Dr Hatta Ramli mengesahkan ia antara perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat PSC kali ini.

"Ya, ia antara perkara yang kami sedang kaji. Ia akan dibincangkan (dengan pelbagai pihak). Tetapi saya tidak tahu bila ia akan dibawa untuk dibincangkan. Kena tunggu mesyuarat (esok)," kata beliau kepada Sinar Harian Online.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya difahamkan PSC dijangka akan mempertimbangkan perkara itu bagi membolehkan pendaftaran awal untuk menjadi pengundi yang sah.

Langkah itu jika diterima, kata beliau, akan membolehkan seseorang itu mengundi sebaik sahaja mencecah umur 21 tahun.

"Saya fikir ini langkah yang baik kerana kita boleh daftar awal dan terus mengundi apabila capai umur 21 tahun," kata beliau sambil menambah, perkara itu akan memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pilihan Raya.

Kini, kelayakan umur mengundi bagi seseorang warganegara Malaysia adalah apabila dia mencapai umur 21 tahun. Ini berdasarkan pada Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan seseorang warganegara berumur 21 tahun ke atas, menetap di mana-mana bahagian pilihan raya dan tidak hilang kelayakan sebagai pemilih, layak untuk mendaftar sebagai pemilih.

Difahamkan PSC akan membawa syor-syor yang lebih besar dan menyeluruh kali ini selepas 10 cadangan, yang disenaraikan dalam laporan awal, telah dibentang dan diterima oleh Parlimen awal Disember lalu.

PSC dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr Maximus Ongkili. Beliau dijadual akan mengadakan sidang media petang ini selepas mesyuarat susulan mereka yang akan bermula pagi ini.

Jawatankuasa itu telah mengadakan enam sesi pendengaran awam di seluruh negara untuk mendapatkan pandangan pelbagai pihak sejak tahun lalu.

Sepuluh cadangan yang dikemukakan itu ialah mengenai penggunaan dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum ke-13; pengundian awal, pengundi tidak hadir luar negara, pengundi luar kawasan dan penukaran kawasan pendaftaran.

Cadangan turut menyentuh mengenai pembersihan daftar pemilih, pameran rang daftar pemilih tambahan, ketelusan proses mengundi, penambahbaikan proses pencalonan dan pengukuhan SPR.

Sinar Harian

Tiada ulasan: