09 Februari 2012

NASA cari firma reka teksi angkasa lepas

16 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

WASHINGTON: Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) mencari firma untuk merekabentuk dan membina teksi angkasa lepas bagi mengangkut angkasawan dari dan ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), lapor Reuters kelmarin.

Program itu menyasarkan untuk meneruskan rancangan membangunkan kapal angkasa lepas komersial penumpang.

Dengan Amerika menutup program kapal angkasa lepas tahun lalu, Russia ketika ini satu-satunya negara yang menerbangkan krew ke stesen angkasa lepas. Kos pengangkutan ke stesen itu bernilai AS$60 juta (RM179.97 juta) untuk seorang.

Pengurus program komersial NASA, Ed Mango berkata selepas NASA memilih syarikat yang mengambil bahagian, ia akan melabur antara AS$300 juta hingga AS$500 juta (RM900.21 juta hingga RM1.5 bilion) bagi setiap firma di bawah perjanjian perkongsian 20 bulan.

“Ia dijangka selesai mereka bentuk bersepadu kenderaan angkasa lepas menjelang Mei 2014 sekali gus bersedia untuk melakukan ujian penerbangan menjelang pertengahan dekad.

“Sejak tiga tahun lalu, NASA membelanjakan sejumlah AS$365.5 juta (RM1.096 bilion) dalam syarikat persendirian termasuk AS$130.9 juta (RM392.87 juta) dalam Boeing, AS$125.6 juta (RM376.96 juta) dalamSierra Nevada Corp dan AS$75 juta (RM225.11 juta) dalam Teknologi Penerokaan Angkasa Lepas atau Space X),” katanya.– Agensi

Tiada ulasan: