09 Mac 2012

Polis didakwa tendang motor remaja diarah pindah

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU – Seorang anggota polis yang didakwa menendang motosikal seorang remaja berusia 15 tahun di Taman Tangkak Jaya, Tangkak, Sabtu lalu telah diambil tindakan supaya berpindah daripada negeri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, setakat ini, pihaknya telah mengambil keterangan 13 saksi, bagaimanapun keterangan mangsa masih belum diambil berikutan masih dirawat di Hospital Tangkak.

“Kita telah mengambil keterangan kesemua saksi, manakala kertas siasatan telah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya, semalam (kelmarin). Polis memberi jaminan siasatan dijalankan secara adil dan telus,” katanya.

Menurutnya, polis akan mendapatkan rakaman percakapan remaja terbabit manakala motosikal yang dinaiki mangsa termasuk motosikal yang dinaiki oleh anggota polis berkenaan akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

“Saya ingin tegaskan, siasatan dijalankan secara adil dan telus... masyarakat tidak perlu risau kerana pihak polis tidak akan menyembunyikan sebarang fakta. Satu pasukan khas diwujudkan daripada IbuPejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bagi menyiasat kes berkenaan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Sagu Hati Perkhidmatan Tabung Amanah Warisan Polis Kepada 16 bekas polis di zaman darurat, di pekarangan IPK Johor.

Beliau berkata, bekas polis berkenaan menerima sagu hati sebanyak RM3,000 sebagai mengenang jasa pejuang terdahulu yang menjadi barisan hadapan pertahanan negara.

Sinar Harian

Kaku Pak Belang depan mata

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KAMPUNG BARU PASIR PENAMBANG - “Saya kaku dan hanya mampu tergamam sebaik melihat kelibat harimau dengan jarak tidak jauh daripada tempat berdiri,” kata seorang penduduk, Hasbullah Abd Rahman, 45, menceritakan detik cemas selepas terserempak Pak Belang itu di ladang kelapa sawit, di sini, kelmarin.

Hasbullah berkata, ketika kejadian, dia hanya mampu memikirkan nasib kemungkinan akan menjadi mangsa haiwan berkenaan.

Bagaimanapun menurutnya, sebaik mendengar ngauman kuat, dia bagaikan baru tersedar dan menggagahkan diri berlari sekuat hati ke laluan utama, manakala tujuh lagi rakan yang turut berada dalam ladang berkenaan lari lintang pukang.

“Tanpa memandang ke belakang, kami lari seakan tidak cukup tanah, apabila sampai di jalan besar, saya terus mencari rakan yang lain,” katanya yang tidak menyangka khabar angin harimau berkeliaran di kawasan itu sebelum ini, adalah benar.

Sebelum kejadian, Hasbullah bersama tujuh lagi penduduk kampung yang tidak berpuas hati dengan khabar angin terbabit mengambil keputusan untuk meninjau kawasan ladang kelapa sawit kira-kira jam 4.30 petang.

Namun, mereka sama sekali tidak menyangka terserempak dengan haiwan berkenaan.

Hasbullah berkata, belum sempat meninjau kawasan ladang itu dengan lebih jauh, enam rakan lain terlebih dahulu menyedari kelibat harimau itu tanpa memaklumkan kepadanya yang berada lebih jauh di hadapan.

“Apabila lihat dengan mata sendiri, saya kini gementar dan bimbang jika ada penduduk lain yang melalui kawasan itu, terutama mereka yang menghantar anak ke sekolah berhampiran,” katanya yang masih trauma dengan insiden itu.

Seorang penduduk, Nordin Ahmad, 23, mengakui pernah terserempak dengan haiwan liar terbabit kira-kira tiga minggu lalu ketika menunggang motosikal ke pekan bersama dua rakannya kira-kira jam 10 malam.

“Kami menggunakan jalan alternatif yang ada untuk ke Kampung Permatang dan apabila sampai di simpang tiga, saya terkejut apabila terlihat ada seekor harimau yang ketika itu sedang berbaring di tepi kiri jalan.

“Saya beritahu rakan lain mengenai penemuan itu, namun mereka tidak percaya,” katanya.

Ketua Kampung Permatang, Mohd Za’aba Muda ketika ditemui berkata, pihaknya sudah memaklumkan insiden itu kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

“Kebanyakan anjing liar dan babi hutan tidak kelihatan di kawasan ladang kelapa sawit itu lagi, kemungkinan ia menjadi makanan haiwan buas itu,” katanya yang berharap perkara ini dapat diselesaikan segera.

Difahamkan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah membuat tinjauan, bagaimanapun belum dapat mengenal pasti sama ada wujud harimau seperti yang didakwa penduduk kampung berkenaan.

Sinar Harian

Remaja maut motor dirempuh kereta

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR - Tindakan seorang remaja lelaki melintas pembahagi jalan membawa padah apabila motosikalnya dirempuh sebuah kereta, di Jalan Anak Bukit, malam kelmarin.

Mukhsinin Mustafa, 17, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.

Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam Kota Setar, Deputi Superintendan Mohd Sham Abdullah berkata, kejadian berlaku sekitar jam 10.30 malam dan mangsa dipercayai cuba melintas pembahagi jalan sebagai jalan pintas ke laluan bertentangan.

“Ketika mangsa menunggang motosikalnya melintasi pembahagi jalan berkenaan, dia dirempuh kereta sebaik sahaja berada di laluan bersebelahan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, disebabkan rempuhan kuat, mangsa mengalami cedera parah dan maut di tempat kejadian.

“Pemandu kereta yang berusia 22 tahun tidak cedera dalam kejadian itu,” katanya.

Jenazah mangsa dibawa pulang ke rumahnya pada jam 1.30 pagi.

Sinar Harian

Bergaya dengan kad palsu

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SUBANG JAYA – Mem­punyai 14 rekod lampau bersabit kes dadah dan pelbagai jenayah lain nyata tidak menginsafkan seorang lelaki berusia lanjut apabila bergiat aktif menggunakan kad kredit palsu pula bagi membuat pembelian barang.

Bagaimanapun, nasib lelaki itu dan seorang lagi rakannya yang berlagak dengan kad kredit palsu ketika membeli-belah berakhir malang apabila kegiatannya berjaya dihidu peniaga sebuah pusat beli-belah di Bandar Sunway di sini, yang kemudian bertindak menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Su­bang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, bertindak atas aduan peniaga yang meragui ketulenan kad kredit dimiliki suspek, pihaknya berjaya memberkas dua lelaki masing-masing berusia 23 dan 56 tahun di dalam pusat beli-belah berkenaan.

Menurutnya, ketika ditahan kedua-dua suspek sudah membuat dua transaksi pembelian masing-masing ber­harga RM307 dan RM253.60.

“Siasatan dan pemeriksaan menyeluruh mendapati, suspek mempunyai lima kad kredit palsu yang tidak mempunyai cip keselamatan.

“Polis percaya suspek membeli kad kredit daripada satu sindiket yang mendalangi kegiatan pemalsuan kad terbabit,” katanya pihaknya percaya suspek sudah membuat beberapa transaksi pembelian menggunakan kad sama sebelum ini.

Beliau berkata, kedua-duanya ditahan reman sehingga esok untuk siasatan menye­luruh dan pihaknya masih mem­buru sindiket terbabit,” katanya kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Kesek­saan.

Sementara itu, dalam kes berasingan Yahaya berkata, pihaknya menemui sepucuk pistol jenis Revolver Colt 38 Special dan lima peluru hidup di sebuah unit pangsapuri di Taman Subang Mas, di sini.

Katanya, senjata tidak mempunyai lesen berkenaan ditemui tersembunyi di sebalik kusyen kerusi kecil di salah sebuah bilik dihuni dua beradik lelaki.

“Bertindak atas maklumat, polis menyerbu sebuah rumah dan menahan seorang lelaki berusia 33 tahun kira-kira jam 1.45 pagi. Lelaki terbabit didapati positif dadah jenis methamphetamine dalam saringan ujian air kencing dilakukan.

“Enam hari selepas itu, kita menahan seorang lagi lelaki iaitu abang suspek pertama di Shah Alam. Suspek berusia 37 tahun bekerja sebagai pengawal peribadi mempunyai 11 kes lampau termasuk kes curi kenderaan, samun, pecah rumah dan dadah,” katanya sebuah kereta jenis Wira yang dilaporkan hilang di Tanjung Kling, Melaka dirampas daripada suspek.

Beliau berkata, polis percaya pistol ditemui digunakan untuk melakukan jenayah samun. Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971.

Sinar Harian

Maut jatuh dari balkoni jiran

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PUCHONG – Cuba mengelak diri daripada polis dengan memanjat balkoni rumah jiran mengundang padah kepada seorang warga Afrika apabila dia maut selepas terjatuh dari tingkat 12 sebuah pangsapuri di sini, petang semalam.

Difahamkan, sepasukan anggota polis menyerbu satu unit rumah Kondominium Vista Milinium di Puchong Perdana di sini, kira-kira jam 2.30 petang selepas menerima maklumat berhubung kes dadah.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, selepas pintu jeriji dipecahkan, terdengar bunyi bising dan kelihatan beberapa orang berebut-rebut keluar ke balkoni dan bilik tidur pangsapuri itu.

Menurutnya, secara tiba-tiba salah seorang daripada lelaki berkenaan dikatakan memanjat balkoni dan cuba melompat ke rumah bersebelahan untuk melarikan diri.

“Tanpa memikirkan tindakannya boleh membawa maut, lelaki terbabit cuba turun dari tembok batu ke tingkat bawah dengan berpaut pada sebatang saluran paip plastik.

“Tidak tahan beban berat badan lelaki itu, saluran plastik berkenaan pecah menyebabkan dia terjatuh,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati, terdapat lapan warga Afrika termasuk seorang wanita di dalam pangsapuri berkenaan.

“Masing-masing tiga dari Liberia, dua dari Guinea, dua dari Nigeria dan seorang dari Ghana. Enam daripada mereka didapati positif dadah jenis ganja manakala dua lagi positif dadah jenis heroin dalam ujian saringan air kencing dijalankan.

“Turut ditemui seberat 1.47 gram ganja,” katanya lelaki yang ditemui maut dikenali sebagai Eddy berusia lingkungan 20-an dari Liberia.

Mayat lelaki berkenaan dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Sinar Harian

Tragedi jalan licin

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

BATU PAHAT – Hujan lebat tidak berhenti di daerah ini pagi semalam mengundang padah kepada tiga bersaudara apabila mereka maut selepas terlibat dalam kemalangan ngeri di Kilometer 110, Koris, Senggarang.

Dalam kemalangan yang berlaku jam 1 pagi itu, Kancil dipandu Saiful Bakhri Abdullah, 30, yang turut dinaiki Ramley Napi, 43 dan Lasnang Paduk, 56, remuk teruk setelah bertembung sebuah Honda Civic.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, selain keadaan gelap, difahamkan ketika kejadian keadaan jalan agak licin kerana hujan lebat lalu ia menyukarkan kenderaan menekan brek.

“Kancil tersebut dalam perjalanan dari Batu Pahat setelah salah seorang mangsa, Lasnang selesai melakukan rawatan tradisional di sana. Disebabkan jalan licin, anak saudara Lasnang, Saiful

Bakhri gagal mengawal kenderaan yang mereka naiki sejurus tiba di selekoh Koris, dari arah Johor Bahru menghala ke Melaka lalu bertembung dengan sebuah Honda Civic dipandu seorang wanita berusia 40-an.

“Kesan pertembungan itu, Kancil berkenaan berpusing beberapa kali sebelum menghentam sebatang pokok di bahagian bahu jalan," katanya kepada Sinar Harian.

Din berkata, kesan hentaman itu menyebabkan Kancil berkenaan melekat pada pokok manakala kereta dan pemandu Honda Civic terbabit tercampak kira-kira 10 meter dari lokasi kejadian.

Menurutnya, ketika pihak polis sampai di lokasi, Saiful Bakhri sudah meninggal dunia berikutan kecederaan parah di beberapa bahagian tubuhnya.

Dua lagi mangsa, Ramley yang merupakan sepupu kepada Saiful Bakhri dan Lasnang turut menghembuskan nafas terakhir di lokasi kejadian.

“Pemandu wanita berkenaan yang juga cedera parah dikejarkan ke Hospital Batu Pahat,” katanya.

Sementara itu, kesemua mangsa tersepit berjaya dikeluarkan pasukan Bomba dan Penyelamat Jalan Mohd Khalid dan Rengit.

Sinar Harian dimaklumkan, pasukan bomba mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan mangsa.

Din berkata, berdasarkan siasatan awal, semua mangsa yang maut berasal dari Rengit, Benut dan Senggarang.

Sinar Harian cuba mendapatkan reaksi keluarga mangsa di Kampung Sungai Kluang Laut, Rengit, bagaimanapun mereka enggan ditemubual kerana masih bersedih dengan tragedi itu.

Sinar Harian

Gadai nyawa sedut bisa ular

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUANTAN - Di sebalik kejadian yang menimpa seorang pemain ular yang dipatuk ular tedung selar, Mohd Sabron Ismail, 23 di Zoo Mini Teruntum di sini, Khamis lalu, seorang pemuda India yang juga rakan sekerja, K.Mohan, 28 boleh dianggap penyelamat awal nyawa Sabron.

Biarpun berlainan agama dan bangsa, Mohan sanggup mempertaruhkan nyawanya dengan menyedut bisa di tangan Sabron pada hari kejadian tersebut.

Malah akibat tindakan nekad Mohan, dia juga terpaksa ditahan di wad di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini selama tiga hari sebelum dibenarkan keluar dan kini rutinnya, melawat rakannya setiap hari.

Menceritakan detik-detik mencemaskan itu, Mohan yang sudah berkawan baik dengan Sabron sejak mula bertugas dua tahun lalu memberitahu, ketika itu dia sedang memberikan makanan pada rusa manakala Sabron sedang sibuk memandikan ular yang dikenali nama “Hana” itu.

“Situasi ketika itu saya sedang membelakanginya namun tiba-tiba senyap, saya jerit panggil nama dia dua kali tapi tak disahut, hanya panggilan ketiga dibalasnya.

“Sabron meminta pertolongan saya dan memberitahu dia dipatuk ular dan sepantas kilat saya lari ke arahnya serta menepis ular itu yang masih melekat di tangan kirinya,” katanya.

Mohan berkata, selepas itu, hanya satu difikirkannya, menyedut bisa itu untuk menyelamatkan rakannya dan memberitahu ketika itu Sabron masih sedar sebelum di hantar ke hospital.

“Ketika itu apa yang terlintas, saya yakin Sabron selamat dan 10 minit kemudian dia dihantar ke hospital.

“Sabron adalah rakan yang baik, ceria, suka buat lawak dan peramah, malah sejak dia dirawat, ketiadaannya di tempat kerja memang terasa,” katanya Sabron juga gemar menyanyi lagu-lagu Inggeris.

Mohan yang juga rapat keluarga pemain ular itu turut memberitahu, setiap kali mempunyai masalah selepas meluahkan masalah kepada Sabron, pasti emosinya lebih tenang.

“Seperti rakan dan ahli keluarganya yang lain, saya bersembahyang dan mendoakan keselamatannya, semoga dia sihat kembali.

“Saya tekad nak bawa dia jalan-jalan, ceriakan hatinya kalau dia sudah sihat nanti,” katanya.

Sementara itu ayah Sabron, Kamarudin Abdullah, 56 memberitahu, dia reda jika tangan kiri anaknya terpaksa dipotong.

“Doktor ada memberitahu, memberikan tempoh 24 jam sebelum pembedahan susulan untuk membuang daging yang mati dan tempoh 48 jam sama ada tangannya dipotong atau tidak,” katanya.

Dalam pada itu, dia yang juga seorang tukang kayu menghargai kunjungan dan keprihatinan mereka yang mendoakan keselamatan nyawa anaknya yang kini masih bergantung pada bantuan alat pernafasan di Unit Rawatan Kecemasan (ICU) di HTAA di sini.

Katanya, dia menerima panggilan dari seluruh negara dan juga negara jiran sejak kisah anaknya dilaporkan media.

Sinar Harian

‘Pancing’ duit masjid RM5

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Kedengaran lucu, tapi ia sebenarnya menjengkelkan. Seorang penganggur yang mungkin terdesak, sanggup ‘memancing’ menggunakan lidi, semata-mata kerana ingin mencuri wang tabung masjid sebanyak RM5.

Bagaimanapun, tindakan ‘kreatif’ tertuduh iaitu Draman Hamzah, 39, yang berasal dari Kebor Besar, di sini, akhirnya dibalas dengan hukuman penjara selama sehari.

Majistret Noradila Ab Latif ketika membaca keputusannya turut memerintahkan agar tertuduh membayar denda sebanyak RM500 atau dipenjara selama dua minggu jika gagal membayar denda.

Sebelum itu, tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan ke atasnya dibacakan. Pendakwaan dijalankan oleh Inspektor V Ravi.

Berdasarkan fakta kes, pengadu, Sayed Shahidi Sayed Mohamad, 38, pada 6 Mac lalu, kira-kira jam 12.10 tengah hari, yang ketika itu berada di rumah seorang rakan di Kampung Tok Ku Chabang 3, menyedari seorang lelaki tidak dikenali duduk berdekatan tabung masjid di situ, dipercayai hendak mencuri wang dalam tabung.

Pengadu bersama rakannya kemudian ke pintu utama masjid, dan mendapati ada lelaki sedang ‘mengail’ dengan menggunakan lidi dalam tabung tersebut.

Dia bersama rakannya kemudian menangkap suspek dan ketika ditangkap, terdapat RM4 dalam genggaman tangan kiri dan RM1 masih lagi berada pada lidi pengail.

Pengadu kemudiannya merampas RM5 daripada suspek dan tidak lama kemudian, polis tiba. Dia kemudiannya menyerahkan wang RM5 itu dan suspek kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sinar Harian

Penunggang digilis treler

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Seorang warga emas maut dalam keadaan mengerikan apabila otaknya berkecai akibat digilis sebuah treler dalam kemalangan di bulatan jam besar di sini, pagi semalam.

Mangsa, pengawal keselamatan, Adnan Awang, 59, meninggal dunia di tempat kejadian selepas kepalanya pecah selain kecederaan parah di bahagian dada dan lengan.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal dari arah Mahkamah Kota Bharu membelok ke kiri menuju ke Jalan Sultan Ibrahim sebelum bergesel dengan treler dari arah bulatan.

Mangsa kemudian terjatuh ke bawah perut lori sebelum kepalanya digilis.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Sementara itu, keadaan di sekitar lokasi kemalangan tambah pilu apabila anak bongsu mangsa, Nor Adilah Adnan, 23, bersama suami, Mohd Fauzi Zaki, 31, tiba kira-kira sejam 30 minit kemudian.

Nor Adilah berkata, dia mendapat tahu berita itu daripada panggilan telefon orang awam yang menghubunginya menggunakan telefon bimbit mangsa.

“Dia (mangsa) baru balik daripada mengambil ubat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) kerana penyakit gout yang dihidapi dan sedang dalam perjalanan menuju ke tempat kerjanya di Pasir Mas,” katanya.

Seorang kakitangan Muzium Kelantan, Mohd Tarmizi, 48, berkata, dia yang menyedari kejadian bergegas untuk memberi bantuan, bagaimanapun, mendapati mangsa sudah meninggal dunia.

“Saya lompat dari pagar untuk cuba berikan bantuan dengan segera. Tetapi tidak mampu buat apa-apa akibat kepalanya digilis dan maut di situ. Cuma dapat menutup mayatnya menggunakan surat khabar sebelum polis tiba,” katanya. Mayat dihantar ke HRPZ II untuk bedah siasat.

Sinar Harian

Siling pejabat tanah dan galian Perlis runtuh

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Siling Pejabat Tanah dan Galian Perlis di Jalan Penjara di Kangar runtuh malam tadi berikutan hujan lebat.

Kejadian itu menyebabkan sebahagian besar ruang pejabat digenangi air dan peralatan pejabat termasuk komputer dan dokumen tertentu mengalami kerosakan.

Pengerusi Jawatankuasa Tanah dan Perhutanan Perlis, Datuk Mat Rawi Kassim berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 7.30 malam ini ketika hujan lebat.

Runtuhan dipercayai berpunca daripada masalah saluran paip di bahagian bumbung tersumbat menyebabkan air melimpah dan memasuki ruang siling pejabat sehingga mengakibatkan siling itu runtuh.

Mat Rawi ketika ditemui pemberita lewat semalam berkata kejadian itu disedari oleh pengawal keselamatan yang bertugas di situ dan telah memaklumkannya kepada kakitangan pejabat itu.

Katanya beliau telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Perlis mengambil tindakan segera membaiki segala kerosakan dan mengkaji tahap keselamatan bangunan yang berusia hampir tiga puluh tahun itu.

Kerja-kerja awal seperti pembersihan lantai bangunan dijalankan serta merta termasuk kawalan sistem elektrik sementara kerja-kerja pembaikan akan dilaksanakan oleh pihak kontraktor.

"Akibat kejadian itu, sistem pendaftaran berkomputer seperti hak milik, pindah milik dan gadaian serta sistem pungutan hasil tanah diberhentikan seketika atas nasihat Bahagian Letrik JKR untuk mengelak berlaku litar pintas," kata Mat Rawi yang diiringi Pengarah tanah dan Galian Perlis, Hisan Abu Bakar.

Bagaimanapun, katanya kejadian itu hanya menyebabkan gangguan tugas pada Unit Pendaftaran kerana rangkaian komputer di situ telah terjejas manakala bahagian-bahagian lain akan beroperasi seperti biasa.

- Bernama

Liga Eropah: Laluan MU, Manchester City sukar

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

LONDON - Manchester United (MU) dan Manchester City kini berhadapan dengan kesukaran untuk mara ke peringkat suku akhir kejohanan Liga Europa selepas masing-masing tewas dalam perlawanan awal pagi tadi (waktu Malaysia).

MU mengalami kekalahan 3-2 kepada pasukan Athletic Bilbao.

Manchester City, pendahulu Liga Perdana Inggeris, pula tewas 0-1 di tangan Sporting Lisbon.

Kedua-dua pasukan England perlu bekerja keras dalam pusingan kedua kelak.

Perlawanan kali ini adalah sesuatu yang mengecewakan apabila Manchester City tidak dapat menggunakan peluang-peluang yang diperoleh untuk membawa gol.

Gol Sporting Lisbon dijaringkan oleh Alexandre Xandao pada minit ke-51.

Walaupun kalah, Machester City masih dilihat sebagai pasukan pilihan untuk mara ke suku akhir apabila ia menerima kunjungan Sporting Lisbon di Manchester pada 15 Mac ini.

Di pihak MU pula, meskipun Wayne Rooney menjaringkan gol awal dan meletakkan pasukannya di depan, tetapi ia tidak membantu kepada kemenangan mutlak. Gol kedua MU juga dijaringkan oleh Rooney.

Gol pasukan lawan disumbangkan oleh Fernando Llorente pada minit ke-44, Oscar De Marcos (72) dan Iker Muniain (90).

Selepas kekecewaan kerana terkeluar saingan Liga Juara-juara, MU mengharapkan sangat kemenangan dalam kejohanan Eropah yang kedua penting dan menarik ini.

Sinar Harian

Polis cedera dilibas parang

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SERDANG – Seorang kons­tabel polis cedera tangan kanan akibat terkena libasan parang ketika memberkas ketua kumpulan penjenayah, dikenali Geng LC, dalam kejadian di parkir sebuah pasar raya di Puchong, Sabtu lalu.

Dalam kejadian pada jam 5.30 petang itu, Ahmad Azraeen Junaidi, 25, terlihat seorang lelaki terjatuh daripada motosikal Yamaha 135 LC selepas cuba meragut beg ta­ngan wanita, berusia 33 tahun.

Ahmad Azraeen berkata, lelaki itu kemudiannya me­ngacukan parang ke arah mangsa serta orang awam.

“Saya bersama seorang lagi anggota cuba memberkas suspek yang bertindak agresif. Ketika itu berlaku pergelutan.

“Ketika saya cuba menangkap­ dan menggarinya­, suspek sempat melibas parang sehingga mengenai tapak tangan kanan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, selepas suspek berusia 27 tahun itu diberkas, anggota polis itu dibawa ke klinik berhampiran untuk ra­wa­tan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abdul Razak Elias berkata, susulan itu, polis menyerbu sebuah rumah di Batu 13, Puchong dan memberkas seorang lelaki dan merampas beberapa barangan disyaki barang curi dan senjata berbahaya.

Abdul Razak berkata, polis kemudiannya menyerbu sebuah rumah di Kampung Kenanga dan menahan empat lagi lelaki.

“Kita merampas empat motosikal Yamaha 135 LC dan Honda Wave yang dilaporkan dicuri, antaranya di USJ 8, Bukit Puchong dan Senawang, Negeri Sembilan.

“Semua suspek, berusia antara 26 dan 53 tahun, adalah ahli kumpulan Geng LC yang aktif sejak enam bulan lalu. Mereka melakukan kegiatan samun dan curi motosikal jenis Yamaha 135 LC,” katanya.

Katanya, semakan mendapati dua daripada suspek memiliki rekod jenayah lampau bersabit dadah dan curi.

Beliau berkata, dengan penahanan semua suspek, polis percaya dapat menyelesaikan lapan kes ragut dan 13 kes curi motosikal di daerah ini.

Sinar Harian

Cubaan bunuh akibat cemburu

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SERDANG - Cemburu melihat bekas teman wanita mempunyai kekasih baru, seorang pereka grafik cuba membunuh seorang lelaki dengan melepaskan enam das tembakan ke arahnya dalam kejadian di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, Selasa lalu.

Dalam kejadian itu, mangsa, berumur 28 tahun dan bekerja di se­buah pusat beli-belah di sini datang ke rumah teman wanitanya, jam 11.45 malam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abdul Razak Elias berkata, setibanya di situ, datang kereta Honda Civic dinaiki tiga lelaki.

“Seorang suspek berusia 25 tahun keluar dari kereta dan melepaskan enam das tembakan dari arah tingkap penumpang hadapan.

“Mangsa yang berada dalam kereta bagaimanapun bernasib baik kerana sempat tunduk. Dia tidak me­ngalami kecederaan,” katanya di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Serdang, semalam.

Beliau berkata, seorang lagi suspek mengambil pemukul besbol untuk memukul mangsa.

“Bagaimanapun, tindakan suspek itu dapat dihalang dan mereka diberkas setelah polis menyedari kejadian tersebut,” katanya.

Katanya, polis merampas sepucuk pistol angin, satu kelopak peluru, satu beg plastik lut sinar mengan­dungi 12 ball bearing, pemukul besbol dan beberapa telefon bimbit.

“Siasatan mendapati suspek membeli senjata itu daripada seorang rakan sejak enam bulan lalu. Senjata itu diperoleh dari Thailand,” katanya.

Abdul Razak berkata, suspek mengenali bekas teman wanitanya sejak berumur 13 tahun dan bercinta sebelum perhubungan mereka ber­akhir dua bulan lalu.

“Pada awalnya, suspek menerima keputusan tersebut, tetapi bertukar berang selepas mengetahui wanita itu bercinta dengan lelaki lain,” katanya.

Suspek ditahan reman sehingga Sabtu ini untuk siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Sinar Harian

Buang ibu di hotel bajet

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KESEORANGAN...Faridah yang ditinggalkan anaknya.

KUALA LUMPUR: Menitis air mata seorang ibu yang lumpuh apabila menyedari dirinya ditinggal terbiar oleh anak tunggalnya di sebuah hotel bajet di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru, di sini, sejak empat hari lalu.

Dia kini dijaga kakitangan hotel berkenaan yang membantunya menguruskan diri termasuk mandi dan mengganti lampin pakai buang selepas anaknya gagal dikesan.

Warga emas itu mulanya tinggal bersendirian di kampungnya di Johor, tetapi sejak sebulan lalu anaknya yang masih bujang membawanya ke ibu kota.

Faridah Maulud, 66, yang keseorangan ditemui pekerja hotel dalam keadaan meniarap di lantai ketika memeriksa bilik disewa anaknya selepas lelaki berusia 27 tahun itu gagal menjelaskan bayaran empat hari hingga menimbul tanda tanya kepada pengurusan hotel.

Ketika ditemui Harian Metro semalam, warga emas itu kelihatan lemah dan tidak bermaya serta berkali-kali memaklumkan dia ingin ke rumah kebajikan kerana tidak mahu menyusahkan staf hotel yang membantunya.

metro/-

Keputusan perlawanan Liga Eropah

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

BERIKUT keputusan tujuh perlawanan Liga Eropah.

- Atl Madrid (3) - (1) Besiktas
- Met'st Kharkiv (0) - (1) Olympiakos
- Twente (1) - (0) Schalke 04
- Sporting (1) - (0) Man City
- Alkmaar (2) - (0) Udinese
- Man Utd (2) - (3) Athletic Bilbao
- St'dard Liege (2) - (2) Hannover 96

Sinar Harian