11 Mac 2012

Terengganu, Kelantan, Kedah layak suku akhir Piala FA

18 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 11 Mac - Juara bertahan Terengganu, Kelantan dan Kedah merupakan antara lapan pasukan yang menempah tiket ke peringkat suku akhir Piala FA selepas menumpaskan lawan masing-masing, malam tadi.

Penyerang Terengganu Mohd Ashaari Shamsuddin muncul wira pasukan apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-49 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Juara dua kali pada 2000 dan 2011 itu bagaimanapun berhadapan laluan getir pada suku akhir selepas dijadualkan bertemu dengan pendatang baru, Lions XII yang mengalahkan NS Betaria, 2-0 di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Jiran mereka, Kelantan yang juga naib juara Piala FA turut layak setelah mencatatkan kemenangan tipis, 3-2 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Sultan Muhamad ke-IV, Kota Baharu.

Tiga gol skuad Kijang dijaringkan oleh Mohd Norfarhan Muhammad pada minit ke-30), Indra Putra Mahayuddin (minit ke-43) dan kapten pasukan, Mohd Badhri Mohd Radzi (minit ke-65).

Manakala dua gol Kuala Lumpur dijaringkan oleh Muhd Afiq Azmi pada minit ke-39 dan Fazuan Abdullah pada minit-minit akhir permainan.

Kelantan akan bertemu dengan SPA FC pada perlawanan suku akhir selepas pasukan kelab dari Lembah Klang itu mengalahkan kelab dari Kemboja Preach Khan Reach FC, 1-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil. Mengikuti jejak langkah dua pasukan dari Pantai Timur itu ialah Kedah yang turut mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas jiran mereka, Perlis di Stadium Darul Aman.

Tiga gol skuad Kenari dijaringkan oleh Mohd Khyril Muhymeen pada minit ketujuh dan 37) serta Amar Rohidan pada minit ke-24 manakala dua gol pasukan pelawat dihasilkan oleh Mohd Rizal Ghazali pada minit ke-21 dan pemain import dari Sierra Leon, Henry Lewis pada minit ke-66.

Skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan itu akan bertemu dengan pasukan kelab dari Terengganu, T-Team yang menumpaskan Pahang 3-2 di Stadium Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah semalam.

Sementara itu, hajat juara lima kali Piala FA, Selangor untuk melangkah ke peringkat suku akhir tidak kesampaian apabila mereka kalah 4-5 kepada Johor FC menerusi sepakan penalti selepas terikat 2-2 dalam masa penuh perlawanan.

Dua gol Selangor dijaringkan oleh Azidan Sarudin pada minit ke-30 dan Mohd Asrarudin Putra Omar pada minit ke-55 manakala dua gol Johor FC dihasilkan oleh Ahmad Fauzi Saari pada minit ke-58 dan penyerang import dari Brazil Arthur Henrique Bernhardt pada minit ke-64.

Peringkat suku akhir Piala FA yang menggunakan format timbal balik akan berlangsung pada 24 dan 27 Mac ini. — BERNAMA

Muslimat PAS pertikai dana PM lawat seluruh negara

18 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Dewan Muslimat PAS hari ini mempertikaikan wang dana yang digunakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi mengadakan lawatannya ke seluruh negara.

Timbalan Ketuanya, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, sebagai seorang perdana menteri, Najib sepatutnya dapat membezakan bila beliau turun sebagai seorang ketua negara dan sebagai ahli politik.

"Dia seorang perdana menteri, dia juga presiden Umno. Rakyat tak dapat bezakan dia pergi ke setiap negeri-negeri itu sebagai apa?" soalnya dalam satu sidang media hari ini.

"Sebagai perdana menteri, dia turun menggunakan perbelanjaan rakyat tetapi membuat kerja-kerja untuk parti," katanya yang mendakwa ianya satu penyelewengan dan menyalahgunakan kedudukan sebagai perdana menteri dan berkempen untuk Umno.

Selain itu, Mariah turut membidas tindakan Najib yang menurutnya dengan mudah membuat keputusan untuk membatalkan skim Saraan Baru Penjawat Awam (SBPA) dan menyifatkannya sebagai satu pembaziran.

Jelasnya, tindakan itu juga menunjukkan Najib tidak serius untuk mentadbir negara.

"Keputusan SBPA dimansuhkan begitu sahaja sedangkan sudah berapa banyak dana kerajaan digunakan untuk membuat perbincangan, mesyuarat dan perbentangan. Ini pembaziran," tambahnya

Sementara itu, dalam sidang media sama, Mariah juga berkata, Muslimat PAS mensasarkan 50 peratus calon dewan itu daripada golongan muda untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Menurut Mariah, beliau yakin bahawa sokongan daripada golongan muda adalah penting bagi menentukan kemenangan PAS.

"Tumpuan Muslimat ialah di kawasan yang ramai pengundi wanita kerana undi wanita adalah penting untuk tentu kemenangan selain daripada undi golongan muda.

"Bagaimanapun, kita akan bekerjasama dengan wanita DAP dan PKR bagi memastikan kemenangan pilihan raya akan datang," katanya

Menurut Mariah, pihaknya telah mengemukakan lebih 30 senarai nama calon kepada pimpinan tertinggi parti bagi memilih calon yang mampu memberi kemenangan kepada PAS.

Beliau berkata, pada masa sama, Muslimat tidak sesekali mengenepikan calon-calon lama yang berpotensi di samping memberi nama baru.

"(Calon) Yang lama kita masih akan kekalkan yang mana ada tempat-tempat tertentu pada pilihan raya dulu mereka bagus. Tetapi nama-nama baru dari golongan muda pun ada. Ia merangkumi semua kawasan. Luar bandar, dalam bandar. Semua ada.

"Muslimat telah 80 peratus bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum yang akan diumumkan pada bila-bila masa. Kami yakin, jika Muslimat di beri peluang, kita boleh dapat sokongan rakyat," katanya.

Malaysiakini/-

Rafizi minta PM kemuka bukti biayai anak bertunang

18 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -
Malaysiakini/-

Sambil menegaskan bahawa tidak timbul soal beliau memohon maaf, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli sebaliknya meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjawab lapan perkara dengan mengemukakan dokumen rasmi sebagai bukti perbelanjaan pertunangan anak perempuannya tidak dibayar oleh rakyat.

- Pertama, Najib perlu mengesahkan sama ada perbelanjaan yang tertera seperti dokumen Hotel Shangrila itu adalah perbelanjaan majlis pertunangan anak beliau;

- Kedua, Najib perlu mengesahkan sama ada dokumen Banquet Event Order (BEO) yang dikemukakan olehnya (Rafizi) adalah dokumen yang sah dan bukannya palsu;

Nooryana Najwa Najib and Daniyar Nazarbayev- Ketiga, Najib perlu mengarahkan Pejabat Perdana Menteri
mengemukakan kepada rakyat salinan Purchase Order (dokumen tempahan) yang dihantar kepada Hotel Shangrila untuk menentukan pihak manakah sebenarnya yang bertanggungjawab membuat tempahan tersebut;

- Keempat, Najib perlu mengarahkan Pejabat Perdana Menteri mengemukakan rekod perakaunan dari sistem perakaunan Kerajaan Malaysia yang merekodkan Purchase Order tersebut, bagi menentukan sama ada tempahan direkodkan sebagai tanggungan Kerajaan Malaysia;

- Kelima, Najib perlu mengarahkan Pejabat Perdana Menteri mengemukakan kepada rakyat salinan invois yang dihantar oleh Hotel Shangrila kerana ia boleh menjadi bukti bahawa ia dicaj kepada Perdana Menteri atas kapasiti peribadi beliau ataupun ditanggung oleh Kerajaan Malaysia;

- Keenam, Najib perlu mengarahkan Pejabat Perdana Menteri mengemukakan rekod perakauan dari sistem perakaunan Kerajaan Malaysia yang merekodkan invois tersebut, bagi menentukan sama ada bayaran akan dibuat oleh Kerajaan Malaysia;

- Ketujuh, Najib perlu mengarahkan Pejabat Perdana Menteri mengemukakan baucer bayaran yang dibuat kepada Hotel Shangrila untuk menentukan siapakah yang mula-mula sekali menyelesaikan tanggungan belanja majlis tersebut; dan

- Kelapan, Najib perlu mengemukakan bukti bayaran yang dibuat oleh beliau dan keluarga beliau untuk menanggung perbelanjaan tersebut; termasuklah salinan cek, penyata bank atau dokumen-dokumen lain dari akaun bank peribadi beliau.

"Sekiranya perdana menteri berjaya mengemukakan dokumen-dokumen tersebut dan membuktikan tidak pernah sekalipun caj tanggungan berjumlah hampir setengah juta itu direkodkan sebagai tanggungan Kerajaan Malaysia, barulah rakyat Malaysia boleh berpuas hati bahawa majlis mewah untuk pertunangan anak beliau itu tidak ditanggung rakyat Malaysia," tegas Rafizi dalam satu kenyataan.

Jika tidak, tambahnya, perdana menteri akan berdepan dengan persepsi rakyat bahawa beliau pun tidak ubah seperti menteri-menteri lain di dalam kabinetnya yang didakwanya, menggunakan wang rakyat dengan sewenang-wenangnya untuk bermewah bagi tujuan peribadi.
Menurut Rafizi, beliau menyambut baik kenyataan rasmi yang pantas dikeluarkan oleh PMO menafikan bahawa perbelanjaan majlis pertunangan anak Najib pada 17 Jun 2011 lalu dibiayai oleh wang rakyat melalui Pejabat Perdana Menteri, walaupun dokumen dari Hotel Shangrila yang mengendalikan majlis secara jelas menunjukkan semua urusan tempahan dan bayaran dibuat melalui PMO.

"Persoalan saya memohon maaf tidak timbul kerana kenyataan dua perenggan itu hanyalah satu penafian, tanpa ada sebarang bukti atau fakta yang boleh menafikan kesahihan dokumen atau tuduhan yang dibawa terhadap Perdana Menteri.

"Dalam suasana kepercayaan rakyat terhadap iltizam BN memerangi rasuah adalah sangat rendah, penafian semata-mata tidaklah mencukupi. Apatah lagi apabila dokumen yang dibawa menjadi bukti kukuh bahawa Pejabat Perdana Menteri mengendalikan urusan tempahan dan bayaran bagi majlis itu," tambahnya.

NONE

09 Mac 2012

Pelajar selatan Thai tahfiz di Malaysia

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Yayasan Yayasan Kebajikan dan Pendidikan Asia Tenggara (Seaweed) berjaya melahirkan lapan pelajar Diploma Tahfiz Al-Quran di Pusat Islam Darul Quran terdiri dari kalangan masyarakat wilayah bergolak selatan Thailand.

Pengerusinya, Tan Sri Wan Abu Bakar Wan Omar berkata, pelajar ini adalah antara yang terakhir bernaung dibawah mereka selepas melahirkan hampir 100 jururawat dan pelajar jurusan kemahiran yang menerima pendidikan formal di negara ini.

Katanya, sebagai pengerusi yayasan itu, beliau amat khuatir sekiranya pelajar ini gagal untuk meneruskan kehidupan sebaik mungkin di negara mereka sebaik pulang ke kampung halaman masing-masing.

"Kerajaan Thailand hendaklah memainkan peranan sebaik mungkin agar usaha meningkatkan modal insan dan pendidikan masyarakat setempat.

"Masyarakatnya mengharapkan kerajaan terus memberikan bantuan agar mereka dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi," katanya ketika menyampaikan sijil penghargaan kepada pelajar yang menamatkan pengajian selama tiga tahun.

Program berkenaan adalah kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia melibatkan pelajar berumur antara 20 hingga 25 tahun yang berasal daripada tiga wilayah utama, iaitu Narathiwat, Pattani dan Songkhla.

Wan Abu Bakar sebelum ini adalah Ketua Pengarah Task Force 2010 (Malaysia) yang menjadi koordinator usaha kedamaian di selatan Thailand.

Task Force 2010 (Malaysia) ditubuhkan pada 20 Oktober 2007 yang diberi mandat selama tiga tahun oleh Jabatan Perkhidmatan Awam mengendalikan usaha-usaha damai di negara gajah putih itu.

Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri itu akhirnya ditamatkan perkhidmatannya pada 1 Januari 2010.

Mengulas mengenai Yayasan Seaweed, Wan Abu Bakar berkata, mereka juga mengadakan kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan ke seluruh Asia Tenggara termasuk di Kemboja.

"Kita mengalu-alukan sumbangan korporat dan individu perseorangan dalam memastikan yayasan ini dapat memberikan bantuan kepada mereka yang benar-benar memerlukan," katanya.

Orang ramai boleh menghubungi Yayasan Seaweed di talian 03 21440607.

sinar harian/-

Jeti LKIM Tanjung Karang: “Satu Lagi Projek Gajah Putih Umno-BN”

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

TANJONG KARANG, 9 MAC: Gara-gara obses dengan projek pembangunan yang menjanjikan pulangan lumayan untuk parti, kroni dan diri, undang-undang tidak lagi menjadi persoalan bagi pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN).

Projek yang sepatutnya melalui prosedur dan kelulusan pihak tertentu sebelum kerja pembinaan dimulakan juga dipandang sebelah mata sekaligus menjadikan kemudahan yang dibina bakal menjadi satu lagi projek gajah putih BN.

Terbaru, projek pembinaan Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Bagan Pasir Penambang yang hampir 90 peratus siap juga tidak mendapat kelulusan mana-mana pihak termasuk kelulusan kerajaan negeri.

Menurut Penyelaras Pusat Khidmat Rakyat Dun Permatang, Mohd Yahya Mat Sahri hari ini, projek yang menelan kos lebih RM22 juta itu juga tidak memiliki pelan yang diluluskan oleh pihak Majlis Daerah.

“Sebelum sesuatu projek pembangunan dijalankan mestilah kemukakan Permohonan Kebenaran Merancang dari pihak kerajaan tempatan dan pihak berkaitan dengan mengemukakan Pelan Pendirian Bangunan dan Pelan Susunatur.

“Contohnya kelulusan Jabatan Alam sekitar, Jabatan Penilaian, Jabatan Kawalan Bangunan, Jabatan Pembangunan, Indah Water, TNB, Jabatan Mineral dan Geosains, Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Perancangan Pembangunan dan kesemuanya lebih kurang ada 19 pihak perlu meneliti sesuatu projek.

“Oleh kerana ia melibatkan pembinaan jeti, projek ini juga mesti dapatkan komen dan kelulusan dari jabatan maritim atau pun marin.

“Komen-komen dari jabatan-jabatan atau agensi yang saya sebutkan ini amat penting sebab ia melibatkan struktur bangunan itu sendiri supaya tidak timbul isu keselamatan atau bangunan runtuh apabila diduduki nanti.

“Jadi bila dah tak ada kelulusan pelan pembinaan, macamana pihak MDKS nak bagi sijil menduduki (CF) bila siap nanti sebab dah tentu mereka tahu tiada jaminan jeti itu selamat digunakan.

“Saya pasti Jeti itu nanti akan jadi satu lagi projek gajah putih BN sebab tak boleh dapat CF.

“Ini memang jelas, kalau tanya pada pihak majlis pun, mereka akan ‘confirm’ tiada kelulusan” ujar Yahya.

Sebagai indikasi tentang keraguan status projek itu, papan tanda di tapaknya tidak mempunyai nombor rujukan dan tarikh kelulusan seperti yang lazimnya terpapar pada mana-mana tapak pembinaan.

Juga meragukan, papan tanda itu tidak mencatatkan tarikh pembinaan projek tersebut.

Tindakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengeluarkan peruntukan RM22 juta terhadap projek yang tidak mendapat kelulusan RM22 juta juga menimbulkan pelbagai tanda tanya.

“Kenapa Menteri Pertanian, tergesa-gesa mengeluarkan peruntukan yang besar tanpa mahu berbincang dengan kerajaan negeri dan menunggu pemeriksaan pihak berkuasa tempatan untuk dapatkan kelulusan?

“Adakah semata-mata mahukan projek ini jalan supaya dapat habuan untuk kroni, parti dan diri sendiri sahaja, maklumlah sekarang dah dekat pilihan raya dah ni.

“Sekiranya projek ini beri manfaat kepada rakyat Selangor dan mematuhi undang-undang saya pasti pihak kerajaan negeri tentunya tidak akan menghalang,” katanya lagi.

Selain itu Yahya turut mempersoalkan infrastruktur yang belum dibina meskipun proses pembinaan bangunan tersebut telah mencapai lebih 80 peratus.

Menurut beliau lagi, keadaan ini berlaku disebabkan ketiadaan pelan perancangan yang diluluskan.

Yahya turut menggesa pihak Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM), Jabatan Audit Negara dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) segera campur tangan dalam isu yang melibatkan kepentingan awam ini.

sinar harian/-

Liga Eropah: Ferguson yakin masih ada peluang

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PENGURUS Manchester United (MU), Sir Alex Ferguson masih yakin bahawa kelab Liga Perdana Inggeris itu masih boleh menebus kembali kekalahan pahit 2-3 semasa menentang Athletic Bilbao pada perlawanan awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Pasukan Sepanyol itu kini mendahului tiga gol berbalas dua walaupun penyerang MU, Wayne Rooney menjaringkan gol di awal perlawanan pusingan pertama 16 pasukan terakhir Liga Eropah.

Menurut Ferguson, mereka sememangnya yakin bahawa MU akan menang perlawanan tersebut.

"Saya tersilap membuat andaian, Bilbao sebuah pasukan yang hebat dan ini merupakan satu perlawanan yang sukar untuk kelab ini," katanya lagi.

Gol pasukan lawan disumbangkan oleh Fernando Llorente Oscar De Marcos dan Iker Muniain.

Selain itu, beliau turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pengadil Jerman, Florian Meyer apabila mengambil kira gol penyerang Bilbao, De Marcos walaupun ia ofsaid.

Dalam pada itu, jurulatih Bilbao, Marcelo Bielsa menganggap kejayaan terbaru ini satu ‘pujian’ daripada pihak lawan kerana mampu menewaskan mereka dengan kelebihan satu gol.

Sinar Harian

Jamil Diberi Seminggu Perjelas Isu Zakat - PAS

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS, pada Jumaat, mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir menjawab segera persoalan berhubung dakwaan penyelewengan urus tadbir zakat oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Exco Dewan Pemuda Pas Malaysia, Kamaruzaman Mohamad berkata, Jamil Khir diberi masa seminggu untuk menjelaskan isu berkenaan.

Katanya, sekiranya beliau gagal berbuat demikian pihaknya akan membuat laporan terhadap pihak berkuasa.

“Kami beri tempoh seminggu, jika masih mendiamkan diri dan tidak beri jawapan yang memuaskan hati umat Islam, kami akan buat laporan polis atau kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat perkara ini”, tegasnya kepada mStar Online, Jumaat.

Kamaruzaman selaku Pengarah Pasukan Petugas Zakat Dewan Pemuda PAS berkata, desakan ini dibuat kerana Jamil Khir selaku pengerusi MAIWP dan Yayasan Taqwa enggan menjawab persoalan ditimbulkan Pemuda PAS berhubung isu kelulusan peruntukan wang zakat RM4 juta yang melebihi jumlah asal dipohon iaitu RM1 juta.

"Kita juga tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan beliau dalam siri pendedahan penyelewengan wang zakat terdahulu kerana 'terlalu umum'," jelasnya.

Kamaruzaman menjelaskan, surat untuk mengadakan pertemuan dengan Jamil Khir sendiri telah dihantar bagi mendapatkan penjelasan terperinci berhubung isu-isu zakat yang timbul tetapi gagal mencapai kesepakatan oleh kedua-dua pihak.

"Beliau sebagai orang yang bertanggungjawab terhadap dua pertubuhan ini dan kita minta beliau sendirilah yang jawab dan beri penjelasan.

"Kita minta penjelasan kenapa peruntukan yang diluluskan lebih dari yang dipohon? Ke mana pula wang RM4 juta itu dibelanjakan? Dan sila dedahkan segera audit dalaman Yayasan Taqwa segera”, tegas beliau.

Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan ini berkata, pihaknya mempunyai dua dokumen berkaitan transaksi wang zakat ke yayasan tersebut iaitu surat permohonan dan surat kelulusan yang telah didedahkan pada sidang media, Jumaat.

Dokumen tersebut menjelaskan berlakunya permohonan yang diluluskan oleh Jawatankuasa Baitulmal terhadap permohonan Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan melalui Pengurus Besar Yayasan Taqwa Ahmad Ayob Ibrahim dengan pertambahan kepada RM4 juta daripada RM1 juta yang dipohon.

“Pada kami, transaksi seperti ini mengandungi 'conflict of interest' dan perlanggaran kepada konsep urus tadbir yang baik.

"Orang yang sama luluskan...orang yang sama guna (duit)," katanya.

Selain itu, pihaknya turut mendesak agar Yayasan Taqwa ditutup dan fungsinya dikembalikan semula kepada Baitulmal yang berperanan selaku pengurus dan juga pengagih kepada wang zakat.

"Tidak perlu ada Yayasan Taqwa kerana sudah ada Baitulmal.

"Sampai RM2 juta diperlukan untuk biaya kos pengurusan Yayasan Taqwa ini. Kita andaikan kalau dipecahkan kepada aRM5 ribu untuk diagihkan, hampir 400 orang akan dapat manfaat dari jumlah RM2 juta ini," katanya.

mstar/-

SBPA: Mulut didahulukan, flip-flop diutamakan

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 9 Mac: Pembatalan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) menonjolkan sekali lagi kegagalan transformasi yang diwar-warkan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri dan akhirnya terpaksa berbalik kepada sistem lama.

Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan hari ini, isu SPBA diwujudkan secara gopoh-gapah sebagai reaksi segera PM kepada janji Pakatan Rakyat (PR) dalam Buku Jingga.

Bahkan, kata Tuan Ibrahim pemerhatian umum yang dilakukan terhadap banyak perkara yang dikatakan transformasi kerajaan hanyalah berkisar di sekitar Buku Jingga PR.

“Isu penyenaraian Felda pula mengambilkira janji PR untuk memastikan hak peneroka terpelihara di semua ladang Felda. Dan lainnya, hanyalah gambaran sebenar sikap menggelabah PM dalam menghadapi janji Buku Jingga,” tambah beliau.

Banyak ‘transformasi’ yang dilakukan kerajaan pimpinan Najib, tambah Pesuruhjaya PAS Pahang itu bukanlah penyelesaian kepada masalah sebenar yang dihadapi rakyat.

“Lihat sahaja apa yang berlaku terhadap penyenaraian Felda Global Ventures Holdings, sebuah syarikat yang tiada aset selain hutang diberi amanah untuk mengambil aset Felda Plantation, Koperasi Permodalan Felda dan lain sebagai modal penyenaraian. Kini ia berhadapan dengan pelbagai bantahan peneroka Felda dan kakitangan Felda yang tidak bersetuju,” bidas beliau.

Demikian juga isu kegagalan kerajaan mengawal harga barangan pengguna, katanya, di mana akhirnya kerajaan sekadar mampu mewujudkan kedai- kedai 1Malaysia yang disubsidikan duit berjuta ringgit untuk menjual barang pada harga yang diwar-warkan lebih rendah.

“Sedangkan tugas kerajaan bukan mewujudkan kedai murah. Bayangkan pekedai lain terpaksa bersaing dengan kedai kerajaan, dan ini sangat tidak adil bagi peniaga dan rakyat yang jauh dari kedai 1 Malaysia, yang terpaksa membeli dengan harga yang lebih mahal.

"Ini juga membuktikan kegagalan Najib dan kerajaan sekali lagi menggunakan cara yang tidak munasabah untuk mengawal harga barangan kepada pengguna,” kata beliau.

Isu SPBA, hujahnya adalah berkait-rapat dengan janji PR kepada kakitangan awam dan skim gaji minimum yang dijanjikan dalam belanjawan alternatif 2012 PR.

Dalam flip-flop terbaru Najib ini, katanya ia adalah jelas akibat daripada sikap gopoh-gapah pentadbiran Najib tanpa perancangan teliti, kajian mendalam dan sikap mengenepikan pandangan kesatuan sekerja dan badan berkaitan.

Oleh kerana sikap gopoh-gapah, katanya, akhirnya rakyat mendapati apa yang dicadang oleh PM berhadapan dengan pelbagai masalah sehingga terpaksa disemak, ditarik balik dan dibatalkan.

“Akhirnya, kerajaan berhadapan bantahan umum kakitangan sehingga terpaksa menarik balik, dan kembali kepada sistem lama. Inilah transformasi 1Malaysia Najib – 'Mulut didahulukan, Flip-Flop diutamakan,' kata beliau dengan nada sinis.

Harakah Daily

MAIWP: Mengapa mohon RM1 juta, dapat RM4 juta?

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 9 Mac: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) hari ini mendedahkan sejumlah RM4 juta wang Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) diberikan kepada Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan, berbanding RM1 juta yang dipohon yayasan tersebut.

Ketua DPPP Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad (gambar), mendedahkan pada 17 Sept 2010, pihak Yayasan Taqwa telah memohon peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta bagi menampung sebahagian kos operasi dan aktiviti yayasan terbabit.

"Permohonan sejumlah wang itu bagi menampung sebahagian kos operasi dan program yayasan tersebut dari bulan September sehingga Disember 2010, bagaimanapun pada 13 Okt 2010, Mesyuarat Jawatankuasa Baitulmal telah meluluskan sebanyak RM4 juta," dedah beliau ketika sidang media, di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, hari ini.

Kamaruzaman yang juga Pengerusi Task Force Zakat DPPP mempersoalkan mengapa wang yang diperuntukkan jumlahnya lebih besar berbanding yang dipohon yayasan tersebut.

"Kenapa yang dipohon RM1 juta, tetapi diberikan RM4 juta? Ke mana wang itu dibelanjakan? Kita mahu Yayasan Taqwa segera mendedahkan audit dalaman yayasan tersebut berhubung pendedahan ini," tegas beliau.

Tambah beliau, bagi menjaga kepentingan pembayar zakat dan kemaslahatan masyarakat, persoalan yang dibangkit DMPP ini perlu dijawab segera pihak terbabit iaitu Datuk Seri Jamil Khir Baharom sendiri.

Katanya, pihaknya tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis dan laporan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya pihak yang terlibat tidak memberikan penjelasan yang memuaskan.

"Kita memberi tempoh seminggu bermula hari ini untuk mereka jawab. Jika tidak, kita akan membuat laporan polis dan ke SPRM," tegas beliau yang mengakui mempunyai beberapa bukti lain mengenai penyelewengan MAIWP.

Dalam pada itu, Kamaruzzaman turut menuntut agar yayasan itu ditutup bagi memastikan tidak berlakunya pembaziran kos yang tinggi, dan dalam masa sama menyerap kakitangan yayasan tersebut ke MAIWP bagi menjamin kebajikan mereka.

"Pandangan kami, tidak perlu Yayasan Taqwa diwujudkan kerana peranannya sama dengan Baitulmal. Kenapa perlu ditubuhkan dua badan yang berbeza untuk satu tugas yang sama? Adalah lebih baik kos pengurusan yang tinggi dapat diberikan kepada asnaf yang lebih memerlukan," tegas beliau lagi.

Harakah Daily

SBPA: Transformasi 1Malaysia Najib gagal

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Pembatalan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) menonjolkan sekali lagi kegagalan transformasi yang diwar-warkan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri dan akhirnya terpaksa berbalik kepada sistem lama.

Isu SPBA diwujudkan secara gopoh-gapah sebagai reaksi segera PM kepada janji Pakatan Rakyat (PR) dalam Buku Jingga. Bahkan pemerhatian umum yang dilakukan terhadap banyak perkara yang dikatakan transformasi kerajaan hanyalah berkisar di sekitar Buku Jingga PR.

Lihat sahaja apa yang berlaku terhadap penyenaraian Felda Global Ventures Holdings, sebuah syarikat yang tiada aset selain hutang diberi amanah untuk mengambil aset Felda Plantation, Koperasi Permodalan Felda dan lain sebagai modal penyenaraian. Kini ia berhadapan dengan pelbagai bantahan peneroka Felda dan kakitangan Felda yang tidak bersetuju.

Demikian juga isu kegagalan kerajaan mengawal harga barangan pengguna, yang akhirnya kerajaan sekadar mampu mewujudkan kedai- kedai 1Malaysia yang disubsidikan duit berjuta ringgit untuk menjual barang pada harga yang diwar-warkan lebih rendah.

Sedangkan tugas kerajaan bukan mewujudkan kedai murah. Bayangkan pekedai lain terpaksa bersaing dengan kedai kerajaan, dan ini sangat tidak adil bagi peniaga dan rakyat yang jauh dari kedai 1 Malaysia, yang terpaksa membeli dengan harga yang lebih mahal. Ini juga membuktikan kegagalan Najib dan kerajaan sekali lagi menggunakan cara yang tidak munasabah untuk mengawal harga barangan kepada pengguna.

Isu SPBA berkait-rapat dengan janji PR kepada kakitangan awam dan skim gaji minimum yang dijanjikan dalam belanjawan alternatif 2012 PR. Isu penyenaraian Felda pula mengambilkira janji PR untuk memastikan hak peneroka terpelihara di semua ladang Felda. Dan lainnya, hanyalah gambaran sebenar sikap menggelabah PM dalam menghadapi janji Buku Jingga.

Dalam flip-flop terbaru ini, jelas ia adalah akibat daripada sikap gopoh-gapah pentadbiran Najib tanpa perancangan teliti, kajian mendalam dan sikap mengenepikan pandangan kesatuan sekerja dan badan berkaitan. Akhirnya, kerajaan berhadapan bantahan umum kakitangan sehingga terpaksa menarik balik, dan kembali kepada sistem lama.

Oleh kerana sikap gopoh-gapah inilah rakyat dapati apa yang dicadang oleh PM berhadapan dengan pelbagai masalah sehingga terpaksa disemak, ditarik balik dan dibatalkan. Inilah transformasi 1Malaysia Najib – “Mulut didahulukan, Flip-Flop diutamakan.”
Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
9 Mac 2012

Harakah Daily

SBPA: Bagaimana status Kumpulan Premier?

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 9 Mac: PAS menuntut penjelasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung status terkini kakitangan Kumpulan Premier setelah Skim Saraan Baru Penjawat Awam (SBPA) diumum mansuh semalam.

Ini kerana, kumpulan tersebut difahamkan telah diwajibkan bersara pada 31 Disember tahun lalu dan diserap sebagai kakitangan berstatus kontrak di bawah SBPA sejak Januari lalu.

"Sekarang SBPA dah diumum mansuh, jadi saya nak tanya apa status mereka (kumpulan premier) sekarang ini.

"Mereka sudah tandatangan surat pertukaran kepada jawatan kontrak, dan sudah dibayar gaji lebih tinggi mengikut SBPA malah ada yang sudah dapat ganjaran pesara sehingga mencecah RM500,000. Adakah mereka kena bayar balik atau bagaimana," soal Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menuntut penjelasan kerajaan.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini bahawa Skim Saraan Baru Penjawat Awam (SBPA) dimansuhkan dan Skim Saraan Malaysia (SSM) dikembalikan dengan penambahbaikan.

Selain itu Najib turut mengumumkan pelarasan gaji SSM dengan kenaikan 13 peratus bagi kumpulan pengurusan, profesional dan pelaksana dari gred 1 hingga 54.

Untuk gred utama kumpulan JUSA C, B dan A pula menerima kenaikan 9 peratus.

Turus 3 dan 2 menerima kenaikan sebanyak 8 peratus manakala turus 1 pula 7 peratus.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, beliau khuatir tindakan pembatalan SBPA yang diumum Najib semalam mempunyai kesan perundangan terhadap kumpulan premier ini yang boleh mengambil tindakan mahkamah terhadap kerajaan.

Turut dipersoalkan, sekiranya kumpulan ini ditukar semula kepada status asal sebelum ini, adakah gaji mereka akan dibayar sama seperti sekarang atau lebih rendah seperti asalnya.

Jumlah sudah dibelanja

Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena turut memohon penjelasan Najib berhubung jumlah wang yang telah dihabiskan untuk tujuan perlaksanaan SBPA sejak ianya dicadangkan tahun lalu.

Menurut Mahfuz, rakyat harus tahu berpa jumlah yang telah dibazirkan kerajaan untuk satu skim yang tidak dibincang dengan teliti dan akhirnya diumum mansuh itu.

"Berapa jumlah duit yang sudah dihabiskan untuk tujuan ini? Saya hairan kenapa perdana menteri boleh bersetuju dengan cadangan JPA ini.

"Pada saya perdana menteri sudah hilang kelayakan. Selepas PRU saya rasa banyak lagi benda celaru macam ni akan diperkenalkan," katanya.

Harakah Daily

Muslimat usahaRM800 sebulan bantu imam Hoslan

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 9 Mac: Selain Pemuda PAS, Dewan Muslimat PAS juga akan membantu keluarga imam Hoslan Hussin yang dihukum penjara setahun atas kesalahan menghina mahkamah berikutan tindakannya melemparkan selipar ke arah panel hakim.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Siti Zailah Mohd Yussuf berkata, dewan itu akan cuba memberikan sumbangan tetap sebayak RM800 sebulan kepada keluarga Hoslan.

"Kita insyaAllah akan beri sumbangan tetap sebanyak RM800 sebulan kepada keluarganya.

"Kita harap sumbangan ini dapat meringankan beban keluarganya khususnya untuk keperluan isteri dan anak-anaknya," katanya yang juga ahli parlimen Rantau Panjang kepada Harakahdaily.

Beliau juga menyeru pihak yang perihatin agar bersama dewan muslimat untuk bersama-sama menghulurkan bantuan kepada keluarga Hoslan sehingga imam itu dibebaskan .

Semalam, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman penjara setahun ke atas Hoslan.

Biarpun menyesal atas keterlanjuran itu, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin ketika menyampaikan hukuman berkata, penjara setahun adalah hukuman setimpal ke atas Hoslan.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Riduan Mohd Nor berkata, dewan itu mensasarkan RM20,000 kutipan derma bagi membantu keluarga Hoslan.

Sumbangan itu katanya akan dibuat berterusan sehingga Hoslan dikeluarkan daripada penjara.

"Kita beri bantuan ini bukan kerana dia imam tetapi atas dasar kemanusiaan.

"Bantuan ini bagi menjaga kebajikan anak-anaknya. Dia mempunyai anak-anak yang ramai, masih kecil dan bersekolah," katanya dipetik Malaysiakini.

Riduan turut menyeru kepada semua Pemuda PAS agar dapat bersama membantu keluarga Hoslan bagi meringankan beban isterinya.

Harakah Daily

Bas usang jadi ‘rumah’ dua beradik malang

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SPLENDORA, Texas — Kisah dua adik-beradik yang tinggal dalam sebuah bas usang berhampiran Houston sejak beberapa bulan lalu akhirnya terbongkar selepas seorang posmen melaporkan mengenai kes mereka kepada pihak berwajib.

Seorang kanak-kanak berusia lima tahun dan kakaknya, 11, mula hidup merempat selepas ibu bapa mereka, Mark Pendekkan dan isteri, Sherrie dipenjarakan setelah disabitkan menggelapkan wang daripada seorang mangsa Taufan Ike tahun 2008.

Sherrie ditangkap pada Disember 2010, diikuti Pendekkan pada Mac 2011.

Ejen kebajikan kana-kanak, Vanessa Picazo berkata, ketika ditemui, kanak-kanak itu berada dalam keadaan tidak terurus dan rambut mereka juga kusut.“Sebaik diselamatkan, kedua beradik ini ditempatkan di rumah keluarga angkat sementara pihak berkuasa menyiasat kes itu.

“Sebelum ini, mereka juga dilaporkan tinggal dalam sebuah kereta buruk yang diletakkan di sebuah lorong bersama ibu bapa mereka sebelum dipenjarakan,” katanya.

Menurut Picazo, ketika siasatan dijalankan, Pendekkan mendakwa, dia tidak pernah berniat menjadikan bas itu sebagai rumah kekal mereka kerana keluarganya telah merancang membina sebuah rumah di tapak tetapi masih terbengkalai.Pendekkan turut mendakwa ‘rumah’ itu biasanya bersih.

“Jika saya atau isteri saya berada di sana, sudah tentu ia tidak akan berada dalam keadaan itu, saya memberi jaminan," katanya.

Sementara itu, peguam yang mewakili ibu kanak-kanak itu, Randal McCann berkata, sejak ibu bapa kanak-kanak dipenjarakan setahun lalu, mak cik mereka, Louisiana diamanahkan menjaga mereka tetapi gagal berbuat demikian, malahan mereka juga tidak didaftarkan di sekolah.

"Mak cik mereka yang sepatutnya dipertanggungjawabkan atas apa yang berlaku ke atas kanak-kanak malang itu.

“Saya benar-benar terkejut membaca laporan akhbar pagi ini tentang kisah mereka dan saya tidak pasti sama ada mak cik mereka ada melawat mereka atau tidak," kata McCann ketika merujuk kepada laporan Houston Chronicle.

McCann turut mendakwa, mak cik kanak-kanak itu sering menghubunginya tetapi untuk membincangkan kes jenayah adiknya dan bukannya mengenai anak-anak saudaranya. - AP

Sinar Harian

PKFZ: Liong Sik diarah bela diri

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik membela diri atas tuduhan menipu kerajaan berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang satu dekad yang lalu.

Pada 29 Julai 2010, Liong Sik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Putrajaya atas tuduhan menipu kerajaan agar memberi persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah Pelabuhan Klang bagi pembinaan projek Mega Distribution Hub yang kini dikenali PKFZ.

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas Presiden MCA itu di akhir kes pendakwaan.

Liong Sik, 69, yang menjadi Menteri Pengangkutan selama 17 tahun sejak 1986, didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada jemaah menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 sekaki persegi iaitu RM1,088,456,000 sedangkan dia tahu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), dalam menentukan nilai kadar RM25 sekaki persegi (skp), telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Beliau juga didakwa atas dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada jemaah menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Liong Sik, yang diwakili peguam Wong Khian Keong, didakwa melakukan semua kesalahan itu di tingkat 4, pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 25 September dan 6 November 2002.

Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dengan denda atau kedua-duanya manakala bagi dua pertuduhan pilihan (pindaan), dia didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Beliau dibicarakan selama tiga bulan bermula 1 Ogos tahun lepas.

Pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah telah memanggil seramai 25 orang saksi termasuk menteri kabinet dan pegawai kanan Kementerian Pengangkutan dan JPPH.

Sinar Harian

1Care tak bertapak atas realiti sosioekonomi

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

ULASAN Penjagaan kesihatan merupakan hak asasi setiap rakyat Malaysia tanpa mengira usia, etnik atau status sosial. Sebagai sebuah negara yang berdaulat, hak rakyat mengakses perkhidmatan kesihatan yang bersistem lengkap haruslah sentiasa terjamin.

Sekali pandang, konsep 1Care yang bertujuan memperbaiki sistem perkhidmatan kesihatan awam demi kebajikan dan manfaat rakyat memang menggalakkan memandangkan sistem perkhidmatan kesihatan awam memainkan peranan yang amat mustahak dalam kehidupan semua lapisan masyarakat.

Namun, suara bantahan terhadap retorik skim 1Care yang kian berkobar-kobar di kalangan masyarakat bukannya tanpa alasan yang munasabah.

Malahan, isu yang dibangkitkan berkenaan dengan cadangan skim 1Care turut mendedahkan kelemahan dan ketidaksempurnaan sistem penyampaian dan pembiayaan perkhidmatan kesihatan sedia ada di Malaysia.

Sebagai langkah pertama, Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) menyokong cadangan pelbagai pihak bahawa meningkatkan peruntukan dana kerajaan dalam sektor perkhidmatan kesihatan merupakan penyelesaian yang lebih praktikal.

Peruntukan terhad, tadbir urus kerajaan lemah

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kadar peruntukan dana kerajaan Malaysia untuk sektor penjagaan kesihatan masih rendah berbanding dengan negara-negara lain.

Hanya 2.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang diperuntukkan untuk sektor penjagaan kesihatan dan jumlah peratusan ini hanya mencakupi 7.1 peratus daripada jumlah perbelanjaan kerajaan.

Peratusan ini adalah jauh lebih rendah daripada cadangan WHO dan purata sedunia.

Sebagai rujukan kepada model perkhidmatan kesihatan di luar negara seperti NHS, rakyat British tidak perlu membayar cukai tambahan untuk membiayai perbelanjaan perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan kerana cukai yang sedia dibayar adalah dikendali secara berasingan di bawah dua sistem, iaitu cukai pendapatan dan Insurans Kebangsaan (National Insurance).

Cukai tersebut kemudiannya disalurkan bagi pembiayaan perkhidmatan kesihatan yang dikendali NHS Trust. Pada dasarnya, rakyat British dapat dimanfaatkan dengan menerima perkhidmatan percuma dalam bidang amalan am, kecemasan, penjagaan jangka panjang, dan pergigian.

Dalam sistem tersebut, pesakit turut diberi hak pemilihan dari segi doktor, penjagaan, dan tempat rawatan. Namun, pakej lengkap tidak ditawarkan dalam 1Care yang dicadangkan Kementerian Kesihatan.

Tambahan pula, dasar-dasar yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan seperti memperkenalkan dispensari swasta dan menyediakan "sayap swasta" (private wing) di sesetengah hospital kerajaan, mempromosikan pelancongan kesihatan di hospital swasta dan sebagainya telah menghakis daya tahan sektor awam secara beransur-ansur.

Sebagai akibatnya, peranan yang dimainkan oleh sektor awam dalam penjagaan kesihatan semakin hari semakin terhakis dan diganti oleh sektor swasta, malah beban masyarakat semakin memberatkan.

Jurang perbelanjaan perkhidmatan kesihatan antara sektor awam dan swasta jelasnya bukan menunjukkan bahawa masyarakat adalah berupaya membiayai kos kesihatan tanpa bergantung kepada dana kerajaan dan perkhidmatan awam.

Sebaliknya, seperti yang dinyatakan di atas, percanggahan dari segi kualiti servis dan kelengkapan infrastruktur dalam sektor awam dan swasta masing-masing telah menyebabkan pesakit terpaksa mendapatkan rawatan di hospital atau klinik swasta supaya rawatan yang diterima terjamin kualiti dan kesannya.

Apa yang harus ditegaskan di sini ialah perkembangan sektor swasta dalam bidang kesihatan patutlah dihargai dan dikekalkan manakala kelemahan dalam perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan oleh sektor awam hendaklah ditangani dan dinaiktarafkan.

Namun, keazaman pihak kerajaan dalam menambahbaik sistem perkhidmatan kesihatan awam dan mengekalkan sumbangan sektor swasta tidak terserlah dalam kertas konsep "1Care untuk 1Malaysia".

Sebaliknya, sistem pengendalian perkhidmatan kesihatan awam yang dinyatakan adalah melalui penggabungan hospital awam dan hospital swasta supaya perbezaan dari segi kelengkapan infrakstruktur dan amalan klinikal dapat mencapai tahap keseimbangan.

Isu seperti penghijrahan kepakaran (brain drain) turut dipercayai dapat diatasi melalui integrasi sektor awam dan swasta. Namun begitu, seperti yang didakwa oleh Dr Ng Swee Choon, integrasi ini seakan-akan menghapuskan daya persaingan bersama yang sebenarnya dapat mempertingkatkan prestasi perkhidmatan kesihatan.

Tambahan pula, integrasi yang disyorkan bukan sahaja akan menyekat perkembangan industri penjagaan kesihatan swasta, malah piawai penyeragaman kualiti juga tidak dapat dicapai.

Dari sisi pandangan ini, cadangan skim 1Care yang dikemukakan akan membazirkan usaha kegigihan pelbagai pihak tanpa mencapai objektif bagi mempertingkat perkhidmatan kesihatan.

Rumusan

Pada hakikatnya, kebanyakan projek yang dikendalikan oleh pihak kerajaan adalah berakhir dalam kekesalan disebabkan kelemahan dari segi kecekapan dan ketelusan dalam tadbir urus.

Telah pun wujudnya begitu banyak usaha penstrukturan sebelum ini yang dilaksanakan bagi memperbaiki sistem kesihatan tetapi malangnya ketiadaan proses yang cekap dan telus telah menyebabkan timbulnya masalah yang lebih serius.

Akibatnya, wang terbazir dengan sia-sia manakala kebajikan dan kebaikan rakyat pula tidak terjamin. Sekiranya skim 1Care dilaksanakan, berkemungkinan besar sistem perkhidmatan kesihatan kini akan dilanda kerugian yang lebih besar.

Oleh demikian, KPRU menyaran pihak berkaitan mengkaji semula sistem pembiayaan dan peruntukan perkhidmatan kesihatan semasa di Malaysia dan mempertingkatkan perbelanjaan kerajaan dalam sektor tersebut.

Di samping itu, sebuah suruhanjaya kesihatan yang dikendali secara awam di bawah kawalan masyarakat boleh ditubuhkan bagi memastikan pengendalian yang telus dan efektif.

Dengan memastikan tiada ketirisan, peningkatan peruntukan wang dipercayai dapat menyelesaikan masalah seperti kekurangan infrasktruktur yang lengkap atau kakitangan perubatan yang profesional bagi memenuhi keperluan dan permintaan masyarakat.

Apa yang asas sekali adalah memastikan kecekapan dan ketelusan dalam segala sistem pelaksanaan dan pengendalian supaya hak rakyat yang terasas sentiasa terpelihara.
Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) merupakan pusat kajian baru yang kritikal. KPRU ditubuhkan pasca 8 Mac 2008 dengan tujuan membawa idea perubahan kepada rakyat Malaysia melalui kajian dan sesi dialog.

Tulisan ini merupakan petikan daripada kajian KPRU berjudul "Kertas konsep 1Care tidak bertapak atas realiti sosioekonomi masyarakat Malaysia" dan tidak melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.

malaysiakini/-