13 Mac 2012

Saintis hasil gandum tahan air masin

20 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SEBUAH kawasan yang ditanam dengan gandum jenis durum.

PARIS - Sekumpulan saintis mengumumkan kelmarin bahawa mereka membiak sejenis gandum yang boleh hidup di tanah berair masin.

Ketua penyelidikan berkenaan, Matthew Gilliham daripada University Adelaide, selatan Australia memberitahu, tanaman baharu itu dibiak daripada gandum jenis durum.

Saintis-saintis terbabit memasukkan gen yang dinamakan TmHKT1;5-A untuk membolehkan gandum tersebut tahan terhadap persekitaran masin.

Gen tersebut dimasukkan dengan menggunakan teknik-teknik pembiakbakaan kacuk dan bukan teknologi kejuruteraan genetik.

Tanaman tersebut digunakan untuk membuat pasta dan kuskus.

Menurut Gilliham, gandum baka baharu itu dapat membantu petani Jepun selepas tanaman mereka ditenggelami air laut dalam bencana tsunami tahun lalu.

Sekitar 20,000 hektar sawah padi di timur laut Jepun digenangi air laut dalam bencana tersebut yang menyebabkan ramai petani hilang mata pencarian. - AFP

Kos bertunang: Rakyat masih tunggu jawapan Najib

20 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 13 Mac: Rakyat masih menunggu jawapan dan bukti pembayaran daripada akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pembayaran majlis pertunangan anak beliau sebanyak RM409,767 di Hotel Shangri-La.

“Sehingga kini Pejabat Perdana Menteri hanya menafi perbelanjaan ini daripada wang rakyat, sedangkan saudara Rafizi Ramli berjaya membuktikan dengan fakta, tempahan ini dibilkan kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO),” kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad (gambar).

Katanya, ketika rakyat disuruh mengikat perut kerana indeks harga pengguna yang meningkat, subsidi hendak dikurangkan, barang keperluan harian terus melonjak, tiba-tiba Perdana Menteri boleh membelanja sejumlah wang yang begitu besar untuk majlis pertunangan anak beliau.

Menurutnya, rakyat tidak kisah kalau benar wang itu daripada poket peribadi beliau dengan Datin Seri Rosmah.

“Memang rakyat sudah maklum mereka berdua ialah suami isteri yang banyak wang.

“Tetapi jika ia menggunakan harta rakyat untuk kemewahan peribadi maka ia perlu disiasat hingga ke akar umbi, lebih-lebih lagi penafian sudah dibuat secara rasmi,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Jika berlaku sebalikanya, kata beliau maka ia satu pembohongan yang besar dilakukan oleh seorang Perdana Menteri.

Justeru, tegasnya orang yang berbohong tidak layak untuk memegang amanah rakyat dan mesti diturunkan segera daripada tampuk kuasa.

Beliau berkata, wang sebanyak RM409,767 hanya untuk satu malam majlis pertunangan anak Najib dan Rosmah sedangkan untuk kos seorang siswazah Fakulti Pergigian untuk tempoh empat tahun hanya RM151,208, Fakulti Perubatan untuk tempoh lima tahun (RM235,390) dan Fakulti Farmasi untuk tempoh empat tahun (RM56,360).

harakahdaily/-

Beza Azizah, Shahrizat bagai langit dengan bumi

20 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 13 Mac: Perbezaan antara Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang mana keluarganya bertanggungjawab menyalahgunakan sebanyak RM250 juta adalah bagaikan langit dan bumi.

Demikian dinyatakan Naib Presiden PKR, N Surendran yang merujuk kenyataan Timbalan Menteri Ahmad Maslan bahawa Wan Azizah sepatutnya meletak jawatan sebagai Presiden Keadilan kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan pada 1999.

Baginya, kenyataan Ahmad itu mendedahkan hipokrasi Umno.

Jelasnya, umum mengetahui Anwar dipenjarakan berikutan rekayasa Umno yang melibatkan Perdana Menteri ketika itu Dr Mahathir, Ketua Polis Negara, Peguam Negara dan sistem kehakiman yang sudah rosak.

Tambahnya, tuduhan dan hukuman terhadap Anwar mengejutkan rakyat Malaysia dan mengundang kritikan antarabangsa.

“Namun Ahmad Maslan terus membohongi dirinya sekiranya beliau menyatakan bahawa Anwar dibicarakan secara adil.

“Mengapa perlu Wan Azizah meletak jawatan apabila beliau dan keluarganya menjadi mangsa kezaliman dan politik kotor Umno?” soalnya dalam satu kenyataan.

Sebaliknya, kata beliau Wan Azizah mempunyai tanggungjawab sebagai seorang pemimpin politik untuk terus kekal di jawatannya dan terus memperjuangkan reformasi, keadilan dan kebebasan.

Menurutnya, selama 13 tahun Wan Azizah telah berjaya memimpin perjuangan dengan berani dan bermaruah, menghadapi cabaran besar.

“Perbezaan antara Wan Azizah dengan Shahrizat yang mana keluarganya bertanggungjawab menyalahgunakan sebanyak RM250 juta adalah bagaikan langit dan bumi,” katanya.

Beliau berkata, hanya selepas berhadapan dengan kritikan Pakatan Rakyat dan rakyat, Shahrizat mengumumkan melepaskan jawatan menterinya pada bulan hadapan.
Ini, jelas Surendran bukannya tindakan sukarela.

Menruutnya, Ahmad Maslan, Muhyiddin dan pimpinan Umno lain tidak boleh membohongi rakyat dengan menyatakan bahawa Shahrizat telah 'mengorbankan' dirinya.

Malah, katanya pimpinan Umno dan BN tidak mempunyai budaya mengambil tanggungjawab terhadap penyelewengan mereka dengan melepaskan jawatan mereka.

“Dilindungi oleh polis, media dan sistem kehakiman yang dikuasai mereka, pimpinan BN tidak pernah melihat perlunya untuk patuh pada prinsip kebertanggungjawaban dan tatakelola yang baik,” ujarnya lagi.

Baginya, kenyataan Ahmad Maslan ialah contoh terbaik kecurangan Umno tersebut.

harakahdaily/-

Imam Maut, Masjid Di Belgium Diserang Bom Petrol

20 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

BRUSSELS: Seorang imam terbunuh apabila sebuah masjid Syiah di ibu negara Belgium diserang seorang lelaki dengan bom petrol petang Isnin.

Masjid itu terletak di kawasan Anderlecht dekat Brussels.

Maklumat awal polis menunjukkan masjid itu diserang menggunakan bom petrol oleh seorang lelaki, yang berjaya ditahan.

Serangan itu adalah yang pertama sejak pembunuhan Abdullah Muhammad al-Ahdai, dalam masjid oleh kumpulan Iran pada 1989.

Datuk Bandar Anderlecht dipetik media tempatan sebagai berkata, suspek membaling bom petrol ke arah masjid itu antara jam 6 dan 7 petang Isnin waktu tempatan.

Laporan-laporan awal juga menyebut bahawa imam berusia 47 tahun meninggal dunia selepas terhidu asap tebal akibat kebakaran.

Seorang lagi mangsa dilaporkan cedera.

Pegawai-pegawai keselamatan berkata, seorang lelaki ditahan berikutan kejadian itu.

"Seorang suspek kini ditahan," kata jurucakap polis Marie Verbeke dipetik agensi berita AFP.

"Lebih 10 jemaah berada di masjid untuk menunaikan solat ketika seorang dilihat masuk dengan membawa beg," kata seorang saksi Azzedine Laghmish kepada stesen RTBF, dipetik BBC.

"Dalam beg itu ada satu bekas yang diisi dengan petrol, yang dia baling ke arah bahagian tengah bilik," kata Laghmish.

"Imam cuba untuk memadamkan kebakaran tetapi terperangkap dalam bilik," katanya lagi.

Menteri Dalam Negeri Belgium, Joelle Milquet berkata, beliau terkejut dengan kejadian ini.

Imam itu mempunyai empat orang anak.

Laporan The Telegraph dari UK berkata, kebakaran telah memusnahkan sebahagian besar masjid itu, yang merupakan terbesar di Belgium.

mstar/-

Api misteri kembali mengganas

20 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Zainab menunjukkan api misteri (dalam bulatan) yang membakar kain tudungnya di rumahnya di Kampung Penambang Bunga Emas, Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU – Selepas lebih setahun tenang tanpa serangan api misteri, keluarga Zainab Sulaiman, 75, atau lebih dikenali sebagai Mok Nab kembali resah apabila serangan tersebut kembali berulang di kediamannya di sini kelmarin.

Terbaru, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 4.30 petang, Jumaat lalu di rumahnya di Kampung Penambang Bunga Emas, dekat sini, apabila api misteri tersebut muncul secara tiba-tiba dan membakar sebuah almari yang sarat dengan pakaian.

Menurut Zainab, kejadian tersebut disedari oleh seorang cucunya, Wan Mohd. Faiz Wan Hanafi, 16, yang terbau hangit seperti benda terbakar sebelum mendapati sebuah almari yang terletak di dalam sebuah bilik terbakar.

Katanya, ketika disedari api yang muncul tersebut begitu marak dan membakar almari serta sebahagian dinding bilik tersebut menyebabkan beliau dan menantunya, Rafeah Zakaria, 38, serta dua lagi cucunya, Wan Nurfatihah, 14, dan Wan Nurfatini, 12, panik dan berada dalam ketakutan.

“Kami semua terpaksa mengambil semua pakaian yang disimpan di dalam almari dan dicampak ke luar rumah melalui tingkap untuk mengelakkan daripada terus hangus terbakar selain bimbang api menjadi semakin marak.

“Orang kampung juga datang menolong memadamkan kebakaran dan disebabkan api yang sangat marak, saya terpaksa meminta orang kampung menelefon pihak bomba kerana bimbang rumah saya hangus terbakar,” katanya ketika ditemui semalam.

kosmo/-

Pelatih PLKN Sungai Siput meninggal dunia di hospital selepas demam

20 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SUNGAI SIPUT: Seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di sini meninggal dunia malam tadi selepas dirawat selama tiga hari di Hospital Sungai Siput kerana demam.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Supt Azman Salim berkata, R.Vinoth, 18, yang berasal dari Padang Jawa, Klang, Selangor meninggal dunia pada 10 malam tadi.

Laporan kematian dibuat oleh bapanya hari ini dan punca kematian belum diketahui.

"Kita sedang menunggu hasil bedah siasat hospital berkenaan," kata Azman kepada pemberita hari ini.

Vinoth dilaporkan demam di kem berkenaan beberapa hari hari dan dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk mendapatkan rawatan.

Dia mengikuti program berkenaan awal Januari lalu dan dijangka tamat latihan itu Jumaat ini. - BERNAMA

Laksana konsep wasatiyyah secara menyeluruh

20 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 13 Mac: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) menegaskan konsep wasatiyyah yang diperkenalkan kerajaan harus dilaksanakan secara menyeluruh.

Katanya, konsep itu harus dilaksanakan sebagaimana dituntut agama Islam berdasarkan firman Allah yang bermaksud: "bagitulah Allah menjadikan kamu manusia supaya kamu dapat menjadi saksi dan model umat Islam kepada umat-umat yang lain".

Ketika mengemukakan soalan tambahanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat pagi ini, Abdul Hadi berkata Islam mengamalkan pendekatan bahawa agama itu ada kuasa, malangnya hari ini agama seolah-seolah diketepikan.

Malah tambahnya, apabila pendekatan itu tidak diamalkan maka fitnah memfitnah antara satu sama lain, keruntuhan moral dan rasuah berlaku di kalangan orang Islam.

Bukan itu sahaja, katanya kesalahan berhubung Islam misalnya penyelewengan wang zakat, faraid, hatta fitnah dibicarakan dalam mahkamah sivil.

"Kita sudah memerintah lebih 50 tahun tetapi kita masih dibelenggu dengan hal-hal seperti ini.

"Apakah perkara ini termasuk dalam agenda membebaskan umat Islam terus dibelenggu dalam masalah ini?" Tanya beliau yang juga Presiden PAS.

Terdahulu, Abdul Hadi dalam soalan asalnya meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan kedudukan konsep wasatiyyah di dalam dasar-dasar pemerintahan negara pada masa ini dan apakah pelan menyeluruh yang dirangka oleh pihak kerajaan untuk melaksanakan konsep tersebut.

Sementara itu, Najib dalam jawapannya menjelaskan kerajaan memperkenalkan konsep wasatiyyah sebagai gagasan negara di mana konsep itu ada persamaan dari segi nilai-nilai yang menjadi amalan agama lain.

harakahdaily/-

Buruh cedera pinggang ditikam

20 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KULIM - Seorang buruh lelaki, warganegara asing berusia 30-an cedera di bahagian pinggang apabila ditikam oleh dua lelaki tidak dikenalinya di Taman Helang Perdana, kira-kira jam 3.30 petang semalam.

Menurut rakan mangsa yang membantunya, mangsa bekerja di kawasan pembinaan itu sejak setahun lalu.

Sebelum kejadian, mangsa memaklumkan kepada rakan lain dia hendak membeli air dan tanpa disedari dua lelaki mengekori mangsa dengan sebuah motosikal.

Suspek kemudiannya mengacukan pisau dan meminta mangsa menyerahkan wang dan telefon bimbit kepada mereka.

Suspek yang tidak puas hati dengan barangan yang diberikan oleh mangsa kemudiannya menikam mangsa di bahagian pinggang sebelah kanan sebelum melarikan diri.

Mangsa yang berlumuran darah menjerit meminta bantuan daripada pekerja lain sebelum memaklumkan kejadian itu kepada Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM).

Pengerusi PPKM, Khor Eng Khim kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk meminta bantuan ambulan sebelum dihantar ke Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

“Perlakuan samun dalam kalangan pekerja asing semakin kerap berlaku. Sehingga kini beberapa kes sudah dilaporkan berlaku. PPKM sentiasa membuat rondaan dan memastikan tidak berlaku sebarang kejadian jenayah berlaku bagaimanapun Kulim masih merupakan kawasan selamat kerana banyak tangkapan sudah dibuat oleh polis bersama PPKM terhadap suspek yang terlibat dalam pelbagai kejadian jenayah,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superitendan Ghuzlan Saleh mengesahkan kejadian itu dan mangsa kini berada dalam keadaan stabil.

sinar harian/-

Menangis atas bumbung IPD

20 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

TURUTAN gambar menunjukkan seorang lelaki yang naik ke bumbung tingkat empat IPD Kota Setar di Alor Setar, Kedah kelmarin cuba terjun sambil membawa tong gas pendingin hawa kosong sebelum anggota polis dan bomba cuba memujuknya (gambar tengah). Gambar kanan menunjukkan Adzaman (kiri) sedang memujuk kelindan lori tersebut.

ALOR SETAR – Seorang lelaki yang mengalami tekanan perasaan menggemparkan orang ramai apabila dia cuba terjun dari tingkat empat bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di sini sebelum dapat diselamatkan setelah dipujuk selama tiga jam kelmarin.

Kejadian pukul 5 petang itu berlaku apabila lelaki berusia 26 tahun tersebut naik ke tingkat atas melalui tangga bangunan sebelum dia dilihat duduk di bucu bumbung.

Warga IPD dan orang ramai yang ternampak perbuatan lelaki itu terkejut menyebabkan suasana di balai polis tersebut bertukar kecoh.

Difahamkan, kelindan lori yang telah berkahwin dan mempunyai seorang anak tersebut datang dari Kluang, Johor ke negeri ini untuk menjalani kehidupan baharu dengan mencari pekerjaan lain. Jarak di antara dua tempat itu kira-kira 704 kilometer.

kosmo/-

Pemuda PAS minta tambah bantuan mangsa banjir

20 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 13 Mac: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor memohon Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor supaya dapat menyalurkan peruntukan tambahan segera kepada mangsa-mangsa banjir yang telah terjejas teruk akibat banjir besar baru-baru ini.

Begitupun, ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan merakamkan penghargaan di atas sumbangan segera yang telah disalurkan oleh kerajaan negeri baru-baru ini sebanyak RM300 untuk setiap keluarga.

“Walau bagaimanapun berbanding dengan kemusnahan yang berlaku jumlah sumbangan tersebut perlu ditambah,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Di samping itu, kata beliau pihaknya menggesa agensi-agensi kerajaan negeri seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat-pejabat daerah dan anak-anak syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) dapat digerakkan secara berjadual untuk bergotong-royong membantu mangsa-mangsa di dalam kerja-kerja pembersihan.

Sehubungan itu juga, katanya Pemuda PAS negeri melalui Skuad Unit Amal telah turut turun membantu semenjak dari hari pertama kejadian sehingga sekarang tetapi sangat terhad pergerakan mereka dari sudut kelengkapan peralatan dan sumber kewangan.

Beliau berkata, pihaknya amat mengharapkan semoga banyak pihak yang akan tampil untuk menghulurkan sumbangan dan bantuan tenaga kerja untuk membantu mangsa-mangsa banjir tersebut.

“Selain itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga sangat berharap semoga pihak kerajaan negeri dapat menyegerakan penyelarasan penyaluran peruntukan tambahan tersebut kerana tindakan itu adalah untuk kebaikan dan kebajikan rakyat Selangor jua,” ujarnya.

harakahdaily/-

‘Saya nak bersama dia’

20 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: “Saya tahu dia tak berniat nak tinggalkan saya. Selepas ini, saya nak tinggal dengan dia kerana hanya dia yang saya ada di dunia ini. Terima kasih kepada semua, dapat jumpa dia (anak),” kata Faridah Maulud ketika dipertemukan dengan anaknya buat pertama kali semalam sejak ditinggalkan 10 hari lalu.

Dalam pertemuan penuh sayu itu, kedua-dua mereka dilihat tidak berenggang dengan sesekali anaknya, Amir Mohd Omar, 27, menyeka air mata di pipi ibu berusia 66 tahun itu sambil menerangkan dia tidak meninggalkan ibunya sendirian, tetapi terpaksa berbuat demikian atas faktor kesihatan.

Menafikan anaknya sengaja berbuat demikian, Faridah berkali-kali menyatakan yang dia tahu anaknya mengalami masalah kesihatan dan dia sendiri bersetuju untuk dibawa ke sebuah hotel berhampiran Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi memudahkan mereka berdua menerima rawatan.

“Dia ada beritahu saya yang dia nak ke hospital, jadi lebih elok saya ikut dia ke sana kerana takut tinggal berseorangan di rumah di Wangsa Maju kerana baru-baru ini ada kes pergaduhan di situ.

“Cumanya, saya tidak tahu ke mana dia pergi selepas tiga hari tak muncul, tapi dia ada tinggalkan sedikit wang untuk membeli makanan. Hari ini baru dapat jumpa,” katanya ketika ditemui semalam.

Pertemuan itu diadakan hasil inisiatif Harian Metro dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL) diketuai pengarahnya, Noormah Abd Rauf.

Sebelum itu, Amir hadir ke pejabat JKM WPKL di sini untuk memberi penjelasan kepada Noormah berhubung tindakannya meninggalkan ibu itu bersendirian sehingga membawa kepada laporan polis yang dibuat penyelia hotel itu pada 8 Februari lalu.

Selepas itu, dia di bawa ke Pusat Sehenti Bina Diri di Sungai Buloh untuk bertemu ibunya dan berbincang mengenai kewajaran untuk mengambil semula wanita berkenaan tinggal bersamanya dalam waktu terdekat.

Sebaik melihat kelibat anak tunggalnya itu, Faridah tidak henti-henti menangis dan terpaksa ditenangkan Noormah seketika sebelum perbincangan lanjut mengenai status terkini dirinya.

“Saya hendak tinggal dengan dia kerana dia anak saya. Kalau dapat nanti, saya ingin mengajar al-Quran seperti di kampung sebelum ini. “Saya baca artikel mengenai diri saya, tapi saya tahu anak saya buat yang terbaik untuk saya. Mungkin lebih baik di hotel berbanding di rumah kerana saya tinggal seorang, di hotel orang ramai,” katanya.

Sementara itu, Amir berkata, dia bersyukur kerana akhirnya dapat bertemu ibunya dan berterima kasih kepada semua pihak termasuk JKM yang membantu menjaganya sepanjang tempoh itu.

Katanya, ketika ini, fokusnya hanyalah untuk mencari pekerjaan baru selepas berhenti sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta di ibu negara petang kelmarin.

metro/-

PAS rakam takziah buat keluarga Nurul Nadhirah

20 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 13 Mac: PAS merakam ucapan takziah kepada keluarga adik Nurul Nadhirah Abdullah (gambar) yang disahkan mati dibunuh dan dibakar selepas hilang sejak 1 Mac lalu.

"Saya rakamkan simpati dan takziah kepada keluarga mangsa, semoga Allah mengurniakan sebaik-baik ganjaran di atas musibah yang dihadapi," kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melalui Facebooknya.

Polis semalam mengesahkan mayat rentung yang ditemui di sebuah ladang kelapa sawit di Nusa Damai, Pasir Gudang di Johor Baharu 8 Mac lalu adalah Nurul Nadhirah atau Dirang.

Nurul Nadhirah dilaporkan hilang pada 1 Mac lalu kira-kira 11 pagi ketika keluar untuk membeli mee segera dan telur di kedai runcit di kawasan flat kediamannya.

Sambil menyelar perbuatan kejam itu, Nik Abdul Aziz yang juga menteri besar Kelantan berkata, punca kepada jenayah yang berlaku sekarang ini adalah kerana manusia sudah hilang rasa takut kepada Allah SWT.

Ekoran itu mereka berani melakukan apa sahaja termasuk membunuh orang yang tidak berdosa.

"Sesungguhnya punca kepada jenayah seperti ini ialah kerana manusia tidak takutkan Allah SWT,"

"Sesungguhnya ketakutan kepada Allah WT itulah yang akan mencegah manusia melakukan jenayah, bukannya undang-undang buatan manusia," katanya.

harakahdaily/-

Seludup senjata ke Mesir, 3 individu dipenjara seumur hidup

20 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KAHERAH 13 Mac - Mahkamah Mesir semalam menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap dua rakyat Israel dan seorang rakyat Ukraine selepas didapati bersalah menyeludup senjata api dan peluru di sempadan negara ini.

Menurut mahkamah, rakyat Ukraine terbabit yang merupakan pengurus agensi pelancongan di pekan Sharm el-Sheikh, telah menempah senjata daripada dua rakyat Israel terbabit.

Senjata terbabit kemudiannya diseludup melalui sempadan di kawasan Taba sebelum dikesan oleh pihak berkuasa yang menggunakan alat pengesan bahan letupan. - REUTERS

Syria terus bergolak, 18 lagi maut

20 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

BEIRUT 13 Mac - Sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh di seluruh Syria ketika tentera kerajaan melancarkan serangan terbaru ke wilayah bergolak di Idlib, semalam.

Aktivis anti rejim yang hanya dikenali sebagai Taser berkata, tentera melancarkan serangan meriam di Dbeit dan kawasan berjiran, Ath-Thawra, menyebabkan beberapa bangunan runtuh.

"Situasi kemanusiaan di sini juga semakin meruncing kerana penduduk tidak mendapat bekalan air dan elektrik," katanya. - AFP

AirAsia X Gantung Perkhidmatan Laluan Christchurch

20 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: AirAsia X, unit tambang murah jarak jauh AirAsia memutuskan untuk menggantung perkhidmatannya di laluan Kuala Lumpur-Christchurch-KL sebagai sebahagian daripada pelarasan rangkaiannya untuk memberikan tumpuan kepada pasaran teras.

Dalam satu kenyataan Isnin, AirAsia X menjelaskan, penerbangan empat kali seminggu di antara KL dengan Christchurch itu akan digantung selepas penerbangan akhir pada 30 Mei (dari Kuala Lumpur) dan 31 Mei (dari Christchurch).

AirAsia X berkata, ia akan menawarkan pilihan pengembalian wang sepenuhnya, perjalanan ke destinasi AirAsia X yang lain seperti Australia ke Kuala Lumpur atau Kuala Lumpur ke Asia Utara, atau tempahan semula penerbangan pergi balik sebelum 31 Mei, kepada pelanggan-pelanggannya yang telahpun membuat tempahan awal.

"Semua perubahan akan dibuat tanpa melibatkan kos tambahan untuk mengurangkan kerumitan akibat pemberhentian perkhidmatan itu dan pelanggan-pelanggan yang terlibat akan menerima e-mel menyatakan opsyen-opsyen yang ada," kata syarikat penerbangan itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azran Osman-Rani berkata, keputusan untuk memberhentikan perkhidmatan ke Christchurch itu dibuat untuk memberikan tumpuan strategik kepada pasaran-pasaran yang telah stabil dan menguntungkan oleh AirAsia X.

Beliau berkata, laluan tersebut telah mencapai prestasi yang kukuh dari segi permintaan sejak pelacarannya pada April 2011, dengan catatan hampir 80 peratus pengisian penumpang pada 2011.

"Bagaimanapun, laluan itu menerima kesan daripada kos bahan api kapal terbang yang semakin meningkat.

"Harga bahan api telah meningkat lebih 30 peratus dan masih berada pada paras yang sangat tinggi," tegasnya.

Azran menambah, kos bahan api yang tinggi telah menjejaskan keupayaan syarikat itu untuk menawarkan tambang murah. - BERNAMA