13 Mac 2012

Buruh cedera pinggang ditikam

20 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KULIM - Seorang buruh lelaki, warganegara asing berusia 30-an cedera di bahagian pinggang apabila ditikam oleh dua lelaki tidak dikenalinya di Taman Helang Perdana, kira-kira jam 3.30 petang semalam.

Menurut rakan mangsa yang membantunya, mangsa bekerja di kawasan pembinaan itu sejak setahun lalu.

Sebelum kejadian, mangsa memaklumkan kepada rakan lain dia hendak membeli air dan tanpa disedari dua lelaki mengekori mangsa dengan sebuah motosikal.

Suspek kemudiannya mengacukan pisau dan meminta mangsa menyerahkan wang dan telefon bimbit kepada mereka.

Suspek yang tidak puas hati dengan barangan yang diberikan oleh mangsa kemudiannya menikam mangsa di bahagian pinggang sebelah kanan sebelum melarikan diri.

Mangsa yang berlumuran darah menjerit meminta bantuan daripada pekerja lain sebelum memaklumkan kejadian itu kepada Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM).

Pengerusi PPKM, Khor Eng Khim kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk meminta bantuan ambulan sebelum dihantar ke Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

“Perlakuan samun dalam kalangan pekerja asing semakin kerap berlaku. Sehingga kini beberapa kes sudah dilaporkan berlaku. PPKM sentiasa membuat rondaan dan memastikan tidak berlaku sebarang kejadian jenayah berlaku bagaimanapun Kulim masih merupakan kawasan selamat kerana banyak tangkapan sudah dibuat oleh polis bersama PPKM terhadap suspek yang terlibat dalam pelbagai kejadian jenayah,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superitendan Ghuzlan Saleh mengesahkan kejadian itu dan mangsa kini berada dalam keadaan stabil.

sinar harian/-

Tiada ulasan: