13 Mac 2012

Kos bertunang: Rakyat masih tunggu jawapan Najib

20 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 13 Mac: Rakyat masih menunggu jawapan dan bukti pembayaran daripada akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pembayaran majlis pertunangan anak beliau sebanyak RM409,767 di Hotel Shangri-La.

“Sehingga kini Pejabat Perdana Menteri hanya menafi perbelanjaan ini daripada wang rakyat, sedangkan saudara Rafizi Ramli berjaya membuktikan dengan fakta, tempahan ini dibilkan kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO),” kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad (gambar).

Katanya, ketika rakyat disuruh mengikat perut kerana indeks harga pengguna yang meningkat, subsidi hendak dikurangkan, barang keperluan harian terus melonjak, tiba-tiba Perdana Menteri boleh membelanja sejumlah wang yang begitu besar untuk majlis pertunangan anak beliau.

Menurutnya, rakyat tidak kisah kalau benar wang itu daripada poket peribadi beliau dengan Datin Seri Rosmah.

“Memang rakyat sudah maklum mereka berdua ialah suami isteri yang banyak wang.

“Tetapi jika ia menggunakan harta rakyat untuk kemewahan peribadi maka ia perlu disiasat hingga ke akar umbi, lebih-lebih lagi penafian sudah dibuat secara rasmi,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Jika berlaku sebalikanya, kata beliau maka ia satu pembohongan yang besar dilakukan oleh seorang Perdana Menteri.

Justeru, tegasnya orang yang berbohong tidak layak untuk memegang amanah rakyat dan mesti diturunkan segera daripada tampuk kuasa.

Beliau berkata, wang sebanyak RM409,767 hanya untuk satu malam majlis pertunangan anak Najib dan Rosmah sedangkan untuk kos seorang siswazah Fakulti Pergigian untuk tempoh empat tahun hanya RM151,208, Fakulti Perubatan untuk tempoh lima tahun (RM235,390) dan Fakulti Farmasi untuk tempoh empat tahun (RM56,360).

harakahdaily/-

Tiada ulasan: