13 Mac 2012

Laksana konsep wasatiyyah secara menyeluruh

20 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 13 Mac: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) menegaskan konsep wasatiyyah yang diperkenalkan kerajaan harus dilaksanakan secara menyeluruh.

Katanya, konsep itu harus dilaksanakan sebagaimana dituntut agama Islam berdasarkan firman Allah yang bermaksud: "bagitulah Allah menjadikan kamu manusia supaya kamu dapat menjadi saksi dan model umat Islam kepada umat-umat yang lain".

Ketika mengemukakan soalan tambahanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat pagi ini, Abdul Hadi berkata Islam mengamalkan pendekatan bahawa agama itu ada kuasa, malangnya hari ini agama seolah-seolah diketepikan.

Malah tambahnya, apabila pendekatan itu tidak diamalkan maka fitnah memfitnah antara satu sama lain, keruntuhan moral dan rasuah berlaku di kalangan orang Islam.

Bukan itu sahaja, katanya kesalahan berhubung Islam misalnya penyelewengan wang zakat, faraid, hatta fitnah dibicarakan dalam mahkamah sivil.

"Kita sudah memerintah lebih 50 tahun tetapi kita masih dibelenggu dengan hal-hal seperti ini.

"Apakah perkara ini termasuk dalam agenda membebaskan umat Islam terus dibelenggu dalam masalah ini?" Tanya beliau yang juga Presiden PAS.

Terdahulu, Abdul Hadi dalam soalan asalnya meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan kedudukan konsep wasatiyyah di dalam dasar-dasar pemerintahan negara pada masa ini dan apakah pelan menyeluruh yang dirangka oleh pihak kerajaan untuk melaksanakan konsep tersebut.

Sementara itu, Najib dalam jawapannya menjelaskan kerajaan memperkenalkan konsep wasatiyyah sebagai gagasan negara di mana konsep itu ada persamaan dari segi nilai-nilai yang menjadi amalan agama lain.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: