13 Mac 2012

Pas beri rakyat lot rumah

20 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

MARAN - Pas komited dengan janji untuk menyediakan lot rumah kepada rakyat yang belum mempunyai rumah dan menyelesaikan masalah pemilikan tanah diusahakan sejak puluhan tahun.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pakatan Rakyat (PR) membuat keputusan membuka Felda plantation seluas 143,000 hektar di Pahang untuk membolehkan pemberian tanah dan tapak rumah kepada lebih 40,000 peneroka.

Menurutnya, azam, niat ikhlas dan keyakinan PR Pahang bukan lahir dari angan-angan atau dibuat tanpa asas, tetapi berdasarkan kajian mendalam oleh pelbagai pihak.

“PR akui bukan mudah memberi tanah kepada semua penduduk 1.5 juta Pahang, malah buat masa ini, mungkin ia dilihat sebagai di luar kemampuan.

“Akan tetapi, dengan niat, azam dan kemampuan mentadbir PR, kita yakin mampu menyelesaikan sebahagian masalah tapak rumah untuk rakyat Pahang yang tidak mempunyai tanah tapak rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian Markas Pas Cawangan Jengka 7, di sini.

Hadir sama, Yang Dipertua Pas Kawasan Maran, Tuan Guru Mohd Baqi Othman.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang berkata, PR berjanji untuk memasukkan peneroka di semua ladang Felda berbanding kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memajak ladang kepada FGV selama 99 tahun.

Menurutnya, PR yakin dengan tindakan bersepadu antara semua agensi berkaitan, ia mampu mengatasi masalah tapak rumah dan isu tanah yang menjadi isu utama rakyat.

“Segalanya bermula dengan niat dan kesungguhan, barulah jalan baru akan ditempuhi mencapai hasrat diinginkan.

“Saya berharap agar rakyat Pahang sedia berubah bersama PR,” katanya.

sinar harian/-

Tiada ulasan: