07 Mei 2012

Pesawah maut dipatuk ular

15 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

GUNUNG KERIANG - Seorang pesawah maut dipatuk ular ketika dia sedang duduk berehat di bangku yang dipercayai dibuatnya sendiri dan terletak di bawah rumahnya di Kampung Alor Gongchar, petang kelmarin.

Saad Mansor, 62, dipercayai dipatuk ular di jari tengah tangan kanannya.

Anak sulung mangsa, Sharol Niza, 32, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 6.30 petang, dia dalam perjalanan pulang ke rumah dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kerana melawat rakannya.

Menurutnya, hanya ibunya, Che Jam Ismail, 63, dan adiknya, Mat Shahrizal sahaja yang berada di rumah ketika kejadian berlaku.

“Saya mengetahui kejadian itu apabila menerima panggilan daripada adik bongsu, Shahida yang memaklumkan ayah dipatuk ular.

“Ibu ada memberitahu saya, selepas kejadian mereka membawa ayah ke klinik untuk menerima rawatan dan pihak klinik telah membuat surat untuk dirujuk ke hospital namun ayah enggan ke sana,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Saad yang dikenali dengan panggilan Pak Cik dalam kalangan orang kampung meninggal dunia di rumah kira-kira jam 8.30 malam dan selamat dikebumikan di Kampung Lengkuas, Bukit Pinang pada jam 11 pagi, semalam.

Shahrol Niza berkata, ayahnya yang berasal dari Kampung Lengkuas pernah menyuarakan hasrat untuk dikebumikan di kampung asalnya.

Dia yang kali terakhir berjumpa dengan ayahnya sebelum keluar rumah kelmarin akan merindui kemesraan Saad yang mudah bersembang dan berbincang setiap masalah yang mereka hadapi.

“Ayah langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian dan sikapnya sama seperti sebelum ini.

“Selepas ini bangku yang berada di tempat kejadian pasti akan menjadi kenangan untuk kami sekeluarga kerana setiap kali pulang dari sawah terutama pada waktu petang, ayah akan berehat di situ untuk menghilangkan penat,” katanya.

Shahrol Niza berkata, dua orang anaknya turut merasai kehilangan Saad kerana dia yang akan menjemput mereka setiap kali pulang dari sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gunong.

Sinar Harian

Man City hampiri kejuaraan EPL

15 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

MANCHESTER City mencerahkan peluang untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) edisi ke-20 setelah menewaskan Newcastle United, 2-0 di Stadium Sport Direct Arena, awal malam tadi.

Turun dengan misi mesti menang, kedua-dua pasukan mempunyai matlamat berbeza anak buah Roberto Mancini mahu terus mengungguli takhta liga, manakala anak buah Alan Pardew mahu mengisi satu dari empat slot automatik ke Liga Juara-Juara pada musim depan.

Permulaan membosankan babak pertama, dimeriahkan babak kedua, Yaya Toure dengan jaringan pada minit ke-70 hasil hantaran Sergio Kun Aguero.

Toure sekali lagi menjadi duri dalam daging The Magpies apabila melepaskan sepakan cantik melepasi gawang tuan rumah yang di kemudi, Tim Krul pada minit ke-89.

Kini, gelaran liga makin digapai anak didik Roberto Mancini dalam usaha menamatkan kemarau 44 tahun tanpa kejuaraan EPL selepas terakhir memenangi pada 1968.

Manchester City hanya perlu menang pada perlawanan terakhir liga mereka menentang Queens Parks Rangers untuk memastikan kejuaraan edisi kali ini milik kelab dari kota Manchester berkenaan.

Sinar Harian

Parlimen dibubar selepas sambutan 66 tahun Umno?

15 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

TEMERLOH, 7 Mei: Ahli jawatankuasa PAS Pusat Ustaz Idris Ahmad menjangkakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan membubarkan parlimen secara mengejut sejurus selepas sambutan ulang tahun Umno ke 66 minggu hadapan.


Katanya, beliau mendapat maklumat Najib tidak akan menangguhkan lagi pilihan raya umum (PRU) ke-13 yang dijangka pada bulan Jun ini juga berdasarkan perkembangan semasa.

“Kes skandal rasuah kapal selam Scorpene RM3 bilion yang dikaitkan dengan Najib yang sedang dibicarakan di Peranchis akan memberi kesan jika PRU diadakan lebih lewat.

“Kita jangkakan kerajaan juga sudah menghadapi masalah kewangan setelah pemberian wang Bantuan Rakyat 1Malaysia yang lebih banyak menimbulkan kontroversi kerana ada yang tidak puas hati tak dapat,” katanya.

Jelasnya, isu himpunan Bersih 3.0 yang diramalkan memberi kesan negatif kepada kerajaan kerana keganasan polis terpaksa dilupakan Najib berikutan beberapa isu mendesak itu menyebabkan tekanan supaya PRU terpaksa diadakan dalam masa terdekat.

Idris menjelaskan demikian semasa berucap merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang Kali Ke-30 di Darul Amin, Sungai Gau dekat sini, semalam.

Tambah Idris, Umno akan mengadakan perhimpunan raksasa di Stadium Nasional Bukit Jalil sempena sambutan ulang tahun ke-66 Umno pada 11 Mei bagi menunjukkan kekuatan parti itu kepada umum dan kemungkinan parlimen dibubar 14 Mei.

“Jadi dalam masa terdekat ini kita mesti menggembelengkan segenap peluang yang ada untuk menarik sokongan orang Melayu dan kita terangkan bagaimana kita boleh menjaga Melayu lebih daripada Umno,” tegasnya.

Mengenai Pemuda, Idris berkata pentingnya sayap tersebut kepada parti pada masa ini ialah kerana fikrah yang jelas, menguasai teknologi bermaklumat, masih bertenaga untuk dimanfaatkan parti dari segi fizikal dan masih kurang beban untuk komited dengan program.

Jelasnya lagi, menurut kajian majoriti golongan muda pada masa ini bersama Pakatan Rakyat dan ini dibuktikan jumlah yang besar menghadiri himpunan Bersih baru-baru ini.

Sementara itu Idris berkata pengguna facebook di negara ini menjangkau 9 juta orang dan beliau menjangkakan kuasa tersebut mampu mengalahkan BN dalam PRU akan datang sebagaimana kuasa blog menghukum parti itu pada PRU 2008 dulu.

Katanya, dapat diperhatikan dengan jelas laman facebook dapat menyaingi isu-isu yang menjadi propaganda Umno dan kerajaan melalui media tradisional kerana maklumat disampaikan lebih pantas.

Dalam pada itu Ketua Pemuda PAS Pahang Ustaz Shahril Azman Al-Hafiz yang berucap sebelum itu mengarahkan pemuda bersiap siaga menjaga bendera-bendera PAS kerana beliau menerima maklumat bendera yang tergantung di temapat strategik sekitar Jengka akan diturunkan sempena lawatan Najib ke Jengka 8 pada 8 Mei ini untuk mengumumkan durian runtuh kepada peneroka-peneroka Felda.

Dalam majlis yang sama selepas itu, Pemuda PAS Pahang memberi anugerah kepada tokoh Pemuda Amal, pengusaha Pasti yang berjaya dan guru-guru Pasti yang cemerlang di negeri ini.

harakahdaily/-

Bersih 3.0: Najib jangan merepek

15 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

PERDANA Menteri Najib dalam siri jelajahnya ke Gua Musang menyamakan niat Bersih 3.0 Duduk Bantah di Dataran Merdeka 28 April 2012 lalu dengan unjuk rasa raksasa Dataran Tahrir Mesir yang menggulingkan diktator Hosni Mubarak.

Biar orang lain menyangka begitu, seperti Dr. Mahathir misalnya atau Obama. Pengamatan orang itu adalah haknya bimbang Najib menghadapi cabaran yang sama jika dia tidak mengambil iktibar dari semua perkembangan itu.

Tetapi jika Najib menyangka begitu, dia telah menyamakan dirinya dan cabarannya sudah sama seperti Hosni Mubarak. Apa yang Mubarak terhadap Mesir dan rakyatnya adalah masalah buruknya. Apa yang terjadi kepadanya adalah bala gara-gara sikap takburnya.

Najib jangan menunggu dan mahu nasib yang serupa menimpa kerjaya politik dan perkhidmatannya kepada negara. Benda yang buruk itu jangan diminta dan jangan ditunggu.

Apa yang Najib patut buat itu mengambil pelajaran dari nasib itu dan berdoa supaya bala yang demikian tidak menimpanya, bukan saja jika berlaku celaka baginya tetapi ia azab bagi penyokongnya dan orang yang tumpang dari makan daripadanya.

Sangkaannya orang hendak menjadikan dia begitu adalah perasannya dan menyamakan apa yang terjadi itu adalah merepek. Najib jangan merepek terhadap perkara yang belum difikirkan oleh penganjur dan penyokong Bersih 3.0.

Tindakan Bersih 3.0 adalah mahu Najib melaksanakan tuntutan lapan perkara Bersih 2.0 dulu. Mahu PRU 13 mengikut sistem pilihanraya yang bersih.

Jika tuntutan itu disempurnakan, maka Bersih 3.0 itu tidak ada. Dataran Merdeka tidak jadi satu agenda penting menjelang PRU 13.

Memang semuanya hendak membuang Najib dari tampuk pemerintahan dan mengakhiri monopoli kuasa UMNO sejak tahun 1955. Ia hendak diganti dengan kerajaan Pakatan Rakyat. Tetapi caranya ialah melalui pilihanraya bersih, bukan pilihanraya tipu dan tidak demokratik.

Najib bukan saja remehkan tuntutan lapan perkara itu tetapi perbodohkan golongan pro demokrasi yang bersih dengan jawatankuasa pilihanraya Parlimen tipu. Najib perbodohkan Parlimen dan sekalian ahli politik seperti dia memperbodoh orang UMNO.

Perumpamaan Melayu mengira memperbodohkan orang seperti menyamakan orang dengan lembu. Dengan contoh skendal lembu kondo suami Shahrizat yang dilindungi Najib, betul Najib telah menjadi sekalian orang seperti lembu dalam semua perkara.

Sekalian yang tidak mahu jadi macam lembu menuntut PRU 13 satu pilihanraya bersih. Ratus ribu orang datang ke Dataran Merdeka atas kehendak sendiri membantah Bersih 2.0 dulu dibakul sampahkan. Semua mentuntut ia ditunaikan.

Tentulah ada tindakan susulan jika ia tidak ditunaikan. Apa? Tunggulah!

Tidak sekali-kali setakat 28 April 2012 itu mereka hendak memulakan kerja seperti rakyat Mesir yang turun ke Dataran Tahrir lebih setahun lalu.

Tetapi apa yang berlaku itu adalah satu amaran dan ingatan kepada Najib, jangan dorong rakyat bertindak seperti apa yang dibuat terhadap Hosni Mubarak. Penyokong Bersih 3.0 khususnya Pakatan Rakyat tidak mahu berlaku seperti yang menimpa Mesir itu kerana kuasa demokrasi itu boleh diperolehi melalui PRU 13 yang bersih.

Revolusi rakyat Mesir terjadi kerana mereka tidak boleh dapat apa-apa dari regim Hosni Mubarak. Tiada pililhan selain dari apa yang mereka lakukan.

Tetapi rakyat Malaysia boleh dapat perubahan melalui pilihan raya tetapi pilihanraya itu mesti bersih. Yang menjadi halangan ialah Najib memperkenal transformasi tipu, enggan menjadikan SPR sebagai satu suruhanjaya yang bersih.

Semua orang kata, SPR kotor. Yang kata ia bersih hanya Najib dan lembu-lembunya.

Pembangkang belum memikirkan untuk menyamakan Najib dengan Mubarak, tetapi Bersih 3.0 itu adalah amaran supaya jangan sampai orang menjadikan Dataran Merdeka itu seperti Dataran Thahrir. Jika kebebalan Najib itu nanti dilihat orang sama saja dengan Mubarak, kita tidak dapat tahan orang Malaysia jadi seperti orang Mesir.

Sebelum ada yang menirunya, Najib mesti elekkan kecelakaan itu dengan mendengar apa orang mahu. Najib jangan minta Dataran Merdeka jadi Dataran Tahrir! Tuhan tidak suruh minta diuji. Jika merepak Najib itu dikira sebagai mencabar supaya ia dilakukan terhadapnya, tunggulah nanti akan Tuhan perkenankan!

Mintalah yang elok dan muluk! Jangan inginkan yang buruk dan yang busuk.

harakahdaily/-

Gambar fenomena bulan besar

15 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SEORANG lelaki berjoging ketika bulan penuh terbentuk di Taman Papago, Phoenix, Amerika Syarikat kelmarin.

NEW YORK - Imej bulan penuh yang paling besar dan cerah pada tahun ini dapat dilihat kelmarin selepas ia berada dekat dengan Bumi.

Pakar-pakar berkata, bulan itu kelihatan 14 peratus lebih besar dan 30 peratus lebih cerah berbanding pada hari biasa.

Jarak bulan dengan Bumi ketika itu ialah 357,000 kilometer.

Beberapa jurugambar agensi berita antarabangsa berjaya merakamkan gambar bulan itu di beberapa buah bandar raya utama.

Seorang penulis buku 50 Great Myths of Popular Psychology, Scott Lilienfeld dari Universiti Emory di Atlanta, Amerika Syarikat menyatakan terdapat kepercayaan tinggi bahawa kelakuan ganjil akan berlaku ketika bulan penuh. - Agensi




Puting beliung landa bandar Jepun

15 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SEJUMLAH bangunan rosak akibat puting beliung.

TOKYO - Seorang terbunuh apabila puting beliung melanda bandar Tsukuba di timur laut Jepun semalam manakala puluhan lagi mengalami kecederaan.

Sejumlah bangunan dan rumah musnah dalam kejadian itu yang berlaku 60 kilometer dari Tokyo.

Bandar Tsukuba itu merupakan sebuah pusat sains yang menempatkan beberapa institut akademik dan penyelidikan.

Bagaimanapun, puting beliung itu melanda di kawasan kediaman penduduk.

Mangsa yang terbunuh itu merupakan seorang remaja yang berusia 14 tahun.

Menurut Pusat Perubatan Tsukuba, dia mati selepas mengalami kecederaan.

Lebih 30 orang cedera dengan sepuluh daripadanya dirawat di hospital, kata beberapa pegawai bomba.

Stesen televisyen NHK menunjukkan imej sejumlah rumah tidak mempunyai bumbung.

Kira-kira 200 buah rumah dilaporkan rosak.

Kira-kira 24,000 kediaman tidak mendapat bekalan elektrik.

Kejadian puting beliung jarang berlaku di kawasan Tokyo. - Agensi

Kasih anak: Saya tidak pernah derhaka

15 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

Allahyarham ayahanda saya, Pak Ali senantiasa mendidik saya untuk patuh kepada tuntutan Al-Quran, berakhlak luhur dan tuntas istiqamah kepada prinsip perjuangan. Didikan dari kecil untuk menghormati serta mengasihi kedua ibu-bapa sesuai dengan pesan ajaran agama Islam menjadi pegangan saya.

Saya tidak pernah menderhaka kepada ibu saya. Saya senantiasa kasih dan sayang kepada ibu dan bapa saya. Saya tetap mendoakan semoga ibu saya senantiasa berada dalam lindungan Allah SWT dan mendapat rahmatNya serta beroleh kesihatan yang baik. Saya turut mendoakan semoga Allahyarham ayahanda saya mendapat husnul khatimah dan ditempatkan ruhnya di syurga yang penuh nikmat.

Saya menyeru kepada media supaya tidak mengganggu ibu saya dan Umno janganlah mengheret ibu saya ke dalam kancah politik Umno yang kotor dan jijik. Institusi keluarga termasuk hubungan kekeluargaan perlu disejahterakan dan bukannya diaibkan di dada media.

Saya tetap sayang dan hormat ibu saya. Saya juga bersyukur dianugerahkan isteri, Shida yang taat dan setia serta anak-anak yang memahami citra perjuangan yang murni ini.

Saya bertekad untuk meneruskan perjuangan menjana perubahan melalui wacana segar yang mengangkat dasar kepedulian rakyat. Saya berazam untuk melawan budaya politik jelek yang disuburkan oleh Umno dan media yang ditunggangi mereka.

Saya berserah segala-galanya kepada Allah SWT dalam menghadapi mehnah ini tetapi saya tidak akan tunduk menyerah kepada tekanan fitnah Umno. Saya akan tumpu kepada usaha dan kerja- kerja Parti selaku Pengarah Jabatan Pilihanraya Pusat (JPRP) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13 yang dijangkakan pada bulan Jun 2012.

harakahdaily/-

Pemimpin Al-Qaeda di Yaman terbunuh dalam serangan udara AS

15 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

ADEN: Pemimpin Al-Qaeda di Yaman, Fahd al-Quso, yang dikehendaki kerana terbabit dengan pengeboman kapal pemusnah Amerika Syarikat (AS), USS Cole pada 2000, terbunuh dalam serbuan udara di timur Yaman lewat malam tadi, kata ketua puak.

Al-Qaeda, yang mempunyai kubu kuat di selatan dan timur Yaman, mengesahkan kematian Quso menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada pemberita.

"Fahd al-Quso, yang dikehendaki AS kerana serangan terhadap USS Cole, dibunuh malam ini dalam serbuan udara yang dilancarkan di wilayah Rafadh jajahan Shabwa," kata Ketua Suku Abdel Magid Farid al-Awlaki.

Dalam serangan terhadap kapal pemusnah Tentera Laut AS, USS Cole pada Oktober 2000 di pelabuhan Aden, Yaman, seramai 17 anak kapal terbunuh manakala lebih 40 lagi cedera. - AFP

Jangan sempitkan fatwa untuk demonstrasi sahaja

15 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 7 Mei: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan diseru tidak mengeluarkan pandangan melibatkan demonstrasi sahaja tetapi mestilah juga mengeluarkan pandangan melibatkan kepincangan pilihan raya yang menjadi sebab kepada berlakunya demonstrasi.

Demikian ditegaskan oleh Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Harun Taib (gambar) sebagai mengulas pandangan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, semalam berhubung demonstrasi Bersih 3.0.

"Demonstrasi menyatakan pandangan adalah berasaskan kepada kewajipan amar makruf nahi munkar yang dituntut oleh Islam,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, demonstrasi Bersih 3.0 bertujuan menuntut 8 perkara melibatkan penambahbaikan pilihan raya negara yang dilihat pincang.

Jelasnya, ia merupakan sebahagian tugas amar makruf nahi munkar yang mesti dilaksanakan oleh rakyat terutamanya umat Islam.

Beliau yang juga Adun Manir, Terengganu menegaskan lagi bahawa tanpa sebarang provokosi daripada pihak tertentu demonstrasi aman tidak akan mencetuskan huru-hara.

Sementara itu, Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Khairuddin Aman Razali pula menegaskan bahawa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan diminta jangan menyempitkan pandangan muzakarah melibatkan demonstrasi yang berlaku sahaja.

Tetapi, tambahnya mereka perlu mengeluarkan pandangan terhadap kepincangan pengurusan kewangan negara, amalan rasuah yang berleluasa, pengkhianatan pemberian ic kepada bukan warganegara, pemberian warganegara dengan tujuan politik jahat, rasuah politik kepada pengundi, pengunaan dana kerajaan oleh parti yang bertanding dalam pilihanraya dan kepincangan pengurusan pilihanraya.

“Dengan itu, Jawatankuasa Fatwa akan dilihat berwibawa dan tidak menjadi alat pemerintah semata-mata, malah menjadi suara amar makruf nahi munkar mewakili rakyat," ujarnya.

harakahdaily/-

06 Mei 2012

Kenderaan terbakar selepas terlanggar pembahagi jalan

14 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

PUCHONG – Berpantang maut sebelum ajal! Itu yang boleh digambarkan kepada sepasang suami isteri apabila berjaya menyelamatkan diri selepas kenderaan dinaiki terbabas dan terbakar di jejambat Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 9.15 pagi itu, mangsa berusia 30 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Alza dikatakan gagal mengawal pemanduan di selekoh jejambat lalu terbabas melanggar pembahagi jalan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, ketika kejadian mangsa yang memandu dari arah Sunway menghala ke Puchong itu tiba-tiba hilang kawalan sehingga merempuh konkrit pembahagi jalan.

Menurutnya, dalam keadaan panik mangsa bersama isterinya yang duduk di bahagian tempat duduk penumpang sebelah depan bergegas keluar dari kereta untuk menyelamatkan diri.

“Tindakan pantas mereka berjaya menyelamatkan kedua-duanya kerana rempuhan kuat menyebabkan kereta itu terbakar beberapa minit selepas itu.

“Tiada sebarang kecederaan pada kedua-dua mangsa namun kereta milik mereka hangus terbakar dalam kejadian itu,”katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa memaklumkan cuba memotong sebuah motosikal yang berada di depannya.

“Bagaimanapun ketika berada di kilometer 20.4 betul-betul di atas jejambat berhampiran sebuah pusat beli-belah terkenal, kenderaan dipandu hilang kawalan.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan teperinci akan dijalankan,”katanya.

SINAR HARIAN/-

11 nelayan terselamat, bot dinaiki karam

14 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

BACHOK: Seramai 11 nelayan terselamat selepas bot yang mereka naiki karam ketika memancing di kawasan tujuh batu nautika dari pantai Senok di sini, hari ini.

Kejadian itu berlaku jam 6.30 pagi apabila bot mereka dimasuki air kerana dikatakan tidak menutup injap lubang air bot berkenaan ketika sedang memancing ikan di kawasan terbabit.
Mereka berumur antara 25 dan 52 tahun itu sempat diselamatkan oleh sebuah bot nelayan yang berada berdekatan tempat kejadian.

"Kami sempat melepaskan tembakan api amaran sebagai isyarat kecemasan kepada bot berhampiran untuk mendapatkan pertolongan mereka," kata pemilik bot yang karam itu, Abdul Aziz Abdullah, 40, dari Kampung Pantai Kemayan dekat sini.

Sambil mengucap syukur dan berterima kasih kepada nelayan yang menolong mereka, Abdul Aziz berkata beliau dan rakan-rakannya hanya menyedari bot itu bocor apabila air masuk hampir menenggelamkan bot itu.

"Jika rakan nelayan itu tidak menyedari kami dalam kecemasan sudah tentu kami lemas dalam kejadian ini, tiada apa yang kami ingat melainkan Tuhan," katanya.

Sementara itu, sepasukan anggota bomba dan penyelamat dengan kerjasama anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia daerah Bachok bergegas ke Pantai Senok untuk memberi bantuan kecemasan, yang kemudiannya mendapati sebelas nelayan tersebut sudah berjaya diselamatkan. - BERNAMA

Najib menggelabah, keluar kenyataan tidak masuk akal.

14 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilihat sudah dalam keadaan menggelabah dan bercakap diluar kotak pemikiran yang waras apabila berhadapan dengan gelombang ratusan ribu rakyat yang menolak sisitem PRU yang kotor sekaligus menolak kepimpinan beliau.

Selepas seminggu Himpunan Bersih 3 beliau memberi reaksi dan komen dengan melemparkan pelbagai tohmahan yang melucukan terhadap rakyat yang telah berhimpun dan ulasan beliau sebenarnya telah meranapkan nama baiknya kalau masih ada dengan menuduh rakyat mahu melakukan rampasan kuasa ala revolusi dengan menakluk Dataran Merdeka untuk mengguling kerajaan.

Terlalu lambat beliau bercakap mengenai tuduhan yang dilemparkan dan respon ini telah menyerlahkan dirinya yang gagal menilai kemahuan serta keinginan rakyat yang sebenarnya.

Tsunami politik 2008 adalah sebaik-baik pengajaran yang boleh diambil BN untuk mereka berubah, malangnya ia dipersiakan dan dibuang begitu sahaja, tidakkah Najib sedar bahawa ramai pemimpin BN sendiri ada yang telah keluar meninggalkan BN, terakhir Tan Sri Abdul Kader Sheikh Fadhil telah keluar kerana kepincangan UMNO dan BN itu sendiri.

Penyelewengan dalam pentadbiran Negara oleh BN antara penyebab parti ini semakin lesu menunggu rebah termasuklah isu-isu yang gagal mencapai kata sepakat seperti pemansuhan ISA, mereka (Najib dan juga Hishamuddin ) tidak sependapat samada mansuh ataupun tidak.

Begitu juga isu Hudud, Chua Soi Lek sehingga mengugut untuk keluar BN jika Umno laksana undang-undang tersebut di Malaysia sehingga menyebabkan Najib Razak mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya dari lidah seorang muslim bahawa BN tidak akan laksana Hudud atas alasan realiti semasa dan amat menyedihkan apabila Menteri yang menjaga portfolio agama di JPM Putrajaya mengambil sikap membisu dalam isu perkara pokok agama Islam ini.

Najib Razak seboleh-bolehnya ingin menegakkan benang yang basah dengan menyatakan bahawa parti BN sedang berada di tahap yang mantap, kukuh dan ada sokongan padu.

Hakikat parti Umno BN sedang berpecah dari dalam tidak dapat dinafikan lagi, retak dari dalamnya terlalu banyak, kerja-kerja baik pulih parti terlalu banyak sehingga didengari oleh orang luar, begitulah perumpaman yang dapat digambarkan keadaan semasa Umno.

Rakyat tidak boleh memberi peluang lagi kepada parti Umno BN yang lemah mentadbir Malaysia kerana kesanya negara dan rakyat akan semakin mundur, PRU13 adalah detik untuk beri peluang kepada Pakatan Rakyat meneraju pentadbiran Negara, berdasarkan rekod di 4 negeri selama 4 tahun selayaknya PR diberi peluang sebagai Kerajaan negeru dan Pusat.
6 Mei 2012

Drs. Khallil Idham Lim
ADUN Titi Serong.

Jumlah kematian akibat letupan kilang di Rayong kini 12 orang

14 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

BANGKOK: Sembilan orang lagi maut, menjadikan jumlah kematian akibat letupan di sebuah kilang petrokimia di Kawasan Perindustrian Ma Ta Phut di Rayong semalam, meningkat kepada 12.

Timbalan Menteri Kesihataan Awam, Surawit Konsombboon berkata 30 orang masih dirawat di beberapa hospital di Rayong dan Bangkok, kebanyakan mereka kerana melecur dan mengalami masalah pernafasan.
Sembilan orang yang dimasukkan ke hospital semalam kerana kecederaan serupa, dibenarkan pulang hari ini.
Mangsa yang meninggal dunia dan kebanyakan yang cedera adalah pekerja kilang itu.

Beribu-ribu orang, termasuk pekerja dan penduduk di kawasan dalam lingkungan tiga kilometer dari kilang berkenaan, dipindahkan semalam berikutan letupan pada jam 4 petang itu, yang dipercayai mengeluarkan gas toksik.

Gabenur Rayong Senee Jittakasem mengisytiharkan seluruh kawasan perindustrian berkenaan serta kawasan tiga kilometer sekitarnya sebagai zon bencana.

Bagaimanapun, Pihak Berkuasa Kawasan Perindustrian Thailand tidak mengesan sebarang gas toksik terkandung dalam udara di kawasan itu.
Kejadian berlaku ketika sekumpulan pekerja membersihkan sebuah tangki di kilang itu dengan menggunakan bahan kimia Toluene.

Kementerian Kesihatan Awam berkata bahan kimia itu membahayakan kesihatan jika disedut melalui pernafasan.

Kilang itu menghasilkan, antara lain, bahan mentah untuk kegunaan proses hiliran petrokimia seperti pembuatan getah tiruan dan resin plastik.

Perdana Menteri Yingluck Shinawatra dan beberapa menteri melawat kilang berkenaan dan mangsa di Rayong hari ini. - BERNAMA

Foto Terbaik: Ustaz Azhar Menyantuni TGNA

14 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

Kemah Boh .. gini cara dan adab yang sepatutnya jadi tauladan pada orang lain. Walaupun Ustaz Azhar Idrus dah popular dan ada crowd sendiri, tapi rasa hormat pada Tuan Guru begitu menebal. Takbir ~!!

Lelong barangan MB di Majlis Makan Malam PR

14 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 6 Mei: Majlis Makan Malam Pimpinan Pakatan Rakyat 2012 yang dianjur Pemuda PAS Kelantan malam tadi mencatat sejarah apabila turut diadakan lelongan barang-barang milik Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Antaranya jam tangan, baju, jaket, kasut dan potret-potret terkini beliau. Paling menarik seutas jam yang mengandungi cop kerajaan negeri dibida dengan harga RM2,700 oleh seorang pengunjung, Rushdan Mustafa.

Program itu turut dihadiri Mursyidul Am PAS, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Naib Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw diadakan di I-City dekat sini dihadiri kira-kira 1,000 tetamu.

Turut hadir Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman dan anggota Parlimen Shah Alam, Ir Khalid Samad.

Pengarah program, Ahmad Fadhli Shaari berkata, program tersebut diadakan bertujuan mengutip dana pilihan raya Dewan Pemuda PAS Kelantan sebagai persiapan awal menghadapi pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.

Katanya, Pemuda PAS mensasarkan penderma di sekitar Lembah Klang terutamanya anak-anak Kelantan yang berada di perantauan untuk sama menyumbang bagi mempertahankan kerajaan Kelantan.

Sementara itu Menteri Besar berkata, rakyat cukup matang membuat penilaian sebenar ketika berdepan dengan serangan bertali arus Umno dan BN menggunakan media massa yang mereka kuasai.

“Saya cukup optimis serangan bertalu-talu pemimpin Umno dan BN terhadap Kelantan dan Pakatan Rakyat tidak akan mendatangkan kesan kerana rakyat dapat menilai apa sebenar yang berlaku,” katanya di majlis tersebut.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah di atas kejayaan Pemuda PAS Kelantan menganjurkan program berkenaan sehingga mendapat sambutan memberangsangkan.

Oleh itu beliau berharap semua pihak bekerja lebih keras demi kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat pada PRU-13.

Pada majlis itu juga Tuan Guru Nik Abdul Aziz menurunkan tandatangan di atas potretnya yang berjaya dijual.

HARAKAHDAILY/-