08 Mei 2012

Kenyataan Syafie Apdal umpama penyamun yang sedang menjerit bahawa ada penyamun

16 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -
KENYATAAN MEDIA

Kenyataan Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Syafie Apdal yang menyelar Pakatan Rakyat yang kononnya cuma tahu bikin huru hara Negara adalah saya kenyataan yang saya umpanakan sebagai penyamun yang sedang menjerit bahawa ada penyamun di luar rumah yang dirompaknya.

Saya menyambut baik saranan beliau kepada seluruh rakyat Malaysia untuk memilih kerajaan yang boleh menjamin masa hadapan rakyat dan Negara menjelang PRU nanti, ini amat penting kerana hanya Pakatan Rakyat setakat ini yang membela rakyat, berbeza dengan Umno kerana mereka cuma membela kroni sahaja.

Laba yang rakyat dapat cumalah sedikit iaitu RM500 untuk seumur hidup, rakyat lebih banyak memberi dari menerima, ini suatu tidak kena dan perlu diperbetulkan segera, pihak yang rugi ialah rakyat.

Saya simpati terhadap kenyataan Shafie Apdal yang mengatakan wujud segelintir rakyat yang tidak puas hati dengan BN, adakah beliau masih belum sedar hakikat bahawa bukan sedikit malah ramai rakyat yang tidak puas hati dengan Umno, secara anggarannya hampir separuh dari jumlah keseluruhan rakyat telah menolak parti yang berpaksi kepada nasionalisme tersebut berdasarkan undi rakyat pada 2008.

Sebagai bukti lima negeri tidak termasuk Kuala Lumpur telah menolak kepimpinan BN pada PRU 2008 lalu, adakah ini baru sedikit sahaja sepertimana kata beliau? Sudah tentu ini satu kenyataan untuk menutup kelemahan diri sendiri.

Laporan audit Negara sendiri memuji cara pengurusan wang negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat, mungkin beliau tidak membaca laporan tersebut ataupun buat-buat tidak tahu.

Sebagai menteri janganlah bertindak kurang bijak dengan menyampaikan maklumat yang berbelit sebagai penyedap kata dengan mendakwa Pakatan hanya tahu berjanji kosong, hati-hati kerana rakyat sekarang kaya dengan maklumat.

Luar Bandar dan wilayah adalah portfolio beliau selaku menteri yang dilantik rakyat, tetapi adakah beliau tidak sedar bahawa rata-rata rakyat yang berada di peringkat tersebut sedang tertekan dengan kos sara hidup yang tinggi dan semakin menghimpit, saya amat yakin jika PR berjaya ke Putrajaya seluruh rakyat lebih-lebih lagi di luar Bandar akan terbela dengan kekayaan Negara dibahagikan dengan sama rata.

Umno BN setakat ini gagal ke arah itu malah hanya selesa dengan kekayaan Negara diagihkan hanya kepada kroni dan individu berkepentingan dan terpilih sahaja, inilah antara kezaliman yang sedang berlaku saat ini untuk dihapuskan menjelang PRU 13 tidak lama lagi, undi PR untuk selamatkan Malaysia.

Drs. Khalil Idham Lim
ADUN Titi Serong

PAS seru Peneroka teliti kesan tandatangani perjanjian

16 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

IPOH: PAS Perak hari ini menyeru kepada semua peneroka Felda khususnya di negeri ini agar meneliti kesan daripada menandatangani surat tawaran perjanjian daripada bank untuk membeli saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH).

Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah Negeri, Hj Razman Zakaria berkata, peneroka hendaklah mengetahui tentang kesan langsung yang akan diterima peneroka jika sekiranya berlaku penurunan harga dipasaran saham.

“Diantara kesan yang akan diterima peneroka ialah boleh mengakibatkan tanah dan harta mereka dilelong oleh pihak bank,” katanya.

Menurutnya, Pendaftar Mahkamah tinggi Seremban setelah mengambil kira pandangan Hakim Dato’ Rosnani Ibrahim hari ini mencadangkan permohonan injunsi 125 orang peneroka Felda dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuantan.

Katanya, permohonan daripada peneroka Felda Gugusan Bera dan Serting itu dibuat untuk menahan bank daripada memproses pinjaman kepada peneroka untuk membeli saham terbitan awal (IPO) Felda Global Venture Holdings (FGVH) yang akan disenaraikan di Bursa Malaysia.

Katanya, jumlah pinjaman yang tidak dinyatakan ini menimbulkan kekeliruan kerana borang tersebut tidak dapat disemak dan dinasihatkan tentang pinjaman tersebut.

Beliau juga mempersoalkan daripada mana duit ‘durian runtuh’ yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak di Jengka, Pahang esok.

“Dikhuatiri durian runtuh tersebut adalah sebahagian daripada pinjaman yang dibuat oleh peneroka tanpa disedari mereka,” ujar Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu.

Muhammad Faeez Bin Azahar
Setiausaha Kerja Penerangan,
Badan Perhubungan Pas Perak

Bangkai burung undan timbul tanda tanya

16 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

LIMA - Sebanyak 1,200 ekor bangkai burung undan memenuhi sepanjang kawasan pantai Peru yang mana seminggu selepas 600 ekor bangkai ikan lumba-lumba turut ditemui terdampar di situ.

Susulan kejadian itu, kerajaan Peru bertindak mengeluarkan amaran kesihatan dengan mengarahkan penduduk agar menjauhkan diri daripada kawasan pantai sementara saintis mengkaji punca kematian haiwan berkenaan.

Kementerian Kesihatan turut menyarankan pegawainya agar menggunakan sarung tangan, topeng mulut dan mengenakan pakaian perlindungan ketika mengutip bangkai burung itu.

Pegawai di jabatan Kementerian Kesihatan, Oscar Dominguez berkata, uji kaji terhadap beberapa bangkai burung menunjukkan haiwan berkenaan kekurangan khasiat makanan, dan tidak berkaitan dengan jangkitan virus selesema burung.

Pada tahun 1997, kematian burung undan dan ikan lumba-lumba berlaku secara mendadak di jajaran pantai utara Peru yang didakwa kerana perubahan iklim iaitu fenomena El Nino.

sinar harian/-

Mogok lapar: Mahkamah Israel tolak rayuan 2 tahanan

16 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

BAITULMAQDIS 8 Mei - Mahkamah Agong Israel semalam menolak rayuan dua rakyat Palestin, Bilal Diab dan Thaer Halahla yang sebelum ini melancarkan mogok lapar selama 69 hari.

Mogok tersebut diadakan sebagai protes penahanan tanpa pendakwaan yang dikenakan terhadap mereka.

Peguam kedua-dua tahanan itu, Jamil Khatib berkata, anak-anak guamnya telah membuat rayuan untuk menamatkan perintah tahanan di Mahkamah Tinggi pada Khamis lepas, bagaimanapun, rayuan tersebut ditolak.

Sebagai respon terhadap keputusan mahkamah itu, Diab dan Halahla menyatakan akan meneruskan mogok sehingga penahanan mereka ditamatkan. - AFP

Anwar: 'Najib tidak tahu beza Bersih-Mesir'

16 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak dapat membezakan matlamat perhimpunan Bersih 3.0 baru-baru ini dan kebangkitan rakyat yang disaksikan di Dataran Tahrir, Mesir tahun lalu.

Justeru katanya, Kerajaan Pusat pimpinan Najib menggunakan pelbagai pihak dan agensi untuk mengelirukan rakyat.

“Jadi dia gunakan bekas Ketua Polis (Negara) dan ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan,” kata beliau ketika berucap pada siri Ceramah Perdana dan Jelajah Merdeka: Pasca-Bersih 3.0 di Padang Kampung Baru, Batu Caves dekat sini, malam tadi.

Siri ceramah itu susulan kepada perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara pada 28 April, dilihat sebagai usaha mengekalkan momentum menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat berkata mahu menggunakan platform itu untuk menjelaskan tujuan dan matlamat perhimpunan Bersih 3.0 sementara Barisan Nasional (BN) pula termasuk Najib mendakwa pembangkang menggunakan perhimpunan itu untuk menggulingkan kerajaan sebagaimana berlaku di Mesir awal tahun lalu.

Hadir sama Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agungnya, Datuk Saifudin Nasution Ismail dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang juga ahli jawatankausa Pas Pusat.

Dilihat menyentuh kenyataan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia dikeluarkan kelmarin, Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata, persoalan fatwa mengenai menyertai demonstrasi itu haram ataupun tidak sudah pun dijawab dalam buku terbaru ulama tersohor, Dr Yusuf Al-Qardawi.

“Buku itu bertajuk 'Taurah Syaar' yang bermaksud kebangkitan rakyat.

"Dah jawab dah soalan ahli jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan pada bab pertama dalam buku tersebut.

"Ada orang mengatakan demonstrasi itu bukan budaya Islam, bukan budaya Arab dan diimport dari luar, tetapi Qardawi mengulas dengan menulis ayat Quran yang bermaksud `harus kerjasama dalam membuat kebaikan'...," kata Anwar yang turut berada di kawasan berhampiran Dataran Merdeka pada 28 April lalu.

Sebelum ini ada dakwaan mengatakan Anwar dan Pengerusi Bersama 2.0, Datuk S. Ambiga harus bertanggungjawab menyebabkan peserta merempuh sekatan polis menghala ke Dataran Merdeka. Bagaimanapun perkara itu telah dinafikan oleh Anwar dan Ambiga.

Dalam pada itu, Anwar turut menyatakan keyakinan untuk menang pada PRU13 dengan sokongan yang ditunjukkan oleh penyokongnya.

"Jika kita menang, kita akan laksanakan pendidikan percuma, pemberian permit teksi kepada semua pemandu teksi dan memberi hak kewarganegaraan kepada kaum India yang masih tidak mendapat taraf kerakyatan.

"Politik bukanlah persaingan melalui perkataan tetapi perjuangan untuk rakyat," tambah Anwar.

Anwar juga turut menyatakan beliau tiada masalah dengan pihak polis dan mereka juga akan menjadi penjaga keamanan negara pada kerajaan reformasi apabila Pakatan Rakyat menang nanti.

SINAR HARIAN/-

2 budak dihentak belakang pisau

16 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

Turut dilibas bapa yang berang akibat bertengkar dengan isteri

KANGAR: Dua kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dan empat tahun dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, selepas cedera dihentak dengan belakang pisau dan dilibas dengan getah paip oleh bapa mereka yang panas baran, Khamis lalu.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 2 petang, apabila suspek berusia 40-an dikatakan bertengkar dengan isterinya, yang juga seorang suri rumah berusia 39 tahun tiba-tiba naik berang lalu membelasah anaknya sehingga cedera.
Sumber berkata, kejadian itu berlaku di rumah mereka di Taman Padang Katong, di sini dan dalam pergaduhan itu suspek yang bekerja sendiri turut memukul isterinya.

Pasangan itu dikatakan kerap bergaduh dan suspek sering memukul anaknya walaupun berpunca daripada kesalahan kecil.

“Berdasarkan keterangan mangsa, mereka bertengkar dan suaminya bertindak memukulnya sebelum membelasah anak mereka menggunakan pisau yang diambil didapur.

“Suspek dikatakan menghentak anaknya itu dengan belakang pisau selain melibas mereka dengan getah paip,” katanya.

Sumber itu berkata, mangsa yang bimbang kejadian sama berulang membuat laporan polis pada kira-kira jam 5 petang, hari sama.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin mengesahkan kes itu dan berkata, polis sedang berusaha mengesan suspek yang melarikan diri selepas mencederakan anaknya.

Katanya, dua kanak-kanak terbabit masih dirawat di HTF, di sini dan keadaan mereka semakin pulih.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan.

BERITA HARIAN/-

BERSIH 3.0 Betul-betul Takutkan Najib, Umno-BN

16 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

BATU CAVES, 8 MEI : Perhimpunan BERSIH 3.0 yang berlangsung pada 28 April lalu di Dataran Merdeka disifatkan Pakatan Rakyat (PR) sebagai titik tolak kepada kebangkitan rakyat untuk menentang pemerintahan kerajaan Umno-BN.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, penyertaan lebih 300,000 peserta pada perhimpunan itu menimbulkan reaksi kurang senang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang nyata semakin cuak terhadap desakan rakyat.

Ia dikuatkan lagi dengan tindakan Najib yang meminta bantuan tiga bekas Ketua Polis Negara untuk menyokong hujah beliau bagi mengaitkan BERSIH 3.0 sebagai perhimpunan untuk menggulingkan kerajaan menggunakan kekerasan.

“Terdesaknya PM sehingga terpaksa minta Jabatan Fatwa mengeluarkan fatwa dan terdesaknya beliau sehingga terpaksa menggunakan khidmat Tun Hanif Omar, Tan Sri Rahim Noor dan Tan Sri Musa Hassan yang masing-masing mempunyai rekod buruk bagi menyokong hujah beliau.

“Penyertaan rakyat semasa perhimpunan BERSIH 3.0 adalah lambang kepada kebebasan terhadap ugutan dan kezaliman Umno-BN,” katanya di satu ceramah perdana dan jelajah Merdeka Rakyat : Pasca BERSIH 3.0 di Kampung Baru di sini malam tadi.

Tambahnya, perhimpunan itu juga membuktikan kebangkitan rakyat untuk menolak sebarang percubaan penipuan dan manipulasi pilihan raya oleh badan pengendalinya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Saifuddin turut menyelar tindakan SPR yang sewenang-wenangnya menukar kawasan mengundi seperti yang dialami Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan alasan mengubahsuai sempadan.

Sementara itu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelskan, penyertaan ratusan ribu peserta semasa BERSIH 3.0 adalah sebagai saham dan perjuangan PR untuk menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) nanti.

Beliau berkata, perhimpunan itu adalah sebagai satu permulaan di kalangan pemimpin PR dan rakyat untuk menentang kezaliman Umno-BN dan akan diteruskan pada masa akan datang.

“Kita berikrar untuk bawa perubahan baik kepada negara ini mahupun terhadap rakyat. Perjuangan kita tidak akan selesai dengan perhimpunan sahaja, sebaliknya kita akan buat lagi untuk menyatakan hak dan prinsip kita di negara ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan PR akan terus mempertahankan hak asasi serta keadilan rakyat terutama kaum Bumiputera sebagai majoriti sekiranya diberi mandat memerintah negara.

selangorku/-

Pengebom Bali minta maaf

16 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

JAKARTA: Pembuat bom yang dituduh menjadi dalang serangan di Bali yang membunuh 202 orang, memohon maaf kepada keluarga mangsa semalam dan menafikan mengetahui kelab malam menjadi sasaran serangan itu.

Umar Patek dituduh menjadi dalang utama dalam serangan pada 2002 di dua buah kelab malam di Bali yang membunuh ramai pelancong Barat, termasuk 88 dari Australia.
Ketika hadir di perbicaraan, dengan penuh emosi, Umar berkata dia hanya seorang daripada yang terlibat dalam serangan itu.

Dia mendakwa mempertikai keputusan penyerang untuk mensasarkan Bali dan turut menyatakan rasa kesal.

“Saya mengambil peluang ini untuk memohon maaf kepada mangsa, keluarga mereka dan sesiapa saja yang kehilangan ahli keluarga, termasuk kerajaan Indonesia,” kata Umar yang berusia 45 tahun. Suaranya tersekat menahan emosi.

“Saya sangat sedih dan kesal dengan kejadian yang berlaku kerana saya menentangnya sejak dari mula. Saya tidak pernah bersetuju dengan cara mereka,” kata Umar di Mahkamah Daerah di Jakarta Barat.

Umar ditahan di bandar yang sama di mana Osama bin Laden dibunuh di Pakistan, beberapa bulan sebelum ketua al-Qaeda itu dibunuh.

Dia berkata, dia “tidak tahu menahu” mereka mensasarkan kelab malam dalam serangan bom itu. - Jakarta Post

Kereta dihempap bongkah batu

16 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

BEBERAPA orang melihat bongkah batu yang menghempap sebuah kereta (kiri).

HANOI - Seorang pegawai menyatakan, sebuah kereta remuk manakala enam orang terbunuh selepas kenderaan tersebut dihempap bongkah batu sebesar rumah yang jatuh dari sebuah gunung di Vietnam.

Seorang pegawai tempatan, Keo Khon berkata, lima orang termasuk pemandu kereta mati di tempat kejadian di wilayah An Giang, selatan Vietnam pada Sabtu lepas.

Menurutnya, seorang lagi penumpang maut semasa dikeluarkan dari kenderaan tersebut manakala dua lagi masih dirawat di hospital.

Kata Khon semalam, semua mangsa dalam perjalanan pulang selepas menyertai satu upacara keagamaan di sebuah kuil di puncak gunung berkenaan.

Pihak berkuasa tempatan masih menyiasat kemalangan tersebut.

Menurut Khon, jalan raya menuju ke kuil berkenaan dibuka pada 2004 dan menarik kehadiran beribu-ribu pelawat pada setiap tahun. - Agensi

Penyelam bina masjid pertama di bawah air

16 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

PENYELAM bersolat jemaah di masjid pertama bawah air yang mereka bina.
JEDDAH: Sekumpulan penyelam persendirian Arab Saudi berkata mereka berjaya membina sebuah masjid di bawah air baru-baru ini dan bersolat di dalamnya.
Masjid pertama dalam sejarah pernah dibina di dalam air.

Akhbar harian Almadina melaporkan, penyelam berkenaan menggunakan batang paip plastik besar yang diisi pasir untuk membina masjid di kawasan perairan di barat laut Tabuk dan berhampiran sempadan Jordan.

Seorang penyelam, Hamadan bin Salim Al Masoudi, berkata seorang rakannya mendapat idea untuk membina masjid berkenaan pada musim panas lalu dan mereka mengambil keputusan untuk melakukannya.

“Masjid ini adalah satu simbolik untuk menjelaskan bahawa walau di mana sekalipun kita berada, kewajipan solat hendaklah ditunaikan,” katanya.

Al Masoudi berkata, pembinaan masjid itu selesai ketika waktu Zuhur dan beliau bersama rakannya segera menunaikan solat Zuhur berjemaah. – Agensi

Mat Skodeng kena siram

16 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SARIKEI: Tabiat jelik seorang lelaki warga Bangladesh yang gemar mengintai wanita dalam tandas di sebuah ladang berdekatan Jalan Bintangor, di sini, menerima padah apabila dia melecur disimbah air panas oleh mangsa intipannya, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, lelaki terbabit yang berusia 20-an dikatakan menggelupur kesakitan akibat melecur di muka, dada, bahu kiri dan lengan akibat terkena air panas selepas disimbah seorang pekerja wanita di ladang berkenaan.

Sumber berkata, lelaki terbabit dikatakan sering mengintai pekerja wanita yang menggunakan tandas berkenaan dengan menebuk beberapa lubang pada dindingnya. Menurutnya, perbuatan lelaki yang juga pekerja ladang itu dikatakan sudah lama berlarutan menyebabkan beberapa pekerja wanita berang dan memasang perangkap.

“Tengah hari tadi (semalam), lelaki terbabit dikatakan mengulangi perbuatan sama apabila mengintai seorang pekerja wanita yang memasuki tandas itu.

“Rupa-rupanya wanita itu hanya berpura-pura menggunakan tandas kerana dia sebenarnya mahu memerangkap lelaki warga asing itu. Malah, wanita berkenaan dipercayai sudah berpakat dengan rakan lain untuk ‘mengenakan’ lelaki itu.

“Ketika asyik mengintai, seorang daripada rakan wanita menyimbah air panas ke arah lelaki itu menyebabkan dia melarikan diri sambil menjerit kesakitan,” katanya.

Sumber itu berkata, lelaki terbabit bernasib baik kerana segera dihantar beberapa pekerja ladang untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sarikei.

“Bagaimanapun, berikutan kecederaan parah dialaminya, lelaki terbabit dirujuk ke Hospital Sibu,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu dan memaklumkan, keadaan lelaki terbabit dilaporkan stabil.

METRO/-

Adakah kerajaan haram tipu dalam pilihan raya?

16 Jamadil Akhir 1433H. [MOD]-

KUALA LUMPUR, 8 Mei: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar (gambar) terpanggil untuk mencari penjelasan daripada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia mengenai fatwa ‘adalah haram buat umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik.'

Pertama, katanya perhimpunan Bersih 3.0 untuk pilihanraya bebas dan adil telah mendapat kebenaran serta kelulusan di bawah peruntukan Akta Perhimpunan Aman dan memenuhi syarat 'bertujuan baik' kerana tentunya tuntutan pilihanraya bebas dan adil tidak haram.

Kedua, arahan mahkamah melarang perhimpunan ke ruangan Dataran Merdeka adalah menafikan hak asasi rakyat dalam sebuah negara demokratik, oleh itu ia 'bertujuan tidak baik' dan menimbulkan 'suasana konfrontasi'. Justeru, adakah tindakan ini haram?

Ketiga, tindakan berlebihan pihak berkuasa mengepung dan menghalang orang ramai bersurai secara teratur dan aman serta tindakan menggunakan kekerasan berlebihan seperti gas pemedih mata, pancutan air kimia, pukulan dengan cota dan kekerasan yang diperlakukan segelintir anggota polis secara am -adakah semuanya haram?

Keempat, Pengerusi Jawatankuasa, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin juga menyebut: "Tindakan merusuh, mewujudkan kacau bilau dan merosakkan harta benda awam adalah suatu perbuatan yang ditegah Islam. Malah niat untuk menjatuhkan negara yang sah di sisi undang-undang melalui penganjuran demonstrasi seumpama itu juga haram di sisi agama."

"Oleh demikian bagaimana fatwa tindakan umat Islam di Tunisia, Mesir, Libya dan kini Syria ke atas kerajaan masing-masing yang sah di sisi undang-undang juga haram?" tanya beliau dalam satu kenyataan.

Kelima, apakah fatwa untuk menipu di pilihanraya dengan berbagai kaedah seperti menghalang rayuan mahkamah dibuat di atas kesahihan Daftar Pemilih (Akta Pilihanraya - Seksyen 9A), menghalang wakil-wakil parti dan bukan parti menyaksikan dan menyemak kad pengenalan pengundi dengan Daftar Pemilih pada hari mengundi (Akta Kesalahan Pilihanraya - Seksyen 26A (2) dan (3)),

persempadanan kawasan pilihanraya tidak adil melalui pindaan Artikel 116 Perlembagaan Persekutuan mengenai nisbah perbezaan jumlah pengundi tidak melebihi 15% setiap kawasan, penyalahgunaan undi pos, akses media terhad untuk semua parti politik, pengunaan politik wang merasuah pengundi dan pengunaan pengundi hantu - adakah ia haram?

Keenam, apakah fatwa mengenai sebuah kerajaan yang dibentuk berdasarkan pilihan raya yang tidak bebas dan tidak adil - adakah ia kerajaan haram?

Sebagai makluman, beliau telah membuat pertanyaan rasmi di sidang Parlimen pada 22 Mac yang lepas kepada Perdana Menteri merujuk soalan berikut:

Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] minta PERDANA MENTERI menyatakan adakah Majlis Fatwa Kebangsaan akan mengeluarkan Fatwa tentang amalan penipuan pelbagai bentuk dan cara dalam pilihan raya dan penganugerahan status kewarganegaraan kepada warga asing sebagai balasan sokongan kepada Kerajaan Pusat.

Menteri di Jabaran Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil KHir Baharom menjwaab soalan itu sebagaimana beriukut:

"Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia berpandangan tidak ada keperluan untuk berbincang dan memberikan fatwa berkaitan penipuan dalam pilihanraya. Ini kerana, dalam Islam, hukum bagi sebarang bentuk penipuan adalah jelas iaitu tidak dibenarkan.

"Suruhanjaya Pilihanraya juga telah mempunyai undang-undang dan peraturan yang boleh mengawal dan mengendalikan proses serta perjalanan pilihanraya di Negara ini agar berlangsung dengan telus dan adil." katanya.

Malangnya, kata Nurul Izzah jawapan yang diberikan oleh wakil PM iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri adalah bahawa Majlis Fatwa tidak perlu membuat fatwa di atas perkara yang ditanya walaupun semua bentuk penipuan adalah tidak dibenarkan agama Islam.

"Akhir sekali, saya berharap Majlis Fatwa Kebangsaan akan dengan segera memberikan jawapan kepada kesemua persoalan diatas agar kesucian Islam terpelihara," ujarnya yang juga Naib Presiden PKR.

HARAKAHDAILY/-

Kalau menjerit sakit, dipukul lebih teruk lagi

16 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 8 Mei: "Sepanjang 300 meter perjalanan saya ke Kelab Diraja Selangor, saya dipukul oleh pihak polis tanpa ada perasaan belas kasihan, jelas mangsa kekejaman polis pada Himpunan Bersih 3.0, Nour Islam Niamat, 30.

Nour Islam yang juga merupakan aktivis NGO, Jingga 13 memberitahu beliau ditahan oleh pihak polis ketika berada hampir dengan pengadang jalan di Dataran Merdeka dan ketika itu beliau hanya meninjau keadaan di sana tanpa melakukan apa-apa provokasi.

"Ketika saya hampir di Dataran Merdeka lebih kurang pukul 5 petang, saya tidak mendengar pun arahan pihak polis meminta peserta Bersih bersurai malah mereka terus bertindak dengan menyembur air serta menembak gas pemedih mata.

"Dalam keadaan saya berada di barisan paling hadapan maka menyenangkan pihak polis menahan saya dan dalam keadaan saya baru ditahan tiba-tiba datang sembilan hingga sepuluh orang anggota polis ke arah saya dan telah bertindak memukul, menendang serta menumbuk saya," jelasnya.

Nour Islam yang menceritakan peristiwa tersebut memberitahu beliau telah berjalan hampir 300 meter dan melalui trak-trak polis yang dipenuhi anggota polis untuk ke Kelab Diraja Selangor

"Saya telah dibawa melalui trak-trak polis dan ketika melalui trak tersebut terdapat lebih kurang 200 orang anggota polis yang berbaris di situ, saya telah dipukul dan ditendang oleh polis-polis yang berada berhampiran trak itu.

"Setiap seorang dari mereka tidak melepaskan peluang memukul saya, saya terpaksa tempuhi mereka sikap kejam mereka tanpa boleh dielak langsung malah mereka terus tumbuk serta terajang saya tidak kira di muka mahupun di perut," sambung beliau lagi.

Menurutnya lagi setiap kali beliau dipukul polis mengarahkan beliau senyum dan jangan menjerit kesakitan, jika beliau menjerit sakit polis mengatakan beliau melawan dan akan dipukul dengan lebih teruk lagi.

"Apabila saya sampai di tempat tahanan tidak ada Ambulan mahupun pegawai kesihatan yang menunggu, apabila saya bertanya di mana pihak kesihatan mahupun Ambulan.

"Pihak polis cuba mengelak untuk menjawab dan mereka melengah-lengahkan untuk memanggil ambulans walaupun terdapat peserta yang cedera teruk sehinggakan ada mereka yang hampir pengsan," cerita beliau lagi.

Beliau yang mendapat tiga jahitan di dahi akibat ditendang oleh polis itu menjelaskan ketika dipukul pihak polis mengarahkan beliau tunduk serta tidak boleh melihat polis-polis yang memukulnya.

"Saya langsung tidak boleh melihat muka-muka polis yang memukul saya kerana anggota polis memegang kepala saya kebawah tanpa memberi peluang saya mengangkat kepala saya.

"Ketika saya jatuh pun polis meminta saya tundukan kepala dan jangan sesekali cuba melihat siapa yang memukul saya, namum saya perasaan setiap anggota polis yang bersikap kejam itu tidak mempunyai nombor polis dan yang ada hanyalah nama. Saya tak pasti siapa sebenarnya mereka," tegasnya.

Beliau yang mengalami cedera yang teruk itu telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas sejam beliau dipukul untuk mendapat rawatan.

"Pihak hospital telah membuat pemeriksaan keatas saya termasuk menjahit luka di kepala saya, mereka juga turut melakukan pemeriksaan x-ray bagi mengetahui kecederaan dalaman akibat tendangan yang kuat dari pihak polis.

"Setelah selesai melakukan pemeriksaan saya telah membuat laporan polis di Balai Polis yang berada di HKL termasuk menyerahkan laporan perubatan dari pihak hospital," tambahnya lagi.

Namum beliau bersyukur apa yang dialami olehnya direstui oleh Ibunya dengan menyifat ia adalah maruah diri dalam memperjuangkan kebaikan.

HARAKAHDAILY/-

07 Mei 2012

Bersih 3 : Apakah undang-undang yang diguna pakai.

15 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -
KENYATAAN MEDIA

Saya melihat rakyat telah masak dengan reaksi yang bakal dilakukan oleh pimpinan BN dalam isu memberi akses terhadap sebarang acara yang berbentuk himpunan untuk menyuarakan sebarang bantahan lebih-lebih lagi dalam isu menuntut proses pilihan raya yang adil dan bersih.

Najib berbicara mengenai undang-undang tetapi dalam isu BERSIH 3.0 para peserta ditembak dengan gas pemedih mata dan air berasid tanpa alasan dan apakah undang-undang yang diguna pakai ketika itu?

Apalagi tindakan memukul dan memyepak mereka yang berhimpun secara aman adalah sesuatu yang saya anggap diluar tabie dan kemanusian.

Anehnya bila Jawatankuasa Fatwa menghukum hadir himpunan Bersih haram namun tidak adapun fatwa mengenai hukum memukul orang tanpa sebab dan alasan yang kukuh.

Datuk A Samad Said dan Pengerusi bersama yang lain telah pun mengemukakan permit tetapi alasan pihak berkuasa tidak masuk akal walhal jelas bersih cuma mahu duduk dan bantah tidak lebih dari itu.

Saya ingin persoal adakah duduk itu juga dalam ketegori membahayakan ketenteraman orang awam.

Maka di sini jelas bahawa Najib Razak tidak mengetahui apakah itu demokrasi dan lebih menyedihkan lagi beliau sendiri tidak menghormati hak rakyat yang sudah tentu ada hak ke atas Dataran Merdeka yang menjadi lokasi bersejarah tersebut bagi mengadakan sebarang acara termasuklah duduk dan bantah.

Jika ada setengah juta warga Malaysia turun ke Kuala Lumpur bayangkan betapa untungnya perniagaan warga kota kerana peningkatan jumlah mengunjung pada hari tersebut, tetapi disebabkan pimpinan BN terlalu jumudlah hakikat ini gagal digambarkan dek kerana pentingkan kuasa secara salah.

Ulasan Najib Razak berkenaan perhimpunan bersih 28 april mendahului keputusan siasatan dimana dakwa beliau mengatakan perserta melancarkan serangan terhadap polis walhal kita tahu wujud SB yang terlibat sebagai ejen provokasi dalam perhimpunan terbabit yang telah menyebabakan huru-hara berlaku.

Realiti sokongan rakyat terhadap usaha penolakan rejim BN yang telah berkuasa selama 54 tahun ini semakin jelas, rata-rata rakyat sedang mahukan perubahan, kita juga boleh lihat betapa ramai rakyat bahkan suku juta yang turun pada 28 April untuk cuma menyatakan bantahan terhadap BN yang telah menzalimi maksud sebenar keadilan.

Rakyat tidak memerlukan lagi seorang pemimpin yang sering flip flop seperti Najib Razak, sikap sebegini bukan sahaja mengambarkan beliau tiada kredibiliti kepimpinan adil malah merugikan masa hadapan negara, PRU 13 adalah masa untuk ubah bagi menyelamatkan Malaysia.
Drs. Khalil Idham Lim
Parit Buntar, 7 Mei 2012

Tuan Guru Nik Aziz, hero saya - Tan Sri Kadir

15 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: Bekas menteri Kabinet yang juga veteran Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, hari ini mengunjungi Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau mengambil waktu lebih sejam beramah mesra dengan Tuan Guru di Pejabat Menteri Besar bermula 11.25 pagi tadi.

Turut bersamanya, Anggota exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa.

Kadir dilihat begitu gembira dapat bertemu dengan Tuan Guru, malah sebaik sahaja bersalam dengan Tuan Guru terus bertanya; “Apa khabar Tuan Guru…hero saya ni,” ujarnya sambil menoleh kepada media.

Kadir ketika ditemui selepas itu memberitahu setiap pemimpin di negara ini perlu menghormati mana-mana pemimpin negeri yang mereka hadiri.

Malah, katanya sebagai seorang tetamu mereka perlu bertemu dengan pemimpin berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas teguran Menteri Besar sebelum ini terhadap pemimpin pusat termasuk menteri kabinet yang tidak mengunjungi Pejabat Menteri Besar ketika membuat program di negeri ini.

“Saya bersetuju dengan kenyataan Tuan Guru dan memang itu yang sepatutnya. Saya sebelum ini lebih tiga kali bertemu Tuan Guru datang ke pejabatnya, makan nasi tengahari lagi,” ujarnya.

Sebelum ini, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan rasa dukacita terhadap menteri-menteri dan timbalannya yang datang ke negeri ini tetapi tidak pernah mengunjungi pejabat beliau.

Katanya, Kelantan adalah sebuah kerajaan yang dipimpin oleh seorang menteri besar, yang seharusnya menteri atau timbalannya mengunjunginya selaku ketua kerajaan di negeri yang mereka lawati.
Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung kedatangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan awal Mei ini Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Mengulas aktiviti politiknya kini, Kadir turut memberitahu jadualnya begitu padat sekarang kerana mendapat jemputan ceramah oleh pimpinan PAS hampir seluruh negara.
Kadir yang juga bekas menteri penerangan kini kembali aktif dalam politik bersama pembangkang selepas mengumumkan keluar dari Umno awal April lalu.

“Ada di antaranya saya tidak dapat nak penuhi sebab jadual saya begitu penuh,”ujarnya sambil ketawa.

Malam ini beliau dijangka menyampaikan ceramahnya bersama Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa di Pejabat PAS Kawasan Bachok.

Harakah Daily