16 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -
JAKARTA: Pembuat bom yang dituduh menjadi dalang serangan di Bali yang membunuh 202 orang, memohon maaf kepada keluarga mangsa semalam dan menafikan mengetahui kelab malam menjadi sasaran serangan itu.
Umar Patek dituduh menjadi dalang utama dalam serangan pada 2002 di dua buah kelab malam di Bali yang membunuh ramai pelancong Barat, termasuk 88 dari Australia.
Ketika hadir di perbicaraan, dengan penuh emosi, Umar berkata dia hanya seorang daripada yang terlibat dalam serangan itu.
Dia mendakwa mempertikai keputusan penyerang untuk mensasarkan Bali dan turut menyatakan rasa kesal.
“Saya mengambil peluang ini untuk memohon maaf kepada mangsa, keluarga mereka dan sesiapa saja yang kehilangan ahli keluarga, termasuk kerajaan Indonesia,” kata Umar yang berusia 45 tahun. Suaranya tersekat menahan emosi.
“Saya sangat sedih dan kesal dengan kejadian yang berlaku kerana saya menentangnya sejak dari mula. Saya tidak pernah bersetuju dengan cara mereka,” kata Umar di Mahkamah Daerah di Jakarta Barat.
Umar ditahan di bandar yang sama di mana Osama bin Laden dibunuh di Pakistan, beberapa bulan sebelum ketua al-Qaeda itu dibunuh.
Dia berkata, dia “tidak tahu menahu” mereka mensasarkan kelab malam dalam serangan bom itu. - Jakarta Post
Tiada ulasan:
Catat Ulasan