16 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -
IPOH: Pengerusi Rukun Tetangga kawasan Bercham, Tan Swee Kong menemui seorang bayi lelaki yang masih bernyawa di dalam bungkusan plastik di hadapan rumahnya di Anjung Bercham Indah di sini malam tadi.
"Terdapat kesan gigitan anjing yang cuba mengoyakkan beg plastik itu, tapi saya sempat ambil bungkusan itu kerana bayi itu pasti menjadi habuan anjing jika saya terlambat," kata Tan kepada pemberita di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.
Katanya beliau membuat laporan berhubung penemuan bayi itu di Balai Polis Bercham dan pada 1 pagi tadi, bayi itu dihantar ke HRPB untuk rawatan lanjut.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon yang melawat bayi tersebut menyifatkan individu yang membuang bayi tersebut sebagai tidak bertanggungjawab.
"Saya kesal dengan dengan sikap pihak yang masih sanggup melakukan pembuangan bayi. Bayi itu begitu bernasib baik kerana ditemui bernyawa dan saya mengecam tindakan mereka," katanya.
Dr Mah berkata bagi mengurangkan kes pembuangan bayi, pihak hospital telah menubuhkan 'baby hatch' kepada individu yang tidak mahu memelihara bayi mereka.
"Bayi itu boleh ditinggalkan di baby hatch tersebut dan ini juga boleh mengurangkan kadar kematian dalam kes pembuangan bayi," katanya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Supt Mohad Isa Hussin berkata polis menerima panggilan berhubung kes tersebut kira-kira tengah malam tadi sebelum mengarahkan anggota ke lokasi terbabit.
"Bayi itu kita lihat berada dalam keadaan baik dan kita masih mengesan identiti bayi itu dan individu yang terbabit," katanya ketika dihubungi. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan