10 Mei 2012

Wartawan Harakah dipanggil jadi saksi

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Wartawan Harakah Terengganu, Khairul Azlam Mohamad hari ini dipanggil untuk memberi keterangan berhubung artikel beliau di dalam akhbar Harakah.

Beliau yang juga merupakan defenden telah hadir bagi memberi keterangan berhubung dengan sidang media yang diadakan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali di Terengganu berhubung dengan isu serbuan gereja DUMC di Selangor.

Mahkamah yang berlangsung pagi tadi dan bersambung semula jam 230 petang turut memanggil wartawan sambilan RTM, Khalid Abdullah dan juga bekas exco Negeri Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.

Manakala pada petang ini, Setiasusaha Perhubungan Umno Selangor, Ir Datuk Seri Mohd Zin Mohamed akan hadir memberi keterangan.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak dengan kos tuntutan saman RM10 juta Umno Selangor ke atas Presiden PAS, Tuan Guru Ustaz Hadi Awang dan timbalannya, Haji Mohd Sabu di atas alasan saman tersebut bertentangan dengan seksyen 9(c) Akta Pertubuhan 1966.

Yang Arif Hakim Datuk Ahmad Zaki Husin ketika menolak tuntutan Umno Selangor tersebut bersetuju dengan hujah peguam Mohamed Hanipa Maidin yang mewakili Ustaz Hadi dan Mohd Sabu bahawa saman Umno Selangor ke atas kedua-dua tokoh PAS tersebut telah gagal mendedahkan apa-apa kausa tindakan kerana ia bertentangan dengan seksyen 9(c) Akta Pertubuhan.

Umno Selangor telah melalui Setiasusaha Perhubungannya, Ir Datuk Seri Mohd Zin Mohamed memfailkan writ saman ke atas Ustaz Hadi dan Mohd Sabu dan beberapa individu lain bagi menuntut gantirugi RM10 juta atas dakwaan akhbar Harakah yang bertarikh 19 Ogos 2011 memfitnah Umno Selangor di dalam satu artikel bertajuk 'PAS akan dedah bukti Umno main peranan operasi Jais'.

Dengan keputusan ini, hanya tinggal tiga lagi defendan dalam kes saman Umno ini.

Saman Umno Selangor tersebut telah difailkan oleh peguam Umno iaitu Tetuan Hafarizam, Wan Mubarak manakala Ustaz Hadi dan Mohd Sabu diwakili oleh Tetuan Mohamed Hanipa & Associates.

harakahdaily/-

Umno Celarukan Sejarah dirinya sendiri .

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

Sejarah merupakan suatu entiti atau perkara yang asas yang amat penting bagi sesebuah organisasi, namun saya hairan bagaimana mungkin parti UMNO menyambut ulang tahun yang ke-66 padahal ia ditubuhkan semula pada tahun 88 kerana telah diharamkan .

Apabila hakim Datuk Harun Hashim telah mengharamkan Umno ketika berlaku Krisis Perlembagaan Malaysia 1988 dan Presiden UMNO ketika itu , Dr Mahathir Mohamad hilang kelayakan sebagai Pengerusi BN , tugas Pengerusi BN telah diserahkan kepada Presiden MCA ketika itu Ling Liong Sik.

Kemudian barulah Umno Baru ditubuhkan semula, ini bermakna Umno yang ada sekarang bukanlah telah berusia 66 tahun sepertimana yang dicanangkan.

Jelas parti Umno telah celarukan sejarah dirinya , ketika menjelang tiba PRU 13 sebagai langkah menunjukan kehebatan partinya yang sedang ditolak oleh rakyat.

Selain itu pelbagai langkah terdesak dan menghalalkan cara dilakukan bagi mengembalikan sokongan dimana usaha mengfitnah dan mengaibkan pemimpin Pakatan Rakyat semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.

Najib Razak sudah hilang kawalan diri bila menyebut “haram jadah” di hadapan khalayak dan ini menggambarkan bahawa ia sudah tidak llayak untuk dijadikan contoh bukan saja pada masa ini namun sudah sekian lama.

Pelbagai skandal yang dikaitkan dengan Najib adalah induk persoalan yang cuba ditutup oleh Najib.

Namun siapakah yang boleh menghukum Najib kerana salahlaku beliau? Hakikatnya rakyatlah yang akan menentukan masa depan dan hayat politiknya.

Apabila Umno melaungkan bahawa mereka telah matang dan mentadbir negara dengan penuh bijaksana, saya mahu bertanya, apakah pencapaian terbaik tersebut?

Adakah ekonomi negara telah maju jika Hutang Negara Malaysia 2012 mencecah RM456.1 Bilion iaitu naik secara berturut-turut sejak 12 tahun lalu.

Isu ini boleh menjerumuskan nilai ringgit kita jatuh kepada kadar yang membimbangkan negara akan mengalami kegawatan ekonomi yang serius, persolannya adakah ini maksud kebijaksanaan Umno mentadbir negara dibagaimana yang dilaung-laungkan?

Yang menjadi mangsa ialah bangsa Melayu kerana kemajuan yang dikatakan telah dikecapi sebenarnya telah dikaut oleh pemimpim umno dan kroni sehingga kaya raya.

Rakyat secara umum terus diperbodohkan dengan pelbagai slogan termasuk 1Malaysia seolah-olah langsung tidak berlaku penyalahgunaan kuasa, rasuah dan lain-lain isu yang amat merbahaya kepada masa depan negara.

Maka PRU13 inilah masanya kita buat perubahan untuk tumbangkan parti umno yang sudah bercelaru itu.

10 Mei 2012

Drs. Khalil Idham Lim
ADUN Titi Serong.

PRU13: Gelombang perubahan bermula dari Johor?

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Pengarah Eksekutif, Dewan Perdagangan Amerika-Malaysia (Amcham), Fui K. Soong menjangkakan negeri Johor akan menjadi pusat kepada gelombang perubahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

Beliau juga mendakwa, gelembang itu juga mungkin akan merebak ke Melaka sehingga ke Negeri Sembilan.

Menurut beliau, pada PRU-12 sebelum ini, pusat perubahan itu dilihat bermula di Pulau Pinang dan membawa kepada negeri sekitarnya iaitu Kedah dan Selangor.

Menurut Fui K. Soong, pandangannya itu berasaskan kepada faktor Johor yang mempunyai banyak kawasan campuran Selepas Selangor dengan kaum Cina adalah majoriti.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kajiannya di wacana politik dan persepsi semasa pengundi menjelang PRU-13 di Universiti Malaya hari ini.

Turut menjadi panel membincangkan tajuk 'Siapa selepas PRU ke-13, BN atau PR' itu adalah bloger politik Mohd Sayuti Omar dan Editor Sinar Harian Online Dr G.Manimaran.

Menurut Fui K. Soong, Johor juga antara negeri 'paling panas' pada PRU-13 nanti dan boleh dilihat dengan pertambahan pengundi baru paling tinggi iaitu seramai 385,591 orang.

Selain Johor, negeri yang juga boleh dianggap 'panas' adalah Selangor dengan pertambahan pengundi baru seramai 373,748, Perak (249,405), Sabah (149,940) dan Sarawak (164,547).

Sementara itu Mohd Sayuti juga turut memberi pendapat serupa.

Menurut penulis profilik itu, beliau dapat melihat gelombang perubahan rakyat yang luar biasa berbanding pilihan raya sebelum ini khususnya di Johor.

Ianya berasaskan sambutan memberangsangkan oleh rakyat terhadap program-program Pakatan Rakyat di negeri itu.

"Sebagai penulis blog dan wartawan, saya ikut jelajah (Datuk Seri) Anwar Ibrahim ke Endau sampai lah ke Sembrong.

"Saya dapat lihat kehadiran menakjubkan," katanya.

Selepas PRU 2008 lalu, banyak pihak melihat Pakatan Rakyat mempunyai peluang cerah di negeri-negeri Selatan tanah air khususnya Johor dan Negeri Sembilan yang dahulu terkenal dengan negeri 'kubu kuat' Umno BN.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub yang juga Naib Presiden PAS, juga telah mengesahkan akan bertanding di negeri kelahirannya di Johor pada PRU-13 ini.

Harakah Daily

Serpihan pesawat awam hilang ditemui

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

JAKARTA — Pasukan mencari dan menyelamat hari ini menemui serpihan pesawat awam Sukhoi Superjet-100 yang dilaporkan hilang petang semalam bersama 50 penumpangnya.

Bagaimanapun, nasib para penumpang itu masih belum diketahui.

Serpihan pesawat itu dikesan dari helikopter di kawasan Gunung Salak, kata Ketua Penyelaras Pusat Operasi Utama di Taman Nasional Gunung Halimun Salak, Ketut Purwa.

Pengesahan mengenai penemuan itu disampaikan oleh pasukan penyelamat yang meninjau dari sebuah helikopter Super Puma bahawa mereka telah melihat secara fizikal serpihan itu dari ketinggian 2,500 kaki.

Helikopter milik Tentera Nasional Indonesia (TNI) Angkatan Udara (AU) itu dikerah untuk membantu mencari pesawat Shukoi yang hilang di kawasan Gunung Salak.

Sementara itu, Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono dalam kenyataan akhbar di Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma di Jakarta meminta pihak berkuasa supaya menjalankan siasatan rapi terhadap kejadian itu untuk mengetahui puncanya.

Beliau telah meminta pasukan penyelamat yang terlibat dalam operasi itu supaya mengutamakan usaha menyelamat para penumpang. — BERNAMA

Tarik balik RUU p'raya adalah kemenangan rakyat

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 Mei: Tindakan kerajaan menarik balik Rang Undang-Undang Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2012 adalah kemenangan rakyat yang menyemarakkan perhimpunan Bersih 3.0, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar).

"Ini adalah kemenangan rakyat. Tindakan kerajaan menarik balik rang undang-undang itu adalah hasil kejayaan langsung rakyat yang menjadikan perhimpunan Bersih 3.0 benar-benar satu perhimpunan raksaksa.

"Umno dan Barisan Nasional (BN) terkejut sungguh dengan ratusan ribu rakyat yang keluar duduk dan bantah," katanya.

Dengan pelbagai tindakan ganas yang dilakukannya ke atas perhimpunan-perhimpunan aman rakyat sebelum ini, kerajaan Umno BN sama sekali tidak menyangka Bersih 3.0 menjadi salah satu perhimpunan yang terbesar dalam sejarah, kata Mahfuz.

"Umno BN tidak sangka rakyat sudah melihat dengan jelas tipu daya mereka.

"Mereka tersentak dengan semangat dan tuntutan rakyat itu, mereka serba ketakutan kerana selepas ini, sebarang bentuk penipuan dalam pilihan raya akan disanggah oleh rakyat dan mereka sedar bahawa hayat pemerintahan mereka semakin hampir ke penghujung," katanya.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pokok Sena itu memperingatkan rakyat bahawa langkah penarikan balik rang undang-undang tersebut hanyalah sandiwara dan taktik Umno BN untuk memadam aspirasi rakyat yang terjelma dalam tuntutan Bersih 1.0, Bersih 2.0 dan Bersih 3.0.

"Umno BN sama sekali tidak akan bersetuju dengan tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

"Mereka tidak berani sama sekali menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat sejauh mana bersihnya daftar pemilih.

"Mereka tidak berani sama sekali menubuhkan suruhanjaya diraja bagi mengkaji tuntutan-tuntutan Bersih," kata Mahfuz.

Beliau juga yakin kerajaan Umno BN juga tidak berani sama sekali meletakkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di bawah pengawasan Parlimen melalui satu jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk tujuan itu.

"Kerajaan Umno BN tidak berani sama sekali meminta Pengerusi dan Timbalan Pengurusi SPR meletak jawatan setelah sikap tidak memihak mereka dipertikaikan dan semakin tidak dipercayai," katanya.

Bagi Umno BN, kata beliau lagi, SPR adalah kuda tunggangan mereka.

Meskipun begitu, jika kerajaan terus berkeras dengan keengganan untuk memastikan pilihan raya diadakan dengan bersih dan adil, Mahfuz yakin rakyat akan bangkit sendiri dan berhimpun beramai-ramai dalam perhimpunan-perhimpunan raksaksa tanpa diinisiatifkan oleh sesiapa pun.

"Selepas ini, saya yakin rakyat akan bangkit sendiri tanpa perlu diinisiatifkan oleh sesiapa pun dengan kebangkitan yang jauh lebih besar dari Bersih 1.0, Bersih 2.0 dan Bersih 3.0," kata beliau dengan penuh keyakinan.

Rakyat, katanya, semakin sedar bahawa "hanya suara rakyat suara keramat".

"Hanya tuntutan dan kebangkitan yang lebih besar akan dapat memastikan pilihan raya yang adil dan bersih," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz semalam mengumumkan kerajaan akan menarik balik cadangan pindaan kepada rang undang-undang tersebut berikutan bantahan dari pelbagai pihak terhadap rang undang-undang itu.

Harakah Daily

Hanif tidak dapat selesai isu keganasan polis

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 Mei: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) melihat pelantikan Tun Hanif Omar mengetuai panel bebas bagi menyiasat insiden keganasan dalam Bersih 3.0 serta menolak tawaran pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai tindakan yang tidak bijak serta cuba menutup keburukan diri.

Timbalan Ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, kerajaan seolah-olah merasa bimbang jika banyak tembelang mereka yang cuba disembunyikan dari pengetahuan umum akan pecah satu persatu jika mereka terima tawaran PBB dan dalam masa yang sama mereka dengan tergesa-gesa pula melantik panel yang diketuai oleh individu yang dipertikaikan ramai pihak.

Katanya, DPPWP menganggap pelantikan Hanif sebagai Pengerusi Panel Penyiasat Bebas sebagai ‘melepas batuk di tangga’ bagi mengelakkan lebih banyak tohmahan dilemparkan oleh rakyat terhadap kerajaan.

“DPPWP bersetuju dengan pandangan ramai bahawa pelantikan Tun Haniff Omar tidak akan menyelesaikan isu keganasan polis semasa Bersih 3.0, bahkan rami sudah menjangkakan apakah kesudahan dalam siasatan panel bebas ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Ini, ujar beliau kerana latar belakang Hanif sebagai Ketua Polis Negara dan insiden yang akan disiasat oleh beliau dan panelnya adalah melibatkan insititusi polis.

Beliau berkata, Haniff pula pernah mengeluarkan kenyataannya yang mengutuk perhimpunan Bersih 3.0.

“Dengan latar belakang yang begini, apakah beliau mampu berdiri ‘bebas’ bagi menyiasat semua insiden ini, atau beliau turut ‘bias’ dalam membela PDRM dan menyalahkan orang awam?” tanya Suhaimi.

Tambahnya, dalam keadaan imej PDRM yang semakin tercalar teruk kebelakangan ini dengan pelbagai kes seperti rasuah yang melibatkan pemimpin tertinggi PDRM, kes melindungi kumpulan kongsi gelap, jenayah, menangani orang awam secara ganas dalam perhimpunan, dan lain-lain lagi, imej Hanif selaku bekas Ketua Polis Negara turut tercalar.

“Beliau tidak terlepas dari tanggapan negatif masyarakat bahawa beliau juga sebahagian dari gambaran buruk yang ditohmah terhadap PDRM,” ujarnya.

Oleh yang demikian, kata beliau DPPWP berpendapat amat wajar sekiranya kerajaan menarik balik pelantikan Tun Hanif Omar bagi mengetuai panel siasatan bebas ini dan melantik individu lain yang dilihat lebih bersih dan bebas.

DPPWP juga, katanya mendesak supaya kerajaan menyertakan sekali Suhakam dalam panel siasatan ini serta menimbangkan semula untuk menerima tawaran PBB.

“Jika tidak jangan disalahkan jika rakyat dan masyarakat antarabangsa menyamakan pemerintahan Malaysia dengan pemerintah kuku besi di negara lain,” katanya.

Harakah Daily

PBB selar, kata tak lulus ‘gas pemedih mata’

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menafikan bahawa badan antarabangsa tersebut terlibat dalam ‘meluluskan’ senjata seperti gas pemedih mata sebagai reaksi kepada dakwaan kerajaan Malaysia bahawa gas pemedih mata yang digunakan dalam Bersih 3.0 adalah diluluskan PBB.

“PBB tidak menetapkan piawai antarabangsa terhadap sebarang jenis bahan iritasi, atau meluluskan ‘CS Gas’ sebagai bahan pengawal rusuhan,” kata Dr Lin Mui Kiang, penyelarasan pakar PBB bagi Malaysia.

Beliau merujuk kepada satu laporan oleh akhbar milik MCA, The Star yang memetik Ketua Penolong Pengarah Jabatan Logistik (Persenjataan), ACP Syed Mustafa Raja Syed Nordin sebagai mempertahankan penggunaan gas pemedih mata, bom gas pemedih mata, kanister gas pemedih mata dan semburan lada di perhimpunan Bersih 3.0.

"Kesemuanya diimport dari Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Switzerland serta mematuhi piawaian antarabangsa yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Alat ini mengandungi 'gas CS' yang diluluskan oleh PBB sebagai ejen kawalan rusuhan. Kebanyakan negara mengesahkan penggunaan gas ini tidak membawa maut," beliau dipetik sebagai berkata.

Mengutuk kekurangan profesionalisme oleh media perdana Malaysia dan pegawai awam, Lin turut melahirkan rasa kesal bahawa PBB tidak dirujuk terlebih dahulu sebelum The Star membuat laporan tersebut, yang disifatkan beliau jauh tersasar daripada ketepatan maklumat.

Beliau mengingatkan walaupun dalam situasi di mana kekerasan dan senjata perlu digunakan, pihak berkuasa mestilah bertindak secara terkawal, minimakan kerosakan dan kecederaan, hormat dan lindungi nyawa.


“Kita di PBB menyeru agar para wartawan untuk menyelidik dan melaporkan secara betul dan tepat atas segala maklumat dan prosedur yang melibatkan PBB. Kita percaya bahawa professionalisme sebegini perlu juga ada pada pegawai awam,” kata Lin.

Sebanyak lebih 250,000 peserta telah menbanjiri Kuala Lumpur pada April 28 yang lepas untuk menyatakan sokongan terhadap Bersih 3.0 untuk menuntut penambah-baikan segera pada sistem pilihanraya negara.

Lebih 500 peserta telah ditahan, ramai yang tercedera termasuk polis dan wartawan.

Kerajaan Barisan Nasional terdahulunya telah menolak tawaran seorang pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Frank William La Rue, untuk menyiasat Bersih secara objektif.
Sebaliknya, kerajaan melantik bekas ketua polis negara Hanif Omar untuk mengetahui “panel penasihat bebas” untuk menyiasat insiden keganasan semasa perhimpunan Bersih 3.0.

Harakah Daily

Mahathir selar Marina, apa keganasan polis?

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 Mei: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyelar tulisan anak perempuannya Datin Paduka Marina dalam akhbar The Star yang mengecam keganasan polis semasa perhimpunan Bersih 3.0.

Tulisan terbaru Marina di kolumnya Musings, beliau berkata situasi kini kedua-dua pihak saling salah-menyalahkan dalam insiden keganasan ketika Bersih 3.0.

“Tapi keganasan itu, terutamanya daripada mereka yang sepatutnya melindungi kita susah untuk dinafikan, apatah lagi dengan beribu video, gambar and saksi kejadian. Saya turut terbinggung sebentar atas hal ini. Bagaimana polis bertukar daripada tidak berbahaya kepada ganas tanpa alasan tertentu,” tulis beliau.

“Dan jika Menteri Dalam Negeri berkeras bahawa tiada siapa yang mengarahkan polis untuk bertindak ganas, jadi apa yang menyebabkan mereka melakukan demikian, sehingga situasi yang begitu teruk? 65 orang masuk di hospital, hanya dua sahaja polis. Ini memberitahu sesuatu,” kata Marina lagi.

Marina berkata insiden tersebut perlu disiasat dan salah satu caranya ialah menubuhkan suruhanjaya penyiasatan yang bebas.

“Ramai yang tercedera bukan disebabkan polis. Para pendemo, juga melakukan serangan terhadap orang ramai yang mereka sangka sedang menyaksikan atau merakam apa yang berlaku,” selar Mahathir yang dipetik The Star.

Mahathir turut mendakwa Unit Amal PAS “yang berbaju merah” dan “dilatih khas oleh PAS untuk menggunakan keganasan” turut terlibat.

Mahathir turut berkata bahawa Marina tidak tercedera walaupun menyertai Bersih 2.0 dan Bersih 3.0 kerana beliau mengikut “arahan”.

“Ini kerana beliau tidak cuba untuk merobohkan benteng yang dibina pihak berkuasa. Beliau duduk apabila tiba di benteng. Kalau semua pendemo ikut cara beliau, semua tidak akan cedera,” hujah Mahathir lagi.

Marina, kata ayahnya, sudah pasti tahu akan peristiwa “benteng diceroboh”, “cermin kereta polis pecah” dan “kereta polis diterbalikkan”.

Membela pihak polis yang terbukti keganasannya daripada video-video yang dimuat oleh para peserta Bersih 3.0, Mahathir berkata polis yang diberi latihan khas untuk menangani keganasan ramai “akan menggunakan apa yang diajar untuk menangani sebarang situasi.”

Harakah Daily

Sudahlah dibelasah, nak solat tidak dibenarkan

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 10 Mei: Ahmad Shukri Kamarudin, 22, memberitahu beliau bukan sahaja dibelasah dengan teruk sehingga mendapat kecederaan di muka tetapi tidak dibenarkan untuk menunaikan solat.

Ahmad Shukri yang ditemui Harakahdaily turut menyatakan pada hari kejadian himpunan Bersih, beliau telah ditangkap pada jam 7 malam di sekitar Masjid India.

Namum ketika itu beliau sedang berehat serta tidak mempunyai apa-apa bukti yang mengatakan beliau menyerta himpunan tersebut, malah ketika itu sudah ramai orang awam datang untuk membeli belah di kawasan berkenaan.

"Saya berhenti rehat di kawasan tersebut bersama adik saya sekitar jam 7 malam dan ketika itu peserta himpunan telah bersurai malah terdapat orang ramai yang menghampiri kawasan tersebut untuk membeli belah.

"Namun ketika saya sedang rehat, saya perhatikan terdapat sekumpulan polis lebih kurang dua puluh orang sedang berjalan di kawasan tersebut dan saya beranggapan segalanya telah selesai," jelasnya yang ditemui di Kota Kemuning.

Tambahnya lagi, tetapi jangkaan itu meleset apabila kumpulan polis tersebut telah menghampirinya dan terus memukulnya serta adiknya.

"Saya dibelasah teruk oleh sekumpulan sepuluh orang polis begitu juga adik saya, ditumbuk mahupun ditendang di badan.

"Malah ketika saya jatuh mereka turut menendang muka saya menyebabkan cermin mata saya patah dan lebam di bahagian muka serta kecederaan pada bahagian hidung," cerita beliau.

Ahmad Shukri berkata, keganasan polis tidak hanya sewaktu beliau ditangkap malah beliau terus dipukul apabila melintasi mereka.

"Kebanyakan polis yang sedang duduk di tepi-tepi jalan juga tidak melepaskan peluang memukul saya, malah cacian juga dilemparkan.

"Sepanjang saya ke Kelab Diraja Selangor dari Masjid India sepanjang itulah saya terus dipukul sehinggakan beberapa gigi saya telah longgar akibat ditumbuk," katanya.

Beliau turut didesak oleh pihak polis yang mahu mengetahui berapa ringgit dibayar bagi menyertai himpunan tersebut.

Katanya, jika mengatakan tidak dibayar dan tidak menyertai himpunan beliau terus dipukul kerana polis tidak berpuashati dengan jawapan itu.

Menurutnya lagi ketika sampai ke Kelab Diraja Selangor beliau terus dipukul dengan teruk sehinggalah ditempatkan bersama-sama tahanan yang lain.

"Saya teruk dipukul dengan kejam tanpa belas kasihan tetapi kekejaman mereka tidak terhenti setakat itu sahaja, malah saya juga tidak dapat menunaikan solat Maghrib sedangkan ketika itu waktu Maghrib akan habis.

"Kecewa dengan sikap polis yang beragama Islam kerana tidak peka dalam soal ibadat, mereka sepatutnya beri peluang bukan menafikan," sambungnya lagi.

Beliau yang cedera di muka telah membuat pemeriksaan kesihatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), kecederaan di hidung menyebabkan darah terus keluar dua hari selepas himpunan tersebut.

Harakah Daily

Hanif prejudis, bagaimana boleh ketuai panel bebas?

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 Mei: Sebagai mantan Ketua Polis Negara, Tun Mohammad Hanif Omar seharusnya dikecualikan daripada menjadi ahli panel siasatan atas sebab konflik kepentingan kerana yang dituduh dalam kes Bersih 3.0 adalah pihak polis.

“Kedua, dengan mengutuk Bersih secara terbuka, prejudis Hanif yang berat sebelah juga harus mengecualikannya daripada panel tersebut,” kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (gambar).

Justeru, ujarnya perlantikan Hanif sebagai ketua panel penasihat bebas untuk menyiasat insiden keganasan semasa perhimpunan Bersih 3.0 telah menimbulkan kebimbangan rakyat dan persoalan sama ada siasatan itu akan mengaburkan kebenaran keganasan polis atas peserta yang berhimpun secara aman, menutup penderitaan mangsa-mangsa ataupun menjadi alasan untuk mewajarkan penipuan BN bahawa Bersih 3.0 merupakan cubaan rampasan kuasa.

Menurut Guan Eng, Hanif, yang kini menjadi timbalan pengerusi Genting Malaysia Bhd, telah mendakwa bahawa golongan pro-komunis telah terlibat dalam perhimpunan Bersih 3.0, dan telah menyokong dakwaan Perdana Menteri Najib Abdul Razak bahawa perhimpunan Bersih 3.0 adalah cubaan untuk menggulingkan kerajaan.

Katanya, Hanif telah menambah bahawa taktik menggunakan dalang pencetus provokasi untuk menyebabkan pertelingkahan dengan polis serta membawa kanak-kanak bersama dalam harapan mereka akan dicederakan merupakan taktik yang dipelajari oleh demonstrasi pro-komunis dahulu.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang mempersoalkan bagaimana Datuk Seri Najib Razak boleh menganggap Hanif sebagai seorang individu yang “berwibawa, berpengalaman dan dihormati” yang akan memastikan panel siasatan itu bersih dan tidak berat sebelah, apabila Hanif sudah pun mengambil pendirian yang prejudis dan partisan terhadap perhimpunan Bersih 3.0 sebagai cubaan untuk menggulingkan kerajaan.

“Yang tidak masuk akalnya, dakwaan rampasan kuasa oleh Najib dan Hanif itu telah mengabaikan hakikat bahawa enam wartawan tempatan dan 12 jurugambar dan wartawan media asing telah dilaporkan dipukul oleh polis semasa perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Tambahnya, yang lebih teruknya, Hanif kini dilantik untuk mengetuai panel siasatan, lantas menimbulkan keraguan terhadap integriti, kepercayaan dan kredibiliti hasil siasatannya.

Akhirnya, kata beliau dengan mengaitkan Bersih dengan komunis, Hanif masih lagi melawan musuh zaman dahulu, serta membuatkan hasil siasatan ini satu perkara yang sudah pasti.

“Untuk sebab-sebab ini, Perdana Menteri harus menyelamatkan atau memulihkan kredibiliti dan keyakinan umum bahawa “keadilan tidak hanya dilakukan tetapi juga dilihat sebagai dilakukan” dengan menggantikan Hanif dengan seorang yang bebas, tidak terlibat dalam politik, tidak berat sebelah dan seorang yang tegak berintegriti,” ujar Guan Eng lagi.

Harakah Daily

Mangkuk porselin China bernilai RM250,000

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

LONDON: Sebuah mangkuk kuning yang ditemui dalam tin biskut mengejutkan pemiliknya selepas dia dinilaikan berharga �50,000 (RM250,000).

Mangkuk porselin kecil itu yang nampak seperti mangkuk emping jagung, disahkan oleh pakar sebagai peninggalan abad ke-18 dari China. Ia digunakan oleh seorang gundik MaharajaYongzheng.

Mangkuk itu dibeli lama dulu oleh Mejar Leslie Marsham LVO, yang pernah berkhidmat di istana di raja dan bertanggungjawab terhadap kuda, di sebuah kedai antik.

Marsham yang tinggal di kuarters yang turut menempatkan kandang kuda berhampiran Istana Hampton Court, barat daya London, tidak menyedari mengenai nilai mangkuk berkenaan dan menyimpannya di belakang almari.

Selepas menyedari satu mangkuk yang serupa dilelong dengan harga yang tinggi tahun lalu, dia membungkus mangkuk dalam simpanannya dengan kertas tisu dan meletakkannya dalam tin biskut. Pakar di Syarikat Lelong Dorchester di Dorset mengesahkan ia bahan sejarah dan bernilai tinggi. Mangkuk itu hanya setinggi 18 sentimeter dan 15 sentimeter lebar, dibuat ketika pemerintahan Maharaja Yongzheng antara 1723 dan 1735.

Mangkuk porselin yang dikeluarkan pada zaman itu dianggap oleh pakar sebagai yang terbaik.

Mangkuk berwana putih di bahagian dalam dan kuning di luar hanya dikhususkan oleh istana maharaja untuk digunakan oleh gundik peringkat atasan. - DM

Najib tidak lena tidur dengan Bersih 3.0

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mendakwa Perdana Menteri Datuk Sri Mohd Najib Tun Razak kini tidak lena tidur lantaran berdepan isu Bersih 3.0 28 April lalu.

Ini kerana beliau tidak menduga jumlah orang keluar (menyertai Perhimpunan Aman Bersih 3.0 itu) begitu ramai hingga mencecah bilangan 300 ribu orang.

(Nik Amar menyampaikan sumbangan CSR kepada salah seorang penerima dengan diperhatikan CEO PMBK)

“Jadi ketakutan dia menghadapi kesedaran dan kebangkitan rakyat inilah menyebabkan dia menganggap ini (himpunan Bersih 3.0 itu) adalah usaha untuk menggulingkan kerajaan," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri bercakap kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Skim Bantuan Imam Al-Ghazali Siri Ke-4 kepada pelajar baru sesi 2012/2013 (Corporate Social Responsibility) di Nilam Puri dekat sini petang semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Ir Mustapha Salleh, Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK) Tengku Azmi Tengku Jaafar, Pengetua dan guru-guru YIK.

“Memang kita nak tukar kerajaan (yang ada sekarang) tetapi melalui kaedah pilihan raya, sebab itu kita nakkan pilihan raya itu adil dan bersih," katanya.

Beliau mendakwa, pilihan raya di Malaysia ini memang tidak adil.

“Dan selagi penambahbaikan (sistem pilihan raya) ini tidak dibuat, maka selama itulah pilihan raya itu berlangsung dalam keadaan yang tidak adil. Itu bendanya," jelas beliau.

Jadi, kata Nik Amar, perkara itulah PAS dan Pakatan Rakyat (PR) meminta supaya diperbetulkan keadaannya.

Kini Bersih 3.0 diadakan dengan harapan pihak kerajaan (Suruhanjaya Pilihan Raya) melalukan perubahan bagi menghadapi pilihan raya termasuk PRU-13.

“Sebab itulah kita meminta pilihan raya ini tidak diadakan sehinggalah pembetulan dan penambahbaikan sistem pilihan raya itu dilaksanakan," tegas beliau.

Beliau mendakwa PAS melihat sejak awal lagi bahawa pilihan raya mestilah adil dan bersih.

Dan mana-mana pihak yang nak menang, mestilah menang dengan mendapat sokongan melalui cara yang betul.

“Kalau orang ini (rakyat) sokong kerajaan dengan cara yang salah, cara tidak betul, memang tidak menjadi kerajaan yang baik.

“Sebab itulah kita mempertikaikan termasuk bagi duit (memberi wang kepada rakyat) terutama dekat dengan pilihan raya.

“Kalau nak tolong rakyat, kenapa tidak dibuat lebih awal. Kenapa masa (hampir dengan) pilihan raya baru dibuat (diberi wang kepada rakyat),” tegasnya.

Harakah Daily

The Blues terima hukuman

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

PENGURUS Chelsea, Roberto Di Matteo tidak sesekali menyesal dengan keputusannya merehatkan lapan pemain yang beraksi pada saingan merebut kejuaraan Piala FA, Sabtu lalu ketika tumpas 1-4 pada aksi balas dendam Liverpool di laman sendiri, semalam.

“Keputusan dibuat bukan sebarangan atau sengaja mengambil risiko. Tetapi saya mahu beri lebih banyak peluang kepada pemain lain.

“Liverpool beraksi lebih baik sementara kami melalui perlawanan yang sukar,” katanya.

Awal pagi semalam, The Reds menguasai permainan pada perlawanan terakhir di gelanggang sendiri musim ini mendahului 3-0 dalam tempoh hanya 30 minit.

Kelemahan jentera pertaha­nan musuh digunakan sepenuhnya untuk memalukan The Blues dihadapan penyokong lawan dengan kemenangan 4-1, sekali gus mengetepikan mereka daripada tangga keempat Liga Perdana Inggeris.

Chelsea kini menghuni tangga keenam liga, rekod terburuk dicatat sejak satu dekad. Bahkan mereka perlu menang Liga Juara-Juara untuk layak secara automatik ke saingan itu musim depan.

Sinar Harian

Hill akui gelisah jumpa City

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

PERTAHANAN Queens Park Rangers (QPR), Clint Hill akui gelisah dengan pertemuan terakhir menentang Manchester City, Ahad ini.

Andai tewas kemungkinan mereka akan terjemurus ke Divisyen 1 musim depan, dan kini mengharapkan ehsan kekalahan Bolton Wanderers yang akan bertemu Stoke City.

“Perasaan sekarang bercampur aduk sehingga saya sendiri tidak tahu apa perlu dilakukan. Ibaratnya seperti dihunus pedang tajam.

“Sebagai pemain profesional, sudah tentu ia amat perit apabila ditewaskan.

“Tetapi, apa pun terjadi, kami perlu fokus pada pertemuan menentang City,” katanya.

Sinar Harian

Dalglish: Sudah cukup

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

MENAMATKAN kempen di laman sendiri dengan menumbangkan Chelsea 4-1, selain hampir menggenggam trofi Piala FA sudah cukup buat pengurus Liverpool Kenny Dalglish tidur lena.

“Walaupun tidak bergelar juara Piala FA, tetapi kami berjaya membuktikan keupayaan pasukan dan bangkit daripada aksi yo-yo untuk berada di tangga kelapan liga.

“Saya amat berpuas hati dengan keputusan dan corak permainan dipamerkan pemain. Kami turun ke Wembley, kemudian menyambut kedatangan The Blues dengan keputusan yang boleh dibanggakan.

“Saya harap kemenangan ini bakal mengembirakan semua pihak terutama penyokong The Reds,” katanya.

Sinar Harian