14 Jun 2012

Penjual belon dijel dua tahun

24 Rejab 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Gara-gara ceroboh, seorang penjual belon menerima padah apabila dijatuhi hukuman dua tahun penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Hukuman terhadap Muhammad Hafiz Abdullah, 20, dari Jalan Kuala Krai di sini, dibuat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menceroboh ruang pejabat sebuah kedai kain di Jalan Temenggong di sini, pada jam 5.30 petang, 5 Jun lalu.

Dalam kejadian itu, pengadu yang juga pekerja di kedai berkenaan, terdengar bunyi objek terjatuh di tingkat atas pejabat sebelum memaklumkan kepada seorang lagi pekerja lelaki.

Pekerja lelaki berkenaan kemudiannya naik dan ternampak tertuduh menuju ke tingkap sebelum berlaku pergelutan dan menangkap tertuduh.

Dia kemudiannya diserahkan kepada pihak polis dan dihadapkan ke mahkamah.

Pada prosiding semalam, Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly memutuskan hukuman penjara itu selepas tertuduh mengaku bersalah.

Hukuman berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.

Sinar Harian

Maut dibunuh rakan serumah

24 Rejab 1433H. [MOD] -

KULAIJAYA – Seorang lelaki maut selepas dicederakan dengan pisau oleh enam penyamun warga Vietnam dalam kejadian di Taman Senai Baru, di sini, kira-kira jam 11.30 malam kelmarin.

Bagaimanapun, isteri mangsa bernasib baik kerana tidak diapa-apakan oleh enam penjenayah itu yang mana dua daripada mereka merupakan rakan serumah pasangan suami isteri tersebut.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, ketika kejadian, mangsa, Low Kwang Kean, 41, yang berasal dari Perak dan isterinya, seorang warga Vietnam berusia 30 tahun sedang berada di dalam bilik sebelum didatangi enam lelaki Vietnam termasuk dua rakan serumah mereka.

“Pada kira-kira jam 11.30 malam, pintu bilik mereka tiba-tiba diketuk. Apabila Kwang Kean membukanya, didapati beberapa lelaki berada di hadapan pintu, termasuk dua daripada mereka merupakan teman serumah mereka.

“Kemudian salah seorang suspek menolak mangsa hingga terjatuh lalu dia dan isterinya diikat,” katanya di sini, semalam.

Zulkefly berkata, suspek telah meminta wang daripada mangsa dalam kejadian itu sehingga menyebabkan berlakunya pertengkaran di antara mereka.

“Isterinya kemudian dikeluarkan daripada bilik berkenaan manakala mangsa ditinggalkan bersama seorang lagi suspek.

“Isteri mangsa hanya menyedari suaminya ditinggalkan berlumuran darah di dalam bilik selepas kesemua suspek melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang bekerja di kilang berhampiran cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai dicederakan dengan pisau.

Zulkefly berkata, motif kejadian dipercayai samun dan pihak polis giat mengesan tiga lelaki Vietnam dikenali sebagai Nguyen Trong Phuong, Tuan Anh dan Ho Chong Trong bagi membantu siasatan.

“Mangsa mengalami kerugian wang tunai RM10,000 selain seutas rantai leher emas dan sepasang subang emas serta enam telefon bimbit.

“Orang ramai diminta tampil membantu siasatan sekiranya mempunyai sebarang maklumat,” katanya

Sinar Harian

Penganggur didakwa tipu RM40,000 wang pesara

24 Rejab 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan menipu seorang pesara menyebabkan warga emas terbabit menyerahkan RM40,000 kepadanya, tahun lalu.

Tuduhan terhadap Shee Fook, 64, dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun dan 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan tuduhan dihadapi Fook, dia bersama tiga yang masih bebas didakwa memperdaya Mohd Nor Mat Hassan, 76, sehingga mangsa menyerahkan RM40,000 bagi tujuan mengelak pengenaan cukai pendapatan berserta dengan pembayaran sewa tanah sebanyak lima tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 3.15 petang, 7 Ogos di sebuah kedai makan di Jalan Kebun Sultan, di sini.

Dia yang berasal dari Kampung Kuala Satap Sebuti, Sarawak itu, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah.

Susulan penafian itu, Majistret Mohd Hafiz Mohd Noor menetapkan 12 Ogos depan sebagai sebutan semula kes, sementara tertuduh dibenarkan diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Mohd Hafiz Abd Rahman

Sinar Harian

Pengawal mati kena pukul

24 Rejab 1433H. [MOD] -

KAJANG – Akibat perselisihan faham, seorang pengawal keselamatan mati dipukul rakan sendiri selepas minum di Pusat Komersial Taman seri Langat 2, Jalan Reko, dekat sini kira-kira jam 3.15 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner, Ab Rashid Ab Wahab berkata, berdasarkan keterangan saksi di kawasan kejadian, mangsa, Saikaran Thamotaran, 50, bersama seorang rakannya datang ke kedai berdekatan untuk minum sekitar jam 2.45 petang.

Menurutnya, bagaimanapun selepas setengah jam, kedua- dua dikatakan bertengkar di hujung bangunan kedai tersebut sebelum salah seorang daripada mereka mencapai sebatang besi paip lalu memukul mangsa.

“Mangsa yang cedera teruk di kepala mati di tempat kejadian, manakala suspek melarikan diri bagaimanapun telah dikenal pasti dan pihak polis dalam usaha menjejakinya.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sinar Harian

Pemandu van maut

24 Rejab 1433H. [MOD] -

PASIR MAS – Seorang pemandu van Pos Laju maut apabila terlibat dalam kemalangan di Kilometer 10, Lebuh raya Pasir Mas-Rantau Panjang, jam 4 petang, semalam.

Mangsa, Zulfakar Daud, 38, dipercayai bergesel dengan lori muatan tanah, Perodua Kancil dan Proton Saga. Pemandu lori tanah, Ibrahim Ahmad, 54 dilaporkan kritikal, selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Manakala pemandu Proton Saga, Vinson Koh Jin Gee, 41, dan pemandu Kancil, Abdul Karim Omar, 46, mengalami kecederaan ringan dan mendapat rawatan di Hospital Pasir Mas.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, pemandu van dipercayai cuba memotong kenderaan di hadapan, namun tidak sempat mengelak, lalu bertembung dengan lori dari arah bertentangan.

Menurutnya, Zulfakar memandu van dari arah Pasir Mas menuju ke Rantau Panjang, bergesel dengan lori seterusnya melanggar Perodua Kancil di belakangnya.

“Perlanggaran itu menyebabkan lori terbabas, sebelum menghempap Proton Saga yang dipandu Vinson,” katanya semalam.

Beliau berkata, kemalangan ini menyebabkan Zulkafar, Vinsondan Ibrahim tersepit 10 minit, sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan Penyelamat Pasir Mas.

Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Pasir Mas, bagi rawatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi diminta tampil untuk memberikan maklumat berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Abdul Karim berkata, dia tidak menyangka akan terselamat dalam kemalangan ngeri ini.

“Kejadian berlaku terlalu pantas dan saya masih ingat kejadian yang berlaku di depan mata saya,” katanya.

Abdul Karim yang mengalami kecederaan ringan, dibenarkan pulang selepas mendapat rawatan di hospital.

Pegawai Kanan Bomba II (PBK), Che Kadir Che Ya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.10 petang dan bergegas ke tempat kejadian dengan kekuatan enam anggota.

“Kita berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit 10 minit kemudian dan tiada kebocoran minyak dilaporkan,” katanya, semalam.

Sinar Harian

Kemalangan: Kepala tersepit bawah kereta

24 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Seorang pemuda berdepan detik mencemaskan apabila tersepit di bawah kereta jenis Perodua Myvi, hampir sejam dalam satu kejadian di persisiran Pantai Tok Jembal, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 7.40 malam itu, mangsa, Amir Hussin, 20-an, dari Kampung Jabi, Jertih difahamkan memilih kawasan berpasir itu bagi rehatkan badan sementara menunggu teman wanitanya keluar makan malam bersama.

Bagaimanapun, hasratnya terbantut apabila kereta milik teman wanitanya itu terbenam dalam pasir pantai dan pemuda itu kemudiannya bertindak guna ‘jek’ kereta dengan beralaskan batu bukit bagi mengalih kenderaan itu.

Menurut Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Mohd Fauzi Mohd Yazid, kepala mangsa terperangkap di bawah kereta tersebut kerana ‘jek’ kereta yang digunakan tiba-tiba bengkok menyebabkan tayar kereta berkenaan semakin masuk ke dalam pasir.

“Mangsa yang meniarap tidak sempat selamatkan diri kerana ia berlaku begitu pantas. Bagaimanapun, dia sempat hubungi teman wanitanya bagi dapatkan bantuan bomba.

“Kami ambil masa kira-kira lima minit menarik keluar mangsa tersepit bawah kereta. Mangsa yang separuh sedar alami kecederaan di bahagian bahu dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah bagi rawatan susulan,” katanya.

Sinar Harian

Nazmi Faiz teruja galas cabaran di Portugal

24 Rejab 1433H. [MOD] -

PERANCANG utama Harimau Muda, Muhammad Nazmi Faiz Mansor sudah bersedia untuk memperlihatkan aksi dan cabaran terbaik apabila menyarung jersi Beira-Mar bulan depan.

Nazmi yang muncul sebagai pemain pertama negara beraksi di Liga Portugal berkata, persiapan dari segi fizikal dan mental bertambah baik sambil mengakui teruja untuk beraksi bersama kelab Portugal tersebut.

Katanya, dia optimis mampu menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di Eropah berbekalkan pengalaman menjalani sesi pemilihan pemain Beira-Mar bulan lalu.

"Selepas menjalani ujian tersebut, saya yakin tiada masalah berhubung penyesuaian diri dari faktor cuaca, pemakanan dan corak permainan di sana.

"Fokus utama saya adalah memberikan aksi terbaik ketika beraksi di Portugal kelak.

"Selain itu, saya juga mahu menumpukan perhatian bersama skuad Harimau Muda yang akan menentang Qatar bawah 22 tahun pada Ahad ini," kata beliau kepada pemberita ketika ditemui pada majlis kesyukuran di Lembah Keramat, Kuala Lumpur malam tadi.

Sementara itu, bapa Nazmi, Mansor Mustapha memberitahu bahawa anaknya bakal menandatangi kontrak secara rasmi bersama Beira-Mar pada 17 Ogos ini.

Jelasnya, Nazmi akan ditemani kakaknya, Dr. Nazirah Farhah yang dilihat langkah terbaik untuk memberikan sokongan dari ahli keluarga terdekat.

Malah, Mansor yakin kehadiran Nazirah mampu menyuntik motivasi pemain itu untuk memberikan persembahan mantap ketika bersama Beira-Mar.

"Nazmi bakal menandatangani kontrak pada 17 Ogos ni secara rasmi selepas usia Nazmi genap 18 tahun.

"Ejen Nazmi bersama jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee akan menyelesaikan urusan berkait dengan permit kerja dan sebagainya bersama kedutaan Malaysia di sana.

''Saya juga berdoa supaya dia berjaya di sana dan mengucapkan terima kasih kepada yang menyokong karier Nazmi.

"Dan, saya yakin dengan kehadiran ahli keluarga ketika Nazmi berada di Eropah mampu memberikan semangat lebih kepada Nazmi nanti," katanya.

Pemain berusia 18 tahun itu berjaya mengikat kontrak tiga tahun bersama kelab Portugal tersebut.

Kejayaan Nazmi itu hadir sejurus pemain kelahiran Kuala Lumpur itu berjaya menarik perhatian pihak pengurusan Biera-Mar pada ujian pemilihan pemain pada Mei lalu.

Sinar Harian

Himpunan Hijau ke negeri pula, Perak 16 Jun

24 Rejab 1433H. [MOD] -

IPOH: Setelah berjaya mengadakan Himpunan Hijau Menuju Putrajaya peringkat pusat 1 Jun lalu, himpunan ini akan diadakan di peringkat negeri-negeri pula.Himpunan peringkat negeri Perak akan berlangsung pada 16 Jun ini.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Misbahul Munir Masduki berkata, himpunan ini akan diadakan di Markas PAS Masjid Tinggi, Bagan Serai jam 9.00 malam.

Menurutnya, program itu akan dihadiri oleh Mursyidul AM PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat dan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Datuk Fauzi Shaari.

“Semua pimpinan PAS Perak akan turun bersama-sama dalam himpunan ini bagi meneruskan momentum gelombang Hijau ke Putrajaya yangdiadakan di Stadium Darul Aman baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Katanya, beberapa kejutan akan berlaku termasuklah pengiytiharan bekas pegawai tinggi kerajaan menyertai PAS dan akan menyerahkan borang permohonan keahlian kepada Tuan Guru Nik Aziz.

“Justeru saya mewakili PAS Perak menyeru seluruh rakyat negeri ini turun beramai-ramai bagi meneruskan gelombang yang digeruni Umno ini,” ujarnya.

Sementara itu, Xpresi Hijau Anak Muda pula akan berlangsung di sebelah petangnya.
Menurut Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak, Dr Raja Ahmad Al-Hiss ketika ditemui berkata, program ini sebagai menyahut seruan Ketua Pemuda PAS Malaysia untuk meneruskan gelombang perubahan anak muda dinegeri-negeri.

“Program bermula dengan Konvoi bersama Tuan Guru Nik Aziz di Tol Bukit Merah jam 10 pagi seterusnya menuju ke Markas PAS Masjid Tinggi, Bagan Serai.

“Pemuda akan berkumpul bersama kepimpinan Pemuda PAS Negeri di Markas tersebut dan beberapa aktiviti telah disusun seterusnya bersama-samadalam Himpunan Hijau di sebelah malamnya,” jelasnya.

Raja Ahmad menjelaskan, beberapa penampilan istimewa dijemput untuk memeriahkan suasana termasuklah penyanyi yang terkenal dengan lagu Selagi Ada Rindu, Pak Long.

“Saya menyeru anak muda di seluruh pelusuk negeri hadir ke program ini dan dicadangkan memakai baju hijau,” jelas Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia itu.

Harakah Daily

Ada pihak ugut juru ukur Lebuhraya Rakyat

24 Rejab 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: Ekoran tindakan pihak tertentu ‘mengugut’ juru ukur asal yang bertanggungjawab untuk membina Lebuhraya Rakyat sejauh 73 kilometer itu, kerajaan negeri terpaksa melantik tujuh juru ukur yang baru bagi melicinkan perjalanan pembinaan lebuhraya itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan danKebajikan Negeri, Datuk Husam Musa (gambar), berkata pembinaan lebuh raya itu masih mengikut jadual walaupun terdapat usaha untuk mengganggu kontraktor yang terlibat, termasukjuru ukurnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat exco semalam ketika mengulas perjalanan pembinaan Lebuhraya Rakyat.

Jelasnya lagi, kontraktor yang dilantik masih lagi kuat dengan ikatan perjanjian walaupun pihak tertentu cuba untuk ‘menghasut’ agar tidak terlibat dengan pembinaan lebuhraya itu.

Mengulas mengenai kritikan sinis pihak tertentu yang meragui usaha pembinaan tersebut, Husam berkata, beliau tidak akan memberi banyak reaksi sebaliknya menunjukkan usaha itu melalui tindakan.

“Saya tak akan jawab lisan, sebaliknya melalui tindakan, kita buat insyaallah biar sampai berjaya. Kita juga sudah melantik kontraktor,” katanya.

Husam juga turut mendedahkan sambutan masyarakat Kelantan termasuk di luar untuk turut menderma pembinaan lebuh raya ini begitu membanggakan.

“Mereka sedar betapa pentingnya dalam Islam mengenai konsep wakaf yang diperkenalkan mendapat sambutan baik bukan sahaja dari segi kewangan malah perkhidmatan,” ujarnya.

Husam juga turut berkata, pihaknya akan melelong perkakasan pembinaan yang diserahkan kepada Kerajaan Negeri oleh peserta perhimpunan baru-baru ini.

“Kalau ada orang nak beli kita lelong, sekarang ni kita dah tak guna canggkul, sikul lagi dah, zaman dah semakin moden guna jentolak terus,”ujarnya dengan nada sinis.

Beliau dipercayai mengulas tindakan sekumpulan penyokong Umno yang berdemo depan Kota Darulnaim yang menyerahkan peralatan pembinaan kepada kerajaan negeri.

Beliau juga turut melahirkan rasa hairan usaha dibuat kerajaan negeri diganggu, diejek, sedangkan cadangan pembinaannya ditarik balik sebelum ini.

Lebuh raya sepanjang 73 kilometer itu bertujuan menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas terutama di musim perayaan dan cuti sekolah apabila rakyat Kelantan dari luar pulang ke kampung halaman masing-masing.

Lebuhraya ini dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

Lebuhraya tanpa tol, dengan empat lorong (dua lorong sehala) itu turut dilengkapi dengan kawasan rehat dan rawat (R&R).

Harakah Daily

Daftar: Pakatan Rakyat tunggu penjelasan ROS

24 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail memberitahu Jawatankuasa Penaja Pakatan Rakyat yang dipengerusikan oleh Datuk Kamarudin Jaffar masih menunggu jawapan dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berhubung dengan permohonan terbaru.

Tambah beliau ketika ditemui di lobi Parlimen sebelum ini ROS menolak permohonan pendaftaran kerana Datuk Zaid Ibrahim yang bertindak sebagai pengerusi jawatankuasa tersebut telah keluar dari Pakatan Rakyat.

"Penjelasan kita apabila ROS menolak pendaftaran tersebut dengan alasan bahawa Zaid tidak lagi bersama Pakatan, kita telah mengadakan mesyuarat agung luar biasa dan telah melantik Kamarudin sebagai pengerusi.

"Setelah itu senarai baru secara rasmi telah kita kemukakan kepada ROS, selepas itu mereka kata tidak boleh proses kerana nama permohonan terdahulu yang dipengerusikan oleh Zaid masih ada," katanya.

Jelasnya lagi, setelah jawapan tersebut sehingga sekarang ROS tidak membuat sebarang keputusan apa tindakan selanjutnya.

"Sekarang segala-galanya ada pada ROS mereka perlu jelaskan dan perkara ini perlu disegerakan.

"Kita telah penuhi segala kriteria yang telah ditetapkan yang melayakkan untuk diberi kelulusan tetapi ini tidak berlaku," sambungnya lagi.

Saifuddin menyatakan perkara itu telah dibincangkan pada Majlis Presiden dan telah membuat ketetapan jika penolakan berlaku ke atas permohonan yang dibuat oleh Jawatankuasa Penaja yang baru yang diketuai Kamarudin yang turut diwakili oleh wakil-wakil parti maka permohonan baru akan dikemukakan.

"Permohonan baru ini akan memasukkan nama-nama besar dalam Pakatan Rakyat iaitu pemimpin-pemimpin utama seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mahupun Lim Kit Siang.

"Inilah tindakan seterusnya yang kita akan lakukan, tetapi sekarang kita menunggu jawapan dari ROS terhadap permohonan sebelum ini," kata Ahli Parlimen Machang itu lagi.

Harakah Daily

Dewan Rakyat tolak usul bincang kekejaman Syria

24 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat menolak usul yang dikemukakan Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) bagi membincangkan kekejaman pembunuhan yang kini sedang berlaku dengan rakusnya di negara Syria.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Panglima Pandikar Amin Mulia menolak usul tersebut kerana tidak mahu campur tangan dalam kemelut yang berlaku di negara itu.

Menurut Salahuddin, usul tersebut sebagai menyatakan keprihatinan dalam soal kemanusiaan terhadap nasib rakyat Syria yang kini berdepan dengan pembunuhan.

Kini katanya, Presiden Bashar Al-Assad sedang memerangi rakyatnya dengan cara yang amat kejam dan tidak berperikemanusiaan apabila menggunakan senjata berat seperti meriam dan bedilan kereta kebal bagi menghalang bantahan yang sudah sekian lama berlaku.

"Malaysia salah satu anggota OIC perlu memainkan peranan pro-aktif terhadap bantahan kepada pemerintah Syria yang menggunakan kekejaman dan pembunuhan tidak terkawal. Mana mungkin kita negara OIC tidak berbuat apa-apa dalam isu ini," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen.

Beliau juga menafikan perbincangan isu ini sebagai tindakan campur tangan sebaliknya mahu melahirkan pandangan bagi mengelakkan rakyat tidak berdosa terus menjadi mangsa.

Malah katanya, Dewan Rakyat pernah meluluskan dan membahaskan usul pembunuhan beramai-ramai di Tak Bai Thailand, di Lubnan dan Jordan antara tahun 2004 hingga 2008.

"Atas isu kemanusiaan usul tersebut diluluskan untuk dibahas, malangnya kali ini kita usulkan isu di Syria yang hampir sama sebelum ini, ditolak," katanya.

Apa yang berlaku di Syria, bagi Salahuddin ianya bertambah meruncing berikutan serangan senjata berat tidak mengenal siapa sasarannya menyebabkan orang tua, wanita dan kanak-kanak turut terbunuh.

Kekejaman ini, katanya perlu dihentikan segera dan Malaysia perlu menghantar signal jelas kepada pemerintah Syria atas kekejaman yang dilakukan.

Jelasnya, Malaysia perlu mengambil pendirian tegas memulakan protes bantahan dengan mengarahkan penutupan Kedutaan Syria di Kuala Lumpur sebagai bantahan awal.

Sementara itu, Datuk Kamarudin Jaffar (PAS-Tumpat) akan mengusulkan agar Dewan Rakyat turut membincangkan masalah pembunuhan warga Rohingya di Mynamar.

"Kita desak Malaysia sebagai anggota Asean bertanggungjawab membantu menyelesaikan isu tumpahan darah yang berlaku di Myanmar, dalam masa terdekat ini," katanya dalam sidang media bersama.

Harakah Daily

Sukuk kekal: PAS mohon penjelasan pelaburan KWAP

24 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PAS memohon penjelasan kerajaan terhadap tindakan membenarkan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melanggan sepenuhnya bahagian pertama RM1.0 bilion Sukuk Juniro Kekal terbitan Malaysian Airline System Bhd (MAS).

AJK PAS Pusat Dr. Dzulkefly Ahmad mempersoal bagaimana pelaburan itu boleh dibuat sedangkan ianya sangat berisiko apatah lagi melibatkan wang pencen rakyat.

"Bon ini tidak ada penarafan, tidak ada jaminan, tiada tempoh masa dan sangat berisiko tinggi.

"Sebab itu kita mintak penjelasan kerajaan kenapa KWAP melanggan," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor.

MAS sebelum ini menerbitkan Program Sukuk Juniro Kekal RM2.5 bilion, dengan bahagian pertama sebanyak RM1.0 bilion dilanggan sepenuhnya oleh KWAP.

Sukuk itu yang merupakan tunggak pelan pembiayaan syarikat penerbangan itu bagi meningkatkan modal asas, diurus oleh Maybank Investment Bank Bhd.

Sukuk kekal ini membolehkan syarikat itu memperbaiki lembaran imbangan dan nisbah hutang memandangkan ia diperakui sebagai modal ekuiti dalam standard perakaunan Malaysia, dan menyediakan kadar pembiayaan jangka panjang yang munasabah sebanyak 6.9 peratus setahun, katanya.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata ini adalah kali pertama sukuk kekal diterbitkan di negara ini.

Menurutnya lagi, biarpun dibayar dengan kadar 6.9 peratus, namun ianya sangat berisiko apatah lagi ianya tiada tempoh matang dan tiada had masa.

Beliau juga mengingatkan bahawa MAS telah tiga kali diselamatkan atau ‘bailout’ oleh kerajaan.

Meskipun sukuk kekal tidak datang dengan jaminan oleh kerajaan, beliau amat khuatir bahawa ia akan berakhir dengan dana KWAP berdepan dengan risiko kerugian dan bakal sekali lagi diselamatkan oleh kerajaan atas nama menjaga kepentingan dana rakyat.

Justeru beliau mahukan semua terma dan syarat-syarat perjanjian pelaburan sukuk itu didedah kepada umum atas tuntutan ‘disclosure’ atau ‘keterbukaan’.

Beliau juga membangkitkan sejauhmana pematuhan Syariah produk 'perpetual bond' ini dan bertanyakan akan 'struktur kontrak' apa dalam syariah.

Tambah beliau lagi kedudukan Sukuk Juniro produk ini mendedahkan lagi KWAP kepada risiko tidak mendapat balik pinjamanya andainya MAS berdepan dengan masalah 'liquidation'.

Harakah Daily

Euro 2016: Rusia dihukum 'hilang enam mata'

24 Rejab 1433H. [MOD] -

RUSIA dikenakan hukuman dipotong enam mata oleh badan bola sepak Eropah, Uefa ekoran tindakan ganas peminatnya ketika perlawanan menentang Republik Czech, Jumaat lalu.

Hukuman ini dikenakan terhadap tindakan peminatnya melepaskan bunga api dan membawa kain-kain rentang sayap kanan termasuk kain rentang raksasa yang tertera mesej "This is Russia".

Dalam serangan penyokong Rusia ke atas pengelola, empat orang sedang dirawat di hospital. Kes itu turut disiasat oleh Uefa dan polis.

"Badan Kawalan dan Disiplin Uefa hari ini memutuskan untuk mengenakan pemotongan enam mata ke atas Kesatuan Bola Sepak Rusia dalam pusingan kelayakan kejohanan (Euro) akan datang.

"Keputusan digantung melibatkan sepanjang satu tempoh penilaian bermula sekarang hingga peringkat akhir perlawanan 'play-off' kejohanan Euro 2016," kata kenyataan Uefa semalam.

Hukuman dipotong enam mata itu akan dikuatkuasakan ketika kempen pusingan kelayakan Euro 2016. Pasukan Rusia juga dikenakan denda £96,000 (120,000 euro).

Rusia, yang menganjurkan kejohanan Piala Dunia 2018 kemungkinan akan berhadapan dengan sekatan susulan ekoran tindakan penyokongnya terlibat dalam keganasan sebelum pertemuan negara itu dan pasukan tuan rumah Poand kelmarin.

Kedua-dua Rusia dan Poland seri 1-1. Polis Poland telah menahan lebih 120 orang manakala 10 orang cedera.

Sinar Harian

TERKINI: Jerman atasi Belanda 2-1

24 Rejab 1433H. [MOD] -

[DIKEMAS KINI] Pertemuan Jerman dan Belanda dalam Kumpulan B kejohanan Euro 2012, yang selesai awal pagi ini (waktu Malaysia) menyaksikan persembahan menarik dengan finalis empat tahun lalu memperoleh mata penuh untuk menerajui tangga teratas grup itu.

Atas kertas Jerman sudah pun cukup selesa untuk mara ke suku akhir manakala peluang Belanda masih ada tetapi tipis kerana ia bergantung pada keputusan perlawanan ketiga Kumpulan B, Sabtu ini.

Pada aksi babak pertama, penyerang prolifik Belanda dan Arsenal, Robin Van Persie berjaya melepasi benteng Jerman seawal minit keenam, namun penjaga gol, Manuel Neuer pantas menyelamatkan bola. Selepas itu, giliran Mesut Ozil menguji gawang The Oranje pada minit ketujuh tetapi ditangkap kemas oleh Maarten Stekelenburg.

Penyerang Jerman, Mario Gomez menjaringkan gol pertama pasukannya pada minit ke-23. Gomez sekali lagi mempamerkan aksi garang apabila menambah gol selepas menerima hantaran satu dua pada minit ke-38 dari sudut kiri gawang Belanda sekali gus menjadikan tiga gol peribadinya setakat ini.

Masuk babak kedua, Belanda dan Jerman mempamerkan aksi yang sengit dan rancak apabila serangan demi serangan dilakukan.

Belanda yang terdesak mencari gol akhirnya terhasil apabila Van Persie menyumbat gol pertama pada minit ke-73.

Selepas itu, Belanda kembali bersemangat dan membuat asakan bertubi-tubi tetapi malangnya sudah terlambat. Nasib tidak menyebelahi mereka dan terpaksa menelan kepahitan selepas tiupan wisel penamat daripada pengadil.

Para peminat bola sepak pastinya berasa terhibur dengan gaya persembahan dua pasukan terkuat Eropah ini dalam perlawanan yang dianggap 'perlawanan legenda' seperti mana yang dikatakan oleh pengendali Jerman, Joachim Loew.

Belanda yang turun untuk misi mengutip tiga mata penuh pada hari ini cuba bermain mati-matian menentang skuad Loew.

Pasukan Belanda dilihat mendominasi perlawanan hari ini dan melancarkan asakan bertubi-tubi ke arah kubu lawan tetapi gagal.

Dengan keputusan ini, Jerman mengutip enam mata manakala Portugal dan Denmark tiga mata manakala Belanda di tangga bawah sekali tanpa sebarang mata.

Sebentar tadi, Portugal merakam kemenangan dramatik menumpaskan Denmark 3-2. Belanda tewas 1-0 di tangan Denmark pada 9 Jun lalu dan Jerman menang ke atas Portugal 1-0.


Sekilas fakta permainan (masa penuh):

- Kedudukan gol: Jerman (2); Belanda (1)

- Penguasaan bola: 47% (Jerman); 53% (Belanda)

- Sasaran ke gawang: 12 (Jerman); 12 (Belanda)

- Sepakan penjuru: 5 (Jerman); 6 (Belanda)

- Kad kining: 1 (Boateng, Jerman); 2 (De Jong dan Willems, Belanda)



Barisan pasukan Belanda:

1. Maarten Stekelenburg
2. Gregory Van Der Wiel
3. John Heitinga
4. Joris Mathijsen
15. Jetro Willems
6. Mark Van Bommel (k)
8. Nigel De Jong
10. Wesley Sneijder
11. Arjen Robben
16. Robin Van Persie
20. Ibrahim Afellay

Barisan pasukan Jerman:

1. Manuel Neuer
5. Mats Hummels
14. Holger Badstuber
16. Phillip Lahm (k)
20. Jerome Boateng
6. Sami Khedira
7. Bastian Schweinsteiger
8. Mesut Ozil
13. Thomas Muller
10. Lukas Podolski
23. Mario Gomez

Sinar Harian

Kes rasuah Sri Wahyuni, Indonesia tahan 2 lelaki Malaysia

24 Rejab 1433H. [MOD] -

JAKARTA - Dua lelaki warga Malaysia ditahan oleh Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) Indonesia semalam kerana disyaki memainkan peranan dalam membantu suspek kes rasuah Neneng Sri Wahyuni melarikan diri daripada buruan suruhanjaya itu sejak tahun lepas.

Mereka ditahan di ibu negara Indonesia.

Timbalan Ketua KPK, Bambang Widjojanto berkata, kedua-dua warga Malaysia itu ditahan di dua lokasi berasingan manakala Neneng ditangkap di rumahnya di Pejaten, Jakarta Selatan sebaik tiba dengan sebuah teksi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta di sini.

"Kami sedang menyiasat peranan kedua-dua lelaki itu dalam pelarian Neneng selama beliau berada di Malaysia," katanya pada sidang media di pejabat KPK di sini malam tadi.

Katanya, salah seorang daripada dua lelaki Malaysia itu merupakan orang penting dalam kerajaan di Malaysia. Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan sama ada lelaki itu memegang jawatan penting dalam kerajaan negeri atau pusat.

Adalah difahamkan seorang lelaki Malaysia itu ditahan selepas menemui suami Neneng, Muhammad Nazaruddin, di penjara di sini manakala seorang lagi ditahan di sebuah hotel di sini.

Bambang berkata, KPK sebelum itu telah mendapat maklumat bahawa Neneng akan berlepas dari Kuala Lumpur malam tadi dan bermalam di Batam, Indonesia, sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Jakarta dengan menaiki pesawat hari ini.

Pada Ogos tahun lepas, Muhammad Nazaruddin, iaitu bekas bendahari Parti Demokrat ditahan di Colombia dan dibawa ke sini atas dakwaan rasuah.

Pasangan suami isteri itu disyaki terbabit dalam skandal rasuah melibatkan jutaan ringgit dalam projek Pengadaan Pembangkit Listrik Surya (PLTS) di
Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi antara 2008 hingga Ogos 2011.

Berdasarkan siasatan polis Indonesia, Nazaruddin dipercayai melarikan diri ke Singapura, Vietnam, Kemboja dan Colombia.

Isterinya Neneng yang turut didakwa terbabit dalam skandal rasuah berprofil tinggi itu dipercayai meninggalkan anak-anaknya di Kuala Lumpur dan sering menemani suaminya berpindah dari sebuah negara ke negara lain. - Bernama

Sinar Harian