14 Jun 2012

Syria meruncing, Iraq digegar bom

24 Rejab 1433H. [MOD] -

BEIRUT: Pertumpahan darah berterusan di rantau Arab selepas 72 maut di Syria akibat bedilan askar kerajaan manakala 61 lagi penduduk Syiah Iraq terbunuh kerana letupan bom ketika dalam perjalanan ke makam Imam Musa Kadhim semalam.

Majoriti daripada yang terbunuh adalah orang awam termasuk seorang wanita dan lima anaknya, kata pergerakan Syrian Observatory for Human Rights, awal minggu ini.

Di Aleppo, tentera kerajaan membedil beberapa perkampungan menyebabkan 19 orang maut termasuk 13 wanita dan kanak-kanak.

“Mayat seorang wanita dan lima kanak-kanak yang diculik pada Isnin lalu ditemui di perkampungan Qustal Mukhtar, Aleppo.

Pertubuhan Britain itu juga berkata, yang terbunuh termasuk 24 anggota tentera serta seorang pegawai.

Di wilayah Homs, kawasan itu terus dibedil menyebabkan 18 orang awam terbunuh membabitkan kubu pemberontak di Khalidiyeh, Rastan dan Qusayr.

Di Damsyik, seorang lelaki maut selepas diseksa anggota keselamatan. Selain itu, 13 lagi terbunuh di wilayah timur Deir Ezzor selepas tentera kerajaan mengepung dan membedil Jbeibla.
Pembangkang utama, Majlis Kebangsaan Syria yang juga penentang utama, mengutuk bedilan askar kerajaan sambil menyifatkannya kejam serta menuduh pemerintah mengada-adakan cerita bagi membunuh orang awam.

Keganasan meletus semula selepas ketua pengaman Pertubuhan-Bangsa Bersatu (PBB), Herve Ladsous memberi amaran bahawa perang saudara sudah meletus di Syria.

Lebih 14,100 orang maut sejak pemberontakan meletus terhadap pemerintahan Presiden Bashar al-Assad.

Di BAGHDAD, beberapa serangan menggegarkan Iraq ketika ramai penduduk Syiah menyambut ulang tahun kematian Imam Musa Kadhim menyebabkan 61 maut dan lebih 200 lagi cedera.

Serangan itu turut mencederakan wartawan agensi berita yang dilancarkan ketika penduduk Syiah itu dalam perjalanan ke makam Imam Musa, salah satu daripada tujuh imam utama Syiah, apabila satu bom kereta meletup.
– Agensi

Pelajar hilang lepas waktu rehat

24 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA SELANGOR – Gejalaponteng sekolah yang sering dilaporkan berlaku di sekitar daerah ini rata-ratanya berpunca daripada struktur pagar yang rosak sekali gus memudahkan pelajar menyelinap keluar ketika waktu rehat.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa sekolah termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang mendapati, pagar hijau yang menyembah bumi di belakang sekolah terbabit didakwa menjadi laluan pintas pelajar ponteng.

Dakwaan itu turut dipersetujui penduduk di Taman Purnama yang bersebelahan sekolah terbabit berikutan sering terlihat beberapa pelajar ponteng pada waktu rehat dan selepas musim peperiksaan.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Taman Purnama, Zulkifli Sudin berkata, keadaan pagar yang rosak dijadikan satu peluang buat pelajar sekolah untuk ponteng tanpa disedari guru.

“Saya turut menerima aduan daripada penduduk yang memaklumkan sering melihat kelibat remaja berpakaian sekolah keluar daripada laluan pagar terbabit namun tiada kuasa untuk menegurnya.

“Saya berpendapat pagar yang rosak ini perlu dibaiki segera memandangkan segelintir pelajar mengambil peluang untuk melarikan diri dan terjebak dengan perkara yang kurang sihat.

“Sudah pasti, remaja ini akan menghabiskan masa di kafe siber berdekatan untuk bermain permainan video online dan terikut dengan budaya tidak sihat sekali gus menghancurkan masa depan.

“Pemantauan pihak sekolah amat penting bagi menyelesaikan gejala ponteng ini dan kalau boleh, ada guru disiplin atau pengawal keselamatan menjaga laluan ini sementara menunggu kerja penambahbaikan,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Rantau Panjang, Bibit Mardzuki berkata, pihaknya mengakui ada rungutan daripada guru yang melaporkan kehilangan pelajar mereka.

“Untuk makluman, pagar terbabit sering kali dibaiki pihak sekolah setiap tahun, namun akibat vandalisme individu tidak bertanggungjawab, lokasi pagar lebih rendah daripada kawasan penempatan penduduk itu begitu mudah dipijak.

“Pihak sekolah tidak berpeluk tubuh sahaja melihat perkara ini dan memohon untuk membina pagar batu bernilai RM100,000 sebagai langkah penyelesaian, namun sehingga kini peruntukan masih belum ada,” katanya

Sinar Harian

AirAsia diperintah bayar RM646

24 Rejab 1433H. [MOD] -

ZOOLIHSAN menunjukkan pas daftar masuk penerbangan AirAsia selepas membuat tuntutan di Mahkamah TTPM di Putrajaya semalam.

PUTRAJAYA - Gara-gara menunda penerbangan sebanyak dua kali, syarikat penerbangan tambang murah AirAsia semalam diperintahkan oleh Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) agar memulangkan bayaran tiket seorang penumpang sebanyak RM646.

Penumpang itu yang merupakan Setiausaha Sulit Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Zoolihsan Ahmad, 37, menempah tiket penerbangan sehala ke Medan, Indonesia pada 20 Mei lalu atas urusan rasmi.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan ke Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang pada pukul 12.20 tengah hari, Zoolihsan menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada AirAsia berhubung penundaan penerbangan QZ 8055.

"Sepatutnya penerbangan saya ke Medan berlepas pukul 1.40 petang tetapi ditunda sehingga 8.40 malam. Jadi, saya mengambil keputusan untuk patah balik ke rumah kerana waktu yang ditunda terlalu lama.

"Sekitar pukul 7 malam saya kembali ke LCCT tapi sebaik sahaja sampai di kaunter AirAsia, saya dimaklumkan bahawa penerbangan itu sekali lagi ditunda kepada pukul 10.45 malam," katanya ketika ditemui di luar kamar TTPM di sini semalam.

Ekoran penundaan hampir sembilan jam itu, Zoolihsan terpaksa menghubungi Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk kepastian sama ada wajar atau tidak beliau berlepas ke Medan.

kosmo/-

Wanita maut dirempuh jentolak

24 Rejab 1433H. [MOD] -

KLANG - Belum genap sebulan seorang wanita Indonesia tiba di negara ini untuk menikmati kehidupan di sini terbunuh selepas dia dirempuh sebuah jentolak yang berundur ketika sedang mengemas kotak dalam sebuah kilang, di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa dikenali Hazezah, 33, yang parah di kepala meninggal dunia di lokasi kejadian.

Rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, mangsa tiba di negara ini pada Mei lalu dengan menggunakan pas lawatan sosial.

“Hasrat dia ke sini untuk melawat rakan-rakan. Dalam masa yang sama dia turut membantu seorang kakak mengemas kotak dan kertas dalam kilang itu.

“Walaupun begitu, dia bukan kakitangan kilang itu tetapi dia cuma mengikut rakan- rakan untuk membantu,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Asisten Superintenden Zawary Mahadi berkata, sebelum kejadian berlaku mangsa dipercayai sedang menyusun kotak di sebuah sudut dalam kilang terbabit.

“Dalam masa yang sama, sebuah jentolak yang dipandu lelaki warga Myammar yang dipercayai tidak sedar kewujudan mangsa di situ lalu mengundurkan kenderaan itu dan merempuh mangsa.

“Berikutan rempuhan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala, rebah dan meninggal dunia di situ.

“Sejurus kejadian itu, kami dimaklumkan pemandu jentolak itu melarikan diri dipercayai ketakutan selain khuatir keselamatan dirinya berikutan kesilapannya itu,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.

Dalam pada itu, katanya, polis masih mengesan pemandu jentolak terbabit untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Sesiapa yang mempunyai maklumat berkenaan lelaki terbabit diminta tampil ke Balai Trafik Klang Utara atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Zaini Abdullah di talian 03-32902222 bagi membantu siasatan.

Sinar Harian

Empat nelayan disyaki jual dadah tumpas di tangan polis

24 Rejab 1433H. [MOD] -

ALOR GAJAH – Kepantasan sepasukan anggota polis Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah berjaya menahan empat lelaki sedang berurusan jual beli dadah di sebuah rumah tinggal dekat Kampung Guan, Kuala Sungai Baru, dekat sini, Isnin lalu.

Operasi kira-kira 2 petang itu diketuai Inspektor Norhasrina Johari bersama tujuh anggota dilakukan atas maklumat awam yang mengesyaki sesuatu selepas menyedari kelibat individu keluar masuk dari rumah terbabit, disusuli intipan seminggu selepas itu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, ketika serbuan, keempat-empat suspek yang merupakan nelayan cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis yang sudah mengepung rumah tinggal itu.

“Berlaku sedikit pergelutan ketika tangkapan dilakukan, namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan. Hasil pemeriksaan polis menemui satu beg komputer riba di bahagian dapur yang mengandungi 18 paket kecil lutsinar berisi dadah jenis heroin diletakkan dalam satu bekas gula-gula.

“Kesemua dadah yang dirampas itu seberat 33.15 gram dan nilai keseluruhannya dianggarkan RM1,000,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurut Umar Ali, rumah tinggal berkenaan yang terletak dalam kawasan perkampungan itu dijadikan port jual beli dadah dan dipercayai bekalan dadah berkenaan turut diedarkan kepada golongan penagih dadah lain di sekitar kawasan berkenaan termasuk sempadan Kuala Linggi.

"Kesemua empat suspek ini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 18 Jun ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Merbahaya 1952.

Sinar Harian

Dua kes ular tedung dalam sejam

24 Rejab 1433H. [MOD] -

ALOR GAJAH – Dalam tempoh sejam, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di sini menerima dua panggilan kecemasan membabitkan penemuan ular tedung oleh orang awam, kelmarin.

Panggilan pertama membabitkan seekor ular tedung selar yang dijumpai di bahagian enjin sebuah kereta di Taman Kebaya, Paya Datuk di sini.

Manakala, setengah jam selepas usaha menangkap ular berkenaan dilakukan tiga anggota JPAM, mereka menerima panggilan penemuan seekor ular jenis sama di sebuah rak dapur di Kampung Brisu, Lubok Cina pula.

Pegawai Staff Muda JPAM, Shahrul Reza Saiful Bahari berkata, pihaknya menerima panggilan pertama dari seorang warga emas berusia 75 tahun dari Taman Kebaya, kira-kira 6.45 petang.

“Warga emas itu terkejut apabila melihat bahagian ekor ular tedung selar berkenaan terjuntai keluar di bahagian bawah enjin kereta jenis Proton Juara yang diletakkan di dalam garaj rumahnya.

"Semasa warga emas berkenaan hendak membuka bonet kereta, dia terdengar bunyi dengusan kuat sebelum melihat ular berkenaan sedang melingkar di bahagian enjin, menyebabkan dia cepat-cepat menutup semula bonet berkenaan," katanya.

Menurutnya, tiga anggota JPAM tiba beberapa minit kemudian dan berjaya menjinakkan ular terbabit yang beratnya hampir lima kilogram.

Bagaimanapun, katanya, kira-kira setengah jam kemudian, anggotanya menerima satu lagi panggilan daripada seorang wanita berusia 25 tahun dari Kampung Brisu mengatakan terdapat seekor ular tedung selar di bawah dapur rumahnya.

“Selepas selesai menangkap ular di Taman Kebaya, kita bergerak ke Kampung Brisu, tetapi menghadapi kesukaran disebabkan ular berkenaan menyorok di bahagian dalam rak dapur itu.

“Kita terpaksa keluarkan semua peralatan yang terdapat di dalam rak dapur berkenaan satu persatu kerana bimbang ular tedung selar menyerang," katanya kepada Sinar Harian, malam kelmarin.

Bagaimanapun, katanya, usaha menangkap ular berkenaan berhasil beberapa minit kemudian menerusi teknik yang betul supaya binatang berbisa berkenaan dapat jinakkan.

"Ular tedung selar adalah sejenis haiwan menjalar berbisa yang amat sensitif, namun memiliki perasaan serta dia juga suka dibelai ketika menangkapnya," katanya.

Agency

Cubaan rompak ATM gagal

24 Rejab 1433H. [MOD] -

BANDAR TEMERLOH – Cubaan sekumpulan penjenayah melarikan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah pasar raya, di sini, awal pagi semalam, gagal selepas menyedari terdapat seorang pengawal keselamatan sedang meronda di premis perniagaan itu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3 pagi semalam, dipercayai dilakukan sekumpulan penjenayah yang menaiki dua kenderaan dengan salah sebuah dikenal pasti jenis Toyota Estima.

Difahamkan, pengawal keselamatan warga Nepal itu menyedari kejadian selepas membuat rondaan kali kedua di dalam premis terbabit.

Dia menyedari terdapat kesan tebukan pada mesin ATM berkenaan dan terus melaporkan kejadian kepada ketuanya yang kemudian membuat laporan polis.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh, Deputi Superintendan R Sundralingam mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Menurutnya, memang terdapat cubaan melarikan mesin ATM berkenaan tetapi gagal dan polis mengambil pita rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis terbabit untuk siasatan.

“Kita percaya kejadian berlaku kira-kira jam 3 pagi apabila pengawal keselamatan terbabit membuat rondaan kali kedua di dalam premis perniagaan tersebut.

“Siasatan awal mendapati, ada kesan tebukan pada mesin ATM itu dipercayai dilakukan penjenayah sebelum meninggalkannya selepas mengetahui ada pengawal keselamatan sedang bertugas.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanyakepada Sinar Harian, semalam.

Sinar Harian

Mengapa pinjaman PTPTN tidak boleh dimansuh?

24 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PAS meminta Menteri Pengajian Tinggi menyatakan mengapakah pinjaman PTPTN tidak boleh dimansuhkan sedangkan ia merupakan jumlah yang kecil berbanding Belanjawan Negara.

Demikian pertanyaan bagi jawab lisan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad (gambar) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Berikut ialah soalan-soalan bagi jawab lisan daripada ahli-ahli parlimen PAS.

Datuk Mahfuz Omar [ Pokok Sena ] minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah Kerajaan bercadang untuk meminda Akta Profesyen Guaman 1976 atau menggubal suatu undang-undang baru bagi menubuhkan sebuah badan yang turut menjalankan peranan yang sama seperti Bar Council Malaysia.

Datuk Dr. Mohd Hayati Othman [ Pendang ] minta MENTERI PENGAJIAN TINGGI menyatakan berapakah perbelanjaan kepada Politeknik untuk pelajar menghadiri program Rural Tranformation Centre di Kota Bharu pada 4 Mei 2012 di seluruh
Kelantan.

Khalid Abdul Samad [ Shah Alam ] minta MENTERI PENGAJIAN TINGGI menyatakan mengapakah pinjaman PTPTN tidak boleh dimansuhkan sedangkan ia merupakan jumlah yang kecil berbanding Belanjawan Negara.

Mohd. Nasir Zakaria [ Padang Terap ] minta PERDANA MENTERI menyatakan rezab tunai FELDA berakhir 31 Disember 2011.

Salahuddin Ayub [ Kubang Kerian ] minta PERDANA MENTERI menyatakan berapa peratuskah sumbangan minyak dan gas kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK), berapa tong sehari yang dikeluarkan, apakah sasaran pengeluaran bagi tahun 2015 dan berapa banyak telaga minyak lama (brown fields) yang disasarkan untuk dimajukan.

Nasharudin Mat Isa [ Bachok ] minta PERDANA MENTERI menyatakan ura-ura penubuhan Akademi Peguam dan bagaimanakah hubungan nya dengan Majlis Peguam Malaysia dalam konteks kewujudan dua "badan atau persatuan guaman" yang masing-masing tentutnya mempunyai peranan yang hampir sama tetapi wujud secara berasingan.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang [ Marang ] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan statistik rasmi dan terkini di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) jumlah masyarakat Islam yang memohon untuk menukar agama atau murtad.

Siti Zailah Mohd. Yusoff [ Rantau Panjang ] minta MENTERI PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN menyatakan apakah garis panduan aktiviti hiburan supaya dapat mengukuhkan pembinaan jatidiri generasi muda melalui aktiviti hiburan
dan kesenian.

Dr. Mujahid Yusof Rawa [ Parit Buntar ] minta MENTERI SUMBER MANUSIA menyatakan apakah ada penyelarasan dengan Kementerian Pengajian Tinggi dalam menentukan kadar keperluan kursus yang ditawarkan supaya sesuai dengan tuntutan pasaran buruh.

Che Uda Che Nik [ Sik ] minta MENTERI PELAJARAN menyatakan kedudukan per kapita yang rendah yang telah dibuat beberapa tahun yang lalu menyebabkan pentadbir sekolah amat tertekan dalam menyediakan keperluan yang cukup untuk proses P&P sekolah. Apakah langkah Kementerian untuk mengatasi perkara ini.

Datuk Taib Azamudden Md Taib [ Baling ] minta PERDANA MENTERI menyatakan mengapa Kerajaan menarik balik Rang Undang-undang Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2012 walhal ia baru dipersetujui dan diluluskan oleh Wakil BN di Dewan ini.

Mohd Firdaus Jaafar [ Jerai ] minta MENTERI SUMBER MANUSIA menyatakan jumlah terkini siswazah menganggur mengikut bangsa dan bidang pengajian.

Mohd. Abdul Wahid Endut [ Kuala Terengganu ] minta PERDANA MENTERI menyatakan senarai jenis-jenis pelaburan dalam ECER di negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor dan berapakah nilai setiap satu pelaburan tersebut.

Muhammad Husain [ Pasir Puteh ] minta MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI menyatakan perbandingan jualan produk pertanian tempatan berbanding yang diimport di RTC Wakaf Che Yeh yang dirasmikan YAB. Perdana Menteri baru-baru ini.

Harakah Daily

Talian 999 jadi penyelamat

24 Rejab 1433H. [MOD] -

DUNGUN – “Sebaik terdengar bunyi letupan, saya terus menjenguk keluar lalu melihat api besar sebelum adik lelaki saya yang turut menyaksikan kejadian mengarahkan saya mendail talian 999 untuk meminta bantuan,” kata Nurfarahida Othman, 23, bakal pengantin yang sempat menghubungi bomba selepas melihat api besar di bahagian belakang rumahnya.

Dalam kejadian kebakaran kira-kira jam 2.30 petang itu, sebuah stor penyimpanan alat ganti motosikal milik bapa Nurfarahida, iaitu Othman Hassan, 53, seorang peniaga hampir musnah selepas api yang dipercayai berpunca daripada kejadian letupan itu merebak sehingga menyebabkan beberapa alat ganti motosikal termasuk dua motosikal adik lelakinya hangus.

Menurut Nurfarahida, ketika kejadian, dia berada di dalam rumah bersama adik perempuannya, Nuratiqah, 14 sementara adik lelakinya, Mohd Faizol Othman, 22 sedang membasuh kuali burger di garaj rumah.

“Selepas melihat api mulai marak, adik lelaki saya cuba memadamkan api dengan menggunakan air paip. “Dalam keadaan cemas itu saya sempat mencapai telefon bimbit lalu mendail talian
kecemasan, beberapa minit kemudian bomba tiba untuk memadamkan keseluruhan api,” kata Nurfarahida yang bakal naik pelamin pada 30 Jun nanti.

Nurfarahida berkata, jika tidak kerana bantuan pasukan penyelamat yang cepat tiba, mungkin api yang bermula di bahagian stor belakang rumah itu akan merebak ke rumahnya.

“Kami bersyukur kerana api itu berjaya dipadamkan pada peringkat awal sebelum ia terus merebak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Dungun, Penolong Penguasa Nor Azizi Che Nor berkata, sepasukan anggota bomba bersama sebuah jentera pemadam dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan berkaitan kabakaran tersebut.

“Punca kejadian dan nilai kerugian yang dianggarkan lebih RM5,000 itu masih disiasat,”katanya.

Sinar Harian

Maut digilis lori

24 Rejab 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Seorang lelaki tidak sempat pulang ke rumah selepas selesai bekerja apabila maut dalam kemalangan di Kilometer 10, Jalan Seremban – Tampin berdekatan Stesen Komuter Sungai Gadut, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, mangsa, N Prabakaran, 25, yang menunggang motosikal bertembung dengan sebuah lori dan maut serta-merta akibat digilis selepas terperosok di bawah kenderaan itu.

Jurucakap polis berkata, mangsa yang menunggang bersendirian dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Chengkau, Rembau.

“Siasatan awal polis mendapati, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas ke laluan bertentangan.

“Keadaan jalan yang berselekoh dan gelap menyebabkan mangsa kemudiannya melanggar sebuah lori dipandu seorang lelaki berusia 23 tahun,” katanya, semalam.

Menurutnya, mangsa terperosok di bawah lori sebelum digilis menyebabkan mangsa cedera parah seluruh anggota badan.

"Bagaimanapun, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah membuat laporan polis mengenai kejadian itu," katanya.

Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah mengesahkan laporan berkenaan.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar untuk bedah siasat dan telah dituntut ahli keluarga bagi urusan pengebumian.

"Kami masih menjalankan siasatan terhadap punca kemalangan," katanya.

Sinar Harian

Merajuk kerana telefon bimbit

24 Rejab 1433H. [MOD] -

MARANG – "Selepas dua hari menangis kerana sedih telefon bimbitnya hilang, dia meminta kami membelikan yang baru tetapi kami tidak mampu dalam masa terdekat ini. Dia kemudiannya menghilangkan diri,” kata seorang ibu, Zaiton Abdullah, 42.

Ibu kepada 10 anak itu mendakwa, anak gadisnya, Wan Amirah Wan Zaki, 19, meninggalkan rumah mereka di Rusila di sini, sejak 1 Jun lalu, dan masih belum dapat dikesan sehingga kini.

Mengakui terkejut dengan tindakan anak sulungnya itu, Zaiton juga tidak menyangka hanya kerana kehilangan telefon bimbit jenis Samsung Corby II ketika mandi di pantai berdekatan rumah mereka pada 30 Mei lalu, anaknya sanggup bertindak sedemikian.

Bekas pelajar Institut Profesional Baitulmal, Kampung Pandan di Kuala Lumpur itu dikatakan merajuk dan keluar dari rumah dengan memberikan alasan untuk ke rumah rakannya di Bukit Gasing, namun tidak pulang dan gagal dikesan sehingga kini.

“Wan Amirah hanya memaklumkan perkara itu kepada kembarnya, Wan Nur Asma Dahlia dan kami hanya mengetahui dia keluar dari rumah sekitar jam 11 pagi iaitu pada 1 Jun lalu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Rusila, semalam.

Zaiton berkata, disebabkan anak mereka masih tidak pulang walaupun hari sudah lewat petang, dia dan suami, Wan Zaki Wan Ngah, 45, terus menghubungi rakan anaknya di Bukit Gasing itu namun dimaklumkan, anak mereka tiada di situ.

Susulan kehilangan itu, Wan Zaki kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Marang pada malam kejadian kerana bimbang keselamatan anaknya terancam, tambah pula anak perempuannya itu keluar tanpa membawa kad pengenalan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya mengesahkan menerima laporan mengenai kehilangan gadis terbabit.

Sehubungan itu, Wan Amirah dirayu kembali semula ke pangkuan keluarga kerana dikhuatiri sesuatu yang tidak baik akan menimpanya.

Malah, kembarnya, Wan Nur Asma Dahlia, 19 dan adik bongsunya, Wan Nor Raudah Adni, 3, juga jatuh sakit.

Dalam pada itu, Zaiton berkata, suaminya juga sudah dua minggu mencari anak perempuan mereka itu di merata tempat di daerah ini sehingga ke Kuala Terengganu, dan ketua keluarga itu juga tidak dapat tidur dengan lena pada setiap malam.

Sesiapa yang terlihat Wan Amirah diharap dapat menghubungi keluarganya menerusi talian, 013 9711 692 atau 012 9664 353.

Sinar Harian

Syiria di ambang perang saudara

24 Rejab 1433H. [MOD] -

DAMSYIK - Syria kini di ambang perang saudara berikutan pasukan keselamatan rejim Presiden Bashar al-Assad didakwa tidak lagi mampu mengawal sebahagian besar wilayah di negara itu, menurut Ketua Keamanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Herve Ladsous berkata, kebanyakan bandar di negara tersebut kini dikuasai pembangkang dan pasukan keselamatan Bashar dilihat seperti mahu merampas kuasa semula. "Majlis keselamatan PBB sedang mencari jalan lain menamatkan keganasan, sekali gus menyatukan pembangkang yang telah berpecahbelah. Kami perlu memikirkan cara lebih efektif berikutan pelan damai tajaan Kofi Annan juga gagal dipatuhi," jelasnya.

Laporan PBB yang diterbitkan, kelmarin mendedahkan tentera Syria menggunakan kanak- kanak sekecil lapan tahun sebagai perisai manusia semasa bertempur dengan kumpulan pemberontak selain menyenaraikan kerajaan Bashar sebagai antara negara bergolak paling teruk di dunia.

Sebelum ini, rejim Bashar pernah mengecam campur tangan Amerika Syarikat yang didakwa secara terang-terangan menyokong pengganas dan memutar belitkan fakta mengenai konflik meruncing di negara itu kepada PBB.

Dalam satu kenyataan, Timbalan Menteri Luar Turki, Naci Koru turut menyuarakan kebimbangannya jika pergolakan di Syria merebak ke sempadan memandangkan lebih 29,000 pelarian dilaporkan telah memasuki negara tersebut.

Sehingga kini kira-kira 14,100 orang dilaporkan terkorban akibat pergolakan yang tercetus sejak 15 bulan lalu.

Sinar Harian

Didera dengan besi panas

24 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Seorang pemandu jentolak tidak menyangka tindakannya membenarkan anak tunggalnya menghabiskan masa sepanjang cuti penggal persekolahan lalu bersama bekas isterinya, mengundang padah setelah kanak-kanak itudipercayai didera suami baru wanita terbabit.

Kejadian yang berlaku kepada kanak-kanak lelaki berusia enam tahun itu hanya disedari bapa kandungnya kira-kira jam 12.30 tengah hari, Isnin lalu iaitu semasa dia mengambil semula anaknya di rumah ibunya di Kampung Raja, Besut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kanak-kanak itu dihantar ke rumah ibu kandungnya di Kampung Gong Macang, Besut, selama enam hari sempena cuti sekolah, sebelum menjemput semula anaknya pada 9 Jun lalu kira-kira jam 7.30 petang.

“Kejadian hanya terbongkar setelah kanak-kanak itu mengadu sakit di bahagian kiri belakang punggung sebelum bapanya membuat pemeriksaan dan terkejut mendapati ada kesan parut melecur serta luka di badan anaknya.

“Lebih mengejutkan, ketika ditanya, kanak-kanak itu menceritakan dia telah didera oleh bapa tirinya dengan besi tajam panas semasa berada di rumah ibunya itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Manoharan berkata, terkejut mendengar pengakuan jujur anaknya, bapa mangsa mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja, Besut, kira-kira jam 4 petang hari sama.

Susulan laporan dibuat, suspek yang berusia 40 tahun dan bekerja sebagai penternak ikan ditahan dikediamannya di Kampung Macang, Besut, keesokan harinya kira-kira jam 2 pagi.

Jelas Manoharan, hasil pemeriksaan mendapati mangsa didera menggunakan besi panas tajam dan pihaknya masih menyiasat sama ada luka di jari mangsa disebabkan perbuatan suspek atau individu lain.

“Kami masih menjalankan siasatan terperinci dan suspek yang berasal dari Permaisuri, Setiu kini direman selama empat hari sehingga esok untuk disiasat mengikut Seksyen 30 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan awal turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan turut memiliki rekod penyalahgunaan dadah sebelum ini.

Difahamkan, ibu bapa kanak-kanak malang itu berpisah sejak tiga tahun lalu dan bapa mangsa mendapat hak penjagaan kanak-kanak berkenaan.

Bagaimanapun, sempena cuti penggal persekolahan, dia dengan rela hati menyerahkan kanak-kanak itu untuk dijaga bekas isterinya.

Sinar Harian

Rejim Zionis cabul kesucian Masjid Al-Aqsa

24 Rejab 1433H. [MOD] -

BAITULMAQDIS - Yayasan Waqaf dan Warisan Aqsa (Afeh), awal minggu lalu memberi amaran bahawa pihak berkuasa Israel kini sedang giat melakukan penggalian terbesar dalam tempoh 150 tahun di sekitar Masjid Al-Aqsa.

Jurucakap Afeh mendakwa tindakan biadab rejim Zionis sejak 10 tahun lalu itu kononnya bertujuan untuk menempa sejarah dengan mewujudkan bandar bawah tanah Yahudi dan di sekitar kawasan tersebut.

Difahamkan, tiga cabang penggalian untuk menghasilkan rangkaian terowong dijalankan di bawah masjid yang menjadi kiblat pertama orang Islam itu.

Sebagai tanda membantah tindakan rejim Zionis itu, Afeh menggesa saudara Islam di seluruh dunia untuk bersatu menggagalkan usaha mereka kerana ia satu pencabulan serius terhadap kesucian Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis tersebut.

Sinar Harian

Cubaan memotong di garisan berkembar

24 Rejab 1433H. [MOD] -

PASIR MAS – Gara-gara cuba memotong kenderaan di garisan berkembar, seorang lelaki mengalami kecederaan parah, apabila terlibat dalam kemalangan di Jambatan Pasir Mas-Kota Bharu, jam 12.30 tengahari, semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, mangsa yang memandu Perodua Kancil, memandu dari arah Kota Bharu ke bulatan Lemal, Pasir Mas.

Menurutnya, mangsa dipercayai cuba memotong, namun tidak sempat mengelak seterusnya melanggar lori Tenaga Nasional Berhad (TNB) dari arah bertentangan.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kaki, setelah tersepit selama beberapa minit, namun berjaya diselamatkan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat Pasir Mas. Pemandu lori bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya, kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, kemalangan ini menyebabkan kesesakan lalu lintas, di sepanjang dua kilometer dari keempat-empat penjuru laluan Pasir Mas, Kota Bharu, Rantau Panjang dan Tanah Merah.

Beliau turut menasihati semua pemandu, agar bersikap tenang ketika dan mengutamakan keselamatan diri serta pemandu lain.

“Sikap tergesa-gesa ketika memandu dan melanggar undang-undang jalan raya, dipercayai punca utama berlakunya kemalangan, sebelum ini. Saya menasihati semua pihak agar tidak gopoh kerana sikap pemandu itu sendirilah, yang boleh mengelakkan berlakunya kemalangan jalan raya,” katanya, semalam.

Sementara itu, Pegawai Kanan Bomba II (PBK), Che Kadir Che Ya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.47 tengahhari, dan bergegas ke tempat kejadian dengan kekuatan enam anggota.

“Kita berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit, di bahagian kaki, lima minit kemudian. Kenderaan yang rosak teruk itu, turut menyebabkan kebocoran minyak dan kita mengambil tindakan segera bagi mengelakkan berlakunya kebakaran kenderaan,” katanya

Sinar Harian