06 September 2012

Kisah Pilu Dari Syria..

18 Syawal 1433H. [MOD] -

Asy-Syahidah Fatimah Muhammad Khusrf telah gugur syahid semalam bersama anak beliau yang baru dilahirkan, Abdullah Majid Khaled Al-Qasim.

Kedua-dua mereka telah terkorban dalam keadaan sedang berpelukan di antara satu sama lain di dalam rumah mereka apabila kawasan rumah mereka dibom oleh pesawat tempur rejim Basyar.

Semoga Allah merahmati beliau dan mengurniakan beliau syurga.

kembara/-

Ayam goreng umpan judi

18 Syawal 1433H. [MOD] -

KUANTAN - Hidangan ayam goreng, nasi lemak dan minuman percuma antara taktik terkini pengusaha kafe siber haram untuk menarik lebih ramai kaki judi ke premis mereka.

Justeru, ada kaki judi yang sanggup menghabiskan wang di premis terbabit dan tidak tidur selama dua hari dua malam kerana begitu taksub dengan aktiviti perjudian tanpa mempedulikan keperluan diri.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Datuk Zulkifli Yaacob berkata, pihaknya juga berjaya mengesan ‘keistimewaan’ itu berdasarkan risikan yang dilakukan bersama agensi penguatkuasaan lain.

“Hasil siasatan polis dan Penguat kuasa Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) juga mendapati, ada pelanggan yang sanggup tidak balik ke rumah dalam tempoh dua hari akibat penangan judi Internet itu.

“Risikan ini bertujuan memerangi kegiatan haram yang dilakukan pemilik atau penyewa premis terbabit,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPK, di sini, semalam.

Menurutnya, selain faktor itu, layanan pemilik kafe siber yang mesra juga antara tarikan ke arah aktiviti tidak sihat itu.

Beliau berkata, bagi membanteras kegiatan berkenaan, tugas itu bukan saja menjadi tanggungjawab MPK, tetapi pihak berkuasa lain seperti polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Telekom Malaysia Berhad (Telekom) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Zulkifli berkata, bagi mengelakkan sebarang penipuan ‘berselindung’, sebanyak 68 kafe siber yang berlesen akan diwajibkan memasang cermin lut sinar di premis masing-masing berkuat kuasa serta merta.

Katanya, tindakan itu dilakukan bagi memudahkan penguat kuasa memantau dan melihat aktiviti kafe siber yang sebahagiannya memasang cermin gelap pada masa kini.

“Oleh kerana kafe siber sering dikunjungi orang ramai terutama remaja, syarat baru ini diharap menghalang aktiviti perjudian di daerah ini.

“Kita bimbang jika kegiatan ini tidak dikawal ia akan berpanjangan dan boleh memberi kesan negatif dalam jangka masa panjang,” katanya.

Beliau berkata, penubuhan jawatankuasa khas beberapa bulan lalu yang membabitkan MPK, polis, SKMM, SPRM, Telekom dan TNB memberi petanda positif kegiatan itu dapat ditangani dengan baik.

sinar harian/-

17 jam mayat bersujud

18 Syawal 1433H. [MOD] -

PASIR MAS – Seorang remaja maut dalam kemalangan di Kampung Tok Dap, jam 9.45 malam, Isnin lalu dan hanya ditemui orang ramai, 17 jam kemudian.

Mangsa terkejut

Ketua Polis Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, mangsa, Mohd Zairul Azri Mohd Zuri, 16, ditemui orang ramai di sebalik semak bersama motosikal yang dinaiki.

Haliludin berkata, ketika kejadian, mangsa menaiki motosikal ke kampung Tok Dap, selepas tamat kelas tambahan.

“Tiba di tempat kejadian, seorang lelaki berusia 65 tahun, menunggang motosikal dari arah sama cuba membelok ke sebelah kiri.

“Terkejut dengan kejadian itu, mangsa cuba mengelak lalu melanggar tiang di sebelah kanan jalan lorong bertentangan,” katanya semalam.


Tidak diketahui

Beliau berkata, mangsa yang tidak memakai topi keledar, mengalami patah tengkuk dan pinggang.

Haliludin berkata, mangsa hanya ditemui 17 jam selepas kemalangan, dalam keadaan bersujud.

"Mangsa mungkin cuba bangun, namun kecederaannya menyebabkan dia tidak dapat bergerak, sehingga menemui ajal di situ," katanya.

Menurutnya, warga emas berkenaan mendapatkan rawatan di klinik berdekatan, sebaliknya remaja terbabit menemui ajal di kawasan kejadian tanpa diketahui orang ramai.

“Suspek ditahan bagi membantu siasatan, dan kita memohon saksi yang melihat kejadian, tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Tanam sikap perikemanusiaan

Haliludin menasihati pengguna jalan raya, agar menanam sikap perikemanusiaan dan tanggungjawab sekiranya berdepan dengan situasi seperti ini.

“Tidak kiralah siapa yang salah atau siapa yang benar kerana jika kita berdepan kecemasan, kita perlu membantu mangsa lain.

“Jangan bersikap ‘janji saya selamat’, sedangkan orang lain mengerang kesakitan sehingga menemui ajal,” katanya.

Usaha cari anak

Selepas hampir 17 jam mencari, akhirnya seorang bapa menemui mayat anak sulungnya, dalam keadaan bersujud, jam 2 petang kelmarin.

Bapa, Mohd Zuri Ismail, 41, berkata, mereka sekeluarga mula risau dengan keadaan Zairul Azri, yang tidak pulang selepas keluar ke kelas tambahan, malam itu.

“Saya, isteri dan ahli keluarga yang lain, mencari di rumah rakan-rakannya termasuklah di balai polis, namun hampa.

“Kami tidak menyangka hanya akan menemuinya, dalam keadaan tidak bernyawa, keesokan hari,” katanya.

Hilang anak lelaki tunggal

Mohd Zuri turut kesal dengan pihak terbabit dan menyifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab.

Kejadian itu katanya, mengorbankan satu-satunya anak lelaki mereka, malah anak sulung daripada empat beradik.

“Setidak-tidaknya, dia boleh memberitahu orang lain, agar anak saya mendapat rawatan segera.

“Sekiranya dia melaporkan kejadian ini, Zairul Azri boleh diselamatkan,” katanya.

Menurutnya, dia membuat laporan polis berhubung kejadian ini dan menyerahkan tugas tersebut kepada pihak berkuasa.

"Kami sekeluarga reda, namun berharap perkara sama tidak berulang akan datang," katanya.

sinar harian/-

Janji Demokrasi: Mat Sabu turut dipanggil polis

18 Syawal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu turut dipanggil hadir ke ibu Pejabat Polis Dang Wangi bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan Janji Demokrasi di Dataran Merdeka, Khamis lalu.

Mohamad yang menerima notis panggilan ke balai polis petang semalam berkata, beliau sudah memaklumkan kepada pihak polis akan hadir untuk memberi keterangan pada Ahad ini.

"Saya tak boleh hadir hari ini kerana berada di Kedah, esok di Melaka, jadi saya akan hadir ke balai polis petang Ahad," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pusat Kesedaran Komuniti Selangor (Empower), Maria Chin Abdullah turut menerima notis sama meminta beliau hadir ke IPD Dang Wangi juga berkaitan perhimpunan anjuran Gabungan Janji itu.

Turut menerima notis semalam, Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said yang akan hadir ke Dang Wangi petang ini.

Empower dalam kenyataan berkata, Maria akan bersama-sama Pak Samad untuk melaporkan diri hari ini di IPD Dang Wangi pada pukul 3.00 petang dengan ditemani peguam.

Dalam pada itu, beberapa penyokong Pak Samad terdiri daripada golongan muda akan berkumpul di hadapan balai polis Dang Wangi bagi menunjukkan solidariti terhadap Pak Samad.

Pak Samad turut menerima tindakan sama ekoran puisi "Unggun Bersih" yang dibaca di majlis pelancaran Bersih 2.0, Jun tahun lalu.

Budak maut rumah dirempuh

18 Syawal 1433H. [MOD] -

KEADAAN kereta yang merempuh sebuah rumah kedai di Kampung Dalam Rhu, Tumpat kelmarin.

TUMPAT – Gara-gara seorang pemandu terlelap ketika memandu kereta, seorang budak berusia dua tahun terkorban manakala si ibu pula cedera apabila sebuah kereta Mercedes merempuh rumah kedai di Kampung Dalam Rhu di sini kelmarin.

Semasa kejadian pada pukul 6.30 petang, kereta yang dipandu seorang lelaki itu merempuh dinding konkrit rumah kedai setingkat tersebut sebelum kenderaan itu masuk pula ke ruang tamu tempat kanak-kanak itu bermain.

Akibat rempuhan itu, rumah kedai tersebut hampir ranap.

Mangsa yang terkorban ialah Adam Firdaus Syukri. Semasa ditemui mangsa didapati berlumuran darah dengan badannya dalam keadaan tersungkur berhampiran salah sebuah tayar kereta tersebut.

Adam kemudian dikejarkan ke Hospital Tumpat (HT) namun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital akibat mengalami kecederaan dalaman yang teruk di kepala.

Sementara itu, ibu mangsa, Nik Salwani Abdullah, 26, yang mengandung anak keempat hanya cedera ringan di beberapa bahagian badan.

Dia yang trauma dengan tragedi itu masih dirawat di HT. Semasa kejadian suami Nik Salwani tiada di rumah.

kosmo/-

Fitnah TG Nik Aziz, pemuda PAS lapor polis

18 Syawal 1433H. [MOD] -

(Gambar Program Umno yang didakwa menghina TG Nik Abdul Aziz Nik Mat)

IPOH: Pemuda PAS Kawasan Tambun hari ini membuat laporan polis berhubung tersebarnya gambar di laman sosial menunjukkan satu program BN yang didakwa memaparkan penghinaan kepada Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dalam gambar itu kelihatan wajah Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah memberi penerangan dalam majlis yang tertulis 'Majlis Perasmian Serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Tambun.

Ahmad Husni yang juga Ahli Parlimen Tambun dilihat seperti sedang merujuk kepada paparan slide di sudut pentas di program tersebut.

Difahamkan program tersebut berlangsung di Hotel Syuen, Ipoh pada 2 September lalu.

Dalam slide itu secara jelas tertera wajah Tuan Guru Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan dengan tajuk disebelahnya 'Extrem Islam' dan perincian seperti 'Fanatik', 'kasar dan kesat', 'mewajibkan yang tidak wajib, 'berprasangka buruk' dan 'mengkafirkan orang Islam'.

Ketua Pemuda PAS Tambun, Zairul Azrun Zainal Abidin mendakwa tuduhan yang dibuat dalam program anjuran Umno itu biadap dan sangat keterlaluan.

“Fitnah yang dilemparkan kepada Tok Guru sangat berat terutamanya menuduh Tok Guru mengkafirkan orang Islam,” katanya kepada Harakahdaily selepas membuat laporan polis di IPD Sungai Senam Ipoh, hari ini.

Zairul menegaskan, Pemuda PAS Tambun mengutuk sekeras-kerasnya fitnah yang dilemparkan oleh ahli parlimen kawasannya itu dan menyifatkan ianya satu tuduhan melampau.

“Kami berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan segera terhadap gambar tersebut seterusnya mengenakan tindakan kepada Menteri Kewangan itu,” ujar beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Zairul berkata, pihaknya juga telah membuat laporan kepada Jabatan Agama Islam Perak terhadap gambar tersebut.

Hadir sama ialah peguam Pemuda PAS Perak, Fitri Asmuni; Exco Pemuda PAS Perak, Ustaz Hafez Sabri dan pimpinan Pemuda PAS Kawasan Tambun.

harakahdaily/-

Melayu wajib kuatkan PAS dalam PR

18 Syawal 1433H. [MOD] -

Tempoh masa lebih setengah abad sudah mencukupi bagi orang Melayu memberi kepercayaan kepada UMNO menjadi teras BN memimpin negara. Jangan salahkan kaum lain sekiranya berlaku kesilapan sehingga Melayu, agamanya, bangsanya dan bahasanya terpinggir. Semua kaum telah menerima hakikat secara perlembagaan bertulis bahawa Islam agama persekutuan, hak istimewa bumiputera, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Raja berperlembagaan. Dalam masa yang sama hak kaum lain wajib diberi dengan adil.

UMNO yang berkuasa dengan sokongan majoriti besar khususnya daripada penganut Islam berbangsa Melayu wajib dilakukan muhasabah dengan adil, bijak dan bertanggungjawab. Orang Melayu jangan menipu diri sendiri. Allah berfirman dalam surah Arra'du, Ayat 11 yang bermaksud

"Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa Yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadanya."

Agama Islam

Walaupun Islam diletakkan dalam perlembagaan atas desakan kumpulan Islam bersama PAS kepada Suruhanjaya Reid, tetapi mereka menerima dengan penafsiran bahasa dan fahaman mereka terhadap agama. PAS menghargai dan menerima hakikat mencapai kemerdekaan terlebih dahulu, bersama pemimpin generasi awal UMNO dengan iringan doa dirahmati Allah di alam barzakh kerana bersama mendukung kemerdekaan. PAS mengambil keputusan bersusah dan berkorban menjadi parti pembangkang, supaya manjadi kekuatan di luar kerajaan bagi menyempurnakan kemerdekaan itu dengan acuan maruah agama dan bangsa tanpa terikat lagi dengan acuan pemikiran warisan penjajah.

Al Marhum Tan Seri Syed Ja’afar Al Bar menegaskan kepada saya, hanya beberapa minggu sebelum beliau meninggal dunia ; ”Adalah lebih baik PAS berada diluar BN membetul keadaan dan tidak bijak berada didalam." Tegas beliau ketika PAS berada dalam Barisan Nasional. Kenyataan ikhlas kerana melihat UMNO tidak mempedulikan kepada perubahan yang sepatutnya selepas mencapai kemerdekaan.

Sepatutnya Islam ditafsirkan dengan bahasa Al Quran, bukannya bahasa Inggeris. UMNO yang tidak membuat perubahan menyebabkan Islam terus berada ditahap yang tidak berdaulat, dengan cara pentadbiran agama Islam yang lama diatur sejak zaman penjajah. Namun ketinggian moral pentadbiran bersih oleh generasi awal UMNO dapat menarik beberapa orang tokoh bangsa lain menganut Islam.

Mengikut kajian ilmu pentadbiran dan pengurusan Islam, menunjukkan bahawa penjajah British lebih banyak terpengaruh dengan sistem pentadbiran Islam melalui kajian orentalisnya, tetapi mereka menolak aqidah dan syariat yang sempurna. Adalah lebih mudah mengambil alih negara daripada penjajah British daripada penjajah bangsa lain. Hanya sedikit perubahan perlu dilakukan dengan dimasukkan roh Islam dan petunjuk syariatnya.

Malangnya UMNO tidak mengorak langkah yang maju dengan membuat perubahan yang positif dan pro-aktif dengan yang baik dikekalkan yang tidak baik dibuang. Para pemimpin UMNO lebih leka dengan perubahan bersifat kebendaan untuk menarik rakyat memberi sokongan semata-semata untuk menang pilihanraya. Tanpa dinafikan perlunya banyak masjid yang didirikan, bangunan pusat Islam, bangunan sekolah agama, Tabung Haji, Universiti Islam Antarabangsa, Bank Islam dan sebagainya. Masalahnya ialah roh dan pengisiannya tidak mengikut acuan Islam yang sempurna secara ikhlas dan berta’abud dengan petunjuk Al Quran dan Sunnah yang banyak. Keadaan ini menjadikan sehingga asasnya bocor, kedudukan Islam lebih lemah daripada zaman penjajahan, sehinggakan pemimpin Melayu Islam dan bangsanya tidak mampu menjadi contoh Islam yang sempurna kepada seluruh manusia.

Al Marhum Maulana Abu Hasan Ali Al Nadawi, tokoh ulama dan pemikir Islam yang tersohor menegaskan dalam bukunya : (Kembali Semula Kepada Islam ), menegaskan :” Pelaksanaan Islam dengan cabarannya berlaku dua cara pendekatan. Samada melaksanakan Islam secara Ibadah, dengan yakin kepada janji Allah dunia dan akhirat, atau laksanakan Islam secara Jibayah, dengan mimilih secara akal manusia yang hanya mencari pengaruh untuk berkuasa dengan sokongan rakyat semata-mata “.

Yang kedua inilah yang dilakukan oleh UMNO sehingga boleh berlaku salah faham terhadap Islam dikalangan penganut yang jahil dan lebih lagi dikalangan bukan Islam. Apabila Islam dilihat bukan melalui kacamata ajarannya yang sempurna dan murni, tetapi dilihat daripada kecuaian pemimpin UMNO. Lebih merbahaya lagi apabila menunjukkan contoh negatif saperti tidak bermoral, rasuah, penyalahgunaan kuasa, politik wang dan sebagainya. Sehingga Tun Dr Mahathir sendiri pernah membuat kenyataan terbuka dan telah dua kali keluar masuk UMNO. Al Marhum Tunku Abdul Rahman pula meninggalkan UMNO dan berucap di pentas PAS sebelum meninggal dunia.

Peranan pengajian Islam kalangan umat Islam dilemahkan dengan kawalan bertauliah sejak zaman penjajahan, diteruskan oleh Umno bagi meneruskan pengaruh sekulerisme dalam masyarakat Islam. Agenda menghapuskan tulisan jawi yang tidak dapat dilaksanakan oleh penjajah dan melemahkan penguasaan bahasa Arab dikalangan pelajar aliran Islam berjaya dibuat dibawah pemerintahan UMNO.

Seterusnya UMNO menggunakan media khususnya berbahasa Melayu, bagi mencetuskan perkara yang meragukan dan salah faham terhadap Islam, seperti Isu Syariat Islam. Ia difikirkan boleh menjadi bahan untuk menakutkan kalangan bukan Islam dan mengelirukan penganut Islam yang jahil seperti hukum poligami, pesaka, undang-undang jenayah hudud dan qisas, haramnya riba secara menyeluruh, hak wanita, hiburan dan lain-lain yang memerlukan ilmu dan pelaksanaan untuk difahami.

Islam itu wajib diimani seluruhnya dan dilaksanakan semuanya. Beriman sebahagian dan menolak atau ragu sebagiannya adalah merosakkan iman. Beramal dengan sebahagian dan menolak sebagiannya pula menyababkan tasawur yang salah terhadap Islam dan menyebabkan celaka dunia dan akhirat.

Hak Istimewa

Kaum bukan Melayu yang faham tidak membantah adanya hak istimewa kerana memahami hakikat majoriti Bumiputera khususnya orang-orang Melayu terpinggir dengan penyusunan masyarakat ciptaan penjajah. Mereka tidak membantah hak istemewa yang dicatit tanpa menafikan hak yang adil kepada semua kaum lain. Namun hak ini disalah guna, sehingga kaum Melayu dan bumiputera tidak mampu bersaing dengan sendiri, tetapi ditongkat oleh UMNO demi agenda politik berkuasa semata-mata dan mengambil kesempatan mencari kekayaan diri, keluarga dan rakan sekeliling tetapi tidak memperkasakan kaum Melayu dan bumiputera. Contoh yang jelas ialah tanah rezab Melayu dan pinjaman disalah gunakan, sehingga Bank Bumiputera dileburkan dan beberapa agensi dijadikan alat mengaut keuntungan bagi kalangan tertentu sahaja dan banyak bantuan tidak sampai kepada sasaran dan tidak mencapai matlamat.

Bahasa Kebangsaan

Bahasa Melayu yang dijadikan bahasa kebangsaan terpinggir bukan sahaja dilemahkan daripada menjadi bahasa ilmu, bahkan dipinggirkan penggunaannya dalam amalan rasmi dan masyarakat umum. Bahasa yang pernah diperkasakan oleh tamadun Islam serantau dan digunakan oleh lebih tiga ratus juta manusia, tiba-tiba menjadi dagang terpinggir ditengah pemimpin dan masyarakatnya sendiri.

Ketika bangsa lain berjaya diperkasakan dengan bahasa masing-masing, seperti Jepun, Jerman, China dan lain-lain, kita hanya sekadar bergaya dengan bahasa penjajah tetapi bangsa sendiri lemah jiwanya kerana membelakangi bahasanya, kerana bahasa adalah jiwa bangsa.

Kedudukan Politik

Kelemahan kuasa politik Melayu terhakis adalah kerana mengatur strategi kemenangan UMNO secara salah dan jangka pendek. Kelemahan politik Melayu di Singapura, Pulau Pinang dan Pantai Barat, adalah kerana penyusunan kerusi menguatkan kuasa UMNO bukannya memperkasakan Melayu Islam. Melayu ditanam semangat hanya UMNO parti tunggal yang menjaga hak Melayu, seolah-olah mengganti Tuhan Maha Esa, memberi rezeki dan menyara hidup mereka.

Kaum lain boleh memilih parti lain dan menguasainya. Apabila MCA, MIC dan Gerakan tidak bermaya, mereka berpindah kepada DAP atau PKR atau DHPP. Maka Melayu terus berpaut dengan ranting UMNO yang sudah berpenyakit dan menyalahkan kaum lain.

Kedudukan jumlah kerusi Melayu masih besar kerana kedudukan majoritinya, tetapi jumlah kerusi tanpa perubahan politik dalam kalangan bangsa Melayu sendiri tidak mampu mempertahankan kedudukan mereka. Melayu Islam dapat diperkasakan dengan PAS yang berdasarkan Islam mengikut undang-undang tubuhnya yang berbeza dengan UMNO. PAS telah membuktikan kemampuannya di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Walaupun UMNO menghalang pemerintahannya secara khianat terhadap agama dan bangsanya sendiri secara tidak bermoral dan melanggar adab demokrasi dan perlembagaan semata-mata mahu berkuasa dalam penyakit tua yang tidak sembuh. UMNO sanggup bermusuh dengan PAS dan kerajaan pimpinan PAS kerana Islamnya, lebih dahsyat daripada bermusuh dengan kaum lain.

Mutakhir ini adanya kalangan tokoh Melayu Islam dalam UMNO meninggalkan UMNO, bersama kalangan tokoh ilmuan, kakitangan kerajaan dan pasukan keselamatan menyertai PAS. Ia adalah petunjuk positif kepada pengundi Melayu Islam secara khusus supaya mereka membuat perubahan bersama PAS menggantikan UMNO sebagai kuasa pemerintahan. Perubahan sekadar ini tidak mencukupi tanpa sejumlah besar ahli UMNO dan orang-orang Melayu yang bergantung dengannya secara khurafat .

Kalau mahu selamatkan Melayu dan perkasakannya, wajib masuk PAS yang mendaulatkan Islam, bukannya masuk UMNO yang memikul Islam tanpa pelaksanaan sepenuhnya setelah lebih satu abad memikul amanah. Inilah pembetulan yang wajib dilakukan.

Kata Khalifah Umar bin Al Khattab R.A. “Kembali kepada yang benar adalah lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan “. Akhirnya renunglah kepada firman Allah yang tersebut diatas.dan Firman Allah yang bermaksud

"Dan jika kamu berpaling (daripada menegakkan Islam) ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu."

Melayu Tegakkan Islam yang sempurna, bersama PAS Melayu selamat dan semua kaum juga akan selamat, kerana Islam itu Rahmat Allah kepada seluruh alam dan adil untuk semua kaum.

Tegakkan Melayu dengan mengapikan semangat perkauman, Islam hanya sampingan, Melayu bersama UMNO, tidak mampu lagi memimpin, kerana hilang meruah dan lemah jiwanya. Selamat berhijrah kepada ahli-ahli UMNO kepada PAS.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Bentuk bangunan di China dikritik

18 Syawal 1433H. [MOD] -

Pencakar langit baru digelar Pintu Masuk ke Timur (kiri) di Suzhou, dikritik kerana menyerupai bentuk seluar panjang, sementara Pusat Media Antarabangsa Phoenix di Beijing (kanan), dikatakan menyamai bentuk puding dan donut. - AGENSI

BEIJING 5 Sept. - Dua bangunan pencakar langit baru di China yang sedang dalam pembinaan, dikritik kerana strukturnya yang menyerupai bentuk seluar panjang dan puding.

Satu daripada bangunan itu yang direka syarikat arkitek Britain, Robert Matthew Johnson Marshall (RMJM), sedang dibina di bandar Suzhou dengan ketinggian 74 tingkat dan bernilai 445 juta pound (RM2.197 bilion).

Pada mulanya, projek setinggi 250 meter yang akan disiapkan akhir tahun ini menerima pujian dan digelar sebagai Pintu Masuk ke Timur tetapi kemudian dikritik kerana kelihatan seperti seluar panjang.

Malah, agensi berita Xinhua turut menggunakan tajuk berita 'Bangunan gergasi baru digelar seluar'.

Sebuah lagi bangunan bernama Pusat Media Antarabangsa Phoenix di Beijing yang setinggi 55 meter, turut dikritik kerana menyerupai bentuk puding.

Bangunan dengan struktur luaran kaca dan melengkung itu dijangka beroperasi tahun ini serta menempatkan ibu pejabat stesen televisyen China, Phoenix TV, restoran dan pejabat-pejabat lain.

Laporan di laman web China Radio International menyatakan, bangunan itu direka sedemikian untuk keluar daripada reka bentuk tradisional dan menunjukkan sikap terbuka masa depan.

Walaupun dikritik kelihatan seperti puding, beg kacang gergasi atau donut, kritikan yang diterimanya tidaklah seteruk bangunan di Suzhou. - AGENSI

31 korban kebakaran kilang bunga api

18 Syawal 1433H. [MOD] -

NEW DELHI 6 Sept. - Sekurang-kurangnya 31 orang dilaporkan terbunuh dalam satu insiden letupan di sebuah kilang bunga api di selatan India, semalam.

Stesen televisyen menyiarkan rakaman asap tebal menyelubungi kilang tersebut yang terletak di bandar Sivakasi, di daerah Virudhunagar kira-kira 700 kilometer ke selatan Tamil Nadu.

Menurut Timbalan Penguasa Polis, M. Ramamurthy berkata, lebih daripada 50 yang lain tercedera dan dihantar ke hospital untuk rawatan selanjutnya.

Sebuah rangkaian televisyen swasta tempatan menganggarkan angka korban seramai 31 orang, namun pihak berkuasa masih belum mengesahkan perkara itu. Bagaimanapun, punca kejadian masih belum dikenal pasti. - AGENSI

Gempa 7.6 skala Ritcher landa Costa Rica.

18 Syawal 1433H. [MOD]

SAN JOSE 6 Sept. - Satu gempa bumi kuat berukuran 7.6 pada skala Ritcher melanda pantai pasifik Costa Rica, menyebabkan amaran tsunami dikeluarkan kepada penduduk di beberapa kawasan.

Satu amaran tsunami telah dikeluarkan untuk Costa Rica, Panama, Nicaragua dan Mexico oleh Pusat Amaran Tsunami Pasifik. Amaran untuk Mexico bagaimanapun ditarik balik.

Menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa tersebut berlaku pada pukul 10.42 semalam dan berpusat di perairan timur negara ini, kira-kira 10 kilometer timur laut di Hojancha, Costa Rica. - AFP

05 September 2012

Kes pijak gambar PM, model serah diri

17 Syawal 1433H. [MOD] - Seorang gadis 19 tahun- antara 11 individu yang dikehendaki berhubung kelakuan mereka semasa sambutan ambang merdeka di Dataran Merdeka pada Khamis malam lalu - hari ini menyerah diri kepada polis.

Gadis tersebut hadir ke sebuah balai polis di Johor Bahru dengan ditemani pemimpin DAP, termasuk ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa dan timbalan pengerusi DAP negeri, Norman Fernandez.

Gadis itu seterusnya ditahan dan digari oleh polis serta akan dibawa ke balai polis Dang Wangi di Kuala Lumpur yang menyiasat kes tersebut.

Menurut Norman, gadis yang juga model sambilan itu ditahan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Gadis itu didakwa memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dalam perhimpunan Janji Demokrasi pada malam itu. (MKini)

Bekas Timbalan Menteri Pendidikan meninggal dunia

17 Syawal 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR 5 Sept. - Bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mahadzir Mohd. Khir meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya di sini kira-kira pukul 5 petang ini.

Dr. Mahadzir, 67, dimasukkan ke pusat perubatan itu selepas mendapat serangan jantung petang semalam.

Beliau yang dilahirkan di Yan, Kedah pernah menjadi Ahli Parlimen Sungai Petani selama dua penggal iaitu pada 1999 dan 2004.

Pada 1999, beliau dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan manakala 2004 dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelajaran di dalam Kabinet baru yang dibentuk oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Bagaimanapun beliau digugurkan daripada jawatannya dalam rombakan kecil Kabinet pada Mac 2004. (Bernama)

Hina gambar: Kerajaan perlu nilai kenapa berlaku

17 Syawal 1433H. [MOD] - Salmiyah Harun, 05 Sep 2012

KUALA LUMPUR: Insiden mempermainkan gambar pemimpin negara pada malam ambang Merdeka tempoh hari perlu dinilai oleh kerajaan mengapa ianya berlaku.

Penyelaras Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Ahmad Syukri Abd Razab berkata, apa yang dilakukan oleh anak muda pada malam itu ada signifikannya yang perlu difikirkan.

"Kerajaan perlu fikirkan mengapa mereka bertindak diluar batas seperti itu. Apakah tidak cukup dengan sekadar laungan dan protes sehingga mereka memijak gambar pimpinan. Ini yang perlu dinilai oleh kerajaan," katanya.

Katanya, tindakan memijak gambar itu menggambarkan ekspresi kemarahan anak muda yang merasakan tuntutan mereka yang tidak dipenuhi oleh kerajaan.

Namun beliau menegaskan perbuatan tersebut adalah diluar batasan dan ia tidak sepatutnya berlaku.

"Kita tidak perlu tunjuk perbuatan seperti itu untuk menyatakan protes kita terhadap mana-mana pihak. Kita tidak boleh menerima budaya ini sebagai demokrasi tulen," katanya.

Bagaimanapun tegasnya, pihak kerajaan perlu bersikap adil dan mengenakan tindakan undang-undang kepada sesiapa sahaja yang melakukannya.

"Maknanya sesiapa yang melakukan perbuatan seperti itu harus dikenakan tindakan tidak kira individu yang menghina pimpinan kerajaan ataupun pimpinan pembangkang. Kerajaan perlu adil," katanya.

Tambahnya, jika dibiarkan perbuatan seperti itu terus berleluasa seolah-olah kerajaan membiarkan demokrasi ini diamalkan secara liar.

Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guang Eng meminta pihak berkuasa turut menyiasat individu memijak gambarnya.

Terdahulu, di Dalam Himpunan Janji Demokrasi pada malam 30 Ogos lalu segelintir peserta himpunan dipanggil polis kerana telah bertindak memijak dan menghina gambar pimpinan negara.

Tindakan mereka itu turut mendapat perhatian Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan menyifatkan ia tindakan melampau bagi menyemai bibit kebencian terhadap pemimpin negara.(Hkh)

Gerakan selamatkan negara perlu disegera

17 Syawal 1433H. [MOD] - Yaakub Dasan, 05 Sep 2012

RANTAU PANJANG: Negara perlu diselamatkan segera bagi mengelakkan lebih banyak penyelewengan dilakukan kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) demi masa depan rakyat negara ini.

Bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Dr Rosli Yaakub berkata, antara penyelewengan yang dikesan penglibatan Bank Negara dalam spekulasi mata wang menyebabkan kerugian RM30 bilion.

Selain itu kerajaan BN menggadaikan lebih separuh daripada jumlah tiga juta ekar tanah rizab Melayu.

“Begitu juga wang yang dibawa keluar dan disimpan di negara asing berjumlah RM1.08 trilion dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini,” katanya pada Ceramah Merdeka di Pusat Tarbiah PAS Rantau Panjang di sini malam tadi.

Hadir sama bekas Pengerusi Mara, Datuk Tamrin Ghafar, bekas Ketua Pemuda Umno Ketereh, Mohd Sobri Shafii, Yang Dipertua (YDP) PAS Rantau Panjang, Abdul Fatah Harun, Naib YDP, Mohamad Awang dan Ketua Penerangan, Abul Aziz Yunus.

Orang ramai memenuhi perkarangan markas tersebut yang terletak di jalan Pasir Mas-Rantau Panjang.

Dr Rosli yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan mendedahkan silap urus tadbir Bumiputra Malaysia Fincance (BMF) di Hong Kong pada 1980-an menyebabkan negara kehilangan ratusan juta ringgit.

Oleh itu kata beliau gerakan menyelamat perlu disegerakan sekiranya rakyat benar-benar mahukan negara ini selamat.

“Dengan adanya kesedaran rakyat bagi menyelamatkan situasi tersebut peluang Pakatan Rakyat untuk menang semakin hampir,” katanya sambil disambut laungan boleh oleh orang ramai.

Begitu juga katanya potensi di Negeri Sembilan diyakini peluang mendapat majoriti mudah semakin cerah daripada jumlah 36 kerusi Dun.

Sementara itu Tamrin mendedahkan beliau meninggalkan Umno kerana memikirkan keadaan di Padang Mahsyar kelak akan terbeban sekiranya terus bersekongkol dengan kerajaan yang menyeleweng.

“Saya masuk PAS bukan kerana nak cari makan, tetapi takut disoal oleh malaikat kenapa masih sokong Umno sedangkan kita tahu kerajaan BN menyeleweng,” katanya.

Sastrawan Negara sedia beri keterangan

17 Syawal 1433H. [MOD] - Harakahdaily,
05 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said akan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi jam 3.00 petang esok bagi membantu siasatan berhubung tindakannya membaca puisi di perhimpunan janji demokrasi, Khamis lalu.

A. Samad atau lebih mesra dengan panggilan Pak Samad berkata, beliau tidak dapat memenuhi permintaan polis agar beliau hadir ke balai polis jam 6 petang tadi kerana sedang berada dalam program lain.

"Mereka mahu saya datang ke IPD Dang Wangi pada jam 6.00 petang ini, tetapi saya menolak kerana ada acara lain. Lagipun, masa itu terlalu singkat.

“Namun, saya bersetuju untuk hadir selepas anggota Gabungan Janji berunding agar masa itu dianjak kepada 3.00 petang esok,” katanya kepada Keadilandaily.

Gabungan Janji disertai 47 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) menganjurkan himpunan Janji Demokrasi pada malam 30 Ogos lalu di Dataran Merdeka sempena sambutan kemerdekaan negara ke 55.

Walaupun tidak diberikan permit oleh pihak polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), perhimpunan tersebut berjalan aman dengan dihadiri 20,000 rakyat berbaju kuning.

Ketua Polis IPD Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad berkata, polis akan menyiasat sama ada sasterawan itu melanggar undang-undang dengan membaca sajak dalam perhimpunan itu mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.