21 Disember 2012
Polis tahan 36 individu bergaduh
7 Safar 1433H. [MOD] - ALOR SETAR - Polis Kedah menahan 36 individu dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan di Sungai Petani.
Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata, semua tahanan yang berumur antara 18 hingga 30-an itu kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di Sungai Petani.
Beliau berkata, tangkapan terakhir dibuat pada 4.30 pagi semalam di sekitar Sungai Petani dan akan menahan beberapa lagi suspek berdasarkan maklumat diperoleh menerusi soal siasat ke atas tahanan.
“Kita tangkap semua terlibat. Daripada tangkapan itu, ada pertuduhan yang akan kita buat tidak lama lagi. Polis tak akan berkompromi dengan sesiapa lakukan provokasi sehingga
mencetuskan hura-hara. Polis juga akan pantau tempat terlibat dan pastikan keadaan terkawal,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini semalam.
Mengenai pihak yang menyebarkan maklumat palsu menerusi media sosial, blog dan khidmat pesanan ringkas (SMS) bahawa berlakunya rusuhan di daerah Kuala Muda terutama Sungai Petani, Ahmad berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri akan menyiasat dan mengambil tindakan ke atas pihak yang menyebarkan maklumat yang tidak benar berkaitan situasi di daerah berkenaan.
"Pengamal media sosial diingatkan supaya menghentikan penyebaran berita yang tidak benar. Kalau nak beri maklumat, beri maklumat yang tepat supaya masyarakat tahu apa sebenarnya terjadi di Sungai Petani.
"Jadi kalau kita keluarkan berita berbentuk sensasi dan provokasi yang tidak betul, ini membuatkan masyarakat baca dan saya bimbang berita ini akan diterima pakai," katanya.
Katanya, berita palsu boleh menyebabkan masalah lebih besar lagi apabila masyarakat percaya berita itu.
"Tentu ada puak atau kaum tak berpuas hati. Sedangkan berita ini bukan betul, tidak berlaku pun," katanya.
Katanya, semua pihak khususnya orang ramai di Sungai Petani diingatkan agar tidak terpengaruh dan mendapatkan berita tepat dari polis.
Sinar Harian
Bayi 18 bulan nyaris maut
7 Safar 1433H. [MOD] - TAMPIN – Tiga sekeluarga termasuk seorang bayi berusia 18 bulan terselamat dari maut apabila kenderaan yang dinaiki mereka sempat mengelak dari bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di Kilometer 25, Jalan Tampin-Gemas, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.25 petang itu, bayi berkenaan, Rayyan Norarwin yang dipangku ibunya, Nor Yasme Yahya, 26, di bahagian tempat duduk hadapan hanya mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan (KK) Gemencheh.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang, berkata, ketika kejadian, bapa bayi berkenaan, Norarwin Jumian, 34, yang memandu Toyota Vios sempat mengelak dari bertembung dengan pacuan empat roda yang tiba-tiba masuk dari arah bertentangan.
“Akibatnya sebelah kiri kereta berkenaan dan pacuan empat roda jenis Hilux remuk. Tiga beranak berkenaan kemudiannya dikejarkan ke KK Gemencheh dan dirawat sebagai pesakit luar.
“Bagaimanapun, penumpang tempat duduk hadapan pacuan empat roda berkenaan, M. Ramesh, 30, mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan kepala dikejarkan ke Hospital Tampin (HT) bagi rawatan lanjut.
"Pemandunya, A. Ganess, 31, mengalami kecederaan di bahagian muka dan tangan turut dikejarkan ke HT,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penumpang pacuan empat roda berkenaan yang duduk di bahagian belakang, S. Partheeban, 20, berkata, ketika kejadian dia tertidur dan hanya tersedar sebaik sahaja terdengar bunyi dentuman.
“Bila sedar-sedar sahaja saya lihat pak cik saya yang memandu kenderaan dan rakannya di sebelah sudah mengalami kecederaan parah. Malah, orang ramai juga sudah mulai mengerumuni lokasi kemalangan.
“Saya tidak tahu apa yang berlaku kerana seingat saya kami dalam perjalanan pulang dari Tampin ke Gemencheh selepas selesai menukar tayar baru pacuan empat roda ini,” katanya.
Sinar Harian
Kutip sayur dalam tong sampah
7 Safar 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR - Penjaja warga Myanmar umpama mendapat untung atas angin apabila tidak perlu mengeluarkan modal untuk berniaga selepas mereka bertindak mengutip sayur yang dibuang pemborong untuk dijual.
Tinjauan Sinar Harian selama dua jam bermula jam 8 pagi sehingga 10 pagi baru-baru ini mendapati sekumpulan warga Myanmar di antara lima hingga enam orang sedang khusyuk mengutip dan memilih sayur yang dibuang pemborong pada tong sampah besar terletak di luar Pasar Borong Kuala Lumpur.
Tinjauan juga mendapati seorang wanita berulang alik sebanyak tiga hingga empat kali mengangkut beberapa bakul sayur tersebut ke luar kawasan pasar.
Sayur-sayur tersebut dipercayai dijual kepada orang awam di luar pasar borong bermula jam 6 petang.
Meskipun masalah tersebut telah banyak kali dibangkitkan namun penyelesaian masih menemui jalan buntu apabila penjaja Myanmar dilihat masih berniaga seperti biasa.
Pengunjung pasar, Latifah Ayob, 46, berkata, perkara itu menjadi rutin masyarakat Myanmar yang tinggal di pasar borong untuk menyara kehidupan.
“Mereka akan memilih sayur dibuang pemborong, kemudian akan dijual kepada orang awam yang rata-ratanya peniaga kedai makanan kerana harganya murah.
“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) beberapa kali membuat operasi penjaja namun permasalahan itu berlarutan dan kini dilihat semakin kritikal,” katanya.
Seorang lagi orang awam yang ditemui, Mohd Fauzi Ishak, 32, meminta badan pemantau dilantik menyelesaikan masalah lambakan warga asing.
“Warga asing kini mengatasi warga tempatan, penjaja warganegara dikenakan tindakan kompaun tetapi penjaja asing dibiarkan berleluasa sehingga menjadikan pasar borong umpama perkampungan Myanmar.
“Kita bimbang sekiranya perkara ini berlarutan dan tidak terkawal akan memudaratkan generasi akan datang kerana anggaran jumlahnya yang semakin meningkat dari tahun ke tahun,” katanya.
Fauzi mengakui bimbang akan keselamatan diri dan sentiasa berhati-hati setiap kali bersama keluarga ke pasar borong untuk membeli barang keperluan niaganya.
Dia berharap, permasalahan itu dapat ditangani secara bijak dan dalam masa sama tidak menjejaskan periuk nasi warga tempatan.
Sinar Harian
Israel berkeras bina penempatan haram
7 Safar 1433H. [MOD] - BAITULMAQDIS - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkeras mahu menambah bilangan penempatan haram Yahudi walaupun pelan membina 6,000 unit kediaman dalam kawasan Palestin dikritik negara Barat, semalam.
Selain tambahan hampir 2,000 unit rumah awal bulan ini, media Israel melaporkan lebih 3,000 unit rumah Yahudi sedang dalam pembinaan di Baitulmaqdis dan Tebing
Barat.
Menurut kumpulan pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan, wilayah timur Baitulmaqdis jatuh ke tangan rejim Israel dalam peperangan pada 1967.
Keputusan membina ribuan penempatan haram itu diumumkan Netanyahu sebaik sahaja Palestin menerima pengiktirafan sebagai sebuah negara oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada bulan lalu.
Sementara itu, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon dan ahli Majlis Keselamatannya, turut mengkritik pelan terbaru Israel.
Menurut Ki-moon, kerajaan rejim bertindak menambah penempatan haram mereka sekali gus menjadi ancaman kepada pembangunan Palestin. - Reuters
Sinar Harian
Dua beradik mengaku salah terbabit rompakan bersenjata
7 Safar 1433H. [MOD] - KUANTAN - Seorang bekas peniaga pasar malam bersama abang tirinya dihukum penjara enam tahun dan enam sebatan selepas mengaku bersalah atas tuduhan melakukan rompakan bersenjata ke atas seorang pekerja kedai perabot di Taman Datuk Rashid, Jalan Pintasan Kuantan, dekat sini, dua tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Norhasri Abdul Wahab, 26, dan abang tirinya, Khaizuan Khairi, 35, dari Kampung Sungai Batu, Panching, dekat sini, kini sedang menjalani hukuman penjara selama lima tahun dan tiga sebatan selepas disabitkan bersalah atas satu lagi tuduhan melakukan rompakan bersenjata terhadap seorang peniaga wanita di Balok Perdana pada April 2010.
Manakala seorang lagi saudara mereka, Muhammad Norhisham Abdul Wahab, 28, yang kini berada dalam tahanan reman setelah mengaku tidak bersalah atas tuduhan samun melibatkan peniaga perabot itu masih mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya.
Hukuman terhadap dua beradik tiri itu dibuat Hakim Mahkamah Sesyen Kuantan, Fathiyah Idris, semalam, selepas kedua-dua tertuduh memilih untuk menukar pengakuan kepada bersalah dalam prosiding yang ditetapkan untuk sambung bicara berhubung kes tersebut.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Svetlana Mohd Noor Nordin manakala semua tertuduh diwakili peguam, Muhammad Hisham Abdul Rahim.
Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh didakwa bertindak merompak mangsa sebelum merampas wang tunai RM1,000.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang 26 April 2010 itu, mereka turut menggunakan pisau bagi tujuan menakutkan mangsa berusia 70 tahun sehingga boleh menyebabkan kecederaan dan kematian.
Manakala Muhammad Norhisham dikatakan menunggu dalam kereta jenis Proton Saga di luar kedai.
Susulan kejadian, ketiga-tiga tertuduh berjaya ditahan polis kira-kira jam 11.15 pagi 9 November 2011 sebelum dihadapkan ke mahkamah buat pertama kali pada 22 November 2011 mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun.
Bagaimanapun, semasa sebutan pertama, Muhammad Norhasri dan Khaizuan yang berdepan dua tuduhan mengikut seksyen sama dibenarkan diikat jamin RM12,000 setiap seorang manakala Muhammad Norhisham ditawarkan jaminan RM6,000, bagaimanapun semua mereka gagal membayar jumlah jaminan tersebut.
Dalam prosiding sama semalam, mahkamah menetapkan 23 Januari tahun depan sebagai tarikh perbicaraan melibatkan Muhammad Norhisham dalam mahkamah yang sama.
Sinar Harian
Heret, ugut pukul ibu
7 Safar 1433H. [MOD] - KUALA TERENGGANU – Seorang anak bukan sahaja tergamak mengheret ibunya dengan kejam, malah dia turut mengugut akan memukul mangsa menggunakan rantai pengunci motosikal apabila permintaannya untuk mendapatkan wang RM150 tidak dilayan.
Bagaimanapun, perbuatan tidak berperikemanusiaan Mohd Hanafi Hasim, 30, dari Kampung Kubang Panjang, di sini, menerima balasan apabila dijatuhi hukuman lapan bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
Hukuman itu diputuskan apabila dia mengaku bersalah dengan sengaja mengugut dengan niat mendatangkan ketakutan menggunakan rantai pengunci motosikal untuk mencederakan ibunya, Tuan Rahamah Tuan Sulaiman, 57.
Mohd Hanafi yang tidak bekerja itu mengaku melakukan perbuatan itu di Kampung Kubang Panjang, di sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 15 Disember lalu.
Dengan itu, Mohd Hanafi mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 506 kanun yang sama.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L. Rathna di hadapan Majistret Noradila Ab Latif, manakala Mohd Hanafi tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, mangsa yang enggan memberikan RM150 seperti diminta menyebabkan Mohd Hanafi naik angin lalu mengheret ibunya keluar dari bilik.
Ketika itu, Mohd Hanafi mengambil rantai pengunci motosikal dan mengugut mahu memukul mangsa.
Bagaimanapun, semasa kejadian, salah seorang daripada anak mangsa yang kebetulan berada di dalam bilik menghubungi adiknya memintanya menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.
Susulan laporan diterima, sepasukan anggota Balai Polis Chabang Tiga menahan Mohd Hanafi yang ketika itu berada di depan rumah.
Sebelum ini, Mohd Hanafi pernah mengugut ibunya menggunakan parang sekiranya permintaannya untuk mendapatkan wang tidak ditunaikan.
Sinar Harian
Ditemui mati depan bilik air
7 Safar 1433H. [MOD] - KOTA BHARU - Misteri bau busuk di kawasan perumahan di Taman Uda Murni terjawab, apabila menemui mayat seorang warga emas mati terbaring di depan pintu bilik air rumahnya, petang semalam.
Mangsa, Nik Azimah Nik Hussin, 60, dijumpai anak saudaranya, Nik Azli Nik Osman, 44, kira-kira jam 11 pagi, semalam.
Nik Azli berkata, dia ada menghubungi mangsa namun tidak dijawab dan disebabkan rasa risau dengan keadaan ibu saudaranya, dia terus menuju ke kediaman Nik Azimah, bagi meninjau keadaannya yang tinggal berseorang di rumah.
“Sesampainya di hadapan rumahnya, saya melihat pintu utama rumah terbabit tertutup dan cuba memberi salam beberapa kali namun tiada jawapan.
“Curiga dengan keadaan itu saya tinjau keadaan sekitar dan tercium bau busuk dari dalam rumah terbabit,” katanya kepada Sinar Harian.
Azli berkata, melihatkan keadaan itu, dia terus menghubungi polis dan pihak terbabit tiba di tempat kejadian kira-kira jam 2 petang.
“Ibu saudara saya itu tinggal berseorangan selepas anak lelakinya berkahwin dan menetap di Kuala Lumpur.
“Dia mempunyai masalah jantung dan pernah di rujuk di Hospital Universiti Sains Kubang Kerian (HUSM) Kubang Kerian bagi mendapatkan rawatan berkala,” katanya.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk proses bedah siasat.
Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintenden Idris Abd Rafar mengesahkan menerima laporan kejadian.
“Mayat mangsa ditemui anak saudaranya dalam keadaan terbaring di hadapan pintu bilik air dengan berpakaian lengkap dan dipercayai mati dalam tempoh dua hingga tiga hari lalu.
“Mengikut siasatan polis, mangsa dipercayai mempunyai masalah jantung dan kematiannya diklasifikasikan sebagai mati mengejut serta tiada sebarang unsur jenayah,” katanya.
Sinar Harian
Ditetak ketika tidur
7 Safar 1433H. [MOD] - KOTA BHARU - “Saya terkejut melihat anak saya menerpa ke dapur mengerang kesakitan dengan darah mengalir pekat di lantai dapur,” kata bapa kepada dua beradik yang ditetak, Jaafar Ibrahim, 60, dalam kejadian di Kampung Jejulok Binjai petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang itu, Azri Jaafar, 35, mengalami kecederaan parah akibat ditetak ketika sedang tidur di dalam bilik di rumahnya, manakala adiknya Anuar Jaafar, 30, dan
rakannya Mohamad Jusoh, 43, ditetak di rumah suspek yang merupakan kenalan mangsa dan ketika itu mereka sedang melakukan kerja-kerja pendawaian elektrik di rumah lelaki berkenaan.
Menurut Jaafar, dia tidak menyedari kehadiran lelaki itu yang dipercayai menetak anaknya di dalam bilik, kerana kejadian berlaku begitu pantas dan selepas melihat keadaan anaknya yang parah, dia terus meluru keluar dan hanya nampak sebuah kereta Wira Putih memecut laju.
“Hanya cucu saya, Alisya Natasha Azlizu, 10, nampak kelibat lelaki terbabit masuk ke dalam rumah melalui tingkap bilik Azri yang terbuka luas dan mengikut katanya, lelaki itu membawa sebilah parang masuk ke dalam bilik Azri.
“Keadaan Azri amat mengerikan apabila belakang badannya terdapat kesan tetakan bertalu-talu yang begitu dalam serta kecederaan parah di bahagian pergelangan tangannya,” katanya kepada Sinar Harian.
Jaafar berkata, melihatkan keadaan anaknya yang tidak dapat menahan kesakitan, dia bersama menantunya bergegas ke hospital dan dalam perjalanan ke hospital, dia menerima panggilan mengatakan seorang lagi anaknya, Anuar serta rakannya yang melakukan kerja-kerja pendawaian bersama rakannya Mohamad juga ditetak lelaki yang sama sebelum menetak Azri yang berada di rumah.
“Saya tidak tahu kenapa lelaki itu yang juga penduduk di kawasan kampung ini mengamuk dan menetak kedua-dua beradik itu termasuk rakan anak saya.
“Lagipun Azri dan Anuar sebelum ini tidak pernah mempunyai musuh dan menimbulkan kekecohan dengan sesiapa di kampung ini. Apa pun saya serahkan kejadian ini kepada pihak polis untuk mengesan lelaki itu yang kini masih bebas di luar sana,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Abd Rafar mengesahkan menerima laporan kejadian.
“Buat masa ini kita sudah mengenalpasti suspek yang berusia dalam lingkungan 24 tahun dan gerakan memburu sedang dijalankan bagi mengesan lelaki itu yang dipercayai melarikan diri bersama isteri dan anak berusia 1 tahun.
“Lelaki terbabit juga bekas penagih dan semasa membuat serbuan di rumahnya, di Kampung Jejabi, dia sudah larikan diri,” katanya.
Sinar Harian
Piala FA: PKNS boleh lakar kejutan
7 Safar 1433H. [MOD] - JURULATIH PKNS, Abdul Rahman Ibrahim percaya skuad bimbingannya mampu melakar kejutan di pusingan pertama Piala FA 2013 yang akan bermula bulan depan.
Menurutnya, meskipun berdepan naib juara Liga Super, Lions XII merupakan satu tugas getir tapi beliau tidak menolak anak buahnya boleh menangani cabaran ini.
“Kita tahu Lions XII sebuah pasukan yang kuat dan itu kita harus akui, dan rekod perlawanan sebelum ini juga kurang memihak kepada kami.
"Tapi, itu tidak semestinya kami harus cepat mengalah sebelum berjuang dan itu bukan juga halangan untuk kami melakar kejutan.
"Jadi, demi memastikan kami meneruskan persaingan dalam saingan Piala FA, saya akan cuba memasang strategi dan memikirkan taktikal yang terbaik bagi menyekat kemaraan Lions XII," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.
Dalam pada itu, ketika ditanya adakah dengan memiliki penjaring terbanyak Liga Perdana, Patrick Ronaldinho Wleh dan beberapa pemain baru akan memberi kelebihan kepada PKNS, Abdul Rahman menyangkal dakwaan tersebut.
Sebaliknya beliau tetap merendah diri dan menyifatkan kedua-dua pasukan mempunyai kelebihan tersendiri.
"Patrick sememangnya berbisa dan saya percaya pemain ini mampu memberikan kelainan dalam persembahan pasukan, tapi itu bukanlah satu kelebihan buat kami.
"Lions XII pun mempunyai barisan pemain yang kuat, mereka juga mempunyai peluang untuk menang.
"Jadi, tiada istilah kelebihan buat kami. Apa yang penting sekarang, kita harus fokus dan merancang segala taktikal baru," ujar beliau yang turut berharap beraksi di halaman sendiri pada aksi sulung saingan akan memberi tuah kepada PKNS.
"Mungkin sedikit kelebihan apabila beraksi di gelanggang sendiri, penonton merupakan pemain ke-12 jadi saya harap pemain melakukan tugas sebagaimana diarahkan," katanya.
Sinar Harian
Sekali lagi Utusan disaman, kali ini TG Nik Aziz
7 Safar 1433H. [MOD] - KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) membuat keputusan akan menyaman akhbar Umno, Utusan Malaysia yang menyiarkan dakwaan kononnya beliau merasuah dua pemimpin DAP agar Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin dilantik sebagai Menteri Besar Perak.
Perkara ini dimaklumkan beliau dalam sidang media yang diadakan di JKR 10 semalam ekoran laporan oleh Utusan Malaysia.
"Ianya satu fitnah untuk memburukkan saya secara peribadi menjelang pilihan raya," kata beliau.
Utusan menyiarkan dakwaan satu blog Umno kononnya TG Nik Aziz merasuah pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dan setiausahanya, Nga Kor Meng agar DAP bersetuju melantik Nizar sebagai Menteri Besar Perak.
Rasuah dalam bentuk tanah itu diberikan kerana Adun DAP yang paling ramai dalam DUN Perak, dakwa blog Umno yang disiarkan Utusan itu.
Isu ini juga dibangkitkan oleh para Adun BN dalam sidang Dewan Undangan Negeri Perak semalam sehingga mereka dicabar menyebutnya di luar Dewan.
"Saya dah kata sebelum ini kalau keluar berita sensasi dalam Utusan jangan percaya, kena selidik dulu sebab sudah banyak Utusan keluar cerita fitnah," katanya.
Ekoran itu, katanya, beliau telah membuat arahan kepada pegawainya agar membawa kes ini ke mahkamah.
"Semoga apa yang berlaku di mahkamah nanti akan perjelaskan cerita yang sebenarnya," kata TG Nik Aziz.
Tanding pilihan raya
Dalam sidang media ini juga, TG Nik Aziz sekali lagi menegaskan beliau akan bertanding lagi dalam pilihan raya umum akan datang ini.
TG Nik Aziz yakin dengan pemikiran yang sihat, beliau boleh lagi melawan Umno.
"Tanding dalam politik ni tak perlu sangat badan yang sihat tetapi pemikiran yang sihat. Kalau orang ajak bertumbuk, saya tak mampulah," katanya.
Harakah Daily
Gaji minima: Taska dan tadika swasta bakal ditutup
7 Safar 1433H. [MOD] - KUALA TERENGGANU: Sejumlah 117 buah taska berdaftar dan hampir 200 buah tadika swasta di seluruh negeri Terengganu bakal ditutup jika dasar gaji minima RM900 sebulan untuk pekerjanya dilaksanakan mulai Januari 2013.
Sehubungan itu, Presiden Persatuan Pengasuh Negeri Terengganu, Noraini Mustafa berkata, seramai 80 orang pengusaha Taska dan pengusaha Taska negeri Terengganu bersetuju dengan sebulat suara mendesak pengecualian gaji minima.
“Pada hari ini, 20 Disember 2012 bertempat di Bilik Seminar Perpustakaan Awam Negeri Terengganu. Persatuan Pengasuh Negeri Terengganu bersama 80 orang pengusaha Taska dan pengusaha Tadika swasta negeri Terengganu bersetuju dengan sebulat suara meminta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mempertimbangkan permintaan kami.
“Semua pengusaha taska dan pengusaha tadika bersetuju untuk mendesak pengecualian gaji minima kepada kakitangan taska dan tadika swasta, kerana jika tidak kami terpaksa menutup taska dan tadika kerana tidak mampu membayar gaji pekerja dengan pendapatan yang kami ada, kerana kami tertakluk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan nisbah kanak-kanak terlalu sedikit,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika membaca resolusi yang dipersetujui bersama pada Majlis Perbincangan Persatuan Pengasuh Negeri Terengganu di Dewan Seminar Perpustakaan Awam Negeri Terengganu, dekat sini, 20 Disember lalu.
Menurutnya, peraturan tersebut akan dikuatkuasakan pada Januari 2013 kepada semua pekerja sektor swasta termasuk pengusaha taska dan tadika di seluruh negara.
Pengusaha Taska Syaz, Hajah Wan Azihah Wan Isa, 47, dari Kuala Terengganu melahirkan rasa kesal, kecewa serta terkilan dengan keputusan kerajaan melaksanakan gaji minima RM900 sebulan.
Ini kerana, katanya peraturan baru gaji minima tersebut membebankan ibubapa serta menyulitkan pengurusan pengusaha taska dan tadika swasta di seluruh negara.
Menurutnya, jika tidak dikecualikan semua pengusaha taska dan tadika swata di negeri ini akan ditutup operasi pada tahun depan.
“Saya usahakan taska ini selama 25 tahun lalu. Saya rasa kesal, kecewa dan terkilan dengan peraturan baru gaji minima RM900 sebulan yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Sebab majoriti keluarga yang hantar anak di Taska dan Tadika kita ini bukan di kalangan orang kaya. Keluarga yang hantar pula bekerja berpendapatan sederhana.
Andainya, kita (pengusaha) naik (harga) yuran. Ramai di kalangan ibubapa pula yang tidak mampu hendak bayar yuran dua kali ganda.
“Kita (pengusaha) tidak mampu untuk menaikkan yuran memandangkan satu faktornya, kita terpaksa bersaing dengan Taska Permata yang ditaja oleh kerajaan sendiri,” jelasnya kepada Harakah.
Beliau yang mempunyai enam buah cawangan melibatkan hampir 1000 orang ibubapa turut membayangkan akan ditutup jika kerajaan tidak bertolak ansur dalam isu gaji minima tersebut.
Manakala, rakannya Puan Wan Badariah Wan Abdullah, 50, dari Taska Sri Nurain, Kampung Gong Pauh Kemaman menyifatkan peraturan baru gaji minima tersebut mengganggu periuk nasi pengusaha taska dan tadika swasta di negeri ini.
Beliau merayu agar pihak kerajaan melalui kementerian berkenaan mengkaji semula peraturan mengenakan gaji minima serta dikecualikan kepada pengusaha taska.
“Saya dari Taska Sri Nurain, Kampung Gong Pauh Kemaman. Berpengalaman hampir 20 tahun buka Taska ini. Masalah ini sangat mengganggu periuk nasi kami (pengusaha).
“Kami buat perusahaan ini semata-mata perkhidmatan dan bukan untuk kaut untung sangat. Kami sangat-sangat memerlukan pembelaan dari pihak kerajaan (kementerian) untuk mempertimbangkan gaji minima ini. Jika boleh dikecualikan terus dari melibatkan pekerja-pekerja di Taska,” ujarnya.
Beliau mempunyai seramai lima orang pekerja dengan 20 orang kanak-kanak sudah pasti tidak mampu menawarkan gaji minima RM900 sebulan kepada pekerjanya.
Sehubungan itu, katanya berlaku pelanggaran syarat serta penyalahgunaan peraturan dasar sebenar penubuhan Taska Permata oleh pihak Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) sendiri.
“Taska Permata yang dikendalikan oleh pihak YPK sendiri tidak mengikuti dasar sebenar Taska Permata. Mereka (Permata) sepatutnya, tidak boleh mengambil anak-anak yang ibubapa mereka berpendapatan lebih RM3,000 sebulan dalam syaratnya.
“Saya sendiri alami masalah ada di kalangan ibubapa yang berpendapatan lebih RM3,000 dan pernah menghantar anak-anak mereka ke Taska saya, kini mereka hantar di Taska Permata.
“Ini suatu bentuk penganiayaan kepada pengusaha-pengusaha taska swasta serta penyalahgunaan dari segi akta pelaksanaan Taska Permata itu sendiri,” tegasnya.
Wan Badariah berharap agar masalah tersebut dipandang dengan teliti oleh pihak berkenaan supaya penyalahgunaan itu tidak berlaku serta Taska-taska Swasta juga mendapat pembelaannya.
Ketika ditanya kenapa baru sekarang perkara tersebut dibangkitkan beliau menjelaskan bahawa, sebelum ini pengusaha taska mendapat maklumat lisan dari sumber Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan lain-lain agensi berkaitan peraturan itu dikecualikan kepada pengusaha taska.
“Sebelum ini, kami dimaklumkan secara lisan dari sumber JKM dan lain-lain yang berkait bahawa pengusaha taska swasta dikecualikan pelaksanaan gaji minima itu. Tapi, kami (pengusaha) tidak diberi surat ‘hitam-putih’ tentang pengecualian tersebut.
“Sekarang baru kami diberitahu tidak ada pengecualian. Saya pernah menghantar email kepada Persatuan Pengasuh Malaysia tetapi tidak ada sebarang maklum balas,” jelasnya dengan emosi.
Menurutnya, jika semua pengusaha taska dan tadika swasta tutup di seluruh negeri akan menyusahkan ribuan ibubapa yang bekerja.
Harakah Daily
Tanah 606 ekar: Nizar tuntut penjelasan Zambry
7 Safar 1433H. [MOD] - IPOH: Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin memohon penjelasan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Kadir berhubung pemberian 606 ekar tanah di Hutan Simpang Belukar Semang, Pengkalan Hulu, Gerik.
"Saya hendak tanya kenapa diberikan kepada satu orang, walaupun satu syarikat 202 hektar tapi (ketiga-tiga) syarikat itu beralamat yang sama dan mempunyai satu pengarah yang sama," katanya ketika berbahas dalam persidangan Dun Perak.
Adun Pasir Panjang itu mempersoalkan kenapa diberikan kepada tiga syarikat yang dimiliki oleh seorang individu itu.
"Inilah syarikat yang bukan Bumiputera tetapi dinyatakan oleh Umno Hidup Melayu, Hidup Melayu.
"Mana pergi Melayu hari ini? Ini satu penganiayaan kepada Melayu kerana diberikan kepada syarikat bukan Melayu untuk menguruskan tukul besi ini," tegasnya lagi.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu memohon Dr Zambry menjelaskan kenapa tidak diberikan kepada syarikat bumiputera yang majoriti orang Melayu tinggal di situ.
Beliau ingin mengetahui apakah keistimewaan individu terbabit sehingga mudah mendapat tanah dalam jumlah yang sangat besar itu.
Harakah Daily
SPRM mahu tapis calon PRU-13
7 Safar 1433H. [MOD] -
Langkah pastikan wakil semua parti bersih rasuah
Kuala Lumpur: Kerajaan dicadang mewajibkan parti politik mengemukakan senarai calon Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) untuk proses tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM, Datuk Johan Jaaffarberkata, ia antara yang dirangka oleh pihaknya untuk dicadangkan berkuat kuasa menjelang PRU-13 tidak lama lagi.
“Cadangan ini membabitkan semua parti politik dan individu yang akan bertanding sebagai calon Bebas, termasuk Ahli Parlimen atau ADUN yang bakal dicalonkan semula atau yang pertama kali bertanding.
Calon bersih
“Ini bagi memastikan calon yang bakal bertanding ‘bersih’ daripada rasuah, selain mengelakkan tohmahan tidak berasas ke atas individu yang akan bertanding atau partinya,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat panel berkenaan di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), semalam.
Sebelum ini, parti politik menghantar senarai nama calon untuk ditapis SPRM secara sukarela menjelang PRU.
Johan bagaimanapun berkata mekanisme tapisan untuk calon pilihan raya akan ditentukan oleh SPRM.
Beliau berkata, saranan panel berkenaan juga bersesuaian dengan situasi negara yang akan menghadapi PRU-13 tidak lama lagi.
“Kita mengambil semangat bahawa semua parti sudah menyatakan sokongan untuk memerangi gejala rasuah dan dengan itu kami mengharapkan sokongan semua pihak terbabit,” katanya.
Anggota panel, Anis Yusal Yusoff yang juga Felo Penyelidik Utama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata saranan itu perlu diberi pertimbangan serius oleh parti politik kerana penting untuk memastikan ia kekal relavan.
Wakil rakyat disegani
“Sebagai parti politik bertanggungjawab, parti seharusnya mempunyai calon yang bersih dan mampu menjadi wakil rakyat yang disegani,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata cadangan itu wajar mendapat perhatian parti politik yang bakal memilih calon untuk bertanding pada PRU-13.
Semak latar belakang
“Menjadi tanggungjawab parti politik untuk menyemak latar belakang calon. Jika terbukti tidak sesuai dan tiada integriti, menjadi tanggungjawab parti pula untuk menentukan langkah seterusnya,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, SPR sebagai badan yang mengurus pilihan raya, berpendapat tidak wajar langkah ini diletakkan sebagai syarat kerana ia menyekat kebebasan dan hak rakyat bertanding dalam pilihan raya. BH/-
Facebook cadang kenakan bayaran penghantaran pesanan
7 Safar 1433H. [MOD] -
SAN FRANCISCO: Facebook hari ini memulakan ujian kebolehlaksanaan dengan mengenakan bayaran sebagai jaminan mesej yang dihantar pihak yang tidak dikenali sampai kepada penerima laman rangkaian sosial.
Facebook berkata, ujian Mesej Facebook, yang hanya dilaksanakan di Amerika Syarikat membolehkan penghantar membuat pembayaran bagi pesanan elektronik yang dihantar ke akaun seseorang, walaupun individu berkenaan tidak dikenali.
Laman rangkaian sosial itu berkata, ia dilaksanakan bagi memastikan sama ada dengan menambah isyarat pembayaran dapat meningkatkan hanya penghantaran pesanan yang relevan dan berguna disalurkan kepada ahli. - AF
Dua bas bertembung di Sudan, 33 maut
7 Safar 1433H. [MOD] -
KHARTOUM 21 Dis. - Seramai 33 orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera apabila dua bas bertembung di kawasan luar ibu negara Sudan, di sini semalam.
Pegawai berkata, kemalangan itu berlaku apabila sebuah bas dalam perjalanan ke bandar Medani dari Khartoum cuba memotong sebuah kenderaan lain sebelum berlanggar dengan sebuah bas yang datang dari arah berlawanan.
Keadaan jalan sempit antara Khartoum dan Medani sering menyebabkan kemalangan dan penduduk tempatan menggelar jalan tersebut sebagai jalan maut. - DP
Langgan:
Catatan (Atom)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)




