7 Safar 1433H. [MOD] -
Langkah pastikan wakil semua parti bersih rasuah
Kuala Lumpur: Kerajaan dicadang mewajibkan parti politik mengemukakan senarai calon Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) untuk proses tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM, Datuk Johan Jaaffarberkata, ia antara yang dirangka oleh pihaknya untuk dicadangkan berkuat kuasa menjelang PRU-13 tidak lama lagi.
“Cadangan ini membabitkan semua parti politik dan individu yang akan bertanding sebagai calon Bebas, termasuk Ahli Parlimen atau ADUN yang bakal dicalonkan semula atau yang pertama kali bertanding.
Calon bersih
“Ini bagi memastikan calon yang bakal bertanding ‘bersih’ daripada rasuah, selain mengelakkan tohmahan tidak berasas ke atas individu yang akan bertanding atau partinya,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat panel berkenaan di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), semalam.
Sebelum ini, parti politik menghantar senarai nama calon untuk ditapis SPRM secara sukarela menjelang PRU.
Johan bagaimanapun berkata mekanisme tapisan untuk calon pilihan raya akan ditentukan oleh SPRM.
Beliau berkata, saranan panel berkenaan juga bersesuaian dengan situasi negara yang akan menghadapi PRU-13 tidak lama lagi.
“Kita mengambil semangat bahawa semua parti sudah menyatakan sokongan untuk memerangi gejala rasuah dan dengan itu kami mengharapkan sokongan semua pihak terbabit,” katanya.
Anggota panel, Anis Yusal Yusoff yang juga Felo Penyelidik Utama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata saranan itu perlu diberi pertimbangan serius oleh parti politik kerana penting untuk memastikan ia kekal relavan.
Wakil rakyat disegani
“Sebagai parti politik bertanggungjawab, parti seharusnya mempunyai calon yang bersih dan mampu menjadi wakil rakyat yang disegani,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata cadangan itu wajar mendapat perhatian parti politik yang bakal memilih calon untuk bertanding pada PRU-13.
Semak latar belakang
“Menjadi tanggungjawab parti politik untuk menyemak latar belakang calon. Jika terbukti tidak sesuai dan tiada integriti, menjadi tanggungjawab parti pula untuk menentukan langkah seterusnya,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, SPR sebagai badan yang mengurus pilihan raya, berpendapat tidak wajar langkah ini diletakkan sebagai syarat kerana ia menyekat kebebasan dan hak rakyat bertanding dalam pilihan raya. BH/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan